Idealis Mahasiswa
 
 

Grand Design ABIM Bermula


Hit = [ ]

Oleh Ahmad Lutfi Othman
Petikan Buku "Siapa Dalang? Cerita Di Sebalik Tabir" (hlm.439-456)
(Penerbitan Pemuda, Selangor, 1994)

Dalam buku Operasi Nyah 2, bab 21, halaman 281 dan 282, saya mencatatkan: "Ada pihak menyatakan Anwar akan menarik Rahim ke pusat dan Anwar akan memberikan peluang kepada seorang tokoh ABIM, Dr Siddiq Baba (bukannya adik Ghafar Baba) untuk jawatan Ketua Menteri Melaka. Ramai juga yang ketawa mendengar cerita ini, tapi kata orang, Anwar dapat menjadikan kenyataan apa yang orang lain anggap ia hanya angan-angan."

Pada halaman 279 dan 280, buku yang sama, saya mengutip pandangan seorang editor, yang mengikuti muktamar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 26 Ogos 1993 di Dewan Hang Jebat, Pusat Ekspo Air Keroh, Melaka dan juga Konvensyen Melaka Dalam Perkembangan Islam Serantau, pada 10-13 Oktober.

"... ABIM terpaksa bertungkus lumus membina imej bersih dan Islamik pada Rahim. Pemilihan Melaka sebagai tempat bermuktamar ABIM baru-baru ini dirancang menurut kepala orang-orang politik. Ditambah lagi dengan Konvensyen Melaka Dalam Perkembangan Islam Serantau, anjuran bersama Kerajaan Negeri Melaka dengan ABIM Melaka," tulisan itu dipetik.

Konvensyen itu lebih dilihat sebagai pentas kempen, yang menggunakan wang rakyat Melaka, bagi Team Wawasan. Ketiga-tiga majlis ucaptama dikhususkan untuk calon-calon Team Wawasan.

Ucaptama pertama, pada 10 Oktober 1993 diberikan oleh calon-calon Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yassin dan Muhammad Muhd Taib. Tajuknya, Kepimpinan Islam Dalam Politik. Ucaptama kedua, pada malam berikutnya, mengundang Najib Tun Razak, atas tajuk Peranan Pemuda Dalam Proses Pengisian Keislaman di Malaysia. Sementara, calon Timbalan Presiden, Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada malam ketiga dengan tajuk Islam dalam Konteks Wawasan 2020 di Malaysia: Cabaran, Prospek dan Arah Haluan.

Hampir semua tokoh-tokoh utama ABIM dan bekas pemimpinnya, mengambil bahagian akrif dalam konvensyen yang cuba memberikan imej Islamik kepada Team Wawasan itu. Antaranya ialah Presiden ABIM sendiri, Dr Muhammad Nur Manuty, bekas-bekas Presidennya, Dr Siddiq Fadil dan Dr Razali Nawawi, Setiausaha Agung ABIM, Anuar Tahir, bekas-bekas Setiausaha Agung ABIM, Kamaruddin Jaafar dan Dr Sidek Baba, tidak terkecuali Idris Jauzi, Mohd Ali Hasan Bahrom, Yang Dipertua ABIM Melaka.

Mingguan Tempo Baharom dan, keluaran Ahad 12 September 1993, ketika suasana kempen pertandingan Ketua Pemuda Umno sedang memuncak, pada halaman muka tengahnya, dicetak berwarna-warni, memuatkan tajuk berita "ABIM RESTUI ANWAR - RAHIM BERTANDING". Ada gambar menunjukkan Rahim diapit oleh Presiden ABIM, Dr Muhammad Nur Manuty, timbalannya, Dr Abdul Halim Muhammady dan Setiausaha Agung, Anuar Tahir, dalam satu majlis makan malam. Juga terpampang mesra, Rahim menyambut kedatangan salah seorang anggota exco ABIM, Mustafa Kamil Ayub.

Elok juga kita tatap sebahagian kandungan berita berkenaan: Kedudukan Naib Presiden Umno, Anwar Ibrahim dan Ketua Umno Bahagian Alor Gajah, selaku Ketua Menteri Melaka, Abdul Rahim Tamby Chik dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno serta Ketua Pemuda Umno semakin mantap di saat-saat akhir menjelangnya tarikh 4 November ini berikutan sokongan padu yang diberikan.

Justeru ketokohan sebagai aset penting kepada kepimpinan negara di masa akan datang, ABIM tidak ketinggalan untuk turut sama memberi sokongan moral. Dan dari pertemuan berasingan dengan Ketua Menteri Melaka yang juga calon Ketua Pemuda Umno di Seri Bendahara dan Dewan Hang Jebat Baru-baru ini, jelas menunjukkan mereka bakal bekerjasama antara satu sama lain dalam menjadikan bentuk pentadbiran mereka kelak menepati kehendak ahli-ahli parti dan juga rakyat jelata di negara ini.

Dalam pertemuan pertama, ABIM yang ketika itu mengadakan Muktamar Sanawinya kali ke-22 mengambil kesempatan berkumpul beramai-ramai di Bukit Sebuku, Seri Bendahara untuk menemui Tan Sri Rahim dan mengenalinya secara lebih dekat

Presiden ABIM, Muliammad Nur Manuty semasa berucap menyatakan kekagumannya terhadap kepimpinan Rahim yang dapat membangunkan semula negeri bersejarah itu dengan berasaskan nilai-nilai keislaman.

Itu cerita setahun yang lalu. Macam-macam perkara telah timbul dalam masa setahun ini. Macam-macam cerita yang kita dengar dalam tempoh itu. Macam-macam kisah tentang Rahim yang dihikayatkan. Selain heboh diperkatakan tentang hubungan Rahim dengan gadis bawah umur, muncul cerita, yang tidak kurang sensasinya, iaitu mengenai apa yang digelar proses meng-ABIM-kan Umno. Anwar Ibrahim begitu dikenali sebagai bekas Presiden ABIM yang paling berjaya. Presiden ABIM berikutnya, Dr Siddiq Fadil dan Dr Muhammad Nur Manuty tenggelam di sebalik bayang-bayang kehebatan Anwar. Di bawah kepemimpinan Siddiq dan Muhd Nur, ABIM mengambil pendekatan berbeza, tidak lagi melaung tetapi berbisik, tidak lagi menggempur tetapi memujuk, tidak lagi konfrontasi terus-menerus dengan pemerintah tetapi melalui corrective participation.

Sesungguhnya Anwar diingati kerana suara lantangnya menentang kemungkaran dan kezaliman. Anwar dihormati kerana sikapnya yang tidak suka mendampingi menteri-menteri, sebaliknya berani menegur dan memberikan cadangan balas. Anwar dikagumi kerana sikapnya yang tidak berkompromi dengan unsur-unsur kemungkaran dalam pemerintahan negara. Tindakannya membela golongan tertindas menyebabkan Anwar diseret ke pusat tahanan Kemunting, tanpa bicara, hampir dua tahun.

Dalam wawancara majalah Al-lslam (April 1977) dengannya, Anwar menegaskan sikap dan peranan ABIM: "la harus bertindak sebagai penyambung risalah yang benar-benar bererti - tidak mudah diwarnai oleh suasana atau digugat dengan tekanan, tidak mungkin mengizinkannya diperalatkan oleh mana jua kepentingan non-Islam bahkan tidak boleh tampak sebagai gerakan yang boleh berjalan seiring atau co-exist dengan fahaman-fahaman rekaan manusia lainnya. ABIM juga arus lantang sebagai pembicara umat dalam menegakkan kebenaran dan keadilan."

Namun, Mac 1982 telah mengubah aliran sejarah ini. Anwar menyertai Umno. Pencinta Islam terkejut. Ada yang menangis. Tidak kurang yang meratap kesedihan. Ramai lagi yang kebingungan. Anwar yang ketika itu cenderung kepada parti Islam, PAS, memilih Umno sebagai vvadah politiknya.

Bagi mengurangkan sesak di dada penyokongnya, Anwar menegaskan, seperti laporan Star, 30 Mac 1982: "I have not resigned my principles in entering politics through Umno. I didn't discuss any specific terms before joining ... we discussed general principles. My views on the Societies Act and the ISA are still there. I have always had a good personal relationship with Datuk Seri Dr Mahathir. He has been open to harsh criticism from me, even when it was crudely expressed. ABIM leaders have accepted my decision that I should become active in politics for the sake of national unity and continue mu struggle for Islam."

Pada mulanya penyertaan Anwar dalam Umno ditentang oleh ahli-ahli ABIM sendiri. Mereka tidak yakin Anwar dapat mengislamkan Umno, malah bimbang Anwar akan diUmnokan hingga lupa asas dan prinsip perjuangan-nya selama ini. Ada mengumpamakan tindakan Anwar itu seperti seorang yang masuk ke dalam tangki najis untuk membasuh najis. Akhirnya tangki tidak terbasuh, badan berlumuran najis!

Ini bermakna istilah meng-ABIM-kan Umno sudah timbul sejak Anwar masuk Umno lagi.

Kemasukan Anwar ke dalam Umno membawa misi khas. Anwar mahu menjadi Perdana Menteri melalui Umno kerana tidak yakin PAS dapat menyediakan tikar terbang ke Seri Perdana. Seperti yang selalu saya tulis sebelum ini, Anwar sertai Umno untuk menjadi presidennya. Anwar hanya sertai Umno untuk menjadi Perdana Menteri, bukan sekadar menumpang di kaki lima kepemimpinan negara. Dan Mahathir dapat menjamin beliau mencapai cita-citanya itu.

Biar pun Anwar meninggalkan ABIM namun hubungannya tetap akrab dengan pemimpin-pemimpin pertubuhan itu. Ahli-ahli ABIM yang tidak berpuas hati dengan pendirian Siddiq Fadil - terutama bila dilihat ucapan dasarnya yang pertama - terhadap kemasukan Anwar dalam Umno dikatakan menyertai PAS. la dapat mengurangkan ketegangan dalam ABIM.

Kebetulan pula PAS ketika itu, 1983, mengalami perubahan drastik di peringkat kepemimpinan tertinggi, dengan tersingkimya bekas Yang Dipertua Agungnya, Almarhum Datuk Asri Haji Muda dan kumpulan bersamanya. Konsep kepimpinan ulama dikemukakan untuk perlaksanaan. Bekas-bekas pemimpin utama ABIM, misalnya Haji Fadzil Mohd Noor dan Haji Abdul Hadi Awang, dilihat bakal menerajui parti Islam itu, dengan perlantikan mereka sebagai Timbalan dan Naib Yang Dipertua Agung PAS.

Dalam ucapan dasar Muktamar Sanawi ABIM ke-11, yang dibentangkan pada 3 September 1983, Siddiq Fadil mengemukakan tajuk "Garis-garis Besar Haluan Perjuangan" sebagai respons terhadap keributan yang timbul daripada penyertaan Anwar ke dalam Umno. Kebetulan pula ABIM sudah menjangkau usianya ke dekadnya yang kedua.

Siddiq Fadil mengambil pendekatan bijaksana apabila beliau tidak mengheret persoalan Anwar menyertai Umno dalam ucapan dasar sulungnya itu. Beliau cuma "merakamkan penghargaan yang setulusnya kepada Sdr. Anwar Ibrahim, bekas Presiden ABIM atas segala khidmat dan sumbangannya yang cemerlang di sepanjang satu dekad sebagai pemimpin dan pendidik. Semoga Allah menerima segala jasa bakti dan amal perjuangannya."

Dr Siddiq mengambil kesempatan meredakan suasana gawat itu dengan menekankan kembali persoalan asas dalam perjuangan gerakan Islam. Katanya, matlamat perjuangan ABIM ialah membawa manusia mengabdikan diri seutuh dan seluas-luasnya, tunduk dan akur sepenuhnya kepada ajaran Samawi, patuh dan setia sebulatnya kepada tatahidup rabbani.

"Insya-Allah - selagi hayat dikandung badan - kita akan serahkan harta benda dan jiwa raga kita kepada perjuangan merealisasikan cita-cita ini sehingga berhasil Islamisasi yang menyeluruh, meliputi pembinaan sahsiyah Islamiah, keluarga Islamiah, ummah Islamiah, dawlah/ negara Islamiah, dunia Islam dan khilafa Islamiah," tegas Dr Siddiq.

