Pelajar IPTA mula tandatangan
akujanji Mei
KUALA LUMPUR, Rabu: Semua pelajar institusi
pengajian tinggi awam (IPTA) wajib menandatangani akujanji
mulai sesi pengajian 2002/2003 yang bermula Mei ini manakala
kakitangan IPTA serta guru perlu berbuat demikian sebelum
April.
Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, berkata
kandungan akujanji untuk pelajar IPTA diambil daripada
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta
peraturan mengikut akta berkaitan disiplin dan
tanggungjawab sebagai pelajar.
Semua yang mendaftar sebagai pelajar Mei tahun ini,
sama ada pelajar lama atau baru, terpaksa
menandantangani akujanji ini, katanya selepas
menghadiri majlis menandatangani surat akujanji oleh
naib canselor dan rektor IPTA, hari ini.
Semua naib canselor dan rektor IPTA menandatangani
surat akujanji itu kecuali Naib Canselor Universiti
Malaya, Prof Datuk Dr Anuar Zaini Mohd Zain yang
berada di luar negara, serta Rektor Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Mohd Kamal
Hassan kerana ia bertanggungjawab terus kepada
Presiden universiti itu.
Upacara menandatangani surat akujanji oleh kakitangan IPTA
akan dikendalikan naib canselor dan rektor masing-masing.
Mengenai kandungan surat akujanji naib canselor dan
rektor itu, Musa berkata, kandungannya diambil
daripada Peraturan 3 Peraturan Badan-badan Berkanun.
Antara kandungannya ialah berjanji taat setia kepada
Yang di-Pertuan Agong, negara, kerajaan dan universiti
mereka bertugas; melaksanakan tugas dengan cermat,
bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah, dan
bertanggungjawab serta tidak membelakangkan kewajipan kepada
universiti.
Akujanji itu juga memastikan kakitangan tidak
berkelakuan yang bercanggah kewajipannya terhadap
universiti, menimbulkan syak, tidak menggunakan
kedudukannya sebagai pegawai untuk faedah diri, serta
melakukan sesuatu yang boleh memburukkan atau
mencemarkan nama universiti.
Pada sidang akhbar sama, Musa turut mengumumkan
pelantikan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti
Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Abu Azam Mohd
Yassin, sebagai Rektor Kolej Universiti Kejuruteraan
Teknikal Malaysia.
Katanya, pelantikan Dr Abu Azam berkuat kuasa selama tiga
tahun mulai 19 November tahun lalu manakala kolej universiti
awam baru itu akan beroperasi di kampus cawangan UTM di Pekan,
Pahang.
Isu selanjutnya
– Isu Semasa