Hentikan Pencabulan terhadap
Hak asasi Mahasiswa
Suaram khuatir akan bibit-bibit mahasiswa menjadi
sasaran kedua pihak pemerintah selepas penahanan pucuk pimpinan
Pemuda Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi. Buktinya
adalah tuduhan melulu dari pucuk pimpinan Pemuda Umno dan
laporan polis yang dibuat oleh pimpinan Pergerakan Pemuda
Negara Malaysia (PPNM) sejurus selepas kebakaran Dewan Tunku
Canselor, Universiti Malaya yang mendedahkan terdapat lebih
10 kumpulan anti kerajaan dan gerakan bawah tanah seperti
Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Himpunan
Mahasiswa Islam Selangor (Hamas). Mereka ini dituduh terlibat
dalam kegiatan anti kerajaan seperti berdemonstrasi, menerbitkan
majalah dan risalah serta yang terbaru turut dikaitkan dengan
kebakaran Dewan Tunku Canselor.
Mengikut pemerhatian kami, bibit-bibit ini telahpun
bermula pada 8hb Jun 2001 di mana seramai 7 orang
pelajar yang ditahan ketika hampir bersurai setelah
menyertai demonstrasi aman membantah penggunaan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara. Mereka yang ditahan adalah
Rafzan bin Ramli, Herman bin Shaharuddin, Dzulkifli bin Idris,
Khairul Amar bin Mahmud, Ahmad Kamal bin Abdul Hamid, Wan
Mohamad Sanusi bin Wan Mohd Noor dan Nik Noor Hafizi bin Nik
Ibrahim. Mereka ditahan semalaman di dalam lokap dan turut
dipukul semasa dalam tahanan. Kemudian, mereka dibebaskan
dengan jaminan polis.
Sejurus selepas itu, Rafzan bin Ramli, seorang pelajar
tahun akhir jurusan kejuruteraan elektronik di
Universiti Teknologi Mara telah dihadapkan ke Lembaga
Tatatertib pada 22 Jun 2001 untuk dibicarakan. Notis
penangguhan perbicaraan beliau pada 15 Jun 2001 telah disingkatkan
dari 2 minggu menjadi seminggu dan beliau hanya menerimanya
2 hari sebelum perbicaraan. Beliau telah dinafikan hak untuk
membawa saksi, peguam dan pemerhati serta tidak dibenarkan
langsung melihat bahan bukti kes beliau sendiri. Perbicaraan
tersebut berlangsung begitu singkat dengan hanya 3 soalan
yang diajukan kepadanya dan beliau kemudiannya dibuang dari
universiti tersebut.
Seorang lagi mahasiswa, Choo Chon Kai yang menjawat jawatan
Setiausaha Agung Persatuan Bahasa Cina Universiti Sains Malaysia
disabitkan hukuman denda RM200 pada 3 Julai 2001 kerana menjual
dan memiliki lencana ‘Mansuhkan ISA Zalim’. Turut menghadapi
hukuman yang sama adalah rakan beliau, Lee Yen Ting, Presiden
Persatuan Bahasa Cina USM atas tuduhan mengeluarkan kenyataan
akhbar berhubung ‘keengganan pihak universiti membenarkan
penyertaan persatuan mereka ke Pertandingan Perbahasan Universiti
Malaysia-Singapura’ tanpa kelulusan universiti.
Manakala, 5 orang pelajar lain yang turut dibicarakan
kerana menyertai perbahasan tersebut telah
ditangguhkan perbicaraan mereka dan mereka dilarang
mendedahkan hukuman yang dikenakan ke atas rakan
mereka kepada sesiapa pun termasuk media.
Suaram juga turut difahamkan bahawa 3 orang pelajar
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) akan dihadapkan ke Lembaga
Tatatertib hari ini (4 Julai 2001) atas
tuduhan menganjurkan demonstrasi membantah penggunaan ISA
dalam kampus universiti.
Suaram memandang serius terhadap semua peristiwa
perlanggaran hak asasi pelajar yang telah dan akan
dilakukan oleh pihak universiti terhadap mahasiswa
sejak kebelakangan ini.
Suaram membantah sekeras-kerasnya penggunaan akta ini yang
bertujuan untuk menekan gerakan mahasiswa yang tidak sehaluan
dengan kerajaan. Walhal, kita semua sudah sedia maklum bahawa
Dr Mahathir sendiri pernah suatu ketika dahulu menggunakan
mahasiswa sebagai
pentas politik beliau dalam menentang Allahyarham
Tunku Abdul Rahman yang mengetuai kerajaan ketika itu.
Akhirnya, Tunku sendiri akur dengan desakan mahasiswa dan
meletakkan jawatan. Kini, apakah Dr Mahathir takut akan ‘senjata
memakan tuan’ sedangkan dahulu beliau menyokong gerakan pelajar
dan rakyat?
Maka, Suaram menuntut pihak universiti mengembalikan semula
kedudukan pelajar yang telah dihukum kerana mengamalkan hak
asasi mereka. Suaram juga mendesak kerajaan agar segera memansuhkan
Akta Universiti dan
Kolej Universiti (AUKU) dan lain-lain akta yang
menindas para mahasiswa dan masyarakat serta
kembalikan hak asasi mahasiswa.
MANSUHKAN AUKU DAN KEMBALIKAN HAK ASASI MAHASISWA!!!

Isu selanjutnya
– Isu Semasa