Wan Nor Hayati (UTM) Mangsa Gerakan Pelajar Bawah Tanah
Hit = [
');
//-->
]
Baharom Mahusin
KUALA LUMPUR 1 Sept. - Seorang gadis bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendedahkan kewujudan satu gerakan bawah tanah yang sistematik di universiti-universiti tempatan untuk mempengaruhi pendirian politik pelajar-pelajar Melayu supaya berjuang menjatuhkan kerajaan.
Wan Noor Hayati Wan Alias, 22, yang terkandas dalam pelajarannya di UTM kerana terlibat dalam gerakan bawah tanah itu mendakwa, dia sendiri telah terpedaya dengan kumpulan tersebut yang berselindung di sebalik aktiviti usrah dan tamrin.
Menurut beliau, penyokong-penyokong parti pembangkang di universiti menggunakan Persatuan Mahasiswa Islam dan dua pertubuhan tidak berdaftar iaitu Hizbi Islami dan Markaz Siswazah Kelantan untuk menggerakkan sentimen bencikan kerajaan.
"Mereka menggunakan tamrin dan usrah bagi menanamkan perasaan marah para pelajar Islam terhadap UMNO dan kerajaan, membakar semangat jihad dan kesanggupan untuk berbuat apa sahaja demi perjuangan politik parti pembangkang," katanya kepada Mingguan dalam satu interviu.
Oleh kerana terpengaruh, Wan Noor Hayati sendiri telah diperdaya untuk membantu kempen-kempen parti pembangkang dalam pilihan raya umum 1999 di Batu Pahat, Rengit, Kluang dan Mersing.
"Saya dan rakan-rakan saya dari Hizbi Islami UTM telah bekerja dalam pilihan raya itu untuk menaip teks-teks propaganda pembangkang, merentang kain sepanduk, memeriksa daftar pemilih menggunakan komputer, berkunjung dari rumah ke rumah dan kerja-kerja lain," kata Wan Noor Hayati.
Mesyuarat-mesyuarat sulit untuk menggunakan pelajar UTM dalam pilihan raya itu telah berlangsung dua bulan sebelum pilihan raya umum 1999 diadakan.
Gadis dari Kota Bharu, Kelantan itu terkandas dalam peperiksaan UTM beberapa bulan selepas pilihan raya umum 1999 berakhir. Beliau merupakan bekas pelajar jurusan Kejuruteraan Kimia.
Wan Noor Hayati yang merupakan anak yatim piatu dari Kota Bharu, Kelantan menyertai Persatuan Mahasiswa Islam UTM kerana terpikat dengan Islam tetapi kemudian beliau dan beratus-ratus pelajar UTM lain telah dibawa oleh gerakan bawah tanah itu menyertai tamrin ala komando di beberapa tempat yang dirahsiakan di sekitar Johor.
Di sana, mereka diasah supaya menumpahkan taat setia kepada perjuangan politik parti tertentu, dan diugut bahawa jika mereka berpaling tadah, mereka akan ditimpa bala Allah.
Bagaimanapun beliau tidak menyangka kemudian beliau telah dilibatkan dalam satu program brainwash yang dijalankan oleh lelaki dan wanita yang tidak mahu memperkenalkan identiti diri mereka.
"Di UTM, gerakan bawah tanah ini mendapat bantuan kewangan daripada pihak tertentu. Pelajar-pelajar yang terlibat dalam gerakan itu bergaya dengan telefon bimbit dan diberikan jip untuk dipakai bagi kegunaan gerakan semasa di universiti," katanya.
Satu daripada budaya gerakan bawah tanah itu ialah pelajar lelaki dan wanita dalam gerakan diminta oleh kepimpinan supaya berkahwin sesama sendiri bagi mengelakkan jemaah wanita terutamanya bernikah dengan "orang yang fikrahnya UMNO."
Pemilihan calon suami dan isteri dalam program yang dinamakan Baitul Muslim itu dibuat dengan ahli-ahli gerakan itu mengisi sekeping borang tentang minat dan latar belakang masing-masing.