Tambahnya, islah adalah istilah Islamiah yang paling jitu untuk mengungkapkan konsep perubahan yang harus berlaku, perubahan dari fasad kepada salah, dari keburukan kepada kebaikan, perubahan yang menjurus kepada keadaan yang lebih baik, perubahan yang mengarah kepada pencapaian idealisme "haq" dan nilai-nilai kebaikan yang mutlak, bukan sekadar change for the sake of change.

"Melancarkan gerakan islah sekaligus bermaksud juga membanteras fasad. Dan untuk mempastikan hasilnya program islah ini para juru islah harus cukup mampu mengenal dan membedakan di antara salah dengan fasad kerana tidak sedikit orang yang terjebak dalam kefasadan yang menyamar di sebalik label-label yang memikat -pemodenan, kemajuan, pembangunan dan seumpama-nya," tegas Dr Siddiq Fadil.

Mengenai hubungan ABIM dan politik, Dr Siddiq berkata, ABIM dan gerakan Islam lainnya mempunyai bidang peranan yang luas - seluas bidang cakupan al-Quran dan as-Sunnah, seluas bidang cakupan Islam sebagai ad-Din, Islam sebagai aqidah dan syariah, moral dan undang-undang, politik dan ekonomi.

"Kerana itulah kadang-kadang kita dilabel orang sebagai badan politik. Kita adalah badan Islam yang memperjuangkan Islam, utuh dengan segala isi dan kandungannya. Bagi kita Islam adalah padu dan kompak yang tidak mengenal pemecahan

"Yang nyata kita bukan parti politik dan kerana itu peranan politik kita tidak berbentuk kepartian yang menumpu pada persaingan merebut kuasa dalam proses pilihan raya. Politik kepartian dan seterusnya penyertaan dalam proses demokrasi pilihan raya bukan uslub asasi, bukan jawharu'l-'amal gerakan Islam, tetapi hanyalah sekadar umum janibiyyah - urusan sampingan yang digarap dengan kadar yang terbatas," jelas Dr Siddiq Fadil.

Apa yang nyata, bagi mereka yang mahu mendengar sikap ABIM terhadap penyertaan Anwar dalam Umno tentu akan kecewa. Kesediaan Dr Siddiq menyinggung beberapa persoalan hak asasi manusia, misalnya, penentangan terhadap ISA, pindaan Akta Pertubuhan dan akta-akta yang menghakis pengertian demokrasi, seperti menjanjikan bahawa ABIM akan terus kritis dengan pergolakan semasa.

Namun begitu, ABIM dilihat, dari hari ke hari mungkin selaras dengan peningkatan kerjaya politik Anwar yang begitu mengkagumkan, dan rapat serta akrabnya hubungan Anwar dengan Mahathir - semakin cenderung dengan Umno. Pemimpin-pemimpin utamanya sudah boleh diundang dan mereka pula bersedia berkongsi pengalaman dan ilmu masing-masing dalam program dalaman Umno.

Biro Tata Negara (BTN) adalah wadah terbaik dan cukup berkesan bagi pemimpin-pemimpin ABIM menyampaikan mesej mereka. Media massa mula memberikan tempat kepada kenyataan ABIM. Muktamar ABIM lebih diberikan perhatian daripada Muktamar PAS. Ini menandakan ABIM sudah menukar pendekatan perjuangan, daripada mengkritik, menegur dan memberikan nasihat dan idea dari "luar sistem" kepada turut sama "berjuang dalam sistem", dan perubahan ini nampaknya direstui pemimpin utama Umno.

Menurut Dr Siddiq, gerakan Islam yang dewasa dan matang tidak selamanya hanya berfungsi kepada kumpu-lan pendesak semata-mata tetapi harus beroreintsi problem solving, mampu menyelesaikan masalah dengan menawarkan formula-formula praktis.

"Memang Islam harus diimplementasikan sepenuh dan seutuhnya tetapi ini tidak bererti bahawa kita harus mengabaikan pelaksanaan juz'iyyatul 'l-Islam sementara menunggu dan mengusahakan pelaksanaan Islam sepe-nuhnya dan seutuhnya. Tugas melanjutkan kehidupan Islamiah bukan terbeban hanya di atas bahu golongan tertentu tetapi merupakan tanggungjawab bersama semua pihak - pemerintah dan umat," hujahnya.

ABIM juga mula dilihat terpisah daripada PAS dan pertubuhan yang kritis dengan kerajaan. Pemimpin-pemimpin ABIM semakin berani mengkritik PAS dan mula mengurangkan serangan terhadap kerajaan. Mereka memilih "untuk menolong elemen-elemen Islam dalam Umno/kerajaan." Ini bermakna apa yang dikatakan proses "pengislaman Umno" yang dibawa oleh Anwar berterusan dan giat diusahakan, tetapi dalam bentuk "peng-ABIM-an Umno."

Jika ada pun kritikan terhadap pemimpin-pemimpin Umno, rasanya ia dibuat dalam konteks grand design peng-ABIM-an Umno tadi. Maknanya, serangan dan kecaman iru ditujukan kepada musuh-musuh Anwar dalarn Umno yang mungkin boleh mengganggu proses peningkatan Anwar untuk menjadi pemimpin nombor wahid Umno.

Menjelang Pilihan Raya Umum 1990, ketika ramai pemerhati politik meramalkan akan berlaku kejutan politik akibat terbentuknya Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat di pihak pembangkang, ABIM menzahir-kan sikapnya yang nyata untuk menyokong Barisan Nasional dan juga secara terang menolak PAS.

Dalam ucapan dasar Presiden ABIM pada 9 Ogos 1990, sokongan terhadap Mahathir jelas kelihatan: "Angin perubahan mula bertiup menukar iklim politik tanahair (sekitar tahun-tahun 80-an), oreintasi pentadbiran negara mula memperlihatkan warna kehijau-hijauan. Kali ini pucuk pimpinan negara memperlihatkan komitmen yang lebih serius (terhadap penerapan nilai-nilai Islam) berbanding dengan sikap pimpinan masa lalu." Kesimpulannya, segala perubahan yang dibuat oleh Mahathir diberikan tanggapan positif.

Sementara perpecahan dalam Umno dijustifikasikan sebagai akibat penolakan pemimpin sekular Umno terhadap usaha Anwar Ibrahim: "Perubahan-perubahan ke arah trend keislaman inilah sebenarnya yang melatari kemelut perpecahan paling besar dalam sejarah parti pemerintah, gara-gara yang dicetuskan oleh elemen sekular dalam parti dengan restu dan dokongan tokoh-tokoh tua yang merasa secular heritagenya tergugat."

Falsafah pendidikan negara dan Akta Pendidikan 1990 dipuji (ketika itu Anwar adalah Menteri Pendidikan). Nampaknya kehadiran Akta Universiti yang menyekat tidak menjadi isu kepada ABIM lagi.

ABIM cuba menimbulkan keraguan kepada mereka yang mahu menukar teraju pemerintahan, atau yang berhasrat mengundi pembangkang: "Apakah warna kehijau-hijauan ini akan dapat terus menghijau, atau akan segera bertukar warna kembali kering menguning semula seperti sebelumnya?

"Apakah ruang dakwah Islamiah yang terbuka ketika ini akan terus terbuka lagi, atau akan segera tertutup rapat seperti dulu? Segala kemungkinannya akan banyak bergantung kepada hasil pilihan raya umum yang rasanya sudah semakin mendekat, yang bahangnya pun terasa kian menghangat."

Dr Siddiq seperti mahu mengingatkan, sekiranya kerajaan BN ditumbangkan maka dominasi umat dalam politik negara akan berakhir. Apakah baginya, gabungan antara PAS dan Semangat 46 dengan parti-parti pembangkang yang lain akan memberikan kesan buruk kepada perkembangan Islam?

"Saudara-saudara sedang berhadapan dengan persoalan besar," kata Dr Sidiq, "apakah pentabiran sekarang - dengan segala kelemahan dan kekuatannya -memerlukan alternatif? Kalau memang ada alternatif yang lebih baik tentulah persoalannya menjadi mudah. Tetapi apakah ada alternatif yang sebenar-benarnya alternatif? Atau cuma bersiap sekadar untuk menambahkan kerusi? "Sebagai golongan yang memperjuangkan aspirasi Islam, termasuk aspirasi politiknya, saudara-saudara akan memilih wadah yang mampu menerima titipan amanah penyaluran aspirasi politik Islam itu. Tetapi soalnya, apakah ada wadah yang mempunyai kredibiliti yang masih utuh sebagai wadah politik Islam?"

