IDE
Anak Muda
Oleh
: Nik
Nazmi Nik Ahmad
Peminat
sastera klasik Melayu tidak boleh tidak sudah semestinya pernah
membaca Sejarah Melayu, karya agung Tun Seri Lanang. Karya
klasik itu memuatkan gabungan sejarah, mitos dan lagenda yang
meskipun mungkin tidak begitu sahih untuk dijadikan sumber
sejarah, memberikan kita peluang untuk melihat tasawwur dan
pemikiran bangsa Melayu pada zaman purba.
Kisah
masyarakat yang cukup popular dan dicatatkan di dalam Sejarah
Melayu termasuklah kisah 'Singapura dilanggar todak'. Kisah
ini menceritakan bagaimana selepas seorang wali dari Pasai,
Tuan Jana Khatib dibunuh oleh Paduka Seri Maharaja Singapura,
ikan todak yang begitu banyak bilangannya, menyerang Singapura.
Hatta
tiada berapa lama antaranya, maka datanglah todak menyerang
Singapura, berlompatan
lalu ke ke parit. Maka segala orang yang di pantai itu banyak
mati dilompati todak itu; barang yang kena terus menerus olehnya.
Seri
Maharaja Singapura menyuruh rakyat jelata berkotakan betis
- tetapi orang ramai terus menerus mati. Pada waktu itulah
ada seorang kanak-kanak yang agak bijak muncul memberikan
pandangannya. Hang Nadim namanya.
Apa
kerja kita berkotakan betis ini? Mendayakan diri kita. Jika
berkotakan batang pisang alangkah baiknya?
Ide
bernas dari budak tersebut telah menyebabkan todak-todak yang
menyerang pulau tersebut terlekat di jongornya pada batang-batang
pisang; yang kemudiannya dibunuh oleh orang-orang di pantai.
Ada seekor todak yang melompat ke atas gajah Paduka Seri Maharaja,
terkena baju baginda hingga terkoyak, dan dijadikan seloka
oleh orang ramai,
Carik
baju dilompati todak,
Baharu menurut kata budak.
Sebaik
sahaja kembali di istana, Orang Besar-besar mencadangkan agar
Hang Nadim yang geliga tersebut dibunuh. Sedang ia lagi budak
sekian ada akalnya, jikalau sudah ia besar betapa lagi? Baiklah
ia kita bunuh, tuanku.
Maka
atas bebal dan berfikiran ceteknya karaktor Seri Maharaja
yang dinukilkan oleh Tun Seri Lanang itu, maka diikuti nasihat
Orang Besar-besar tersebut.
Namun
kecetekan dan kebebalan pemikiran Paduka Seri Maharaja itu
masih wujud pada hari ini, di dunia realiti dan bukannya dunia
mitos atau imaginasi. Di mana-mana sahaja, pemerintahan otokratik
yang bobrok dan pengecut takut akan ide-ide geliga kerana
mereka risaukan survival mereka sebagai pemegang kuasa. Sejarah
dunia mencatatkan, kezaliman, penindasan dan ketidakadilan
tidak boleh bertahan lama, sampai ketika dan waktunya, akan
tumbang juga.
Misalnya pembesar Austria, Metternich, telah melahirkan Sistem
Metternich yang reaksionari dan otokratik untuk membanteras
semangat nasionalisme, liberalisme dan demokrasi di kalangan
penduduk-penduduk jajahannya. Sistemnya kekal gah buat masa
dia berkuasa. Di Jerman misalnya, yang ketika itu bukanlah
negara yang satu tetapi pecahan-pecahan kecil didominasi oleh
Prussia dan Austria, gerakan Burschenschaft dikalangan mahasiswa
cuba untuk menentang
rejim-rejim anti demokrasi. Kemuncak penentangan mereka tidak
lain dan tidak bukan di Pesta Wartburg di mana, antara lain,
sebuah effigi Metternich sebagai simbol kezaliman dibakar
- meniru gaya Luther membakar effigi 'Papal Bull' yang menuduhnya
menyebarkan ajaran sesat.
Peristiwa
itu membawa kemarahan Metternich
dan pemerintah-pemerintah Jerman dibawah pengaruhnya dipaksa
menandatangani Pengisytiharan Carlsbad untuk mengekang kebebasan
politik rakyatnya, khususnya mahasiswa. Peristiwa pembunuhan
Kotzebue yang disyaki perisik Tsar Alexander dijadikan alasan
untuk campurtangan. Perisik-perisik polis memenuhi universiti-universiti,
Divine Comedy karangan penyair terakhir dunia pertengahan
dan penyair pertama dunia Renaissance, Dante dan The Rhineland
Gazette karangan Karl Marx diharamkan untuk dicetak.
Namun
Metternich tidak hidup selama-lamanya - sistem korupnya tumbang
dan negara Jerman berdiri gah. Meskipun pada mulanya politik
negara tersebut didominasi pemerintahan yang tidak demokratik,
tetapi pengaruh Junker tamat sama sekali dengan tewasnya Reich
kedua pada Peperangan Dunia Pertama.
Mahasiswa
juga menjadi suara penting di dunia Barat menentang sifat
imperialistik Amerika di Vietnam. Selain itu, sebagaimana
dunia saksikan pada tahun-tahun 60an, mereka turut menjadi
conscience masyarakat yang mengutuk keterlanjuran dunia kapitalis.
Daniel Cohn-Bendit memimpin para mahasiswa pada tahun 1968
berjaya merampas universiti elit Perancis Sorbonne dan para
buruh Perancis menyatakan sokongan mereka dengan hartal seluruh
negara.
Di
Asia, ketakutan rejim korup Presiden Chun Doo Hwan terhadap
para mahasiswa telah membawa kepada berlangsungnya tragedi
berdarah Kwangju pada awal 80an di mana lebih 200 mahasiswa
terbunuh. Sebenarnya para mahasiswa dan mahasiswi Korea Selatan
sudah lama menjadi pengaruh yang cukup bertenaga di negara
tersebut. Mereka mengetuai penentangan
terhadap pendudukan Jepun dan seterusnya boneka Amerika Syngman
Rhee. Gerakan
Hangchongnyon yang bersifat kiri telah menguasai universiti
Yongsei di Seoul pada 1996 hingga membawa kepada lebih 5000
penuntut ditangkap.
Di
negara kita, ulama' dan cendekiawan berpendidikan Timur Tengah
telah menentang kejumudan ulama' konservatif, golongan bangsawan
dan penjajah dengan gerakan yang dilabelkan 'Kaum Muda'. Sifat
Tunku yang dilihat anti-nasionalis dan pro pemodal serta penjajah
menguatkan gerakan mahasiswa terutamanya di Universiti Malaya.
Zaman keemasan yang disebut-sebut sudah semestinya ketika
tahun 70an di mana Adi Satria, Anwar Ibrahim dan Hishamuddin
Rais menuntut pembelaan buat rakyat dan negara.
Untuk
menyatakan golongan belia tidak layak atau berupaya mengeluarkan
pendapat atau ide ialah satu kenyataan yang berpandangan cetek.
Meskipun kurang pengalaman, golongan belia punya tasawwur
yang lebih kreatif, berani dan idealistik kerana belum dicemari
realiti dunia. Kedangkalan
sistem yang mungkin menjadikan golongan lebih tua bisu, dapat
dilihat dan dinilai oleh golongan belia yang, memimjam istilah
Inggeris, dapat berfikir di luar 'kotak'.
Langkah
memperkenalkan 'Akujanji' di universiti satu lagi langkah
anti-belia yang diambil pemerintah. Seluruh rakyat Malaysia
yang tahu akan Rukunegara sedar bahawa antara prinsip-prinsipnya
ialah Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Pada Undang-Undang.
Maka bukankah sebagai warga negara yang punya kesedaran, mahasiswa
khususnya dan rakyat Malaysia umumnya
patut menyuarakan pendapat mereka apabila dilihat pihak-pihak
tertentu tidak patuh pada prinsip-prinsip asas kenegaraan
kita?
Kebejatan
sosial sering dijadikan isu oleh pemerintah dan media untuk
memperlekehkan golongan belia. Namun kesimpulan yang seringkali
mereka capai mudah sahaja untuk menyalahkan
golongan muda kerana menjadi 'punk', terlibat di dalam 'black
metal' dan lain-lain lagi - tetapi itulah produk sistem pendidikan
yang menjadikan agama sebagai ritual kosong semata-mata dan
tidak menghiraukan pengisian dan roh agama itu sendiri. Bagaimana
pula dengan ibubapa, atau pihak media perdana yang dikawal
rapi oleh pemerintah? Terlalu mudah bulat-bulat mahu disalahkan
golongan muda.
Benar
kata Aman Rais bahawa universiti kini sudah tinggal menjadi
kilang pasaran buruh sistem kapitalis moden. Ide-ide yang
dilahirkan secara terbuka dan kritis ditakuti - tetapi pihak
yang sama
mendabik dada dengan retorik kosong kata ingin melahirkan
ekonomi pengetahuan dan memimpin revolusi maklumat.
Ini
kerana seperti Paduka Seri Maharaja Singapura, pemerintah,
meskipun tahu cadangan dan ide-ide orang muda ini dapat dimanfaati
negara, tetapi survival politik mereka yang terlalu jelek,
kotor dan hancing akan terdedah kiranya golongan belia dibebaskan
daripada pelbagai kekangan drakonian. Hang Nadim dibunuh;
belia dan mahasiswa kita dirantai pelbagai peraturan dan akta
yang merimaskan; tetapi kejelekan tidak dapat dipertahan selama-lamanya.
Ide
anak muda mesti didengari buat kebaikan semua. Jangan ulangi
kesilapan Seri Maharaja.
NIK
NAZMI NIK AHMAD, 20,
ialah seorang Exco Unit Pendidikan Politik Institut Kajian
Dasar (UPP-IKD)
dan juga Exco SuaraAnum.com.
Halaman Utama