MAHASISWA
BUMIPUTERA PERLU MENILAI KEKUATAN DIRI.
Mohd.Izwan Bin Hj.Md.Yusof,PMIUM
Dalam
meneliti kenyataan Profesor Diraja Ungku Aziz yang menyatakan
konsep dan falsafah universiti perlu diubah daripada untuk
memenuhi pasaran kerja kepada mengeluarkan siswazah yang boleh
mencipta permintaan;PMIUM berpendapat cabaran ini perlu dilihat
secara positif.Ia perlu disahut dengan semangat yang tinggi
dan hati yang terbuka samada oleh pihak pentadbiran universiti,mahasiswa
yang masih menuntut di universiti mahupun siswazah yang sudahpun
menamatkan pengajian mereka.
Berasaskan
fakta yang dinyatakan oleh Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan
Ekonomi Negara , Datuk Mustapa Mohamed bahawa 24,728 siswazah
IPT tempatan mengikuti skim siswazah menganggur(SSM) yang
mana 94 % daripadanya adalah pelajar bumiputera , jelas menunjukkan
kepada kita bahawa satu tindakan segera yang bersepadu melibatkan
ketiga-tiga pihak di atas perlu diambil untuk menanganinya.
Naib
Canselor Universiti Malaya;Profesor Dato’ Dr. Anuar Zaini
dalam perutusan Tahun Baru pada 16 Januari 2002,menjelaskan
bahawa matlamat UM pada tahun ini adalah untuk melahirkan
graduan yang cemerlang dari sudut akademik dan syakhsiyyah,bernilai
di pasaran tempatan dan antarabangsa,peka kepada aspirasi
agama,bangsa dan negara seterusnya mempunyai pemikiran yang
kritis dan kreatif serta berdaya saing.PMIUM berpandangan
, jika setiap pentadbiran universiti di Malaysia menggariskan
matlamat yang sedemikian,maka sedikit sebanyak ia mampu membendung
gejala pengangguran di kalangan siswazah IPT tempatan khususnya
bumiputera.Namun demikian,ia memerlukan peranan penting yang
mesti dimainkan oleh mahasiswa dalam menguasai bidang lapangan
masing-masing di samping menguasai Bahasa Inggeris dan kemahiran
IT yang semakin diperlukan dalam dunia hari ini.Bahkan graduan
atau siswazah yang sudahpun menamatkan pengajian mesti mampu
berdikari,yakin pada diri sendiri,mempunyai ilmu yang praktikal
kepada dunia semasa,mempunyai ketrampilan diri serta berdaya
saing.
PMIUM
menyeru kepada mahasiswa bumiputera khususnya agar tidak sekadar
mengharapkan kelulusan yang cukup makan sahaja.Mereka perlu
berusaha memastikan bidang yang dipelajari sekarang dikuasai
dengan baik seterusnya mampu mencipta permintaan pekerjaan
baru sebagaimana saranan Profesor Diraja Ungku Aziz.Justeru,tidak
timbul soal punca utama pengangguran di kalangan siswazah
bumiputera kerana memilih bidang sastera yang meliputi jurusan
Sastera,Ekonomi,Perakaunan,Pentadbiran Perniagaan dan Pengajian
Islam jika mereka mampu berdikari , bijak menilai peluang,dan
tidak terlalu memilih kerja seawal tamatnya pengajian mereka
di universiti.
Ini
kerana PMIUM berpendapat mahasiswa daripada aliran sastera
juga bernilai tinggi di pasaran kerja hari ini kerana mereka
bukan sekadar mengetahui teori dan menguasai falsafah yang
diperoleh dalam pembelajaran mereka, bahkan mempunyai kekuatan
dalaman dan prinsip yang kukuh dan teguh dalam menghadapi
cabaran alam pekerjaan seperti rasuah,pecah amanah dan pelbagai
salah laku yang lain.
Selain
itu,PMIUM juga menyeru mahasiswa supaya meraih pengalaman
dengan menceburkan diri dengan kegiatan berpersatuan dalam
usaha mematangkan fikiran,daya ketrampilan diri yang meyakinkan
dan kemahiran interaksi sosial yang berkesan.Ini sekaligus
dapat mengelakkan mahasiswa mengisi masa terluang dengan kegiatan
tidak berfaedah seperti berpeleseran,terpengaruh dengan budaya
hedonisme dan tidak bersungguh dalam pengajian mereka dengan
mengabaikan perpustakaan .Bukti yang ada hari ini , jelas
menunjukkan mereka yang bijak mengimbangkan di antara kegiatan
berpersatuan dengan penumpuan akademik,berjaya mencapai kecemerlangan
akademik yang lebih baik.Ia dapat dilihat dengan kejayaan
saudara Shafik Badaruddin,25,pelajar jurusan Syariah dan Pengurusan
yang memperoleh Anugerah Pelajaran Diraja sewaktu Konvokesyen
Universiti Malaya pada tahun 1999 dan beliau merupakan Ketua
Pengarah Biro Penerbitan PMIUM pada tahun tersebut.
Pada
waktu yang sama,PMIUM tetap menyokong kenyataan Pengarah Jabatan
Pendidikan Tinggi,Profesor Dr.Hassan Said yang akan mengarahkan
semua IPTA tempatan untuk menjalankan keperluan pasaran kerjaya
terlebih dahulu sebelum memperkenalkan program pengajian baru.Ia
penting bagi memastikan graduan IPTA tempatan memenuhi keperluan
pasaran kerjaya.Secara umumnya,PMIUM berpendirian semua pihak
perlu berganding bahu untuk menangani masalah pengangguran
di kalangan siswazah bumiputera, dengan memastikan semua pihak
jelas akan tanggungjawab yang perlu dimainkan.Kepada mahasiswa
bumiputera,ingatlah pesanan Pak Ungku, "Universiti hanya
tempat mencari,menyampai ilmu dan membina ketrampilan diri.Universiti
bukan tempat menyediakan pekerjaan".Oleh yang demikian,kita
perlu berfikir sejenak dan merenung semula kekuatan diri masing-masing
dalam menyedari peranan kita sebagai pewaris kepimpinan negara
yang ada pada hari ini.
Mohd.Izwan
Bin Hj.Md.Yusof
Presiden,
Persatuan
Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM)
Aras
2,Blok F,Kompleks Perdana Siswa,
Universiti
Malaya,50603,
Kuala
Lumpur.
Halaman Utama