ISA,
AUKU & Gerakan Pelajar
Oleh
Mohd Rafizi Ramli
Minggu
lalu adalah minggu yang pahit bagi gerakan mahasiswa Malaysia
di seluruh dunia. Rata-rata yang faham erti 'aktivisme' dan
'idealisme' pelajar - sama ada yang masih menuntut atau yang
telahpun meninggalkan dunia siswa - merasa pedihnya tamparan
kejam yang dikenakan kepada dua orang rakan siswa di tanah
air.
Khairul
Anuar dan Mohamad Fuad, kedua-duanya pemimpin gerakan mahasiswa
yang disegani ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA). Walaupun pertuduhan rasmi terhadap mereka belum diumumkan,
boleh sahaja kita agak 'kegiatan-kegiatan' mereka yang disifatkan
mengganggu gugat ketenteraman awam.
Kali
terakhir ISA digunakan ke atas pelajar ialah dalam tahun 1998,
di kala meledaknya kemarahan rakyat Malaysia berikutan pemecatan
Dato' Seri Anwar. Siswa tersinggung sekali dengan peristiwa
itu, apatah lagi Dato' Seri Anwar memang mempunyai sejarah
yang panjang dengan gerakan mahasiswa di Malaysia.
Namun
punca kemarahan siswa bukan atas alasan sentimental semata-mata.
Siswa kecewa dengan tindakan bobrok pemerintah yang jelas
membayangkan bagaimana mereka menganggap masyarakat siswa
tidak lebih daripada golongan picisan yang boleh diperbodoh-bodohkan.
Apabila
pemerintah mula menyedari bahawa gerakan mahasiswa pada masa
itu tidak akan berdiam diri, ISA dijadikan perisai untuk menakut-nakutkan
anak-anak muda ini. Lalu dua orang pemimpin PKPIM, Amidi Abdul
Manan dan Ahmad Shabrimi Mohd. Sidek ditahan di bawah ISA.
Secara
peribadi, saya berdoa - dan sehingga kini terus berdoa - agar
detik itu menjadi noktah kepada sejarah panjang penekanan
terhadap siswa. Tidak cukup dengan Akta Universiti dan Kolej
Universiti, siswa diugut pula dengan ISA. Bagi penuntut luar
negara yang berada di bawah tajaan, mereka diugut dengan tindakan
menarik balik biasiswa dan sebagainya.
Dicucuk
hidung
Siswa
adalah golongan yang paling teruk dikongkong kebebasan minda
mereka, semata-mata kerana pemerintah gusar potensi yang ada
pada mereka mungkin memakan diri pemerintah sendiri.
Inilah
ironiknya mentaliti pemimpin-pemimpin Barisan Nasional, terutamanya
Perdana Menteri yang dijulang-julang sebagai Bapa Malaysia
Moden itu.
Pelajar
dimaki sebagai bodoh, malas dan sebagainya. Mereka dikatakan
lesu, kadang-kadang disindir dan kepintaran mereka dipersoalkan,
bukan sekali tetapi secara berterusan. Kerajaan mahu siswa
kita menjadi kritis, bijak dan berkebolehan.
Namun
mereka tidak pula dibenarkan menggunakan akal fikiran untuk
melibatkan diri secara kritis. Teguran mereka ditolak ke tepi.
Tafsiran
bijak di sisi Perdana Menteri adalah apabila siswa mengikut
sahaja kata-katanya, termasuklah menerima maki-hamun beliau
bahawa pelajar adalah malas dan bodoh. Jika siswa membenarkan
mereka 'dicucuk hidung' seperti menteri-menteri kabinet yang
ada, maka bagi Perdana Menteri - siswa berfikiran bijak.
Tidak
ada orang yang berfikiran rasional akan menerima keadaan ini.
Oleh yang demikian, tidak hairanlah sebahagian besar masyarakat
kampus menjadi begitu 'cynical' dengan kerajaan Perdana Menteri.
Merugikan
negara
Sikap
pimpinan kerajaan terhadap gerakan siswa ini sebenarnya memudaratkan
masa depan negara. Mahasiswa sepatutnya diberikan kebebasan
ilmiah untuk melibatkan diri di dalam isu-isu berkepentingan
nasional. Penglibatan mereka tidak boleh dipenjarakan di sebalik
tembok kampus semata-mata, apatah lagi apabila kampus pula
dikawal ketat oleh peraturan-peraturan di bawah AUKU yang
menyekat perkembangan minda mahasiswa.
Negara-negara
lain boleh menjadi contoh bagaimana aktivisme pelajar sebenarnya
menjadi pelengkap kepada komponen pembangunan negara. Suara
pelajar yang selalunya lahir dari idealisme - bukan tembolok
seperti sesetengah ahli politik - acapkali menjadi wakil kepada
suara rakyat, terutamanya di dalam sistem politik yang tidak
banyak memberi ruang kepada pihak pembangkang.
Lihat
sahaja tentangan terhadap Perang Vietnam di Amerika Syarikat
dalam tahun 60an dan 70an. Ahli politik yang taksub dengan
ego mereka menentang pengaruh komunis tidak dapat menilai
perit luka rakyat yang saban hari melihat anak muda mereka
diusung pulang di dalam keranda. Suara siswalah yang menjadi
wakil rakyat bangun mengherdik kegilaan ahli politik Amerika
Syarikat pada masa itu.
Banyak
lagi contoh yang boleh dijadikan iktibar - kebangkitan anti-Soviet
di Hungary tahun 1956, Revolusi Baldu di Czechoslovakia tahun
1989 dan banyak lagi.
Gentar
kuasa akan hilang
Namun
kita tahu kenapa suara siswa perlu dibisukan dan aktivisme
mereka dihadkan kepada aktiviti membodek kerajaan semata-mata,
tambah-tambah lagi di dalam era pasca 1998 ini. Kerajaan yang
sudah hilang maruah dan kredibiliti di mata gerakan siswa
takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga sebarang teguran
dari gerakan siswa diterjemahkan sebagai bersifat partisan.
Pemimpin
kerajaan yang ada sebenarnya tidak berani bersaing dengan
pemimpin pembangkang secara adil. Golongan pelajar bukanlah
kanak-kanak tiga tahun yang tidak tahu menilai kekuatan dan
kelemahan seseorang pemimpin. Jika benar pemerintah merupakan
jawapan kepada segala permasalahan rakyat di Malaysia (kebanyakannya
mereka yang menciptanya) seperti yang mereka dakwa, maka berserahlah
kepada budi bicara dan kebijaksanaan golongan muda untuk mengangkat
mereka. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin ini memaksa siswa tunduk
kepada mereka dan menuntut agar perkembangan minda siswa hanya
ditumpukan kepada hal-hal yang mereka pilih.
Realitinya
- seperti yang telah dibuktikan di dalam banyak majlis 'menteri
bertemu pelajar' di dalam dan luar negara - pemimpin-pemimpin
ini akan malu besar apabila siswa mengajukan soalan-soalan
kepada mereka. Maka mulalah mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan
yang makin menjauhkan golongan siswa - seperti mata lebam
Dato' Seri Anwar adalah akibat gelas yang dibekamkan ke mata
beliau!
Menyedari
mereka tidak boleh berhadapan dengan masyarakat kampus, pemerintah
menikus dan menggunakan akta-akta zalim seperti AUKU dan ISA.
Harapan mereka AUKU dan ISA akan mengukuhkan kedudukan mereka
kerana siswa akan menjadi bisu dan lesu - hanya menghadap
buku semata-mata tanpa mempedulikan sahsiah masyarakat di
sekeliling mereka.
