Mahasiswa
Luar Negara tidak tentang ISA?
Mahasiswa
Luar Negara Tidak Tentang ISA?
Oleh: Hj Mohnas
Saya pernah bertanya kepada seorang teman, mengapa tidak keluarkan
kenyataan mengutuk ISA, atau sekurang-kurangnya, menggunakan
ayat yang berlapik meminta kerajaan tidak sewenang-wenang
menahan mahasiswa, reformis dan pemimpin pembangkang tanpa
bicara. Malangnya, teman itu yang punya kemampuan dan kreadibiliti,
menyebut betapa dia masih lagi membuat kajian ISA daripada
perspektif Islam.
Inilah
masalah sebenar mengapa ISA terus merasuk UMNO dan kerajaan
sehingga secara membuta-tuli menahan sesiapa sahaja yang menentang
parti serba fobia itu. Masyarakat sendiri tidak memandang
ISA sebagai isu serius, dan dengan berlapikkan sedang mengkaji
dan meneliti, maka mereka tidak menentang ISA secara terus-terang.
UMNO
tidak melihat kesungguhan rakyat memperjuangkan keadilan,
sekurang-kurangnya majoriti buat tidak bena dengan kegilaan
ISA ini. Yang terkedepan ialah Barisan Alternatif, para reformis
dan juga kalangan mahasiswa tempatan yang mempunyai potensi
besar berdepan ISA secara langsung. Sebaliknya, mahasiswa
di luar negara, beralasankan zuruf dan realiti setempat, lebih
enak memperjuangkan idealisme mereka.
Barangkali,
mahasiswa di luar negara tidak melihat ISA merupakan ancaman
besar kepada mereka sehingga penentangan kalau pun berlaku
hanyalah di sebalik selimut dan di dalam kelambu. Manakala
di kalangan rakyat terbanyak di tanah air, hanya memandang
ISA adalah antara tindakan polis terhadap pembangkang dan
mereka yang mahu menghuru-harakan negara.
Sebab
itulah, Pak Lah berani berterusan menggunakan ISA, tidak kira
sama ada pemimpin pembangkang, reformis, mahasiswa dan ulama.
Tiada tentangan sungguh-sungguh yang boleh menjejaskan kedudukan
UMNO, malah ISA boleh pula menggukuhkan kedudukan UMNO.
Di
peringkat luar, gerakan mahasiswa boleh dikatakan lesu. Mereka
hanya berbangga dengan seberapa banyak program yang dijalankan,
atau sebesar mana program dianjurkan, tanpa melihat implikasi
langsung kepada politik tanah air. Tidak keterlaluan saya
katakan, kadang-kadang majoriti mahasiswa di luar negara terkhayal
dengan agenda peribadi masing-masing sehingga melupakan tugas
sebenar mereka wajib mempunyai kaitan dengan tanah air.
Gabungan
Persatuan Mahasiswa Islam Sedunia [GPMIS] yang melibatkan
persatuan-persatuan mahasiswa Malaysia di luar negara gagal
memperlihatkan kesan dan gabungan yang mantap. Malahan, GPMIS
gagal berfungsi sebaiknya, tidak seperti Gabungan Mahasiswa
Islam Se-Malaysia [GAMIS].
Barangkali,
faktor sempadan mengengkang keaktifan GPMIS dan juga kesibukan
persatuan-persatuan anggota dengan urusan dalaman masing-masing.
Hal ini juga diburukkan dengan tiadanya barisan kepemimpinan
yang meyakinkan dalam GPMIS sehingga tidak ada nakhoda yang
terkedepan membawa hala tuju gerakan.
Justeru,
apabila rakan sejawatan mereka, Mohd Fuad Ikhwan, Presiden
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, dan aktivis mahasiswa,
Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, ditahan di bawah ISA, GPMIS
membisu. Mujurlah, ada reaksi positif daripada mahasiswa Jordan
yang mengumpulkan tanda tangan membantah penahanan tersebut.
Malah,
persatuan-persatuan mahasiswa di luar negara juga gagal mengeluarkan
sebarang kenyataan berhubung penahanan tersebut secara peribadi.
Saya tidak tahu apakah punca kelemahan ini berlaku, tidak
mustahil masing-masing menunding jari kepada persatuan yang
lain supaya mengeluarkan kenyataan bagi pihak GPMIS.
Sebab
itulah, saya melihat GPMIS tidak ubah persefahaman rapuh antara
mahasiswa luar negara tanpa agenda bertindak yang jelas. Penubuhan
GPMIS bagi saya tidak ubah sebagai melepaskan batuk di tangga,
sekadar menunjukkan adanya suara dari kalangan mahasiswa luar
negara.
Dalam
keadaan mahasiswa di IPT tanah air diganggu kegelojohan UMNO,
adalah kurang wajar, persatuan mahasiswa di luar negara menyembunyikan
diri. Biar pun masing-masing barangkali akan mendakwa ada
masalah dalaman atau pun keadaan setempat yang mengengkang,
sepatutnya mereka mencari jalan keluar supaya dalam masa memelihara
kepentingan persatuan, isu di tanah air tidak dibiarkan begitu
sahaja.
Saya
mencadangkan GPMIS menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa khas
untuk memantau keadaan politik, ekonomi dan sosial di tanah
air. Sesebuah jawatankuasa biarlah hanya dianggotai pemimpin
mahasiswa dari sebuah negara sahaja bagi menjamin keberkesanan
reaksi yang diambil. Katakan sahaja, Persekutuan Melayu Republik
Arab Mesir [PMRAM] diberikan tugas memantau isu ISA ke atas
mahasiswa, Hizbi UK-Aire memantau isu penswastaan Pos Malaysia,
persatuan-persatuan mahasiswa di Jordan diamanahkan memantau
isu penyingkiran mahasiswa dari IPT dan sebagainya. Atau pun
boleh sahaja mengambil contoh PAS yang meletakkan seorang
ahli parlimen untuk memantau sesebuah kementerian.
Dalam
masa yang sama, isu-isu besar yang membabitkan kepentingan
rakyat Malaysia, wajib ditangani bersama. Perlu ada kenyataan
bersama sama ada menyokong atau menyelar mana-mana tindakan
yang bercanggah dengan keadilan.
Ini
tidak bermakna persatuan mahasiswa tidak perlu mengeluarkan
sebarang kenyataan secara bersendirian, sebaliknya wajib memberikan
reaksi terhadap sebarang isu yang difikirkan penting.
Tentulah,
bukan ini sahaja tindakan yang memperlihatkan kewujudan GPMIS.
Masih banyak lagi yang wajib dilakukan untuk memastikan hak
rakyat Malaysia terjamin. Namun, cukuplah dengan tindakan
ini dahulu kerana buat masa sekarang GPMIS tidak ubah seperti
layang-layang di langit.
Secara
tidak langsung, penglibatan serius GPMIS dalam mempertahankan
keadilan dan menjamin hak-hak rakyat daripada diceroboh UMNO
dan BN memperlihatkan tindakan bersepadu mahasiswa.
Menunjukkan
sensitiviti mahasiswa tidak cukup dengan hanya menubuhkan
GPMIS. Sudah tiba masanya, parti serba fobia bukan pening
kepala dengan mahasiswa tempatan, malah tidak mustahil sampai
gentar untuk tunjuk jaguh di luar negara pula!
Halaman Utama