Idealis Mahasiswa
 
 

KGB Susupi PMUM ?


Hit = [ ]

Oleh Kamarazaman Yacob

(Rencana dalam buku "Bersama Anwar Ke Penjara, Transgrafik Sdn Bhd,hlm. 59-67)

SEMASA ditahan dan disoal siasat oleh pegawai Polis, aku sering ditanya tentang hubungan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dengan kuasa asing. Aku menafikan yang PMUM mempunyai hubungan dengan sebarang kuasa asing.

Biarpun aku terus didesak dan mereka cuba memerangkap dengan soalan-soalan tertentu, namun ku tetap menafikannya. Sampai akhir penahanan, mereka gagal mendapatkan pengakuan dariku.

Aku dapat membaca kekecewaan di wajah mereka kerana kegagalan itu. Tapi itu adalah urusan mereka. Aku ada tanggungjawab tersendiri

Aku percaya, mereka mendapat makJumat tentang hubungan PMUM dengan kuasa asing melalui percakapan kami di dalam telefon. Barangkali tidak salah kalau aku menaruh syak bahawa telefon PMUM telah dirakam oleh pihak pemerintah.

Pihak PMUM, terutama Hishamuddin Rais dan aku mempunyai hubungan baik dengan wakil Al Fatah (Abu Yakob), Libya dan Iraq. Malah semasa Hishamuddin Rais dan aku di dalam buruan pihak berkuasa, kami tinggal di rumah wakil-wakil asing .

Kami tinggal dirumah wakil al Fatah selama hampir tiga minggu. Lebih dua minggu kami tinggal di rumah seorang pegawai kedutaan asing lain.

Aku percaya, pihak polis bukanlah berminat sangat mencungkil hubungan PMUM dengan pihak Al Fatah, Libya dan Iraq. Tapi mereka mahu tahu hubungan PMUM dan aku dengan pihak Russia.

Bila aku sanggup mengaitkan Russia, maka lebih mudah untuk mereka menyumbatkan aku ke kem Tahanan Kamunting.

Mereka boleh memaksa aku muncul di TV dengan mengutuk semua perbuatan yang lepas. Atau membuat rekaan yang lebih menarik dan selepas beberapa kali rehearsal baru dirakamkan. Begitulah biasanya.

Sepanjang tiga tahun memimpin PMUM aku terdedah kepada agen kuasa asing. Banyak tawaran dari kedutaan asing sampai kepadaku sama ada dalam bentuk lawatan sambil belajar, mempelajari bahasa, kursus kepimpinan atau dalam bentuk yang lebih menarik.

Semua tawaran itu aku tolak

Amerika melalui pegawainya di Kuala Lumpur cuba memenangi selera ku. Begitu juga pihak Russia. Di masa itu aku begitu kuat anti Imperialis Amerika dan Sosio Imperialis Russia.

Aku percaya pegawai kedutaan Amerika ada membuat kajian tentang pemimpin pelajar di masa itu. Beberapa kali mereka membuat tawaran kepada aku untuk mengikuti kursus Bahasa Inggeris sama ada di Kuala Lumpur atau di USA semasa cuti penggal. Tawaran itu menggambarkan bahawa mereka tahu tentang kelemahan Bahasa Inggerisku.

Aku tidak pasti sama ada KGB dan CIA terlibat dalam usaha menyusupi PMUM, atau mungkin persatuan pelajar yang lain.

Pendekatan Russia lebih halus dan teliti kalau dibandingkan dengan pihak Amerika. Apa yang pasti pihak kedutaan Russia dan wakilnya di Kampus Universiti Malaya sering mendekati juga cuba mempengaruhiku.

Sampai sekarang aku masih berfikir, kenapa terdapat dua orang gadis Russia membuat kursus ijazah Sarjana semasa aku memimpin PMUM. Lebih aneh, kedua-dua gadis itu tinggal seasrama denganku iaitu Kolej Ke-lima.

Adakah semuanya itu di dalam pengetahuan Prof. Ungku Aziz, Naib Canselor Universiti Malaya atau sebaliknya. Adakah semuanya itu secara kebetulan atau dirancang oleh pihak tertentu? Kalau ianya dirancang, oleh siapa?

Dua orang gadis Russia ini telah berusaha menggodaku. Juga berusaha mempengaruhiku supaya mengurangkan perasaan anti Russia malah meminati perjuangan Russia menyekat Imperialis Barat.

Kedua-dua gadis Russia ini terlalu fasih bertutur di dalam Bahasa Indonesia. Kononnya mereka belajar Bahasa Indonesia semasa menuntut di sebuah Universiti di Indonesia.

Pertama kali mereka mendekatiku ialah di dewan makan Kolej Kelima. Mereka memperkenalkan diri sebagai Ivash dan Yeak. Aku tidak mengambil berat tentang mereka kerana tidak menyukai Russia. Aku juga tidak pasti sama ada nama itu benar-benar nama mereka atau sebaliknya. Bagaimanapun itulah panggilan mereka setiap kali bila kami bersua.

Pertemuan pertama di meja makan itu hanya ber-anyakan soal biasa. Mereka pun tidak menampakkan tentang kesungguhan terhadapku. Barangkali mereka ingin mengukur suhu kebencianku terhadap Russia. Atau cuba menyelami pemikiranku.

Ivash gadis Russia yang saiznya kecil dan manis agak berbeza dengan Yeak yang bersaiz besar. Senyuman Ivash bersambut matanya yang galak dan gelaknya yang menampakkan kemesraan memang boleh menggoda. Terus terang kukatakan, sebagai seorang lelaki aku terpikat dengan kelembutan ke-wanitaannya. Bagaimanapun Ivash tidak mampu menguasaiku kerana isteriku menjadi penghalangnya. Dimana kesetiaannya menjadi tembok yang tebal dan

sukar ditembusi oleh godaan IvasL Disamping itu aku tidak mahu dicurigai oleh kawan-kawan terutama Hishamuddin Rais.

Kedua-dua gadis Russia ini sering menungguku dewan rehat Kolej Kelima sebelum masuk ke dewan makan. Kadang-kadang mereka berpura-pura membaca akhbar sehingga aku sampai barulah mereka naik dewan makan. Aku tidak pasti sama ada pelajar-pelajar di kolej Kelima menyedari tentang gelagat Ivash dan Yeak.

Bila makan bersama, mereka sering mencungkil rahsia tentang kekuatan PMUM. Tentang kejayaan demonstrasi yang aku lakukan. Di samping itu tentang latar belakangku dan keluarga.

Semasa makan bersama Ivash, dia pernah mengajakku menonton ftlem di Kedutaan Russia dan panggung wayang. Semua pelawaannya kutolak.

Sebenarnya aku sudah jemu menonton filem. Sudah terlalu banyak filem yang aku tonton sepanjang tahun 1963 hingga 1965 semasa aku di tingkatan satu hingga tiga. Sepanjang tiga tahun tersebut aku terlibat dengan menjual "tiket black market".

Aku terpaksa berbuat demikian untuk menampun persekolahanku. Sebagai seorang anak petani miskin aku terpaksa terlibat di dalam kegiatan haram ini semata-mata ingin mencari wang persekolahan. Pekerjaan ini terhenti bila aku terpilih melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Alam Shah pada 1966. Sesekali aku teruskan kerja tersebut bila cuti penggal persekolahan. Sedikit sebanyak kegiatan ini membentuk keberanian dan ketahanan diriku.

Selepas kedua-dua gadis Russia itu mendekatiku, barulah wakil Russia di kedutaannya cuba menghubungiku. Seorang lelaki menamakan dirinya Alexander sering menghubungi PMUM. Aku tidak pasti adakah nama itu benar-benar namanya atau nama samaran.

Mula-mula dia sering menghubungiku dengan mempelawa pihak PMUM bermain bola tampar dengan pihak kedutaan Russia. Sudah pasti aku menolak dengan alasan kami tidak mempunyai ruang masa.

Lepas itu dia mengajak kami bertukar fikiran dan cuba meminjamkan buku-buku dari kedutaannya. Pelawaan ini juga kutolak.

Biasanya Ivash dan Yeak akan membuat susulan jemputan yang di buat oleh Alexander. Barangkali kedua-dua gadis ini memainkan peranan terakhir bagi pihak Russia.

Aku hairan kenapa KGB atau Russia berusaha separuh jalan sahaja dalam menyusupi PMUM. Adakah kerana PMUM merupakan organisasi kecil atau ianya sangat terdedah. Atau sememangnya mereka gagal mencari ruang untuk memanjat tangga Rumah Persatuan PMUM.

Barangkali KGB sengaja digembar-gemburka kehebatannya seperti CIA. Siapa pun tidak tahu adakah organisasi Beruang Merah itu benar-benar efisens atau sebaliknya. Begitu juga dengan Beruang Merah yang tampaknya hebat, tapi mungkin sedang bengkak kerana sembab.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved