Golongan
Minoriti di Kampus
Oleh:
BAHAROM MAHUS1N, MASSA, 6 MAC 1999
PADA
akhir tahun lalu, Universiti Malaya mengirim buletin bulanannya
untuk perhatian meja berita akhbar-akhbar di Malaysia. Buletin
itu penuh dengan maklumat mengenai perkembangan dunia akademik
dan cerita kehidupan kampus yang dijalani oleh para pensyarah
dan penuntut universiti.
Ketika
itu politik tanah air dilambung pergolakan dan oleh kerana
buletin tersebut tidak melayani apa yang diinginkan oleh pembaca-pembaca
pada waktu itu, kandungannya tidak menarik minat banyak wartawan.
Malah
jika diambil kira kecenderungan para pensyarah dan penuntut
universiti, mereka akan memilih bahan bacaan yang memaparkan
cerita rasuah, perihal seks dan intrique politik daripada
membaca buletin tersebut.
Buletin
itu bagaimanapun menawarkan fakta menarik mengenai perkembangan
anak-anak muda yang menuntut di universiti itu, yang dalam
beberapa minggu terakhir ini beberapa kali dihasut mengadakan
tunjuk perasaan antikerajaan dan memilih jalan konfrontasi
untuk menyelesaikan masalah.
Di
dalamnya diumumkan senarai pemimpin pelajar yang memenangi
kerusi-kerusi dalam pilihan raya Universiti Malaya. Yang signifikan
dalam keputusan itu ialah hampir semua calon pilihan raya
pelajar itu, kecuali di Pusat Sukan Universiti Malaya, memenangi
kerusi masing-masing tanpa perlu bertanding.
Tidak
ada orang yang mencabar mereka kerana selain kumpulan itu
yang jumlahnya hanya kira-kira 45 orang, terdapat hampir 20,000
pelajar lain di Universiti Malaya yang tidak berminat langsung
untuk mengambil bahagian dalam politik kampus.
Demokrasi
dan pilihanraya universiti tidak lagi dapat membina semangat
mahasiswa. Kepada mereka, Matt Damon dalam filem Good Will
Hunting dengan cerita orang muda panas baran lebih menceriakan
daripada kisah kepimpinan kampus yang membosankan.
Inilah
realiti hidup. Mereka menang tanpa bertanding tanpa melalui
proses penyertaan demokrasi menyeluruh tetapi pelajar-pelajar
yang menang tanpa bertanding itu lazimnya kemudian akan membina
hubungan dengan pelbagai pihak di dalam dan di luar universiti.
Disebabkan
cuma mereka yang mahu ke depan, kepimpinan generasi muda Malaysia
kini ditentukan oleh manusia-manusia yang suka menonjolkan
diri dan bukan bakat kepimpinan sebenar.
Kumpulan
minoriti ini kini sedang berada di atas jalan politik berdebu.
Mereka terpisah daripada arus perdana kumpulan majoriti di
kampus.
Ketika
beribu-ribu pelajar lain sibuk dengan buku-buku tebal, perpustakaan
dingin, kuliah dan tutorial dan mungkin juga sedang mencuba-cuba
cinta monyet, parti-parti pembangkang seperti Pas dan DAP
nampak berminat untuk melatih pemimpin pelajar yang menang
tidak bertanding itu sebagai kader-kader politik pembangkang.
Berdasarkan
fungsinya, gerakan kontemporari seperti Angkatan Belia Islam
(ABIM) pasti berusaha mempengaruhi pemimpin-pemimpin pelajar
itu. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang berhaluan kiri,
dan sejak beberapa bulan lalu gerakan reformasi Datuk Seri
An war Ibrahim juga dari masa ke masa cuba membina hubungan
intim dengan para pemimpin pelajar itu.
Hubungan
dengan pihak di luar kampus telah dipupuk, dan berdasarkan
sikap sebilangan kecil yang agresif terhadap establishment,
jalinan tersebut sudah mula dipengaruhi oleh elemen-elemen
yang tidak sihat.
Minggu
lalu misalnya ada kumpulan mahasiswa sanggup menerajang dinding-dinding
pagar satu projek pembinaan jalan berhampiran universiti itu.
Para pemimpin pelajar menafikan mereka telah dihasut.
Adalah
menarik untuk memikirkan mengapa berlaku keadaan sedemikian
rupa di kampus iaitu majoriti pelajar universiti mengambil
sikap tidak ambil peduli terhadap politik manakala kumpulan
minoriti 45 orang pemimpin pelajar yang menang tanpa bertanding
bertindak agresif seolah-olah mereka mewakili aspirasi keseluruhan
masyarakat pelajar.