Bagaimanapun, Presiden ABIM juga mengkritik usaha meminggirkan pemimpin (tentunya dalam Umno) yang berkualiti daripada menjadi calon dalam pilihan raya: "Malang sekalilah andainya masih ada sikap tidak menyenangi golongan cendekiawan dan tunas-tunas muda berbakat kerana dianggap sebagai saingan yang mengancam kedudukan golongan tertentu yang berkepentingan. Budaya cantas dan budaya sembelih terhadap golongan berpotensi adalah merupakan budaya politik tolol dan zalim yang akan membawa padah kepada masa depan umat."

Bagi saya ucapan Dr Siddiq Fadil ini cukup bersejarah, kerana buat pertama kalinya, ABIM secara tidak sembunyi lagi berkempen untuk BN dan meminta rakyat menolak PAS. ABIM lebih senang untuk menerima undangan untuk menghadiri program-program Umno daripada bekas abang tuanya, PAS. Namun jarang kita dengar Presiden PAS, Haji Fadzil Mohd Noor mengkritik secara terbuka sikap ABIM ini, mungkin atas alasan mahu terus menjaga hubungan dengan sebuah gerakan Islam yang semakin dipersoal kewibawaannya.

Saya sengaja memberikan tumpuan yang agak panjang terhadap pendirian ABIM yang berubah semenjak penyertaan Anwar ke dalam Umno bagi memudahkan pembaca membuat telahan sendiri tentang masa depan ABIM. Ada pihak mendakwa, pemimpin-pemimpin ABIM kini hanya menjadikan ABIM sebagai tempat latihan dan mencari pengaruh serta membina imej sebelum terjun aktif ke dalam Umno. Mungkin Anwar dapat menyediakan ruang yang selesa untuk mereka berbuat demikian.

Rasa saya pemimpin ABIM melihat potensi mereka dalam Umno semakin cerah dengan kenaikan mendadak Anwar. Anwar tentu mahukan barisan kepemimpinan Umno di zamannya dapat membantunya melaksanakan misi agungnya. Naib-naib Presiden Umno di sekelilingnya dilihat tidak mampu menyelami aspirasi Anwar dan tidak mampu mendokong wawasan perjuangannya.

Banyak pihak menjangkakan Anwar akan bersikap nutral jika berlaku pertandingan bagi jawatan Naib Presiden sekiranya Sanusi dan Pak Lah tidak bertanding lagi. Anwar masih memberikan peluang kepada mana-mana tokoh, yang dipastikan kesetiaan kepadanya tidak mudah goyah, bagi mengisi jawatan di bawahnya. Justeru itu, tidak mustahil pemimpin dan bekas pemimpin ABIM juga ghairah berlumba bagi menempat diri mereka di sebelah Anwar.

Tugas ini bukan mudah. Ahli-ahli Umno tentunya tidak mahu parti kesayangan mereka dijadikan batu loncatan untuk pihak di luar Umno mencapai cita-cita politik mereka. Paling kurang mereka mahu menguji kesetiaan tokoh-tokoh berkenaan terhadap Umno. Kalau pun Anwar dapat menerbangkan tokoh luar ke dalam Umno, ia tentulah terbatas.

Anwar mesti memastikan kedudukannya dahulu tetap mantap dan semakin berpengaruh. Sekiranya dia melihat langkah bekas-bekas pemimpin ABIM "menyerbu" Umno boleh menjejaskan pengaruhnya, Anwar pasti menghalang tindakan itu. Lagi pula tidak ramai pemimpin ABIM yang mempunyai bakat dan kebolehan sebagai pemimpin politik, yang seterusnya dapat menyesuaikan diri dengan budaya Umno dengan segala aneka ragam itu. Selama ini pun bukan Anwar seorang bekas pemimpin ABIM yang menyertai Umno. Langkahnya diteladani oleh bekas Setiausaha Agung ABIM zamannya, Kamaruddin Jaafar dan bekas Naib Presiden ABIM (Antarabangsa), Kamaruddin Mohd Noor, serta bekas anggota Exco, Fuad Hassan.

