Idealis Mahasiswa


Penerbit Hantu Berleluasa Di Kampus

oleh Siti Azlina Che Mat

Kuala Lumpur: 12 Januari 2002: Risalah yang mempertikaikan pemecatan Sdr. Dasuki Abdul Wahab, Presiden MPP UIAM ditemui di UIA baru-baru ini membuktikan penerbit hantu masih berleluasa di kampus.

Isu penerbit hantu di kampus ini menjadi gempar dengan kelahiran majalah Varsiti 2001 UM yang sepenuhnya mengandungi artikel dan rencana yang mengutuk kerajaan yang dipetik dari laman-laman web anti-kerajaan yang sedia ada.

Pihak pembangkang menuduh Pemuda UMNO dan kerajaan sebagai bertanggungjawab manakala pihak Pemuda UMNO dan kerajaan khasnya mengesyaki ianya dilakukan oleh pelajar UM sendiri dengan didalangi oleh Pemuda PAS. Akhirnya kes ini menjadi kes polis dan semua pihak diminta tidak membuat kenyataan mengenainya sehingga siasatan selesai. Hingga kini penerbit sebenar Varsiti masih lagi menjadi tanda tanya.

Sebagai pelajar, sebenarnya risalah tidak bernama ini sudah terlalu biasa ditemui lebih-lebih lagi bila ada isu yang mencalar `kesucian' Persatuan Mahasiswa Islam sehingga kehadirannya tidak menjadi kudis atau menjadi pertanyaan besar kerana kami tahu ianya datang dari pihak mana dan untuk tujuan apa.

Seringkali ianya hanya menjadi bacaan sepintas lalu sebelum dibuang atau menjadi kertas conteng walaupun kadangkala tertanya-tanya juga bagaimana mereka mampu mengeluarkan risalah dalam masa yang singkat dan selalu pula.

Namuan ianya menjadi jenaka terulung abad ini bila pihak TNC Hal Ehwal Pelajar menafikan kewujudkan penerbit hantu di kalangan pelajar. Barangkali, mereka tidak bertemu dengan risalah yang diperkatakan kerana sayang untuk meninggalkan keempukkan kerusi dan kedingin-nyamanan suasana pejabat sehingga tidak sudi untuk meronda persekitaran universiti atau bersama pelajar. Tetapi jika mereka tidak menjumpainya, tidaklah bermakna risalah itu tidak wujud. Saya menyimpannya dan saya yakin ramai lagi pelajar yang menyimpannya - sama ada dengan niat atau tidak. Dan ianya menjadi bukti kukuh kewujudan penerbit hantu di IPTA.



Halaman Utama


Hit
[ ]

Copyright ©2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved