Kaedah
faedah PTPTN tetap riba
(Bagaimana
kesudahannya perjuangan Gamis tentang isu riba PTPTN? Kalau
benar-benar riba, bagaimanakah nasib pelajar-pelajar IPTA
yang telah menerima PTPTN?.Sanggupkah mereka menolak PTPTN?.Komen,
penasakti2002@yahoo.com)
Oleh: Muhammad Faisal Abdul Rahman
3,Mac-Persatuan
Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) bertegas bahawa
kadar empat peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) adalah riba.
PMIUM
bersetuju dengan Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, yang
menyebutkan kadar itu dianggap riba sekiranya bukan kos perkhidmatan.
Setakat ini tabung pendidikan itu terus membisu berkenaan
jumlah sebenar kos perkhidmatan yang digunakan.
PTPTN
juga mengelak daripada berdialog dengan pelajar berhubung
isu ini. Kami juga telah memohon fatwa rasmi daripada Majlis
Fatwa Kebangsaan tetapi belum mendapat jawapan.
Pelajar
turut menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri
dan Menteri Pendidikan bagi menuntut kadar tersebut dihapuskan
tetapi belum mendapat jawapan yang positif. Di sini saya ingin
mengemukakan hujah berkaitan isu ini.
Sistem
pinjaman PTPTN yang disediakan oleh kerajaan kepada pelajar
institusi pengajian tinggi diragui hukumnya memandangkan wujud
lebihan empat peratus pembayaran balik yang dikenakan ke atas
pelajar.
Penambahan
empat peratus ke atas jumlah modal menurut sesetengah ulama
adalah riba (faedah) yang dikenakan oleh pemiutang terhadap
penghutang.
Di
sini saya mengkelaskan hutang PTPTN sebagai pinjaman penggunaan
(consumption loan) dan bukannya pinjaman produktif (productive
loan). Pinjaman penggunaan bertujuan kegunaan harian seperti
kos-kos penginapan, makanan, alat bantuan belajar dan sebagainya.
Manakala
pinjaman produktif bertujuan pelaburan atau modal untuk memulakan
perniagaan seperti yang diberikan oleh bank kepada pelabur-pelabur
dan ahli perniagaan.
Dengan
ini penghutang mendapat faedah yang besar daripada pelaburan
hasil wang pinjaman tersebut. Sesetengah ulama menyatakan
pinjaman produktif yang wujud pada masa ini terkeluar daripada
maksud riba yang diharamkan kerana pemiutang wajar meminta
sedikit pulangan atau lebihan bayaran atas keuntungan yang
diperolehi oleh penghutang.
Tetapi
lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman penggunaan seperti
PTPTN tertakluk dalam hukum riba - kerana pinjaman penggunaan
bertujuan sebagai perbelanjaan hangus dan bukannya untuk pelaburan
yang boleh mendatangkan keuntungan jangka panjang.
Kos
perkhidmatan juga riba Lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman
yang berbentuk penggunaan harian bagi tujuan pendidikan dan
pembelajaran dikira riba dan satu bentuk penindasan.
Penindasan
itu ternyata berlaku dalam pinjaman penggunaan sahaja kerana
orang yang berhutang (pelajar) terdesak untuk memenuhi keperluan
hariannya, sementara si pemiutang (PTPTN) pula mengambil kesempatan
mengenakan kadar bunga yang tinggi yang berbentuk menindas.
Ciri
pinjaman seperti ini yang dikenali sebagai riba. Pelajar di
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengambil kontrak
pinjaman PTPTN bernilai RM19,000 diwajibkan membayar balik
sebanyak RM23,083.89 setelah ditambah lebihan empat peratus
bagi tempoh pembayaran 10 tahun.
Manakala
bagi pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang
mengambil pinjaman sebanyak RM60,000 selama tiga tahun dikenakan
bayaran balik sebanyak RM87,261.17 - ini bermakna riba dikenakan
sebanyak RM27,261.17.
Bagaimanapun
Dekan Pengajian Islam di Universiti Malaya, Profesor Datuk
Dr Mahmood Zuhdi, mempunyai pandangan yang berbeza. Menurutnya,
lebihan empat peratus ini adalah jumlah untuk menyamakan nilai
matawang bagi sepuluh tahun akan datang.
Nilai
RM10 tahun ini tidak sama nilainya dengan RM10 untuk sepuluh
tahun akan datang. Maka lebihan empat peratus ini adalah jumlah
untuk menyamakan nilai tersebut pada masa akan datang. Beliau
menggunakan teori "nilai barangan yang lebih rendah pada
masa depan berbanding nilai sekarang."
Lebihan
yang disebut agio ini merupakan nilai yang ditambah kepada
pinjaman modal pada masa pembayarannya sebagai usaha untuk
menyamakannya dengan nilai asal pinjaman modal.
Dengan
kata lain, bunga adalah sama dengan perbezaan (dari segi psikologi
dan bukannya ekonomi) antara barangan masa kini dengan barangan
masa depan. Sementara PTPTN pula mendakwa kadar itu sebagai
kos perkhidmatan dan wang untuk pusingan modal bagi memenuhi
tuntutan pelajar akan datang.
Bagaimanapun
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Hashim Yahya secara
lisan mengakui kadar itu adalah riba berdasarkan illah yang
terdapat dalam pinjaman berkenaan. Ringkasnya, bolehlah dikatakan
sebarang jumlah terakru (accrued) yang ditambahkan kepada
jumlah pokok merupakan riba yang diharamkan walau apa alasan
sekalipun (sama ada disebut kos perkhidmatan atau pusingan
modal) selagi ia melibatkan urus niaga pinjaman. Namun ada
ulama berpendapat, lebihan tersebut dibenarkan sebagai upah
penulis hutang dan kos penyelenggaraan.
Tetapi
ia berbeza dengan PTPTN yang sewajarnya menjadi tanggungjawab
kerajaan, bukannya tanggungjawab pelajar. Ia dikenali juga
dengan riba al-Qur’an atau riba nyata. Utamakan rakyat atau
perniagaan? Ibnu ‘Arabi menyatakan bahawa riba jenis ini terdapat
dalam urusan masyarakat jahiliah (sebelum kebangkitan Nabi
Muhammad) dan amalan ini terkenal pada masa itu.
Oleh
sebab itu, riba jenis ini juga dikenali dengan riba al-jahiliyyah.
Sesetengah ulama di kalangan sahabat Rasulullah menganggap
riba jenis ini sahaja yang diharamkan dalam Islam. Mereka
bersandarkan pendapat Ibnu ‘Abbas yang menyatakan, "sesungguhnya
riba itu ialah pada riba al-nasi’ah kerana berdasarkan hadis
Rasulullah yang bermaksud: ‘Tiada riba kecuali pada riba al-nasi’ah’."
Ada
juga ulama, misalnya Ibn Hazm daripada mazhab al-Zahiri, berpendapat
bahawa riba yang wujud pada hari ini tidak sama dengan yang
wujud pada zaman Rasulullah kerana berlainan komoditi seperti
yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah. Antara komoditi yang
terlibat dalam hukum riba ialah emas, perak, gandum, barli,
tamar dan garam.
Oleh
kerana wang ringgit hanya wujud pada zaman sekarang, maka
lebihan yang berlaku tidak dikira riba dan mereka meragui
kesahihan illah yang digunakan dalam pembinaan hukum Islam
melalui proses qiyas.
Pemikir-pemikir
Islam masa kini seperti Al-Maududi, Mufti Shafi, Fazlur Rahman
dan lain-lain lagi menolak pandangan ini. Mereka berpendapat
jika prinsip ini diterima pakai, maka masalah yang sama akan
timbul, misalnya tentang jenis-jenis judi dan arak yang menggunakan
pelbagai jenama sekarang - ia mestilah diisytiharkan halal
kerana jenama-jenama ini tidak terdapat pada zaman Rasulullah.
Cuma
harus diingatkan bahawa asalnya pinjaman yang dibenarkan oleh
Islam berdasarkan konsep at-ta’awun (kerjasama atau bantu-membantu)
- golongan kaya menolong orang miskin dan begitu juga peranannya
kerajaan terhadap pelajar.
PTPTN
adalah tanggungjawab sosial kerajaan yang berterusan, bukannya
sebagai badan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan. Tanggungjawab
sosial itu boleh dikatakan pengorbanan kerajaan selagi ia
tidak dianggap sebagai perniagaan. Tetapi amalan sekarang
nampaknya bukan pengorbanan dan bukan pula perniagaaan.
Jika
kerajaan membuat pengorbanan moral, mereka harus berpuas hati
mendapat keuntungan dari segi moral dan jika mereka bercakap
tentang ganjaran wang ringgit, mereka tidak boleh mendakwa
mereka telah melaksanakan tanggungjawab sosial.
Mereka
seharusnya bercakap secara langsung tentang perniagaan dan
mengakui kerajaan kini adalah berorientasikan perniagaan (business
government) dan bukannya berorientasikan rakyat (social government).
MUHAMMAD
FAISAL ABDUL RAHMAN adalah Presiden, Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Malaya (PMIUM)
Halaman Utama