Pendakwaan enam orang mahasiswa, di Mahkamah
Majistret pada 19 Julai 2001, atas tuduhan berada dalam perhimpunan
haram, di Masjid Negara, 8 Jun lepas menjadi kayu pengukur,
sejauh mana ketegasan Naib Canselor, terhadap kesalahan-kesalahan
pelajar yang berkaitan dengan AUKU.
(http://www.malaysiakini.com/News/2001/07/2001071902.php3)
Tuduhan pelajar IPTA 'antikerajaan dengan
cara-cara militan' semakin jelas terbukti. Makin terserlah
apabila Wan Mohd. Sanusi Wan Mohd. Noor & Khairul Amar
Mahmud (UM); Nik Noor Hafizi Nik Ibrahim & Ahmad Kamal
Abdul amid(UKM); Zulkifli Idris (UTM) dan Rafzan Ramli(UiTM)
akan didakwa dimahkamah pada 15 & 16 Oktober ini.
Demonstrasi yang bertemakan " Mahasiswa
Mansuhkan ISA" itu adalah anjuran Gerakan Mahasiswa Mansuhkan
ISA(GMMI) yang mengandungi 6 pertubuhan pelajar; GAMIS, BBMN,
PKPIM, SPPUM, DEMA & UBU. Perhimpunan yang bercorak militan
itu riuh rendah dengan laungan "Allah-u-akbar" dan
"Mahasiswa Bersatu Mansuhkan ISA". Malah beberapa
spanduk haram mengecam kerajaan turut dipamerkan, antaranya
berbunyi; "Mansuh Akta Zalim" dan "Bebaskan
Tahanan ISA"
Shahrir Mahmood, penyelaras GMMI turut membacakan
"Deklarasi Masjid Negara", yang menuntut 4 perkara,
antaranya membebaskan tahanan tanpa syarat dan menggesa Ketua
Polis Negara bertindak lebih telus dan profesional.
(http://www.malaysiakini.com/News/2001/06/2001060808.php3)
Sebelum ini, Shahrir Mahmood, penuntut kolej
swasta, merangkap Naib Presiden KARISMA (organ kelolaan JIM)
telah menyelar kerajaan melalui laman web;
"Perhimpunan ini diadakan sebagai tanda
kesal mahasiswa terhadap kerajaan Malaysia di bawah pimpinan
Dr. Mahathir Mohamad yang masih secara sewenang-wenangnya
menggunakan akta ISA. Suasana ini cukup membimbangkan mahasiswa
kerana akan menjuruskan negara ke arah pemerintahan diktator.
Perhimpunan ini juga bagi MENDESAK supaya pihak kerajaan memansuhkan
ISA seterusnya membebaskan tahanan tanpa syarat."
(http://nt_isa.tripod.com/gmmi.htm)
Mereka yang didakwa akan dituduh mengikut
Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut
Seksyen 27(8) yang membawa hukuman penjara maksimum setahun
atau denda maksimum RM10,000.
Magistret Lim Kui Lee membenarkan mereka diikat
jamin RM2,500 tiap seorang.
Ujian Naib Canselor
Pendakwaan pelajar-pelajar ini sekaligus akan
menguji sejauh manakah ketegasan Naib Canselor terhadap perlaksanaan
AUKU terutamanya berkaitan dengan Seksyen 15(D), (1) hingga
(9).
Seksyen 15(D) (1); "Jika seseorang pelajar
universiti dipertuduhkan atas sesuatu kesalahan jenayah maka
ia hendaklah dengan itu serta merta digantung daripada menjadi
seorang pelajar universiti dan ia tidak boleh dalam masa menunggu
keputusan pembicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam
kampus universiti itu atau kampus mana-mana universiti lain."
Kejadian seperti ini sepatutnya boleh dibendung,
sekiranya pihak Naib Canselor & universiti lebih bertegas
menggunakan kuasa yang telah termaktub dalam AUKU.
Malah, mengikut AUKU, Mohd. Fuad Mohd. Ikhwan,
Presiden MPMUM, (yang ditahan ISA pada 7 Julai-selama 10 hari)
perlu disingkir daripada universiti, sebagaimana yang termaktub
dalam Seksyen 16(D), (3) & (7)
Seksyen 15(D)(3); "Seseorang pelajar
universiti yang ditahan, atau yang tertakluk kepada apa-apa
perintah yang mengenakan sekatan-sekatan ke atasnya, di bawah
mana-mana undang-undang bertulis berhubung dengan tahanan
perlindungan atau keselamatan dalam negeri adalah dengan itu
serta merta terhenti menjadi pelajar universiti dan ia tidak
boleh tinggal atau masuk dalam kampus universiti itu atau
kampus mana-mana universiti lain."
