"AKUJANJI"
memusnah autonomi menutup minda
dan
menghakis mutu
Oleh
Syed Husin Ali
Pucuk
pimpinan pemerintah BN mahu memaksa setiap kakitangan perkhidmatan
awam menandatangani "Aku Janji" untuk berikrar taat
dan setia. Mereka dikehendaki berjanji taat kepada semua peraturan,
perintah, pekeliling dan arahan lain "yang dikeluar dan
dikuatkuasakan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang
perkhidmatan".
Ikrar
ini terkandung dalam perenggan pendahuluan "Aku Janji"
itu. Maksud yang tersurat dan tersirat di dalamnya ialah kakitangan
awam harus taat bukan saja kepada semua perintah, peraturan
dan lain-lain yang memang sudah wujud, bahkan harus taat juga
kepada segala yang belum wujud lagi. Pemerintah seolah-olah
mahu kakitangan awam menggadaikan masa depan mereka dengan
mengikat diri kepada apa saja yang akan ditetapkan pada masa
hadapan, tidak kira apa maksud dan akibatnya.
Selain
itu kakitangan perkhidmatan awam juga dikehendaki berjanji
setia kepada sembilan perkara yang disenaraikan berikutan
perenggan pendahuluan itu, yang berdasarkan Peraturan 4, Peraturan-peraturan
Am (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Perkara-perkara ini menyentuh
hal-hal berkenaan sikap, tingkah laku dan kelakuan seseorang
pegawai perkhidmatan awam.
Perkara
paling serius ialah yang pertama, iaitu seseorang pegawai
awam dikehendaki "akan sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan
Agong, Negara dan Kerajaan". Tidak banyak orang akan
mempertikaikan taat setia kepada Agong dan Negara. Tetapi
apakah yang dimaksudkan dengan "taat" kepada Kerajaan?
Apakah bentuk dan batasan "taat" itu? Adakah bererti
kakitangan awam tidak bebas memberi pandangan atau membuat
kritik? Adakah mereka mesti sentiasa menyokong atau mempertahan
segala tindakan kerajaan, walaupun yang tidak menguntungkan
negara dan rakyat?
Kita
mengetahui bahawa dalam demokrasi Kerajaan dibentuk oleh parti
atau parti-parti yang memenangi pilihanraya, dan dipimpin
oleh seorang Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan majoriti
dalam Parlimen. Malangnya, proses ini kadang kala menimbulkan
salah anggapan bahawa kerajaan itu serupa dengan parti pemerintah.
Oleh itu, setia kepada kerajaan dikaitkan dengan setia kepada
parti pemerintah, dan mengkritik parti pemerintah disamakan
pula dengan menentang kerajaan.
Perkara
yang lebih serius lagi berlaku apabila parti pemerintah dihubungkan
dengan seorang pemimpin. Ini berlaku apabila pemimpin itu
sudah menjadi terlalu kuat dan berkuasa, sehingga beliau boleh
menakluki seluruh parti dan menguasai semua pemimpin parti
yang lain. Dalam keadaan begini, seseorang yang menegur atau
mengkritik pemimpin seumpama itu mudah dituduh sebagai menentang
kerajaan. Inilah yang berlaku sekarang di negeri ini. PM Dr
Mahathir Mohamad, semacam disamakan dengan kerajaan, dan oleh
itu tidak boleh dikritik apatah lagi ditentang.
Berikutan
tindakan zalim Dr Mahathir menyingkir, memalukan dan kemudian
memenjarakan Anwar Ibrahim, serta mengaibkan semua anggota
keluarganya bahkan seluruh masyarakat Melayu, ramai yang mengkritik
serta menentang beliau secara terbuka atau tersembunyi. Sebahagian
besar pegawai kerajaan turut marah kepada Mahathir. Bahkan
ada di antara mereka, termasuk pegawai tentera, yang menyertai
himpunan aman reformasi untuk membantah kezaliman itu.
Nyata
sekali tujuan "Aku Janji" adalah seumpama hendak
mengikat tangan, menutup mulut dan menumbuk muka kakitangan
perkhidmatan awam, bila-bila masa, kini dan akan datang. Sebenarnya,
pihak pemerintah tahu memang sudah ada berbagai-bagai peraturan
tatatertib, perintah am, surat pekeliling dan arahan lain
yang berkuat-kuasa dan dikenakan ke atas semua kakitangan,
dari hari pertama mereka mula bekerja. Ini nampaknya tidak
memadai. "Aku Janji" perlu ditandatangani oleh setiap
kakitangan sebagai ikrar peribadi, dan oleh itu lebih mengikat.
"Aku
Janji" yang sama harus ditandatangani juga oleh semua
kakitangan serta pelajar universiti awam. Para pensyarah universiti
sekarang ini sudah dianggap sebagai kakitangan awam juga.
Selepas kebangkitan para pelajar dan pensyarah di pusat-pusat
pengajian tinggi, berikutan Peristiwa Baling pada penghujung
tahun 1974, Akta Universiti dan Kolej-kolej Universiti (AUKU)
yang baru diperkenalkan. Dengan kuat kuasa AUKU, universiti
awam kehilangan autonomi dan para pensyarah serta pelajar
hilang kebebasan.
Universiti
diletakkan di bawah kuasa Kerajaan, majoriti anggota Majlis
Universiti ditentukan oleh kerajaan, Naib Canselor Universiti
serta timbalan-timbalannya ditunjuk oleh dan bertanggungjawab
kepada Kerajaan, dan Dekan-Dekan dilantik oleh Naib Canselor.
