Muslihat Kerajaan Pusat
di sebalik isu Zakat
Mahasiswa Islam curiga dengan matlamat sebenar
isu zakat dimainkan diakhbar Utusan Malaysia tiga hari kebelakangan
ini. Mahasiswa Islam cuba mengajak semua rakyat Malaysia menilai
apakah sebenarnya disebalik isu zakat yang dihangatkan oleh
akhbar.
Pertama mari kita melihat apakah masalah sebenar
yang telah dikemukakan oleh salah seorang pensyarah di Akademi
Pengajian Islam Universiti Malaya iaitu Dr.
Ahmad Hidayat Buang. Beliau sebenarnya telah membongkar kemelut
atau masalah pengurusan dalam institusi zakat di Negara kita.
Antara masalah yang telah diajukan persoalan
pengagihan zakat yang tidak telus, tidak menyeluruh dan keciciran
penerima zakat yang sepatutnya menerima zakat. Beliau juga
mempertikaikan tentang kegagalan institusi zakat dalam mengenalpasti
penerima zakat serta kaedah yang digunakan untuk mengenalpasti
penerima zakat.
Dalam isu ini tidak ada langsung kaitan dengan
pengurusan kutipan zakat. Kedua persoalan sekarang kenapa
Dr. Mahathir dan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri menyarankan ditubuhkan Lembaga Urusan Zakat Malaysia
(LUZAM) secara spontan ?.
LUZAM dikatakan ingin ditubuhkan dengan matlamat
menyelaraskan kutipan zakat seluruh Negara. Luzam akan berperanan
mengumpulkan zakat daripada seluruh negeri-negeri. Semua dana
zakat akan dikumpulkan di LUZAM. Kemudian wang zakat akan
diagihkan secara adil kepada negeri-negeri. Peranan pusat
zakat negeri mengagihkan kepada penerima masalah.
Adakah penubuhan LUZAM menyelesaikan masalah
atau ada muslihat lain yang berlaku. Ketiga kenapakah perlunya
sebuah pusat zakat dipusatkan sedangkan
pentadbiran agama Islam, mahkamah syariah, enakmen pentadbiran
Islam negeri, fatwa negeri-negeri dan masalah agama di negeri-negeri
tidak dipusatkan.
Tiba-tiba hal ehwal berkaitan dengan wang cuba dipusatkan.
Cara penyelesaian masalah pengurusan pengagihan
zakat adalah mestilah dengan mengubah sistem atau kaedah pengagihan
yang selama ini dipertikaikan.
Masyarakat mempertikaikan persoalan pengagihan bukan pengumpulan
atau kutipan zakat.
Keempat apa kelebihan jika wang zakat dipusatkan
? Jika wang zakat dipusatkan oleh LUZAM maka secara langsung
kuasa Pusat untuk menggunakan wang tersebut untuk kepentingan
tertentu. Adakah kita sudah lupa tindakan bill out yang dibuat
oleh kerajaan untuk selamatkan syarikat kroni. Mangsa adalah
wang rakyat
dalam KWSP dan Tabung Haji.
Maka mangsa terbaru adalah Wang Zakat. Kerajaan
pusat juga mendapat bunga yang tinggi bilamana menyimpan wang
zakat yang beratus-ratus juta di dalam bank. Kerajaan juga
berhak untuk menyekat saluran kewangan hak rakyat negeri Terengganu
dan Kelantan sebagaimana yang telah dibuat selama ini dalam
pengagihan peruntukan wang kerajaan pusat kepada negeri dan
hak royalti minyak yang dirampas sewenang-wenangnya.
Kami mahasiswa Islam mengajak rakyat Malaysia
berfikir secara terbuka masalah atau isu yang sedang dimainkan
sekarang dengan fikiran yang positif.

Isu selanjutnya
– Isu Semasa