Seksyen 15(D)(7); "Peruntukan-peruntukan seksyen kecil
(1),(2),(3),(4) dan (5) hendaklah dipakai bagi seseorang walaupun
keputusan masih ditunggu dalam mana-mana mahkamah atau di
hadapan mana-mana pihak berkuasa lain mengenai apa-apa permohonan,
petisyen, rayuan atau apa-apa jua langkah pembicaraan lain
berkenaan dibuat olehnya atau oleh mana-mana orang lain berkenaan
dengan pembicaraan jenayah, tahanan atau perintah yang mengenakan
sekatan-sekatan itu, mengikut mana yang berkenaan." Hakikatnya,
ada juga kebenaran pendapat Tan Sri Murad Mohamad Noor, bekas
Ketua Pengarah Pendidikan,merangkap salah seorang panel pelaksana
AUKU 1971, yang berkata "AUKU tidak perlu diperketatkan"
(Berita Minggu, Ahad, 22 Julai 2001,hlm.14).
Kata beliau,"sekarang ini tidaklah perlu
akta ini dipinda atau diperketatkan lagi. Akta ini sekarang
sudah memadai untuk memberi bimbingan dan pengawasan yang
sewajarnya kepada pelajar kita" .Barangkali maksud tersirat
di sebalik kata-kata beliau itu, akta itu sudahpun ketat,
tetapi proses perlaksanaan di peringkat universiti telah mengendurkannya.
Akta yang berusia 30 tahun itu, sememangnya
masih relevan untuk mahasiswa masakini. Persoalannya, adakah
institusi pengajian tinggi khususnya Naib Canselor mahu mempraktikkannya.
Lebih membimbangkan lagi apabila Naib Canselor, selalu mentafsir
mengikut kaca mata intelektualnya. Malah ada Naib Canselor
yang tidak tahu menahu mengenai aktiviti pelajar bercorak
militan itu. Atau kalau disedari sekalipun, Naib Canselor
menganggap suatu fenomena biasa -"sekadar perbezaan pendapat
antara generasi muda dengan generasi muda".
Dr. Anuar Zaini, Naib Canselor UM, dalam Mingguan
Malaysia, 8 Julai 2001, mengakui pengaruh parti-parti luar
dapat menyusup ke dalam kampus. Katanya;"Nilai-nilai
sosial, kecenderungan politik dan cara berkempen pemilihan
di kampus sekarang telah sama macam nili-nilai masyarakat
di luar"
Maka beliau mencadangkan proses pembaikian
harus dilakukan dari luar;"kalau kita baiki keadaan di
luar, keadaan di kampus akan berubah".
Pendapat Dr. Anuar Zaini yang menuduh pihak
luar sahaja, bukan satu penyelesaian yang bijaksana. Keadaan
di luar, biar pihak luar uruskan dan yang dipersoalkan adalah
keadaan pihak dalaman kampus. Siapakah yang lebih berautoriti
dalam urusan internal kalau bukan Naib Canselor itu sendiri.
Menyentuh mengenai urusan dalaman kampus,
Dr. Anuar Zaini mengakui perkara itu terlalu sukar. "Terus
terang saya katakan bahawa situasi 'infiltration of mind"
sekarang adalah berlainan dan saya tidak mempunyai kepakaran
itu. Dakyah-dakyah mereka juga juga berbeza. Mereka ada internet,
laman web, e-mel, handphone dan pelbagai medium lain. Sebab
itu kita tidak dapat tangkap mereka. Cara mereka cukup canggih"
Sekiranya perkara ini(pelajar militan) terlalu
sukar dibendung mengapa perlu diwujudkan jawatan Naib Canselor,
Timbalan Naib Canselor dan Pegawai-pegawai Hal Ehwal Pelajar?
Atau perlu dibazirkan wang dengan mewujudkan satu jawatan
baru untuk membendung gejala negatif ini.
Persoalannya, adakah pihak Naib Canselor,
Timbalan Naib Canselor atau Pegawai Hal Ehwal Pelajar pernah
memantau aktiviti pelajar militan itu sama ada di dalam kampus,
luar kampus atau di laman internet.
