Anak
Muda Menggugat
oleh
: student 1974
Hari ini gelombang reformasi sedang mengampuh dan melanda
semua kumpulan dan lapisan masyarakat di tanah air kita. Kesedaran
politik yang dibawa oleh gelombang reformasi ini akan melahirkan
satu lanskap baru untuk Malaysia. Di sini para pelajar, mahasiswa
dan anak muda juga telah terpanggil sama untuk turut bergerak
seirama dengan gelombang reformasi.
Pelajar,
mahasiswa dan anak muda adalah sebahagian dari warga yang
akan mewarisi negara ini. Justeru adalah tidak adil dan tidak
munasabah jika pewaris negara ini tidak dibenarkan untuk mengetahui
apa yang sedang berlaku di dalam negara. Atau tidak dibenarkan
untuk mengeluarkan pandangan dan pendapat.
Sebagai
kumpulan masyarakat yang prihatin; para pelajar, mahasiswa
dan anak muda dapat memainkan peranan yang penting untuk sama-sama
menolak dan mendobrak kezaliman dan kerenah ditaktor Mahathir.
Pemerintahan kuku besi Mahathir dilihat oleh anak-anak muda
sebagai cengkaman yang mengazab sengsara kehidupan semua lapisan
rakyat jelata.
Pelajar,
mahasiswa dan anak-anak muda semakin disesakkan nafas mereka.
Mereka sedang dihalang, difitnah, diganggu, diintip, diugut,
dan dipaksa untuk tunduk kepada pemerintahan yang zalim ini.
Jika semua langkah jahat ini gagal maka pelajar, mahasiswa
dan anak muda akan dirasuah dan dilalaikan.
Secara
terancang pemerintah kuku besi ini sedang berusaha untuk mematahkan
semangat anak-anak muda dari mendapat kesedaran politik. Kesedaran
politik yang cuba dihalang ini ialah kesedaran untuk melakukan
kebaikan. Pemerintah yang zalim tidak akan membenarkan sesiapa
pun menjadi manusia jujur, ikhlas dan baik hati. Pemerintah
yang zalim mahu budaya jahil, budaya rasuah, budaya hasad
dengki dan budaya ampu bodek berkembang meluas. Kezaliman
hanya boleh subur di dalam budaya-budaya jijik ini.
Tetapi
sejarah dan hukum sosial manusia telah membuktikan; sebanyak
mana kezaliman dilakukan maka sebanyak itu jugalah akan muncul
penentangan. Gelombang reformasi hari ini sedang membuktikan
kesahihan hukum sosial ini.
Pelajar,
mahasiswa dan anak muda sedang turun sama di baris depan untuk
menjana gelombang reformasi kerana :
-
hanya anak muda yang mempunyai idealisme yang belum dicemari
- hanya anak muda yang masih belum terikat dengan kepentingan
pribadi
- hanya anak muda yang belum dibelenggu oleh hutang piutang
dan janji politik
- hanya anak muda yang ingin kepada perubahan menyuluruh
- hanya anak muda yang berani melanggar belenggu sosial yang
menindas
- hanya anak muda yang mempunyai semangat juang yang jitu
dan teguh
- hanya anak muda yang sakunya belum berat dengan kertas saham
dan pink form
- hanya anak muda yang berani berkata benar
Buku
dan kitab-kitab sejarah telah membuktikan bahawa kezaliman
dan kemungkaran akhirnya akan ditumpaskan. Badut-badut politik,
tukang bodek, tukang ampu, penulis upahan, intelektual kangkong
dan agen politik pencetus huru hara yang bersepah-sepah dikalangan
kita hari ini pasti akan dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah.
Pelajar, mahasisawa dan anak-anak muda sedang memerhatikan
dengan rapi kerenah mereka yang cuba menghalang arus gelombang
reformasi.
Apa
pun kerenah yang menghalang pasti akan direntasi oleh anak
muda. Apa pun ugutan akan dilawani. Apa pun bentuk rasuah
yang di hidangkan akan di kencingi. Gelombang anak muda untuk
terus bereformasi tidak akan terbendung lagi. Ombak sedang
bergelora. Dengarkanlah suara laungan R-E-F-O-R-M-A-S-I yang
sedang bergema. Laungan suara anak-anak muda ini sedang menggegarkan
akar umbi tahta mahligai ditaktor Mahathir.
Hanya
anak-muda yang akan merubah dunia - kerana dunia ini akhirnya
adalah kepunyaan orang muda.
Halaman Utama