Mahasiswa
mesti idealistik bukan hipokrit
Sumber:
Majalah MASSA,10-16 Feb 2001
CABARAN
besar yang dihadapi mahasiswa di institusi pengajian tinggi
sekarang ialah mempamerkan identiti sebagai golongan intelektual
yang dihormati. Perjuangan mereka dicemuh kerana bertopengkan
pembangkang. Kebangkitan mereka sebagai mahasiswa dalam memperjuangkan
kepentingan bangsa, agama dan negara dipertikaikan gara-gara
sealiran dengan pembangkang. Keadaan ini benar-benar menghambat
mereka untuk membuktikan keterampilan mereka tiada kena mengena
dengan aliran pembangkang. Malah kebanyakan pemimpin pelajar
ini berpendapat, mahasiswa tidak hanya perlu 'berkubang' dalam
pengkhususan ilmu semata-mata sebaliknya menjangkaui setiap
permasalahan dan fenomena masa kini. Namun apa membimbangkan
sekarang ialah motif penglibatan mereka dalam isu-isu politik.
Menurut
bekas Ketua Pelajar Melayu Malaysia (1995-1996) di Kasturba
Medical College Manipal India, Dr. Zubaidi Ahmad, apa yang
dibimbangkan ialah senario politik di kampus yang memperlihatkan
mahasiswa bercakap dengan nada pembangkang. Mereka mahukan
perubahan namun perubahan yang diucap-kan oleh mahasiswa adalah
yang diceduk ideanya bulat-bulat dari pembangkang. Menurutnya,
mahasiswa sekarang tidak mampu mengeluarkan sendiri model
pembaharuan mereka. Mereka terus mengabaikan kreativiti minda
mereka dengan berkiblatkan kepada suara-suara yang menentang
dari luar kampus.
"Gelombang
ini dirasakan di mana-mana kampus di seluruh tanah air. Persoalannya
sekarang mengapa mereka harus bercakap senada dengan politik
pembangkang. Mengapa mereka tidak berhujah dengan kapabiliti
mereka sendiri? Apa yang kita lihat mereka menolak mentah-mentah
apa saja yang datang dari kerajaan sebaliknya mendukung apa
yang diperjuangkan pembangkang? Apakah mereka sekarang menganut
ideologi yang sama dengan pembangkang.
"Kita
bersetuju bahawa setiap mahasiswa mempunyai idealisme tersendiri.
Adalah menjadi janggal dan menjatuhkan martabat seorang mahasiswa
jika mereka tidak mempunyai idealisme untuk diri mereka, bangsa
Melayu dan, agama Islam. Kita sedar mereka adalah golongan
harapan yang menjadi pelapis kepimpinan sekarang.
"Ini
bermakna mereka harus mempunyai jati diri, keterampilan dan
semangat untuk berbakti kepada masyarakat. Tetapi mereka haruslah
mencari suatu platform agar suara mereka boleh didengar oleh
kerajaan. Mereka tidak boleh mencari platform murahan di jalan
raya. Tindakan menjerit di tepi jalan hanya menjatuhkan kredibiliti
seorang mahasiswa," ujar beliau yang kecewa dengan tindakan
segelintir mahasiswa.
Apa
yang mengecewakan bekas pemimpin pelajar ini ialah kegagalan
pemimpin-pemimpin pelajar ini untuk membentuk satu imej sebagai
benar-benar bebas dari cengkaman mana-mana parti politik.
Menurutnya, tidak ada guna pemimpin pelajar menafikan sokongan
mereka terhadap pembangkang sekira-nya perbuatan dan tingkah
laku mereka melambangkannya. "Orang tidak akan tuduh
melulu kalau mahasiswa mempunyai jati diri dan identiti perjuangan
sen-din," jelasnya.
Apa
yang diharapkan ialah supaya kepimpinan mahasiswa hari ini
membuang imej pembangkang dalam perjuangan mereka. Mahasiswa
sekarang perlu membuktikan mereka juga setanding dengan pergerakan
mahasiswa dahulu yang lebih bemas dalam melontarkan idea dan
mempunyai matlamat perjuangan yang jelas.