Pertubuhan haram
Daripada tinjauan 1999-2001, terdapat sekurang-kurangnya
10 kali aktiviti pelajar militan Berlaku di UM, sama ada berbentuk
demonstrasi,memorandum,seminar dan sebagainya. Namun tidak
ada sebarang tindakan daripada pihak universiti.(rujuk lampiran)
Empat perhimpunan haram mahasiswa yang membabitkan
isu ISA. "Demonstrasi Mansuhkan ISA" (8 Jun 2001); "Perhimpunan
Keganasan Polis & Kezaliman
AUKU" (30 Jun 2001); "Perhimpunan Memorandum ISA - Ketua
Polis Negara" (11 Mei 2001) dan "Perhimpunan Perlancaran
Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA" (12 Mei 2001).
(http://pmium.8m.com/berit002.htm)
Semuanya dianjurkan dengan kerjasama pertubuhan
pelajar haram. Antaranya GAMIS, BBMN, DEMA, GMLN, GMWM, SPPUM, UBU, KARISMA, FRAKSI
dan JKMI. Sedangkan bercanggah dengan AUKU Seksyen 15 (1), (2), (3), (4)
& (5), apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih
satu ribu atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali.
Dalam "Demonstrasi Menentang Pencabulan
Hak Asasi Iraq"(23 Februari 2001), pertubuhan pelajar
itu telah bergabung dengan Dewan Pemuda PAS Pusat,
(http://www.malaysiakini.com/News/2001/02/2001022308.php3)
sedangkan dalam Seksyen 15 (1) jelas mengatakan;
"Tiada sesiapa jua, semasa menjadi pelajar
universiti boleh menjadi ahli, atau boleh dengan apa-apa cara
bersekutu dengan, mana-mana persatuan, parti politik,
kesatuan sekerja atau apa-apa jua lain pertubuhan, badan atau
kumpulan orang, sama ada atau tidak ianya ditubuhkan di bawah
mana-mana undang-undang, sama ada
ianya adalah di dalam universiti atau luar universiti, dan
sama ada ianya adalah di dalam Malaysia atau di luar Malaysia,
kecuali sebagaimana diluluskan terlebih
dahulu diluluskan oleh Naib Canselor."
"Demonstrasi PTPTN"(16 Julai 2001)
pula digunakan sebagai satu flatform menyeru mahasiswa(yang
hadir ketika itu) memboikot perasmian Perdana Menteri di UIAM,
pada 17 Julai 2001."Kumpulan mahasiswa membantah PM merasmikan
UIA kerana mempunyai rekod hitam(melakukan) kezaliman, akhlak
yang buruk dan tidak sesuai untuk orang seperti beliau merasmikan
mana-mana universiti sekalipun"
(http://www.malaysiakini.com/News/2001/04/2001041607.php3)
Berkenaan dengan kenyataan di internet pula, tidak kurang
daripada 200 kenyataan yang disiarkan secara haram, dalam
tempoh tiga tahun itu. Semuanya mengecam,
menyindir atau membalas kenyataan pihak kerajaan. Apa dihairankan
kerana penulis kenyataan menulis secara jelas, nama, jawatan
dan universitinya. Persoalannya
penulis haram sentiasa berleluasa kerana tiada tindakan yang
dikenakan ke atasnya.
(http://www.mahazalim.net/jun01/250601zan.html)
(http://dema1998.tripod.com/news/002.htm)
Ketika kerajaan berhempas pulas membasmi pertubuhan
pelajar haram, Naib Canselor UKM, Datuk Dr. Anuwar Ali, masih
membiakkan pertubuhan itu berkembang di kampus itu.
Dalam Forum "Gelanggang Mahasiswa Negara
11", sempena Pesta Konvokesyen UKM 2001, pada 7 Julai,
Presiden BBMN, Ahmad Fazli Yusof, Presiden DEMA UPM, Yon Chin
Tatt dan Naib Presiden JKMI, E. Parameswury, dibiarkan muncul
sebagai ahli forum.
Mereka secara tegas mendesak agar menghapuskan
AUKU. Mereka menganggap AUKU sudah tidak relevan lagi dengan
suasana universiti sekarang.
KESIMPULANNYA, sekiranya terdapat pendapat
yang mengatakan wujudnya gerakan pelajar bawah tanah, maka
pendapat itu dianggap sebagai tuduhan liar dan keterlaluan.
Tetapi, berdasarkan tindak tanduk yang dilakukan
oleh pemimpin mahasiswa masakini, membuatkan kita terpaksa
berfikir dua kali.
Kalau benar tuduhan itu tidak berasas, apakah
tertutup meja rundingan sehingga pelajar terpaksa memilih
jalan demonstrasi jalanan yang jelas bercanggah dengan AUKU.
Atau, mahasiswa kini sudah muak dengan AUKU,
sehingga lebih gemar menyertai pertubuhan haram daripada memilih
pertubuhan sah yang berdaftar di kampus.