Untuk
tidak mengelirukan, kita perlu sedar bahawa suara mereka bukan
suara majoriti. Berdasarkan kepada pemilihan pilihanraya universiti
dan respons majoriti pelajar, kumpulan yang suka bersorak,
gemar berarak dan menggilai politik adalah kumpulan minoriti
di kampus-kampus. Yang ramai ialah majoriti pasif.
Atas
sebab itulah ada pemimpin kerajaan percaya bahawa tunjuk perasaan
yang berlaku di kampus-kampus tidak mencerminkan sentimen
majoriti pelajar. Dalam tunjuk-tunjuk perasaan itu, sebahagian
besar peserta membawa sepanduk Pas, memakai kopiah, serban
dan melilit kepala seperti orang Arab. '
Seorang
menteri percaya bahawa apa yang berlaku di kampus-kampus itu
ibarat air yang sedang pasang. Menurutnya, orang muda akan
sentiasa marah-marah tetapi katanya, air pasang pasti akan
surut.
Katanya,
kebanyakan pelajar di universiti ialah mereka yang cintakan
keamanan dan mahukan kestabilan.
Untuk
mengenali sikap pemimpin minoriti bertanding ialah mereka
selalu membesar-besarkan perkara kecil dan kekuatan sendiri.
Seperti juga pemimpin-pemimpin antikerajaan di luar, mereka
mendakwa mereka ialah orang yang sentiasa berada di pihak
yang benar.
Gambarannya
sama seperti kritikan yang pernah dilemparkan oleh ahli falsafah
Inggeris Bernard Shaw terhadap orang Inggeris. Katanya: "Anda
tidak akan menemui seorang Inggeris yang salah. Dia melakukan
segala-galanya berdasarkan prinsip-prinsip.
"Dia
berjuang menentang anda berdasarkan prinsip patriotik; dia
merompak anda mengikut prinsip-prinsip perniagaan; dia menjadikan
anda hamba abdi berdasarkan prinsip-prinsip imperial."
Jika
diletakkan pemimpin pelajar universiti dalam konteks hujah
itu, kita akan mendapati mereka kini diasuh oleh elemen-elemen
yang percaya bahawa kuasa pelajar perlu dieksploitasi bagi
memperjuangkan pinsip-prinsip antikerajaan, apa yang kerajaan
buat semuanya salah, dan hanya orang tertentu yang adil, boleh
dipercayai dan bercakap benar.
Kerana
keadaan dan pengaruh dari luar, golongan pemimpin pelajar
di universiti itu menjadi seperti orang Inggeris yang dogmatik:
Hanya prinsip mereka yang betul.
Adalah
membimbangkan memikirkan implikasi apa yang berlaku di universiti
itu kepada kehidupan bernegara di Malaysia pada masa depan.
Kira-kira
45 orang pemimpin pelajar yang menang tanpa bertanding itu
lazimnya akan meneruskan kegiatan politik mereka dalam konteks
yang lebih luas apabila mereka tamat belajar kelak.
Nanti
akan lahir pemimpin-pemimpin masyarakat di Malaysia yang merupakan
produk daripada satu sistem politik kampus yang malap, dan
merupakan orang yang tidak menggambarkan keinginan sebenar
masyarakat.
Mereka
ialah orang yang dicipta oleh suasana apatik generasi muda
Malaysia. Mereka bukan orang yang diangkat oleh suara ramai
tetapi individu yang ditonjolkan oleh keberanian sendiri apabila
20,000 pelajar lain tidak berminat terlibat dalam politik.
Pada
masa lepas, pemimpin-pemimpin pelajar yang radikal lazimnya
berubah menjadi sederhana apabila mereka mula memasuki alam
pekerjaan dan kemudian menyertai parti-parti kerajaan.
Adakah
trend seumpama ini akan berlaku lagi adalah menarik untuk
diperhatikan. Tetapi yang jelas ialah kita akan memperoleh
kumpulan bakal pemimpin yang terdiri daripada orang yang bukan
merupakan ketua dalam erti kata sebenar.
Mereka
cuma orang yang mendapat latihan kepimpinan apabila manusia-manusia
lain tidak mahu menunjukkan bakat. Mereka ialah akar-akar
yang berguna apabila rotan tidak mahu tumbuh.
Halaman Utama