Kamaruddin Jaafar dan Kamaruddin Mohd Noor agak malang kerana mereka berasal dari Kelantan. Buat masa terdekat, pengaruh Umno agak sukar dikembangkan bagi menewaskan gabungan PAS dan Semangat 46, yang kekuatannya terletak kepada kombinasi Haji Nik Abdul Aziz dan Tengku Razaleigh.

Kamaruddin Jaafar kini dilantik sebagai Naib Ketua Tumpat sementara Kamaruddin Mohd Noor adalah Ketua Umno Pasir Puteh, berikutan pengunduran bekas ketua di situ, Jalani Jaafar. Namun kedua-duanya terbabit aktif dalam dunia perniagaan.

"Mereka sudah kaya-raya. Terlalu kaya sebenarnya, jika diukur kemampuan dan latar belakag kedua-duanya," dakwa seorang pemimpin Pemuda Semangat 46.

Sementara masa depan Fuad Hassan di Selangor semakin tidak menentu. Kawasannya sendiri, Ampang Jaya, menolaknya. Sebelum pemilihan 1993, Fuad adalah Ketua Pemuda Bahagian. Malangnya dalam pemilihan 1993 Fuad terlepas segala-galanya.

Kini beberapa nama pemimpin ABIM mula disebut-sebut sebagai tokoh yang berusaha menjayakan grand design meng-ABIM-kan Umno. Yang tertonjol ialah Presidennya sendiri, Dr Muhammad Nur Manuty, bekas Presiden, Dr Siddiq Fadil dan bekas Setiausaha Agung, Dr Sidek Baba.

Nama Dr Sidek Baba begitu popular di Melaka ketika pendedahan skandal seks Ketua Menteri Melaka menjadi bualan hangat. Hinggakan dalam pertemuan saya dengan Lim Guan Eng, di pejabatnya di Melaka, Ahli Parlimen Kota Melaka itu sendiri mengakui banyak sumber mendakwa Sidek Baba adalah tokoh luar yang akan dibawa masuk oleh Anwar menjadi Ketua Menteri Melaka selepas pilihan raya akan da tang.

Sementalahan pula, tiada calon yang sesuai, daripada kalangan kepimpinan Umno Melaka, untuk bertakhta di Seri Bendahara. Exco Kanan, Ali Rustam yang begitu intim hubungannya dengan Rahim - yang sering menemani Rahim dalam mesyuarat Exco Pemuda Umno Malaysia (walaupun dia bukan ahli mesyuarat) - juga mempunyai rekod yang boleh dibongkar oleh Lim Guan Eng. Apatah lagi Kampung Pantai Kundor dan Tanah Merah terletak dalam kawasannya.

Seorang penduduk yang terbabit memberitahu saya: "Kalau Ali Rustam datang ke sini, kami sembelih dia." Saya yakin dia tidak serius untuk "menyembelih" Ali Rustam tetapi sudah cukup menggambarkan kemarahan orang kampung kepada wakil rakyat kawasan mereka. Yang pasti mereka akan "sembelih" kerjaya politiknya dalam pilihan raya akan datang.

Sidek Baba tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam Umno. Beliau kini adalah Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Difahamkan Sidek selalu juga berulang-alik daripada Kuala Lumpur ke Melaka dan ini menimbulkan rasa tidak senang Rahim dan anggota Exco Kerajaan Negeri.

Tidak dipastikan bagaimana berita Sidek akan menjadi KM Melaka ini mula timbul. Bagi sebahagian besar ahli Umno mereka tidak menolak kehadiran Sidek sekiranya dapat memikul amanah dengan baik. Tetapi di peringkat kepimpinan akan timbul persoalan: Apakah tidak ada lagi pemimpin Umno Melaka yang dapat diharapkan mentadbir Melaka?

Saya sendiri berasa amat hairan apabila beberapa orang teman mendakwa Sidek Baba terlibat dalam demonstrasi pelajar universiti menentang pengambilan tanah penduduk Kampung Pantai Kundor dan Pantai Tanah Merah unruk projek loji penapisan minyak Petronas.

