Membetulkan
persepsi masyarakat terhadap mahasiswa
Oleh
Jabdin Juhat
(Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Persatuan Mahasiswa
Universiti Malaysia Sabah) MAHASISWA merupakan penentu kemudi
ummah. Bagaimana dan apa warna masyarakat masa depan berada
di tangan dan tanggungjawab mahasiswa.
Sebagai
kelompok yang tidak mempunyai kepentingan peribadi sewajarnya
mahasiswa sedaya upaya mempertahankan keuniversalannya sama
ada cara berfikir mahu pun cara bertindak.
Kebelakangan
ini, perhatian yang diberikan oleh pemimpin kerajaan agak
luar biasa hebat sehingga menjadi isu utama yang dibincangkan
di perhimpunan agung parti sehingga di meja makan dan warung
kopi.
Kebanyakan
isu yang dibangkitkan rata-rata berlegar sekitar kecenderungan
pelajar yang disifatkan oleh sesetengah pihak lebih mirip
dan terdorong kepada pendekatan pihak tertentu.
Pelbagai
kenyataan dan label turut dilontarkan kepada kelompok ini;
umpamanya generasi yang tidak tahu bersyukur, tidak rasional
dan mereka yang sudah termakan hasutan parti politik tertentu.
Hampir
semuanya meletakkan generasi mahasiswa berada di kandang pesalah
tanpa diberikan ruang dan peluang untuk membela diri.
Hakikatnya,
keterlibatan mahasiswa dalam kancah politik dilihat sebagai
sesuatu yang tidak wajar.
Memang
ada benarnya mahasiswa tidak perlu melibatkan diri dalam kancah
politik negara.
Sungguhpun
begitu, ada mahasiswa terlibat secara langsung ataupun tidak
langsung dalam politik tempatan dan antarabangsa.
Dalam
hal ini, semua pemimpin pelajar perlulah menyedari bahawa
matlamat utama mereka di universiti adalah menuntut ilmu dan
berbakti kepada masyarakat.
Cuma
terdapat mereka yang alpa dan lalai untuk tugas utama itu.
Perkara ini tidak harus dipandang mudah kerana terdapat faktor
lain yang mempengaruhi mereka, misalnya penyerapan golongan
parti politik dalam kampus untuk mengajak mereka menyertai
gerakan atau pertubuhan tertentu.
Maka
rentetan daripada itu, tidak hairanlah dinamika pergerakan
persatuan mahasiswa banyak berpaksi kepada politik kepartian
yang tidak sewajarnya berlaku.
Sebagai
mahasiswa yang pernah menyandang jawatan tertinggi dalam Majlis
Perwakilan Pelajar, saya berasa terpanggil untuk menyatakan
pandangan terhadap senario isu-isu semasa yang melibatkan
mahasiswa hari ini.
Ketika
saya menerajui pimpinan pelajar ternyata pelbagai tekanan
daripada pihak tertentu terpaksa ditempuhi yang mana ia akhirnya
mengajar mahasiswa menjadi lebih matang dalam menghadapi cabaran
masa depan.
Ketika
itu juga, saya dan rakan-rakan pimpinan lain di Universiti
Malaysia Sabah (UMS) cuba mencari pendekatan yang sesuai iaitu
mendokong pandangan untuk tidak menyokong pihak-pihak tertentu
atau berkepentingan.
Pada
saya kebebasan itu amat perlu untuk memajukan gerakan mahasiswa.
Segala pandangan yang sama dengan pihak tertentu atau pembangkang
perlu dilihat secara kebetulan.
Apa
yang penting pandangan itu perlu dilihat sebagai suatu pendapat
daripada golongan muda yang mengharapkan perhatian dan pertimbangan
wajar.
Pandangan
itu tidak semestinya diterima tetapi sekurang-kurangnya ia
boleh mencetuskan idea terhadap pembangunan negara.
Sepanjang
penyertaan saya bersama pimpinan mahasiswa di seluruh negara
pula, ternyata banyak suka duka yang telah ditempuhi.
Antaranya
ialah isu penubuhan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
(MPPK), penerbitan majalah Varsiti UM, pelajar ditahan di
bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tindakan tatatertib
universiti, dialog dengan pemimpin kerajaan, kebakaran Dewan
Tuanku Canselor, kecemerlangan akademik mahasiswa dan gerakan
militan.
Isu
yang bertali arus dan sukar dibendung itu seolah-olah memperlihatkan
bahawa mahasiswa nampak lebih cenderung anti kepada kerajaan.
Namun
saya ingin menyatakan bahawa tidak semua pemimpin mahasiswa
bersikap sedemikian.
Media
massa di Malaysia pula terlalu ampuh dan hebat menyiarkan
berita tentang isu-isu mahasiswa yang bersifat negatif terhadap
golongan itu.
Ada
laporan bersifat prejudis dan tidak kurang juga mengandungi
kebenarannya.
Pokok
tidak akan bergoyang jika tidak angin yang bertiup. Dalam
hal ini, janganlah pula menyalahkan media massa tetapi wajarlah
kita merenung kelemahan diri sendiri.
Maka
suatu tugas yang amat besar dan mencabar kepada mahasiswa
hari ini ialah membetulkan persepsi masyarakat dan kerajaan
terhadap golongan itu.
Jangan
biarkan masyarakat terus memandang negatif terhadap golongan
mahasiswa, misalnya tidak minat belajar, politik kepartian
dan menyokong pihak tertentu.
Pemimpin
pelajar pula jangan cepat melenting apabila dikatakan anti
kerajaan.
Kalau
kita benar, kita akan berani, ikhlas dan telus serta tidak
takut untuk mengaku dan menafikannya.
Ada
pula mengatakan punca kegagalan gerakan mahasiswa ialah kerana
mereka memiliki jiwa kerdil sehingga tidak sanggup berkorban
nyawa.
Justeru
demonstrasi dan memorandum menjadi mekanisme yang dibanggakan
serta dikatakan cara yang terbaik.
Jaminan
manakah yang mengatakan ia cara terbaik jika jelas ia mengganggu
ketenteraman awam, peniaga serta mencetuskan kesesakan lalu
lintas?
Jika
kita inginkan sebuah negara yang aman, jangan kita mudah melatah
dan sebagai golongan terpelajar segala tindakan seharusnya
dilandasi kekuatan akal.
Halaman Utama