Oleh:
Asrul Nizam Abd Jalil (kmm_iiu@yahoo.com)
Jurucakap KESATUAN MAHASISWA MERDEKA
Pada 5 Julai lalu, kita dikejutkan dengan berita
penangkapan seorang aktivis pelajar Institut Kemahiran
Mara saudara Khairul Anuar Ahmad Zainuddin yang
ditahan tanpa bicara di bawah seksyen 73 (1) Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Khairul Anuar dengan
diiringi polis menggeledah biliknya di Bangsar, Kuala
Lumpur dan merampas beberapa kotak bahan bercetak, komputer
dan video cakera padat (VCD). Berita terbaru semalam Presiden
MPP UM saudara Mohd Fuad Ikhwan pula menjadi mangsa kedua
penahanan tersebut. Sumber tertentu juga memberitahu bahawa
selepas ini satu tangkapan borong ISA ke atas pemimpin Mahasiswa (sudah
tentu sekali bukan ke atas Pemuda Negara, Pewaris dan GPMS)
akan dilakukan. Ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan melemahkan
gerakan pelajar yang semakin berkembang subur sejak Anwar
saga selepas mengalami zaman lembab dan beku sekitar tahun
80an dan awal 90an.
Isyarat jelas menunjukkan kita bahawa penguasa sedang menuju
ke arah itu memandangkan sebelum tangkapan ISA ini, kita digemparkan
berita pembuangan saudara Rafzan Ramli oleh pentadbiran UiTM,
kes gantung pengajian di UUM dan UM, percubaan mengkambinghitamkan
GAMIS dan HAMAS sebagai pergerakan pelajar militan yang dituduh
terlibat membakar Dewan Tunku Canselor UM (peristiwa Sauk
versi baru) dan tiga orang pelajar UIA yang menjadi penganjur
majlis penerangan Gerakan Mahasiswa Mansuh ISA di kampus Gombak
telah dipanggil oleh pihak HEP. Kemungkinan besar Presiden
MPP UIA saudara Mohd Fadhli juga akan dikenakan tindakan oleh
HEP kerana beliau turut berucap di perhimpunan tersebut.
Kesatuan Mahasiswa Merdeka mengutuk tindakan penguasa mengunakan
akta ISA ke atas Mahasiswa,pemimpin pembangkang mahupun kerajaan
dan lain-lain pihak yang sedang dan telah menderita di bawah
akta rimba ini. Justeru, kami mahu menegaskan ISA wajib dihapuskan
dengan apa cara sekalipun.
Kewujudan akta AUKU yang dijadikan alasan oleh
segelintir Mahasiswa untuk terus membisu dari
menyuarakan hasrat rakyat perlu menjadi fardu bagi
para Mahasiswa menuntut pemansuhannya. Kesatuan
Mahasiswa Merdeka berpandangan bahawa sekiranya semua Mahasiswa
bersatu menegakkan perjuangan rakyat, maka penguasa tidak
mampu memperalatkan AUKU untuk mendenda, menggantung, atau
membuang Mahasiswa kerana pasaran ekonomi negara yang amat
memerlukan sumber
manusia dari kalangan lepasan universiti akan
terjejas.
Sejajar dengan idealisma Mahasiswa menegakkan
perjuangan rakyat, maka Kesatuan Mahasiswa Merdeka
menyokong demonstrasi secara aman untuk membela nasib rakyat.
Akta Polis mesti dimansuhkan kerana ia amat bertentangan dengan
semangat Perlembagaan Persekutuan dalam Artikel 10 yang memberi
hak kepada kita untuk bebas bersuara dan mengadakan perhimpunan
aman. Malaysia menjadi bahan lawak antarabangsa kerana berikutan
dengan kewujudan Akta Polis ini, rakyat dikatakan mempunyai
kebebasan bersuara tetapi tidak mungkin bebas dari tindakan
penguasa selepas bersuara.
Dalam mempertahankan kebebasan bersuara ini, Kesatuan Mahasiswa
Merdeka mengharapkan agar Mahasiswa bersikap non partisan.
Kita perlu kritikal kepada parti pemerintah mahupun parti
alternatif kerana kita tidak mempunyai apa-apa kepentingan
khususnya kepentingan politik. Kebetulan pada dasawarsa ini,
idealisma Mahasiswa selari dengan parti alternatif maka persepsi
penguasa bahawa Mahasiswa menyokong parti alternatif. Tetapi
hendaklah diingat sekiranya ditakdirkan parti alternatif memerintah
Malaysia suatu hari nanti, mereka bersikap zalim, maka sudah
semestinya Mahasiswa bangun menentang mereka.
Kesatuan Mahasiswa Merdeka menyeru agar para Mahasiswa tidak
berasa gundah gulana dengan cabaran- cabaran yang menimpa
kita kerana status kita sebagai agent of change memerlukan
semangat yang kental demi menegakkan negara yang lebih adil.
Kita juga perlu menghayati kata-kata keramat ‘kalau takut
pada risiko, jangan bicara soal perjuangan’. Perjuangan menuntut
pengorbanan yang tidak sedikit. Perjuangan gerakan Mahasiswa
Indonesia berjaya menggulingkan pemeritahan diktator tua Soeharto
selepas menempuh pelbagai dugaan dan rintangan termasuklah
tragedi pembunuhan beberapa orang Mahasiswa Universiti Trisakti.
HIDUP GERAKAN MAHASISWA ! MANSUHKAN AUKU ! MANSUHKAN
ISA !