Saya pasti Sidek dan orang-orang di belakangnya tidak seghairah itu mahu menonjolkan nama. Ini pula akan menimbulkan keributan baru dan memudahkan mereka yang selama ini ingin mencari dalang di sebalik pendedahan skandal seks Rahim.

"Semakin ramai menyebut Cikgu Sidek akan kembali ke Melaka, maka peluangnya semakin tipis. Apa lagi ditimbulkan pula soal grand design meng-ABIM-kan Umno. Jika peralihan kuasa dibuat secara licin, misalnya dengan melantik Rahim sebagai menteri kabinet, tanpa dimulakan dengan pendedahan akhbar tempoh hari, mungkin potensi Cikgu Sidek lebih cerah," kata seorang penyokong ABIM.

"Cikgu Sidek bukannya orang yang sesuai terjun dalam kancah pergelutan politik Umno Melaka sekarang. Dia orang baik. Jangan korbankannya. Kalau Anwar mahu Cikgu Sidek membantunya, beri jawatan lain yang lebih sesuai," tambahnya.

Seorang pensyarah UIA memberitahu, sememangnya desas-desus Dr Sidek Baba akan menerajui Kerajaan Negeri Melaka sudah lama dihebohkan di kampus berkenaan, sebelum timbul isu Rahim lagi. "Sudah lama orang jahat jadi KM, berilah pula peluang kepada orang-orang yang baik sikit," katanya.

Bekas pemimpin PAS dan pejuang kemerdekaan, Almarhum Dr Burhanuddin al-Helmy pernah mengungkapkan: "Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka." Mungkin ahli-ahli ABIM mendoakan, di atas robohnya empayar Rahim Tamby Chik dan Ghafar Baba, akan bangkit pula empayar Sidek Baba yang lebih murni sifatnya.

Dalam pada itu, sekiranya Mahathir sendiri boleh diyakinkan, khususnya oleh seteru politik Anwar, bahawa ada tanda-tanda peng-ABIM-an Umno sedang berjalan, di sebalik riuh-rendah isu Rahim, besar kemungkinan Mahathir akan menyekatnya dengan kadar segera. Apakah telah timbul semula "parti dalam parti"?

Malah, jika perkembangan di Melaka ini dikaitkan dengan pasaran berita politik di Perak, ia lebih menimbulkan kerumitan kepada Anwar. Dikhabarkan bahawa Dr Muhammad Nur Manuty dan Dr Siddiq Fadil akan bertanding di Larut atau Tasek Chenderoh dan Parit. Segala persiapan perlu telah dibuat.

Disebutkan juga bahawa mereka bergerak atas persatuan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah. Orang kepercayaan Anwar, Zahid Hamidi juga pernah belajar di situ. Bagaimanapun tiada maklumat lanjut diberi. Dalam suasana sekarang, ramai orang percaya berita itu benar walaupun mereka tidak mendapat buktinya.

"Inilah kesempatan terbaik pemimpin ABIM bertanding dalam pilihan raya atas tiket BN. Pilihan raya kali ini dipercayai yang terakhir di bawah zaman Mahathir. Kalau mereka menunggu hingga Anwar menjadi PM, ia mungkin memberikan masalah kepada Anwar. Lagi pula macam-macam boleh berlaku dalam lima tahun akan datang. Dalam politik kita tidak boleh menunggu terlalu lama. Kalau ada peluang, jangan lepaskannya," seorang pensyarah muda memberikan pandangan.

Jika benar Mahathir sudah mula menyerahkan tugas-tugas dalam negeri kepada Anwar, pilihan raya inilah masanya Anwar menempatkan orang-orangnya di lokasi srategik. Bukan sekadar tiga tokoh ABIM itu saja, malahan Anwar kalau boleh mahu menerapkan sepenuhnya apa yang dikatakan "angin perubahan" dari peringkat atas hingga ke akar umbi. Kes Rahim mungkin satu ujian awal.

Mana tahu dalam pemilihan 1996 Anwar akan dicabar dan cabarannya ketika itu lebih sengit daripada 1993. Kalau Anwar anak didik Mahathir, tentulah Anwar menerima pakai konsep pertahanan Mahathir: "Hancurkan musuh walaupun kecil dengan sebesar-besar senjata."





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved