Pelajar
mangsa idealisme politik
ZUBAIDI
AHMAD, Johor Bahru, Johor.
Universiti
adalah suatu lokasi pendidikan yang menjadi idaman bagi setiap
pelajar. Ibu bapa juga mengharapkan anak dapat belajar di
sana dengan harapan menjadi manusia yang lebih bijak, matang
dan rasional.
Tenaga
pengajar (pensyarah) juga berbangga kerana dapat mengajar
di sebuah institusi pendidikan yang paling teratas hierarkinya.
Universiti yang dikenali sebagai menara gading adalah suatu
kebanggaan bagi pensyarahnya, pelajarnya dan ibu bapa.
Namun
begitu, kehidupan mahasiswa yang terlalu idealistik dan penuh
cita-cita telah menyebabkan mahasiswa telah mengecilkan skop
ruang pemikiran. Mereka sepatutnya meletakkan kecemerlangan
akademik dan ketinggian minda sebagai agenda perjuangan mereka.
Sebagai
pelajar mereka seharusnya tidak harus memperjudikan masa depan
mereka dengan apa juga aktiviti yang lain sehingga mengganggu
proses pendidikan. Mereka harus lebih menyedari realiti hidup
yang lebih mencabar di luar.
Namun
apa yang kita sedih ialah pelajar selalunya menjadi mangsa
kepada idealisme yang dibawa oleh pensyarah mereka. Mereka
terpegun dengan idea-idea pensyarah yang seolah-olah terlalu
syumul dan terlalu indah sehinggakan mereka tidak dapat membezakan
antara realiti dan angan-angan.
Pensyarah
ini telah mengkhianati tugas yang diamanahkan untuk memberikan
didikan kepada mahasiswa. Mereka ini adalah pengkhianat agama,
bangsa dan negara.
Penglibatan
pensyarah yang aktif menghasut pelajar telah diketahui ramai.
Hampir keseluruhan universiti mempunyai beberapa orang pensyarah
yang menjalankan aktiviti di luar bidang mereka. Mungkin bilangan
mereka kecil, namun ibarat barah yang semakin tenat dan bakal
membunuh institusi pengajian itu. Pensyarah-pensyarah ini
berorganisasi dan meletakkan kepentingan kumpulan atau puak
mereka lebih daripada kepentingan agama, bangsa dan negara.
Selama
ini pihak universiti cuba menyimpan pekung ini dengan menafikan
penglibatan pensyarah-pensyarah ini. Pensyarah-pensyarah ini
telah diberikan peluang untuk menghentikan aktiviti yang memusnahkan
profesion mereka.
Namun,
ada yang masih tidak berganjak daripada pendirian mereka.
Ini menyebabkan pihak polis pula menangani masalah ini. Ini
tentu lebih memalukan kerana pekung yang sudah pecah di dada
tidak mampu lagi ditutup. Walau dibalut begitu cantik, ia
tetap berbau.
Para
pensyarah kelihatannya mempunyai masa santai yang banyak.
Mereka seharusnya menggunakan masa yang lebih ini dengan mengambil
inisiatif dan usaha untuk mendidik anak bangsa agar menjadi
suatu pelapis bangsa yang kuat dan bermaruah. Mereka seharusnya
sibuk menghasilkan idea-idea baru untuk memajukan bangsa dan
menghasilkan ciptaan-ciptaan produk sains dan teknologi yang
lebih kompetitif, canggih dan inovatif.
Namun
mereka telah menggunakan masa yang terluang melakukan kerja-kerja
yang tidak ada kaitan dengan akademik. Penglibatan pensyarah
di luar bidang akademik terutama dalam kegiatan subversif/bawah
tanah tentunya amat malang untuk masa depan anak bangsa yang
mengharapkan tunjuk ajar mereka. Malah kegiatan mereka ibarat
barah dalam tubuh yang amat berbahaya jika terus dikekalkan
dalam sesebuah universiti.
Berita
penangkapan seorang pensyarah kerana menyertai KMM sebenarnya
bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Ia lebih merupakan berita
memalukan yang mengesahkan desas-desus selama ini yang universiti
telah dijangkiti kuman subversif. Berita ini memalukan institusi
pengajian tinggi secara keseluruhannya.
Ia
juga adalah kesalahan yang tidak boleh dimaafkan kerana kita
tidak mahu universiti dijadikan sarang subversif atau pusat
penyebaran idea-idea yang radikal. Ia bukan saja menyalah
etika seorang pensyarah, malah ia juga menyalahi undang-undang
negara. Menyebarkan fahaman radikal atau subversif adalah
sesuatu yang berbahaya. Ini menyingkap kembali kenangan kita
pada era 70-an di mana mahasiswa lebih radikal akibat fahaman
sosialis.
Kita
seharusnya sedar bahawa universiti haruslah menjadi pusat
pengembangan ilmu, bukannya pusat penyebaran idea-idea yang
radikal. Universiti dipunyai oleh negara dan masyarakat setempat.
Universiti harus mesra masyarakat setempat. Masyarakat bertanggungjawab
terhadap universiti kerana mereka membayar cukai pendapatan
untuk memajukan sesebuah universiti. Pihak universiti haruslah
memelihara amanah dan tanggungjawab itu.
Halaman Utama