Mampukah
Mahasiswa mencorakkan hidup bebas?
Oleh:
Prof. Madya Mohamad Abu Bakar, Berita Harian 4 September 1994
PERSATUAN pelajar dalam sejarah kehidupan mahasiswa tempatan
boleh
dikatakan muncul serentak dengan penubuhan universiti itu
sendiri. Institusi pengajian tinggi bukan saja menempatkan
pentadbir dan pensyarah, tetapi juga pelajar yang berpendidikan
dan berkesedaran tinggi yang membolehkan mereka bertindak
secara berorganisasi dengan berkesan. Dengan perpindahan Universiti
Malaya ke kampus barunya di Kuala Lumpur pada tahun 1957/58,
aktivisme pelajar yang sudahpun berakar umbi di Singapura
menjalar di tempat baru pula.
Tradisi hidup berpersatuan mempunyai dinamismenya tersendiri,
dan tidak
lama selepas Universiti Malaya cawangan Kuala Lumpur berkembang,
pertubuhan mahasiswa juga turut berakar dan berkembang dalam
persekitaran baru ini.
Sungguhpun faktor luar, dalam bentuk pengaruh dunia antarabangsa
dan politik kebangsaan, agak berfungsi menentukan tempo perkembangan
aktivisme di kampus, komitmen dalaman mahasiswa sebenarnya
lebih kuat mendefinisikan persekitaran di zaman awal.
Pemikiran dan pendirian mereka mencorakkan pendekatan dalamkehidupan
berorganisasi, suatu pembabitan yang menarik perhatian masyarakat
dan negara. Mahasiswa ketika itu adalah golongan berpendidikan
paling terkemuka, dan dalam keadaan ketiadaan saingan hebat
daripada sektor luar, seperti birokrasi dan golongan politik
seperti hari ini, aktiviti mereka begitu mudah mendapat perhatian
dan penganalisisan.
Lantarannya setiap kali pelajar mengadakan program sosial,
apatah lagi demonstrasi, ia begitu mudah dan cepat mendapat
liputan dalam akhbar dan
siaran dalam radio. Keadaan ini tentu sekali merangsangkan
aktivisme itu
sendiri.
Kedudukan Universiti Malaya yang masih kekal sebagai universiti
tunggal pada tahap perkembangan itu membolehkan lagi pergerakan
mahasiswa mendapat tempat istimewa pada kaca mata umum. Persoalan
pokok yang ingin diketengahkan di sini ialah kemampuan mahasiswa
bukan saja menempa kehidupan yang agak bebas dari segi kehidupan
berpersatuan, tetapi juga keupayaan persatuan mereka mencorakkan
kehidupan dalam dan luar. Dalam bahasa yang ringkas, pertubuhan
pelajar mendefinisikan keadaan kampus. Dengan kebebasan yang
diberikan kepada mereka, pelajar menaja pertubuhan dan seterusnya
menentukan perkembangannya tanpa banyak pengawasan daripada
pihak atasan. Ketiadaan kawalan yang nyata membolehkan mahasiswa
yang aktif bergerak dengan cergas, dan kreatif, sambil menimba
pengalaman dan mendapat pelajaran daripada pembabitan mereka.
Dalam konteks ini, pemimpin pelajar terutama sekali sudahpun
memunculkan diri sebagai manusia yang berkedudukan sama dengan
anggota masyarakat luar yang berkecimpung aktif dalam mana-mana
pertubuhan sosial, atau politik. Di peringkat paling minimum,
ini bermakna mereka mengajukan diri sebagai bakal pemimpin;
berkempen untuk memenangi pilihan raya pelajar, dan selepas
menang, menempatkan diri sebagai peneraju.
Di peringkat yang lebih luas, ia bermakna penyediaan asas
yang kukuh untuk persatuan, pembekalan idea yang membolehkannya
bergerak, pengendalian pertubuhan itu sendiri dalam suasana
biasa dan genting, dan jika pembabitan itu membawa kepada
persiapan sesuatu konferensi, atau demonstrasi, maka kepemimpinan
itu terpaksa diolah begitu rupa bagi memenuhi objektif pembabitan
berkenaan.
