Kehebatan
pilihan raya kampus
Oleh
Mohd Izaini Ismail
(Presiden Majlis Kajian Kepemimpinan dan Pembangunan Minda,
Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara)
Pilihan
raya kampus untuk memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
sesi 2001/2002 merupakan antara yang terhebat pernah diadakan.
Ini
kerana media memberi liputan yang meluas seakan-akan pilihan
raya umum manakala gelanggangnya pula menyaksikan pertembungan
kelompok pelajar proaspirasi kerajaan dan propembangkang.
Kehebatannya
juga dikaitkan dengan pelbagai peraturan pilihan raya yang
ketat di setiap IPTA.
Walau
apa pun, tafsiran `terhebat' itu, ia terpulang kepada sesiapa
untuk menafsirkannya .
Bagi
saya, pilihan raya kampus kali ini cukup hebat kerana ia memberi
beberapa impak.
Pelbagai
isu diperkatakan - dari isu pelabelan kelompok pelajar sehinggalah
kepada ketelusan pelaksanaan pilihan raya.
Pelabelan
kelompok pelajar itu sebenarnya menimbulkan polemik di mana
banyak pihak tidak bersetuju dengan cara ia dibuat.
Ia
dikatakan tidak adil kepada pelajar kerana asas untuk pelabelan
itu dilakukan secara melihat kepada perbezaan pendapat di
antara kelompok-kelompok pelajar itu.
Saya
ingin menegaskan bahawa perbezaan pendapat tidak harus dilihat
sebagai suatu bentuk bantahan terhadap kerajaan.
Justeru
dalam usaha kerajaan mengelakkan politiking dalam kampus,
pihak-pihak tertentu termasuk pengurusan kanan IPTA tidak
harus memberi label kepada pelajar masing-masing.
Namun
agak mengecewakan apabila sesetengah Naib Canselor IPTA begitu
ghairah mengumumkan kemenangan kelompok pelajar proaspirasi
kerajaan di universiti mereka.
Soalnya,
adakah keghairahan ini bertujuan mendapatkan political mileage
di mata umum dan pimpinan tertinggi kerajaan?
Sekiranya,
kelompok pelajar propembangkang menang, adakah keghairahan
itu akan wujud dalam diri Naib Canselor berkenaan?
Isu
kedua yang turut hangat diperkatakan ialah peraturan baru
pilihan raya.
Sungguhpun
hasrat penguatkuasaan peraturan ini amat baik, pertimbangan
lain perlu dibuat dalam melaksanakannya.
Ini
kerana perwakilan pelajar merupakan barisan pimpinan yang
akan memperjuangkan hak dan kebajikan pelajar sekali gus mewarisi
kepimpinan negara masa depan.
Karisma
kepimpinan dan ketulenan daya khidmat perlulah tinggi untuk
menabur budi dan bakti kepada warga kampus.
Justeru
pilihan raya kampus sepatutnya menjadi platform dan sanggar
terbaik untuk tujuan itu.
Warga
kampus tentunya tidak mahu dan menolak `pemimpin-pemimpin
kangkung' yang hanya turun padang apabila musim pilihan raya
tetapi lesap selepas menang.
Kepimpinan
mahasiswa haruslah disinergikan berasaskan `kiambang bertaut'
yang mempunyai susur galur teguh dan mantap walaupun selepas
hari hujan.
Selain
itu, ketelusan dan demokrasi pilihan raya kampus kali ini
juga menjadi pertikaian dan mewujudkan polemik.
Dalam
usaha membentengi pengaruh atau anasir luar yang kononnya
didalangi pembangkang ternyata keterlibatan parti politik
kerajaan dalam pilihan raya ini agak mengecewakan.
Sekiranya
wujud keperluan untuk pihak - pihak ini terlibat, lebih bijaksana
jika platform kerajaan secara rasmi digunakan dan bukannya
atas medium parti politik.
Lebih
memburukkan keadaan apabila ketelusan Hal Ehwal Pelajar (HEP)
dipertikaikan.
Selaku
pihak yang dipertanggungjawabkan sebagai urusetia pilihan
raya yang berfungsi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),
sikap berkecuali atau non - partisan perlu menjadi amalan.
Pihak
HEP tidak sewajarnya terlibat dalam penentuan atau penajaan
calon bagi mana-mana kelompok serta tidak cenderung pada mana-mana
kelompok.
Ternyata
ribut pilihan raya kampus ini mungkin akan menjadi cermin
kepada pilihan raya umum pada tahun 2004 nanti.
Apa
yang jelas pilihan raya kampus boleh dijadikan sanggar terbaik
untuk memupuk nilai-nilai demokrasi yang matang di kalangan
pelajar.
Halaman Utama