Dialog:
Pelajar Melayu perlu perkukuh jati diri
Oleh:
MOHD ZAIDI AZIZ,
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
MERUJUK
kepada kenyataan, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan
Senator Datuk Zainuddin Maidin, dalam Berita Harian Sabtu
19 Januari 2002 lalu bertajuk Pelajar Melayu IPT digesa keluar
kepompong, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
menyambut baik seruan itu.
Sewajarnya
generasi muda mampu meletakkan diri mereka dalam status yang
lebih memiliki idealisme, aktivisme dan intelektualisme untuk
berdaya saing bagi mendepani kemelut sosial, cabaran semasa
dan agenda persejagatan atau globalisasi kini. Perkara ini
bukanlah baru dibicarakan, malah sudah ramai orang cuba menyatakannya.
Ia
menjadi semakin hangat dan sering kali diperdebat dan dibualkan
apabila melihatkan keadaan generasi muda Melayu Institut Pendidikan
Tinggi (IPT) kini semakin hari semakin dikaitkan dengan pelbagai
wajah, gambaran, dan labelan. Pengganas, pembangkang, lembap,
Melayu lesu serta keciciran dalam universiti menambahkan lagi
tuntutan untuk Melayu IPT keluar daripada kepompong pemikiran
yang ada sekarang.
Namun
dalam kita ghairah untuk menyuruh pelajar Melayu IPT keluar
daripada kepompong yang ada sekarang ini, adakah kita terfikir
untuk menyediakan ruang, peluang, tempat, isi yang sepatutnya
pelajar Melayu IPT untuk dilandaskan dengan serius?
Sejauh
mana kita benar-benar serius untuk melihat masalah yang melingkari
pelajar Melayu IPT selesai? Seperkara lagi sewajarnya kita
renungi iaitu apakah punca dan sebab sebenarnya masalah yang
melingkari pelajar Melayu IPT? Andai mereka keluar daripada
kepompong yang ada sekarang, dapatkah kita menjangkakan bahawa
nasib pelajar Melayu IPT akan terus berubah daripada apa yang
diperkatakan sekarang ke suatu tahap yang lebih baik?
Pengisian
yang memfokuskan kepada pemurnian sifat keinsanan bukannya
nilai saingan yang akan mengakibatkan kalah atau menang seseorang
itu dalam persaingan.
Pelajar
IPT bukannya barang dagangan atau alatan dalam banyak perkara,
tetapi apa yang mampu dimainkan oleh pelajar IPT ini adalah
sebagai rakan penyumbang kepada permasalahan masyarakat yang
ada sekarang ini. Tidak dinafikan bahawa apabila timbulnya
isu ini ramai yang memberi pendapat untuk mengetatkan lagi
peraturan di kalangan pelajar, namun ini bukan caranya untuk
berdepan dengan golongan intelektual IPT.
Sewajarnya
perbahasan, perbincangan, penelitian secara ilmiah dan tindakan
yang berlandaskan keikhlasan serta tidak dibayangi kepentingan
individu mahupun yang lain menjadi penyelesaian kepada isu
ini.
Oleh
itu dalam hal ini, PKPIM dalam agendanya untuk kembali mengangkat
martabat generasi muda ini, menggesa sewajarnya asas yang
kukuh seharusnya dibina dalam diri Pelajar Melayu di IPT sekarang
ini. Persoalan jati diri, akhlak dan intelektual bukannya
“bahan maklumat” yang dipergunakan apabila perlu saja, sebaliknya
adalah asas yang sewajarnya ditekankan.
Pendidikan
adalah satu proses penyerapan nilai budaya dan pembentukan
cita rasa menerusi pengajaran, bimbingan dan keteladanan.
Justeru
pelajar harus memiliki kekuatan ilmu dan ketrampilan yang
mencapai piawai dunia dengan nilai dan etos kemelayuan serta
keislamannya. Sistem pendidikan hendaklah kembali kepada dimensi
holistik dan bersepadu yang berpaksikan tauhid.
Tuhan
sebagai satu-satunya sumber ilmu yang mutlak dan membawa faham
ketunggalan kebenaran dan kemutlakan kebenaran. Dengan kekuatan
nilai keintelektualan, generasi muda akan menerima unsur ketuhanan
dan menghasilkan keputusan yang strategik hasil daripada cambahan
idea baru yang lebih praktis sifatnya.
Di
samping itu, golongan pelajar IPT perlu keluar daripada kepompong
yang boleh mengheret dan menenggelamkan idealisme mereka.
Idealisme
yang sepatutnya berlandaskan kepada kepercayaan jitu dan melalui
proses analisis yang kritikal. Untuk itu, lontaran idea dan
pandangan mereka hendaklah dirai sebagai suntikan kepada generasi
penerus negara ini.
Sewajarnya
mana-mana pihak dan masyarakat tidak seharusnya cepat melatah
dalam membincangkan isu atau masalah pelajar Melayu di IPT.
Halaman Utama