Kenyataan
akhbar - Larangan sekat suara MPP
Kenyataan
akhbar - Larangan sekat suara MPP
Oleh ARSHAD KHAN
INSTITUSI pengajian tinggi awam (IPTA) perlu memberi kelonggaran
kepada barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung isu semasa kepada
pihak media.
Kelonggaran
itu adalah selaras dengan kedudukan MPP yang memerlukan saluran
tertentu untuk menyampaikan idea dan pendapat masing-masing
kepada masyarakat.
Beberapa
pemimpin pelajar yang dihubungi Dunia Kampus menegaskan sebagai
wakil pelajar, mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian
selagi tidak menyentuh isu yang terlalu sensitif.
Yang
Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Universiti Teknologi
Mara (UiTM), Muhammad Amyzaddin Raya berkata, tindakan sesetengah
IPTA yang melarang barisan kepimpinan MPP dan para pelajarnya
mengeluarkan kenyataan kepada media jelas menyekat kebebasan
bersuara MPP.
Ini
kerana katanya, MPP yang ditubuhkan bagi menjadi wakil pelajar
di sesebuah IPTA perlu diberi peluang untuk mengemukakan pendapat
berhubung isu semasa.
``Sebagai
pemimpin, kami perlu diberikan hak yang sama rata dengan pentadbiran
universiti untuk meluahkan pandangan dan komen kepada pihak
media,''katanya ketika dihubungi.
Beliau
mengulas langkah beberapa IPTA yang baru-baru ini melarang
barisan kepimpinan MPP untuk mengeluarkan kenyataan atau komen
berhubung sesuatu isu kepada pihak media.
Malah
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk
Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali baru-baru ini, mengingatkan
pelajarnya terutama barisan kepimpinan MPP supaya tidak membuat
sebarang kenyataan akhbar bagi mengelakkan dikenakan tindakan
di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Pelajar
yang melanggar arahan tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib
termasuk membuang mereka dari kampus.
Muhammad
Amyzaddin seterusnya berkata, kelonggaran yang diberi akan
mewujudkan sebuah universiti yang adil sekali gus mengelakkan
pemimpin pelajar menggunakan saluran lain untuk menyampaikan
pendapat yang tentunya lebih tidak disenangi oleh pihak universiti.
Presiden
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM),
Abdullah Abdul Karim pula meminta pihak universiti tidak merasa
risau dengan kenyataan yang akan dikeluarkan oleh para pemimpin
atau pelajar IPTA kepada media.
``Kewujudan
Akta Mesin Cetak dan Akta Ketenteraman Awam sudah mampu mewujudkan
batasan pemimpin pelajar dalam mengemukakan pendapat kepada
pihak media,'' katanya.
Selain
itu menurutnya, IPTA perlu memahami bahawa setiap individu
dibenarkan meluahkan pendapat masing-masing seperti yang diperuntukkan
oleh Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.
Presiden
MPP, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Nasir Othman berkata,
fungsi sebenar pemimpin pelajar akan tergugat sekiranya pihak
IPTA melarang mereka daripada membuat kenyataan akhbar.
Bagaimanapun,
beliau bersetuju bahawa dalam keadaan tertentu, para pemimpin
pelajar perlu merujuk terlebih dahulu kepada pihak universiti
sebelum mengeluarkan kenyataan.
``Beberapa
isu tertentu misalnya yang menyentuh dasar kerajaan atau universiti
dan perpaduan kaum perlu diulas dengan berhati-hati supaya
tidak menimbulkan masalah,'' katanya.
Justeru
beliau meminta semua pemimpin pelajar berpegang kepada etika
semasa mengulas sesuatu isu kepada pihak media.
Halaman Utama