Surat menyurat yang terpaksa dilakukan dengan pihak luar dan
dalam,
pertemuan dan perjumpaan dengan tokoh yang perlu dihubungi
atau didekati untuk tujuan aktiviti, dan penyiaran maklumat
mengenai aktiviti yang bakal atau sedang berlangsung, semuanya
mengambil masa dan menggunakan tenaga dan mental yang bukan
sedikit. Inilah yang dimaksudkan dengan pengalaman dan pelajaran
yang diperolehi, yang mahal harganya, dan amat berguna dalam
konteks penyediaan diri bagi menghadapi kehidupan pasca-kampus.
Dalam persekitaran lama, kampus Universiti Malaya menjadi
dapur yang
menyaksikan pemasakan pelbagai jenis idea, sama ada idea itu
mempunyai
sumber luar, atau idea itu lahir sebagai gagasan kalangan
pelajar sendiri.
Pertubuhan mahasiswa seperti Persatuan Bahasa Melayu Universiti
Malaya
(PBMUM), dan Persatuan Sosialis Universiti Malaya, dua contoh
yang agak
ekstrim, menunjukkan bagaimana pemikiran pelajar mengatasi
atau mendahului pihak luar dalam bidang berkaitan.
PBMUM semacam mengambil alih fungsi yang pernah dan sedang
dimainkan oleh badan luar yang mempelopori perjuangan Bahasa
Melayu, dan sehubungan ini mampu menggerakkan pihak pentadbiran
universiti mengadakan politik bahasa yang lebih sensitif kepada
tuntutan nasional, dan menyedarkan masyarakat mengenai keupayaan
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan.
Ia turut mempunyai saham dalam penubuhan Universiti Kebangsaan
Malaysia. Begitu juga dengan Persatuan Sosialis Universiti
Malaya.
Dalam keadaan negara ketiadaan tokoh yang dapat mewakili pemikiran
politik sosialis, pertubuhan itu semacam wujud sebagai penggerak
utama
dalam aliran pemikiran kiri itu. Adapun persatuan induk Persatuan
Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) bukan sekadar membabitkan
diri dalam kegiatan rutin, dan aktiviti yang menjuruskan kepada
penyediaan kemudahan bagi pelajar, ia juga pernah mengadakan
Perkhidmatan Mahasiswa di luar kampus, dan menjelang pilihan
raya kebangsaan tahun 1969 menyediakan penceramahnya tersendiri
dalam kempen yang berlangsung. Mercu kepada penyertaan pelajar
dalam politik tanah air ialah pembabitan besar-besaran mahasiswa
universiti dalam penentangan bagi menjatuhkan Tunku Abdul
Rahman sebagai Perdana Menteri berikutan Peristiwa 13 Mei.
Tanpa menafikan pergeseran yang pernah wujud dalam hubungan
sesama
persatuan, pelajar universiti umumnya lebih mudah dipersatukan
bagi
menghadapi sesuatu isu. Pertentangan dalam kampus biasanya
lebih berupa
konflik pendekatan, dan sekali sekala saja ditentukan oleh
falsafah
perjuangan.
Realiti kehidupan kampus ini bagaimanapun bukanlah seratus
peratus
unggul. Kebebasan dan autonomi yang dikecapi oleh pelajar
juga memberi
peluang dan membuka ruang kepada sebahagian penting daripada
mereka untuk bertindak liar; berpesta dan berdansa hingga
jauh malam, mengadakan panty- raid dan water-fight di asrama
siswi, dan menganjur baptisme untuk mahasiswa baru dengan
menelanjangkan mereka, sambil menghumbankannya ke dalam tasik
universiti. Ternyata sekali bahawa dari sudut ini, penuntut
di institusi pengajian tinggi juga outshine masyarakat luar!
Selepas sejarah perkembangan universiti tempatan memasuki
era kemunculan dan pertumbuhan universiti baru, berikutan
kelahiran Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains
Pulau Pinang, Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti
Teknologi Malaysia, aktivisme universiti juga mengalami suatu
transformasi.
Pada peringkat awal, ia membawa kepada kerancakan aktiviti
berikutan
penambahan jumlah pelajar di institusi pengajian tinggi. Dinamisme
pergerakan mahasiswa memperolehi momentum baru, dan dalam
suasana
kebebasan yang masih wujud pengaliran pengaruh dalam kampus
terus menular keluar sehingga membimbangkan pihak pemerintah.