Bekas
pemimpin pelajar di Loughborough University of Technology
United Kingdom, Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail (Setiausaha Politik
Menteri Luar) juga kesal dengan perjuangan pemimpin-pemimpin
pelajar hari ini yang dilihat tiada hala tuju yang jelas.
Menurut beliau, jika dibandingkan dengan zaman-zaman 1970-an
dan 1980-an, pemimpin pelajar dahulu lebih jelas hala tujunya.
"Pemimpin pelajar di zaman itu memang cukup lantang dalam
mengkritik kerajaan, tetapi mereka menggunakan landasan yang
jelas sebagai mahasiswa. Apa yang kita persoalkan sekarang
ialah apakah matlamat perjuangan mereka? Jika dahulu pemimpin
mahasiswa membawa isu mengenai pencapaian orang Melayu dalam
bidang akademik dan ekonomi, isu bahasa kebangsaan dan isu
kuota kemasukan ke universiti, tetapi sekarang apa yang mereka
perjuangkan untuk rakyat dan bangsa Melayu?
"Adakah
memadai berjuang dengan hanya mengikut rentak isu yang dimainkan
oleh pembangkang? Isu-isu ketidakadilan sosial, yang mereka
perjuangkan bukan datang dari mereka sendiri tetapi dibawa
oleh parti-parti pembangkang. Jadi apa yang dikatakan perjuangan
mahasiswa," ujarnya ketika ditemui MASSA.
Menurut
Dr. Ku Abd. Rahman, seki-ranya beliau masih lagi berperanan
sebagai pemimpin pelajar, perkara pertama yang ingin terus
diperjuangkan ialah soal masa depan bangsa Melayu. "Banyak
perkara mengenai pencapaian orang Melayu yang belum diperjuangkan.
Sekiranya kita sebagai pelajar tidak berusaha untuk mendesak
kerajaan memperjuangkan perkara-perkara berkaitan orang Melayu,
siapa lagi? Begitu juga isu bahasa kebangsaan, langsung tidak
dipedulikan para mahasiswa.
"Pelajar
dulu semangat nasionalismenya cukup tinggi hinggakan apa sahaja
berkaitan Melayu akan diutamakan. Dan memang sebagai mahasiswa
mereka sepatutnya mempunyai semangat nasionalisme untuk memperjuangkan
sesuatu, tetapi malangnya kita lihat semangat nasionalisme
mahasiswa sekarang semakin luntur.
"Mereka
lebih gemar berbicara dan mengkritik isu-isu politik berkaitan
UMNO dengan Pas dan Keadilan. Tanpa disedari mereka juga terikut-ikut
rentak pembangkang sehingga di antara mereka dengan parti
pembangkang hampir tiada beza biarpun dari segi pandangan,"
ujarnya.
Dalam
hal ini, mereka harus ingat pembangkang mempunyai matlamat
tersendiri iaitu mencari sokongan untuk perjuangan mereka.
Sasaran paling mudah ialah kelompok mahasiswa yang bakal menjadi
kepimpinan
negara kelak. Sekiranya matlamat mereka tercapai - mahasiswa
yang berjaya dipengaruhi ideologi pembangkang ini menjadi
sebahagian dari mereka dan kelak akan menyertai perjuangan
mereka untuk menumbangkan kerajaan sekarang.
Daripada
pengalaman yang lama dalam kelompok mahasiswa, Dr. Ku Abd.
Rahman mengingatkan mahasiswa hari ini supaya lebih rasional
dan bersifat sederhana dalam menilai sesuatu. Mereka harus
menerima hakikat kerajaan yang dibina sekarang harus dipertahankan
demi masa depan bangsa Melayu itu sendiri
Ketika
bergelar mahasiswa, perasaan ingin membawa perubahan sering
berkobar-kobar. Pada tahap itu, pelajar sering kali terlupa
pada realiti sebenar kehidupan dan kalau boleh seluruh dunia
ingin diubah mengikut apa yang difikirkan betul. Bagaimanapun,
darah muda selalunya akur dengan realiti hidup yang sebenar
apabila mereka keluar dari dunia kampus.
