Kebakaran
Dewan Sultan Iskandar angkara khianat
Berita
Minggu:10 Mac 2002
SKUDAI:
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak menolak kemungkinan
kebakaran Dewan Sultan Iskandar, di sini, awal pagi kelmarin
berpunca daripada perbuatan sabotaj menjelang konvokesyen
universiti itu, minggu depan.
Malah,
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali
tidak menolak andaian perbuatan itu sebagai khianat terhadap
sambutan ulang tahun Ke-30 UTM yang bakal dirasmikan Sultan
Johor, Khamis ini dan majlis konvokesyen pada 16 dan 17 Mac
ini.
“Andaian
kita ini berdasarkan tindakan universiti yang mula mengambil
tindakan disiplin lebih tegas terhadap pensyarah, pelajar
dan stafnya yang terbabit dalam kegiatan antikerajaan atau
yang bertentangan dengan kod etika universiti sejak kebelakangan
ini.
“Kita
mengambil sikap tegas dalam banyak isu. Kemungkinan ini (sabotaj
dari pihak dalaman) juga bermain di fikiran kita,” katanya
pada sidang akhbar di Dewan Majlis UTM, di sini, semalam.
Berita
Harian dalam laporannya semalam memetik sumber yang menyatakan
bahawa kebakaran pentas, tirai dan pelbagai peralatan di Dewan
Sultan Iskandar itu, walaupun disifatkan tidak serius, namun
ada unsur khianat.
Mengulas
lanjut, Dr Mohd Zulkifli berkata, UTM sudah mengambil pelbagai
tindakan tegas dalam banyak hal membabitkan disiplin pelajar,
pensyarah mahu pun stafnya.
UTM
tidak berhasrat untuk bertolak ansur dalam hal berkaitan disiplin
terutama membabitkan kegiatan antikerajaan atau bertentangan
kod etika yang perlu dipatuhi pensyarah, katanya.
“Mereka
perlu menunjukkan prestasi memuaskan dan berkelakuan sebagai
seorang pensyarah. Kita sudah hantar mesej cukup jelas supaya
mereka menepati sasaran untuk capai kecemerlangan akademik,
penyelidikan dan pembelajaran,” tegasnya yang tidak menafikan
wujud kumpulan yang tidak bersetuju dengan langkah tegas itu.
Dalam
perkembangan sama, Dr Mohd Zulkifli berkata, siasatan awal
oleh juruelektrik dan pakar UTM mendapati kebakaran tidak
mungkin berpunca daripada litar pintas.
“Kemungkinan
besar ia bukan kerana litar pintas. Ini kerana kita tidak
banyak guna tenaga elektrik pada malam kejadian, selepas semua
sistem elektrik ditutup. Malah, semua sistem elektrik baru
diperiksa bulan lalu.
“Punca
api (kebakaran itu) senang saja. Kalau ada pemetik api dan
rokok yang dibakar kepada langsir. (Siasatan awal) kami mendapati
punca api datang dari dua tiga tempat iaitu atas pentas dewan
dan mungkin langsir.
“Bagaimanapun,
kita tidak tahu sama ada ia kesan api rokok atau sumber lain,
sama ada ia disengajakan atau tidak,” tegasnya sambil memberitahu
hasil siasatan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dan
pihak berkuasa.
Siasatan
awal polis menyifatkan kejadian itu berpunca daripada litar
pintas, tetapi siasatan lanjut sedang diteruskan.
Berikutan
kejadian itu juga, Dr Mohd Zulkifli berkata, UTM akan mengetatkan
kawalan di beberapa bangunan lain termasuk pentadbiran dan
makmal, bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang
pada masa depan.
UTM
juga, katanya, tidak berhasrat menangguhkan beberapa majlis
sempena sambutan ulang tahun universiti pada 14 Mac ini dan
konvokesyen yang dijadual berlangsung pada 16 dan 17 Mac ini
berikutan kejadian itu.
Halaman Utama