Pada peringkat kedua, lanjutan pengenalan Akta Universiti
dan Kolej Universiti, vista ini berubah.
Pengongkongan yang drastik dan dramatik menyebabkan pergerakan
mahasiswa semakin tertumpu ke dalam, dan semakin condong kepada
sasaran tradisi, iaitu kehidupan pelajar. Pengasingan membawa
kepada pemupukan kehidupan bersendirian dan agak tersisih.
Tambahan pula, pada tahap itu, bilangan mereka yang berpendidikan
tinggi
di dalam pentadbiran dan di kalangan ahli politik juga bertambah,
dan ini
menyebabkan masyarakat semakin kurang terhala kepada kehidupan
mahasiswa. Di samping itu, penambahan jumlah universiti sedikit
sebanyak menjejaskan persepsi lama masyarakat, suatu keadaan
yang bertindak mengikut hukum supply and demand.
Dua perkembangan lain turut sama mencirikan kehidupan berpersatuan
di
kampus. Pertama, pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti
dan
peraturan berkaitan yang mewujudkan persekitaran psikologi
yang menekankan itu, menyebabkan pelajar kurang lagi terhala
kepada aktivisme politik, sebaliknya memalingkan perhatian
mereka kepada kegiatan dakwah. Ini berlaku khususnya selepas
pertengahan tahun 1970-an, apabila gelombang `Kebangkitan
Semula Islam' merempuh masyarakat dan negara.
Sekalipun pembabitan pelajar dalam aktiviti Islam ini seringkali
juga
melahirkan keberkesanannya ke atas kehidupan sekeliling, umumnya
pendakwahan di kalangan mereka lebih merupakan lanjutan daripada
pendakwahan di luar, yang diusaha dan ditaja oleh badan-badan
Islam
seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Darul Arqam
dan Jamaat
Tabligh.
Sebilangan besar pelajar juga terus terikat kepada kegiatan
kokurikulum
yang sejenis dengan yang ada di sekolah. Peningkatan intelektualisme
yang
sepatutnya berlaku menerusi kegiatan berpersatuan tidak berlaku.
Kedua,
suasana baru membiak persatuan yang pelbagai jenis, kecuali
pertubuhan
politik, sehingga aktivisme pelajar diwarnai oleh pendekatan
baru
mahasiswa ini. Persatuan anak negeri juga bertambah jumlahnya,
atau
semakin penting.
Suatu dimensi penting daripada perkembangan ini ialah intra-campus
politicking, ataupun paling tidaknya persaingan sihat antara
pelbagai
pergerakan mahasiswa. Penindahan tanggungjawab juga berlaku,
dan ia
umumnya dibiarkan berlangsung begitu saja tanpa banyak campur
tangan pihak pentadbiran.
Tenaga pelajar ternyata mengalir menerusi saluran dalaman
yang menghala
pula ke sasaran dalaman. Pengasingan dan penyisihan pelajar
yang
diakibatkan oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti jelas
menjadi suatu
realiti yang berkembang. Kalau dahulunya, kehadiran pelajar
di Universiti
Malaya mempunyai impak yang besar ke atas persekitaran luar
lantaran
mereka mampu bergabung di bawah payung beberapa buah persatuan
terkenal, seperti PBMUM dan PMUM, maka dalam keadaan yang
wujud ini mereka berada di bawah daun keladi yang kedapatan
berselerak di kampus.
Mahasiswa menghadapi kesukaran untuk bersatu. Pemimpin pelajar
menghadapi kesukaran untuk menggerakkan pengikut. Pengaruh
luar, yang
mempertalikan persatuan kampus dengan pertubuhan luar, memerangkapkan
lagi organisasi pelajar untuk bertindak dan bergerak bebas
dan seterusnya bersatu di bawah satu-satu payung (atau daun
keladi). Akhir-akhir ini hubungan antara kedua-dua pihak semacam
mencecah tahap stalemate, atau hubungan simbiotis, yang tidak
mengizinkan mana-mana pihak mempengaruhi pihak lain secara
besar-besaran. Apa yang berlaku di Universiti Malaya ini telah
juga menjadi ciri universal di kampus Malaysia umumnya.
Halaman Utama