Kakitangan
empat IPTA minta jelaskan akujanji
Oleh
Magendran Rajagopal,Berita Harian, 2 Mac 2002
KUALA
LUMPUR, Jumaat – Kakitangan akademik empat institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) mahu Kementerian Pendidikan memberi penjelasan
lanjut mengenai beberapa perkara yang termaktub dalam akujanji
walaupun pada dasarnya bersetuju menandatanganinya.
Wakil
dari Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM),
Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara
(UiTM) itu juga mahu menemui Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa
Mohamad sebelum tarikh akhir menandatangani akujanji, 31 Mac
ini.
Presiden
Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA), Ali Dina, berkata
wakil IPTA berkenaan mengadakan satu pertemuan di Shah Alam
Rabu lalu dan memutuskan mendapatkan penerangan daripada Musa
mengenai beberapa isu.
"Umpamanya,
seorang ahli akademik tidak dapat mengelak daripada membincangkan
atau merujuk kepada beberapa contoh mengenai dasar dan ketetapan
kerajaan, terutama dalam pengajian sains politik, ekonomi,
sains sosial, undang-undang dan beberapa bidang pengajian
lain.
"Oleh
itu, satu garis panduan jelas dengan alasan munasabah perlu
ada supaya isu yang dibangkitkan semasa kuliah di IPTA semata-mata
untuk tujuan akademik, tidak disalah tafsir pihak tertentu
sehingga menimbulkan kekeliruan serta syak wasangka,"
katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari
ini,
Beliau
berkata, wakil IPTA berkenaan juga ingin mendapat penjelasan
mengenai beberapa perkara yang perlu dipatuhi seperti termaktub
dalam Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan
dan Tatatertib) 1993.
Ali
yang juga mewakili Persatuan serta Kesatuan Kakitangan Akademik
IPTA, menjelaskan bahawa perjumpaan 27 Februari lalu juga
pada dasarnya bersetuju merangka cadangan penggabungan semua
pertubuhan berkenaan.
Katanya,
langkah itu bertujuan merapatkan hubungan di kalangan kakitangan
akademik IPTA.
Halaman Utama