Ketika
itu, mereka akan sedar bukan perkara mudah untuk menguruskan
negara apabila menjadi sebahagian daripadanya. Oleh sebab
itu, ramai di antara bekas-bekas mahasiswa akan sedar betapa
perlunya mempertahankan apa yang kita ada sekarang. Mereka
tidak boleh bersikap hipokrit dengan menafikan apa yang kerajaan
lakukan sekarang tidak meberi manfaat kepada rakyat.
Mahasiswa
perlu tanya diri mereka sendiri apakah matlamat sebenar apabila
melangkah kaki ke kampus. Apakah mereka menggunakan sebaik
mungkin masa yang diberikan untuk memperolehi ilmu. Mampukah
mereka melatih diri untuk berfikir seperti seorang dewasa
dan juga sebagai golongan cerdik pandai.
Kerajaan
tidak pernah menghalang mereka untuk prihatin terhadap keadaan
di luar kampus, tetapi mereka harus meletakkan diri mereka
sebagai golongan berpandukan intelektual apabila bersuara.
"Kerajaan tidak minta mahasiswa menjadi penyokong kerajaan
100 peratus, tetapi ingin mereka menjadi golongan yang lebih
adil dalam mengeluarkan pandangan dan tidak berat sebelah.
Tetapi malangnya apa yang kita nampak ialah sikap pemimpin
mahasiswa yang cukup memalukan.
"Mereka
gagal menempatkan diri mereka sebagai golongan yang bermaruah.
Mereka hanya menjadi pengkritik kerajaan seolah-olah perjuangan
mereka hanya untuk mencari salah apa yang dilakukan oleh pemimpin
dan kerajaan. Sepatutnya, mereka juga menjadi pengkritik baik
kepada kerajaan mahupun pembangkang.
"Kalau
betul mereka menyifatkan diri mereka sebagai entiti yang bebas
daripa-da mana-mana pengaruh, mengapa mereka tidak pernah
menyatakan penghargaan apabila kerajaan berjaya memulihkan
ekonomi, menyelamat ekonomi daripada tekanan IMF ataupun menghargai
keprihatinan kerajaan terhadap negara-negara miskin yang ditindas.
Pada ketika itu di mana suara mahasiswa kita. Mengapa mereka
perlu butakan kejayaan yang dilakukan oleh kerajaan.
"Kita
sedar mereka (pemimpin mahasiswa) kurang senang apabila sering
ditempelak kerana bertopengkan pembangkang dalam perjuangan
mereka. Namun mereka harus menerima hakikat perilaku mereka
sentiasa diperhatikan. Mereka tidak dikritik sekiranya mempunyai
jati diri dan pendirian sebagai mahasiswa. Itu yang mereka
perlu dipertahankan supaya imej mahasiswa tidak dibayangi
oleh sesiapa.
Kepimpinan
mahasiswa sekarang memang sudah berbeza dengan zaman 1970-an
dan 1980-an yang lebih kepada untuk mencari pengisian kemerdekaan.
Tetapi mereka harus ingat dalam era globalisasi - perjuangan
mereka bukan sekadar terhadap keadilan sosial, liberalisasi
atau dunia sejagat, tetapi masih lagi ter-tumpu kepada perjuangan
orang Melayu. Setinggi mana pun mereka, perkara pertama yang
tidak harus dilupakan berjuang untuk memartabatkan bangsa
Melayu kerana realitinya orang Melayu masih perlukan pembelaan.
Sementara
itu, bekas pemimpin pelajar yang kini berkhidmat sebagai Pengurus
Besar Kanan, Yayasan Pelajaran Holdings Sdn. Bhd., Johor Bharu,
Mat Mazlan Abu berpendapat terpesongnya perjuangan pemimpin
mahasiswa hari ini berpunca daripada tekanan yang dihadapi
oleh mereka sekarang.
"Saya
rasa pemimpin pelajar berada dalam keadaan under pressure
untuk membuktikan yang mereka ini masih relevan, sebab ramai
pemimpin kita beranggapan mereka ini masih 'budak' lagi. Orang
muda memang selalunya anti-establishment, contohnya, kalau
disuruh potong rambut mereka tetap mempertahankan rambut panjang,
sebab nak rasa sahaja.
"Jadi
bila ditekan (dipressure) begini, mereka lebih mudah mendapat
publisiti sekiranya mereka ini menggunakan slogan yang anti-establishment,
seperti anti-kerajaan dan mirip kepada pembangkang. Ditambah
pula racun yang telah ditanam oleh parti pembangkang itu sendiri.
la secara tidak langsung menyumbang kepada terpesongnya hala
tuju perjuangan pemimpin mahasiswa hari ini," jelasnya
Menurut
beliau yang pernah memegang tampuk pemimpin pelajar ketika
menuntut di Universiti Canterbury, Christchurch, New Zealand
(1984-1987), fahaman politik pembangkang memang sudah wujud
sejak dahulu lagi tetapi ia tidaklah sehebat sekarang. Di
zaman itu, kebanyakan pelajar yang menuntut di luar negeri
adalah bilangan minoriti dan mempunyai semangat nasionalis
yang tinggi. Hanya segelintir yang terpengaruh dengan ideologi
pembangkang terutama pelajar bukan Melayu. Sebagai pemimpin
pelajar, perkara utama yang ditekankan ialah memastikan kebajikan
pelajar serta masa depan pelajar Melayu sentiasa diperjuangkan.
"Kita
mengikuti perkembangan semasa mengenai dalam negara, tetapi
perkara utama yang diperjuangkan masih berkisar kepada keperluan
pelajar, contohnya, seperti kuota kemasukan pelajar luar negara/Malaysia
ke universiti, memohon supaya kemudahan dan kebajikan pelajar
dipertingkatkan daripada pihak universiti dan juga jabatan
pelajar Malaysia di luar .negara.
"Kita
juga berjuang supaya isu mendapatkan biasiswa yang lebih tinggi
bagi pelajar bumiputera untuk menampung kos sara hidup yang
meningkat. Ini se-lalunya kami perjuangkan bersama dengan
pelajar-pelajar dari universiti yang lain seperti Universiti
Otago, Universiti Victoria dan University of Auckland,"
ujamya kepada MASSA.
Beliau
berpendapat, yang pemimpin pelajar sepatutnya memperjuangkan
hal-hal kebajikan pelajar lebih daripada berpolitik luaran.
Banyak lagi perkara yang boleh diperjuangkan, seperti isu
pinjaman PTPN ataupun mereka juga boleh berjuang supaya kerajaan
meneruskan pemberian biasiswa untuk pelajar bumiputera seperti
dulu sekiranya mendapat kelulusan yang lebih cemerlang. Mereka
juga boleh mengadakan perbincangan yang boleh membuka peluang-peluang
pekerjaan dan perniagaan kepada rakan-rakan mereka yang akan
tamat pengajian mereka.
Namun
dalam masa yang sama tidak salah mengikuti perkembangan politik
semasa, tetapi tidak seharus menjadikan agenda untuk diperjuangkan
oleh majlis perwakilan pelajar. Tetapi malangnya apa yang
berlaku, pemimpin pelajar ini secara terang-terang berkempen
untuk pembangkang di pilihan raya yang lepas. Apakah motif
perjuangan mereka?
Sementara
itu, Pengerusi Biro Pendidikan Pengerakan Pemuda UMNO, Dr.
Adham Baba berkata, kepimpinan mahasiswa akan lebih dihormati
sekiranya mereka bebas daripada pengaruh politik pembangkang
dalam perjuangan mereka. Kesediaan mereka untuk berganding
bahu dengan kerajaan dalam sesuatu isu menunjukkan wujud keprihatinan
di kalangan mahasiswa sekarang. "Kita sambut baik sokongan
dan cadangan mereka dalam hal-hal tertentu termasuklah soal
perpaduan Melayu yang bakal dibincangkan oleh pemimpin UMNO
dan Pas kelak.
"Saya
juga percaya mereka perlukan masa untuk tampil sebagai pemimpin
pelajar yang benar-benar bebas daripada kongkongan mana-mana
pihak. Sebagai pemimpin kita tidak wajar menyalahkan mereka
dalam hal ini sebaliknya cuba dengar dan fahami isi hati mereka,"ujamya.
Halaman Utama