Akibat
gusarkan kuasa mereka akan hilang, pimpinan kerajaan sanggup
menjejaskan masa depan negara dengan memperjudikan satu generasi
siswa dalam permainan politik mereka. Jika gerakan mahasiswa
tunduk kepada ancaman mereka dan melupakan tanggungjawab sosial
mereka di luar kampus, maka pudarlah masa depan negara.
Cukuplah
dengan kaki-kaki angguk yang kini menjadi orang besar kerajaan
dan parti pemerintah yang dilahirkan oleh kongkongan AUKU
dan ISA selama ini; kita tidak mahu pimpinan masa depan mempunyai
mentaliti haprak seperti mereka - takut berkata benar, berbohong
demi ganjaran!
Tiada
pilihan lain
Kita
sebenarnya tiada pilihan di dalam isu menentang ISA ini. Pemerintah
begitu tekad untuk menghukum dan menidakkan hak rakyat semata-mata
untuk memanjangkan kuasa mereka. Jika siswa tunduk kepada
mereka, maka pelbagai bentuk tekanan akan terus dikenakan
bagi menjamin 'survival' mereka. Namun jika siswa berpegang
kepada prinsip kebenaran melawan kebatilan, maka bersiap-sedialah
menghadapi asakan penguasa yang mungkin paling hebat sejak
era 70an.
Keadaan
kita tidak ubah sepertimana Tariq ibni Ziyad suatu ketika
dahulu semasa menghadapi bala tentera Sepanyol di Gibraltar.
Di hadapan mereka musuh yang akan menyembelih mereka jika
kendur semangat juang mereka, di belakang pula lautan gelora
yang akan menelan mereka. Hanya ada satu pilihan, terus mara
dan pasrahlah dengan perjuangan ini.
Lebih-lebih
lagi, jika siswa berundur sekarang - maka terbuktilah ISA
berjaya lagi mendaulatkan penguasa yang zalim. Selagi ISA
difikirkan berkesan di dalam mengongkong fikiran rakyat, selagi
itulah pemerintah akan menggunakan ISA. Maka sia-sialah pengorbanan
pemimpin-pemimpin siswa yang lepas - Amidi Abdul Manan, Shabrimi
Sidek dan kini Khairul Anuar Zainuddin serta Mohamad Fuad
Ikhwan. Jangan sekali-kali kita biarkan pedih perit mereka
menjadi noktah kepada kematangan gerakan siswa di Malaysia
dewasa ini.
Piagam
hak asasi pelajar
Penahanan
pimpinan siswa di bawah ISA membuktikan peri pentingnya satu
piagam hak asasi pelajar digubal dan diterima pakai secepat
mungkin, seperti yang disyorkan oleh Pemuda keADILan. Insiden-insiden
polis mengasari pelajar kebelakangan ini membuktikan kepada
kita bagaimana golongan siswa terdedah kepada pelbagai bentuk
ugutan yang melampaui batas-batas hak asasi manusia.
Namun
usaha ini perlu digiatkan bersama-sama oleh semua pihak. Jika
usaha membela hak golongan siswa ini dibiarkan menjadi agenda
parti politik semata-mata, kredibiliti syor tersebut tidaklah
sehebat jika ia sama-sama diperjuangkan oleh badan-badan bukan
kerajaan, gerakan mahasiswa, parti politik dan SUHAKAM.
Cukuplah
dengan puluhan anak-anak muda harapan negara yang dianiaya
oleh pemerintah dengan cengkaman ISA sejak merdeka lagi. Biarlah
Khairul Anuar dan Mohamad Fuad menjadi aktivis pelajar yang
terakhir melalui jalan pengorbanan itu.
Masanya
telah tiba untuk semua pihak menggembleng tenaga mempastikan
hak dan maruah pelajar pada tempat yang sewajarnya.
Mohd.
Rafizi Ramli, 23 tahun adalah Pengerusi, Biro Antarabangsa
Pemuda keADILan dan bekas Pengerusi Majlis Tertinggi Pelajar
Malaysia United Kingdom (UKEC).
Halaman Utama