Para pensyarah dijadikan sebagai pegawai kerajaan, tertakluk
kepada segala peraturan, arahan serta surat pekeliling, seperti
kakitangan perkhidmatan awam yang lain. Mereka tidak dibenarkan
terlibat secara aktif dalam parti serta kegiatan parti politik
ataupun dengan gerakan pekerja. Pada masa yang sama para pelajar
tidak dibenarkan lagi mengurus pentadbiran dan kegiatan mereka
sendiri. Mereka dikawal ketat di bawah jabatan Hal Ehwal Pelajar
(HEP)
Sepanjang
zaman, Universiti merupakan dan dipertahankan sebagai pusat
ilmu pengetahuan berasaskan kebenaran. Kebenaran tercapai
hasil usaha belajar, mengajar serta menyebar ilmu dan mengkaji
serta menyelidik dalam suasana yang bebas. Tidak harus ada
sekatan, apatah lagi dari pihak berkuasa, untuk pensyarah
serta pelajar universiti mencari ilmu bagi menegakkan kebenaran
ini. Semangat ingin berdialog dan sanggup memberi serta menerima
kritikan harus digalakkan. Bahkan mesti ada kebebasan serta
keberanian untuk menyatakan yang benar di hadapan siapa saja,
walaupun raja paling berkuasa dan tidak menyenangi kebenaran
itu. Inilah yang boleh membuka minda yang cerdas serta kritikal.
Sebenarnya
AUKU telah menjejaskan peribadi atau sifat pusat-pusat pengajian
tinggi di Malaysia sebagai Universiti yang tulen. AUKU bukan
saja mencabul autonomi universiti, bahkan menjadikan sebahagian
daripada pensyarah serta pelajar pak turut yang sering dalam
ketakutan. Untunglah ada dua tiga universiti yang masih mempunyai
Naib Canselor yang berkaliber. Tetapi malangnya, akhir-akhir
ini, sudah muncul beberapa individu yang tidak mempunyai pencapaian
akademik yang tinggi sangat diangkat menjadi Naib Canselor.
Mereka sering bertindak sebagai birokrat yang perlu selalu
menunjukkan taat setia kepada pemerintah supaya dapat lama
memanaskan kerusi empuk mereka.
Bahkan
kadang-kadang ada di antara mereka yang bertindak tidak ubah
sebagai pegawai polis rahsia, yang tidak habis-habis memantau
aktiviti pensyarah serta pelajar yang dianggap sebagai anti
kerajaan, dan melaporkan kepada pihak berkuasa atau mengambil
tindakan keras yang mereka rasakan disenangi oleh pucuk pimpinan
negara. Mereka menimbulkan suasana takut, yang boleh membantutkan
fikiran dan menutup minda sebahagian para pensyarah dan pelajar
universiti.
Namun
begitu, AUKU tidak berjaya penuh untuk menutup mulut dan mengikat
tangan semua pensyarah dan pelajar. Masih ada sebilangan mereka
yang masih berani mahu menegakkan kebenaran melalui pengajaran,
penyelidikan, penulisan, syarahan dan juga tindakan mereka.
Apabila mereka mengkritik pucuk pimpinan politik yang bersifat
kuku besi, mereka dituduh atau dicap sebagai menentang kerajaan.
Oleh kerana AUKU tidak berjaya penuh, maka itulah sekarang
ini "Aku Janji" hendak dipaksakan ke atas pensyarah
dan pelajar universiti.
Seorang
Naib Canselor "universiti kampung", yang memang
lebih terkenal sebagai "pengampu pemerintah" daripada
seorang pentadbir cekap atau tokoh akademik disegani, cepat-cepat
telah menghimpunkan semua kakitangan di bawahnya untuk membuat
ikrar taat setia beramai-ramai. Ada sebilangan pensyarah dan
pelajar di universiti-universiti lain yang menolak "Aku
Janji" ini sebagaimana mereka menolak AUKU. Dan ada juga
sekumpulan lain yang meminta supaya perlaksanaan "Aku
Janji" itu ditangguhkan.
Saya
sendiri bersetuju supaya "Aku Janji" itu tidak dilaksanakan.
Jikalau tidak, ia hendaklah jangan dilaksanakan dengan terburu-buru.
Ia harus ditangguhkan supaya dapat dikaji semula dengan fikiran
tenang dan selepas berunding dengan para pensyarah dan pelajar
universiti. Adakah "Aku Janji" benar-benar diperlukan
manakala begitu banyak akta, peraturan, arahan dan surat pekeliling
yang sudah dikenakan ke atas mereka? Atau adakah ia dikehendaki
semata-mata atau kepentingan politik parti pemerintah?
Saya
bimbang, "Aku Janji" ini dalam bentuk yang ada,
jikalau dipaksakan tanpa rundingan akan mempunyai akibat lebih
buruk lagi ke atas universiti. Ia akan terus memusnahkan autonomi
universiti, menghakis mutu pendidikan universiti dan menutup
minda pensyarah serta pelajar universiti. Keadaan ini akan
ditambah burukkan lagi oleh amalan pucuk pimpinan pemerintah
kini senang-senang saja menaikkan institusi tertentu ke taraf
universiti, dan membenarkan parti-parti politik menubuhkan
universiti, semata-mata atas perkiraan politik dan bukan akademik.
Halaman Utama