oleh Mohd Rizam Zakariya
Senario politik di negara kita kini jelas dapat
dilihat semakin tidak menentu. Hala tuju politik kini
seolah-olah tidak lagi dijadikan sebagai titik tolak
untuk memperjuangkan dan mewarisi kesinambungan
daripada apa yang telah diperjuangkan oleh nenek
moyang kita dahulu.
Masyarakat kita hari ini sememangnya ‘mudah lupa’
seperti mana yang pernah diperkatakan oleh Perdana
Menteri kita sebelum ini. Memang jelas kelihatan
bahawa apa yang berlaku hari ini telah menggambarkan
kepada kita bahawa kita sudah mula terpesong dan
menyimpang daripada tujuan sebenar kita berpolitik.
Pengarang bukanlah ingin memihak kepada mana-mana parti politik
yang ada pada masa ini. Namun apa yang ingin diperkatakan
di sini adalah berkenaan arus
politik yang kini semakin deras menghantui pemikiran
para mahasiswa Institusi PengajianTinggi Awam (IPTA)
mahupun swasta (IPTS).
Sememangnya diakui, senario politik kampus bukanlah
sesuatu yang baru di kalangan warga kampus, malahan ia telah
wujud sejak dahulu lagi.
Namun apa yang membezakan antara keduanya adalah
fahaman yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan berkenaan untuk
memperjuangkan idea-idea mereka.
Turut diakui bahawa mengutarakan sesuatu pandangan
akan dapat memperbaiki sesuatu keadaan dan ia adalah amat
dialu-alukan. Namun perlu diketahui bahawa pandangan yang
salah dari segi peraturan pula adalah sesuatu yang dilarang.
Peristiwa Dewan Tunku Canselor (DTC), Universiti
Malaya (UM) yang musnah akibat kebakaran baru-baru ini adalah
sesuatu yang amat menyedihkan, terutamanya kerana ia terjadi
di sebuah universiti tertua di negara kita. Sejurus selepas
kejadian itu, berlaku
pula kejadian kebakaran bilik sistem maklumat bangunan Matematik
dan Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ekoran daripada peristiwa itu, ada pihak yang
menunding jari secara mudah terhadap pihak pengurusan UM dengan
menuduh merekalah yang bertanggungjawab terhadap kejadian
itu dengan niat membangkang kerajaan walaupun keputusan siasatan
yang dilakukan oleh pihak berkuasa masih belum dikeluarkan
pada ketika itu.
Kegiatan meracuni pemikiran mahasiswa supaya membenci kerajaan
bukanlah satu perkara yang baru di UIAM malah di lain-lain
institusi pengajian tinggi.
Bagaimanapun, kegiatan itu dikatakan semakin rancak
sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutama semasa pilihanraya
kampus di UIAM tahun lepas.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila terdapat
kumpulan pelajar utama di UIAM yang radikal iaitu WUFI (merujuk
kepada cogan kata Hamas iaitu We Inute For Islam).
Senario seperti ini seolah-olah menggambarkan betapa
kuatnya mahasiswa di institusi pengajian tinggi
dipengaruhi oleh unsur-unsur yang berbaur politik
walaupun ia tidak jelas kelihatan pada mata kasar.
Baru-baru ini seorang aktivis pelajar Institut
Kemahiran Mara (IKM), Khairul Anuar Ahmad Zainuddun, ditahan
di bawah seksyen 73 (1) akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
berhubung kes di Masjid Negara pada 8 Jun.
Seorang lagi bekas aktivis pelajar UM yang kini
bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta turut
ditahan berhubung kes penyebaran majalah Varsiti 2001 yang
dikatakan ada hubung kait dengan kebakaran DTC di universiti
berkenaan.
Jika dirujuk kepada undang-undang, bukan sahaja
masyarakat umum yang terikat dengan tindakan ISA,
malahan para penuntut turut tidak terkecuali daripada
dikenakan tindakan berkenaan sekiranya mereka
melanggar undang-undang negara.
Lantaran daripada apa yang telah berlaku, pihak
Kementerian Pendidikan pula mengarahkan semua
universiti mengambil tindakan tegas berdasarkan
peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)
terhadap pensyarah dan mahasiswa yang disyaki
menyertai pertubuhan haram termasuk mengusir mereka jika turut
terlibat dalam kegiatan jenayah.
Sehingga kini, terdapat 10 buah pertubuhan haram yang wujud
di universiti tempatan tanpa berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan
termasuklah Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis),
Front Anak Muda Untuk Demokrasi, Universiti Bangsar Utama,
Pergerakan Demokrasi Pelajar dan Pemuda Malaysia (MYSDM) serta
Gabungan Mahasiswa Wangsa Maju.
Kita perlu sedar dan tahu bahawa menyertai satu
pertubuhan haram adalah satu perbuatan yang salah.
Oleh yang demikian, penuntut yang terlibat dengan
pertubuhan haram seharusnya meninggalkan pertubuhan itu dengan
segera kerana ia tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada
diri sendiri, tetapi sebaliknya hanya akan melemahkannya dan
jika tidak diawasi , ia boleh menghancurkan masyarakat dan
negara.
Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan,
Datu Mahadzir Mohd Khir dalam kenyataanya di dalam
sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, para penuntut
tidak seharusnya membiarkan dasar kepartian di luar
IPT mengongkongi persatuan-persatuan mahasiswa kerana ia akan
menjejaskan pendirian serta kewibawaan pelajar sebagai pencetus
pemikiran rakyat.