IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 5, 2002

Kembali jadi Alat


Penangkapan 8 orang mahasiswa atas dakwaan menceroboh bilik gerakan UMNO/Barisan Nasional baru-baru ini menegaskan kepada masyarakat bahawa mahasiswa sekali lagi menjadi alat pembangkang.

Walaupun fenomena ini telah berkali-kali dinyatakan oleh pelbagai pihak khususnya Kementerian Pendidikan malah Perdana Menteri sendiri namun masyarakat masih lagi termanggu-mangu untuk menerimanya sebagai satu kebenaran.

Kebanyakan dari kita tidak terlibat dengan pelajar apatah lagi berurusan ataupun berada di sekeliling mereka - maksud saya di kampus, untuk membolehkan kita menyaksikan sendiri suasana sebenar tanpa bergantung sepenuhnya kepada kenyataan sesiapa. Oleh kerana itu, kepercayaan kita - sama ada sesuatu kenyataan itu benar atau tidak bergantung kepada tahap kepercayaan kita terhadap sumber yang mengatakan perkara itu. Anehnya bila kenyataan itu datangnya dari pihak kerajaan - kita sering dibayangi kononnya kenyataan berkenaan bermotifkan politik.

Lebih aneh lagi bila kita tidak pula meragui pendirian atau kemungkinan wujudnya agenda politik individu atau golongan tertentu yang mempertikaikan kenyataan tersebut walaupun kumpulan berkenaan terang-terang bergerak atas landasan politik.

Barangkali kerana paparan zahir Islam mereka tampak `lebih kemas dan sempurna' dari kita maka kita menganggap apa yang mereka lakukan semuanya betul dan diredhai Allah. Tetapi, benarkah Islam yang diperlihatkan itu adalah Islam yang sempurna sepertimana yang diredhai Allah ? Apakah tindakan mereka semuanya sememangnya berlandaskan Islam atau Islam sekadar menjadi pakaian dan tunggangan ?

Pengalaman saya menyiasat sendiri kenyataan mereka membuktikan Islam yang mereka peragakan bukanlah satu-satunya cara atau Islam yang diterima Allah. Malah kalau nak diikutkan tidak ada jaminan pun.

Walaupun Rasulullah pernah menjamin sesiapa yang berpegang Al-Quran dan Sunnah tidak akan tersesat namun interpretasi Al-Quran dan Sunnah itu sendiri pelbagai. Dalam banyak-banyak interpretasi itu - siapa yang mutlak benar dan bagaimana mahu membuktikan ianya adalah satu-satunya yang diterima Allah ?

Dari sudut pengadilan, sebagai juri atau hakim, kita wajib mendengar kedua-dua belah pihak yang bertelagah, merujuk kepada hukum dan pertimbangan sebelum menjatuhkan hukuman.

Yang biasa kita lakukan, dengar sebelah pihak, rujuk kepada hakim yang berpihak - bukannya rujuk sendiri kitab-kitab hukum dan manjatuhkan hukuman mengikut suara ramai di sekeliling kita. Ramai tidak semestinya benar. Di peringkat awal sejarah Islam, penganut agama islam - atau dengan kata lain mereka yang percayakan rasulullah dan menerima Islam adalah golongan minioriti. Mengapa agaknya wujud mahasiswa yang sanggup menjadi alat politik ?

Sejarah membuktikan bahawa kebanyakan jentera parti politik khususnya sayap pemuda dan gerak kerja pilihanraya dikuasai sebagai pelaksana oleh golongan belia - khususnya mahasiswa.

Barangkali kejayaan politik kampus akan dapat menjamin kedudukan yang selesa di sayap pemuda. Tetapi apakah ianya menjamin kecemerlangan akademik ?

Saya tidak menafikan peri pentingnya politik kampus sebagai pentas untuk generasi muda terpelajar melatih diri mereka sebagai pemimpin. Namun jika iklim latihan ini dikuasai dan digerakkan untuk menjadi medan melatih dan menguji barisan pemimpin parti politik semasa dengan cara penyalinan suasana - bagi saya itu bukanlah pilihan yang terbaik, berupaya menggugat profesionalisme ilmu dan mencemar martabat mahasiswa itu sendiri.

Apa faedahnya menyalin suasana politik negara ke dalam kampus ? Bukankah kampus mempunyai iklim dan masalahnya yang tersendiri ? Mahasiswa perlu peka - benar. Tapi kalau kepekaan yang ditunjukkan tidak lebih dari sekadar meniru - mahasiswa apa ini ?

Bila keutamaan kita adalah jumlah pengundi - inilah jadinya bersaskan anggapan jumlah undi mahasiswa berupaya menjadi penentu, Mahasiswa diyakinkan untuk menyokong parti tertntu - setiap masa - lewat isu-isu tertentu hingga seringkali pula mengabaikan masalah dunia mahasiswa itu sendiri. Yang dihebohkan - apa salahnya kami berfikiran sama ? benarkah demikian ? Apakah mereka ikhlas berfikiran sama atau sebenarnya mereka ini adalah kader yang dilatih dan diminta berfikiran sama dengan janji-janji misalnya bantuan kewangan dan kedudukan dalam parti kemudian ?

Fikirkanlah bersama. Lebih baik lagi jika kita semua sanggup meluangkan masa menyiasat sendiri. . . .Sementara itu 8 pelajar berkenaan besar kemungkinannya akan menghadapi tindakan tata tertib kerana melanggar Akta Kolej dan Universiti. Mereka boleh digantung pengajian, ditarik bantuan kewangan atau dipecat dari universiti. Siapa yang rugi ?

Jika itu yang berlaku sanggupkan parti yang mendapatkan khidmat mereka ini menawarkan bantuan yang sewajarnya dalam bentuk kemudahan pengajian, kewangan dan kerjaya ? Rujuklah sejarah. Barangkali ia tertulis pada sehelai kertas atau terpapar di dada senaskah akhbar lama, Dan kerana sejarah lebih banyak tidak tertulis baragkali ingatan seorang tua lebih berharga. Bila berlaku krisis terutamanya yang melibatkan mahasiswa dan politik, jumlah mereka yang diselamatkan berbanding dengan mereka yang dikorbankan bukanlah rahsia. Anda berada di mana ?

 


Isu selanjutnya – Isu Semasa

 

Oleh:

MarZiahku

 

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved