KESATUAN
DALAM KEPIMPINAN PELAJAR
Oleh
AHMAD FAIZ HAMID , Dewan Budaya, Julai 1999
KEPIMPINAN
pelajar merupakan salah satu segmen penting didalam pembangunan
negara. Kepimpinan tersebut mampu mencorak dan menentukan
arah negara melalui gerakan dan kegiatan positif yang mereka
lakukan. Beberapa rentetan sejarah perjuangan pelajar sama
ada yang didokong oleh golongan agama yang aktif di awal abad
ke-20, ataupun golongan nasionalis-radikal yang bergerak pada
tahun-tahun 1930an mahupun oleh golongan nasionalis sederhana
yang mula aktif pada penghujung tahun 1940an menunjukkan wujudnya
sumbangan jelas para pemimpin pelajar dalam usaha membangunkan
negara dan bangsa. Dalam kaitan ini, kertas kerja ini menegaskan
bahawa kepimpinan pelajar sememangnya mampu membuat sumbangan
konkrit kepada pembangunan agama, bangsa dan negara sekiranya
mereka mempunyai kesatuan tekad, semangat dan daya juang.
Kertas ini menegaskan bahawa kepimpinan pelajar masa ini di
masa-masa akan datang perlu meletakkan keutamaan perjuangan
mereka ke arah pembangunan negara dan bangsa yang lebih menyeluruh
dan tidak hanya terbatas kepada kepentingan segolongan kecil
pelajar atau anggota masyarakat.
Sejak awal abad ke-20, tiga kumpulan pelajar; golongan agama,
golongan nasionalis-radikal dan golongan nasionalis-sederhana
telah membangkitkan kesedaran bangsa melalui usaha-usaha pembangunan
pendidikan. Pada awal 1900an, beberapa tokoh pelajar seperti
Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hady dan Syed Salim
Al-Kalali dan Abas Mohamad yang terdidik di bidang keagamaan
telah pulang dari Timur Tengah. Di Timur Tengah golongan ini
telah mendapat asuhan dari pemikiran ulamak modernisme seperti
Syed Jamaluddin Al-Afghani dan Mohamad Abduh. Sekembali mereka
ke Tanah Melayu, golongan agama ini telah bergerak membangunkan
kesedaran bangsa ke arah pembangunan sosio-ekonomi. Komitmen
golongan ini ialah umat Islam mesti menguasai ekonomi untuk
tidak terus dibelenggu oleh kemiskinan dan mesti menguasai
pendidikan agar mampu menikmati kehidupan duniawi. Melalui
gerakan keilmuan seperti yang berlaku di Madrasah Al-Masyhur
Pulau Pinang dan penanaman semangat oleh akhbar Al-Imam, golongan
reformis-agama ini telah meninggalkan kesan sejarah yang jelas
ke arah mereformasikan kehidupan orang Melayu. Hasil dari
usaha tersebut, telah timbul kesedaran baru di kalangan umat
Islam tentang peri pentingnya menguasai ilmu dan harta – dua
unsur penting yang hilang akibat cengkaman dan penindasan
penjajahan.
Hasil
pertembungan dengan golongan nasionalis-radikal Indonesia,
para pelajar yang menuntut ilmu keguruan di Sultan Idris Training
College (SITC) Tanjung Malim, Perak telah mendapat rangsangan
baru ke arah memperjuangkan kemerdekaan negara. Di samping
itu, melalui asuhan para pensyarah seperti Harun Aminur Rashid,
Abdul Hadi Hj Hasan dan Ahmad Bakhtiar beberapa penuntut Maktab
seperti Ibrahim Hj Yaakub dan Hasan Manan telah menjadi penggerak
kepada kesedaran kemerdekaan politik tanah air. Pelajar lepasan
SITC ini kemudiannya bekerjasama dengan tokoh-tokoh lain seperti
Ishak Hj Mohamad, lulusan Malay College Kuala Kangsar (MCKK),
dan Ahmad Boestamam yang kemudiannya bersama-sama menubuhkan
Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang merupakan parti politik Melayu
radikal yang terawal.
Pada
pertengahan 1948, sebuah pertubuhan pelajar Gabungan Penuntut
Melayu Semenanjung (GPMS) ditubuhkan. Dua pengertian diberikan
kepada kata-kata penuntut. Pertama, bertujuan secara tersirat
untuk menuntut kemerdekaan, dan kedua berfungsi untuk menuntut
ilmu. GPMS yang kini dikenali sebagai Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung diwujudkan bagi memperjuangkan hak di bidang pendidikan
di samping menjalankan usaha meningkatkan pencapaian pelajar
Melayu dalam bidang berkenaan. Di antara tokoh terawal GPMS
ialah Abdul Wahab Arief, Aminuddin Baki dan Siti Hasmah Ali.
Di antara sumbangan utama GPMS ialah menanamkan kesedaran
pelajaran di kalangan pelajar Melayu manakala para pemimpin
GPMS telah terlibat secara langsung di dalam perjuangan menuntut
dan mengisi kemerdekaan tanah air.
Pemahaman
ke atas lintasan sejarah perjuangan kepimpinan pelajar sejak
awal abad ke-20 hingga ke masa ini adalah penting kepada generasi
pemimpin pelapis. Pemahaman seperti itu akan menguatkan azam
dan tekad untuk mewarisi kepimpinan pelajar yang berwibawa
dan mampu membuat sumbangan yang konkrit kepada pembangunan
negara dan bangsa.
Pencapaian
kemerdekaan pada tahun 1957 membolehkan pribumi negara ini
memikirkan masa hadapan tanpa perlu bergantung kepada mana-mana
pihak asing. Rakyat terutamanya golongan pribumi mempunyai
hasrat, cita-cita dan aspirasi tinggi untuk berjaya dalam
bidang budaya, politik, sosial dan ekonomi. Ledakan diri `harapan
melambung’ ini mempengaruhi kepimpinan GPMS dan kepimpinan
guru yang bergerak di dalam Kesatuan Pertubuhan Guru-Guru
Melayu Semanjung (KPGMS) di bawah kepimpinan Cikgu Mohd Noor
Ahmad. Kedua-dua penubuhan ini iaitu GPMS dan KPGMS telah
bersama-sama dengan Pertubuhann Kebangsaan Melayu Bersatu
(UMNO) memperjuangkan secara berterusan pembangunan pendidikan
pribumi. Perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan, tuntutan
diwujudkan beberapa buah universiti di Semenanjung dan tuntutan
mendemokrasikan pendidikan mempengaruhi wadah perjuangan mereka.
Di samping kepimpinan GPMS, anggota dan kepimpinan Pertubuhan
Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang ditubuhkan
pada awal 1960an turut menyuarakan kehendak rakyat terutamanya
di dalam hal yang berkaitan dengan agama Islam. Di kalangan
pelajar sosialis di kampung, gerakan mahasiswa seerti dengan
perjuangan menegakkan keadilan dan membasmi penindasan. Golongan
ini menyokong kebangkitan rakyat yang berjuang untuk mendapatkan
tanah seperti isu Hamid Tuah dan isu Tasik Utara di Johor
dan demonstrasi rakyat-miskin di Baling. Slogan `Mahasiswa
Menggugat’ dan `Mahasiswa Hati Nurani Rakyat’ menguasai kampung
dan negara. Kepimpinan mahasiswa yang juga turut terlibat
di dalam protes isu-isu antarabangsa seperti penindasan Yahudi
ke atas Palestine dan sentimen anti-Amerika. Di dalam kaitan
ini, gerakan pelajar di luar negara kuat mempengaruhi aktiviti
pelajar dalam negeri.
Pelaksanaan
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berhasrat untuk membasmi kemiskinan
dan menyusun semula masyarakat pada awal tahun 1970an membolehkan
ramai pelajar pribumi melanjutkan pengajian di peringkat menengah
dan universiti. Serentak dengan itu, institusi pendidikan
bumiputera seperti Institut Teknologi MARA, Maktab Rendah
Sains MARA, Program Matrikulasi, Sekolah Bantuan Penuh (SBP),
Maktab Perguruan dan Universiti telah ditubuhkan dengan pesatnya
bagi menampung keperluan pelajar bumi. Bersaingan dengan wujudnya
infrastruktur pendidikan ini telah lahir semangat dan ledakan
baru di kampung dan pusat-pusat pengajian yang lain iaitu
wujudnya unsur anti-establishment di kalangan pelajar dan
mahasiswa tempatan yang membawa mereka berdemonstrasi di jalan-jalan
raya. Pelajar bumi seolah-olah lupa bahawa kesampaian mereka
ke puncak pengajian ialah hasil dari tajaan terancang sumbangan
pemerintah dan juga rakyat. Kepada pemerintah, unsur seumpama
ini merugikan pelajar dan akan menghampakan rakyat dan negara.
Bagi menangani dan mengawal fenomena tersebut dari berleluasa,
Akta Universiti dan Kolej (AUKU) diperkenalkan.
Kepimpinan
pelajar masa kini berhadapan dengan empat tugas utama. Pertama,
menangani kemerosotan minat belajar di kalangan pelajar. Kedua,
mengatasi masalah ketidakbimbangan pencapaian akademik di
antara pelajar bumi dan pelajar bukan bumi. Ketiga, mengatasi
bersama masalah kemerosotan akhlak di kalangan pelajar. Dan
keempat ialah memperbaiki persepsi pelajar terhadap pemerintah.
Pertama,
kepimpinan pelajar bertanggungjawab menjalankan usaha meningkatkan
minat belajar para pelajar. Melalui pengamatan dan kajian,
adalah didapati minat belajar di kalangan pelajar bumi telah
menurun dan fenomena ini kalau tidak dikawal akan mengancam
survival bangsa. Usaha-usaha memberi motivasi pelajaran kepada
pelajar perlu dilakukan secara terancang dan berkesan. Di
samping itu, memperbanyakkan kegiatan pelajar yang mengarah
kepada pembangunan kerohanian perlu dilakukan. Usaha-usaha
membangunkan secara seimbang pelajar yang mencakupi komponen
jasmani, minda dan rohani perlu diadakan. Para pelajar hendaklah
ditanamkan dengan sifat patuh dan bersyukur kepada Allah,
berterima kasih kepada Kerajaan, menghormati ibu-bapa dan
guru dan mencintai ilmu.
Kedua,
akibat langsung dari merosotnya komitmen belajar ialah rendahnya
pencapaian akademik pelajar bumiputera. Pencapaian akademik
yang tidak imbang ini berlaku hampir di semua institusi pengajian
terutama di universiti. Seperkara yang jelas, pelajar-pelajar
bumi gagal mempertahankan kecemerlangan yang dicapai di peringkat
awal. Adalah diperhatikan, empat unsur yang dikenali sebagai
4S iaitu sikap, skills, sistem dan sokongan telah mempengaruhi
prestasi akademik pelajar. Sehubungan dengan ini, kepimpinan
pelajar perlu menjalankan usaha memperbaiki sikap pelajar
bumiputera yang rata-ratanya masih negatif terhadap tugas
dan tanggungjawab mereka kepada pelajaran. Usaha-usaha meningkatkan
skills iaitu kemahiran di dalam dua bidang utama iaitu bahasa
Inggeris dan matematik perlu dilakukan. Sehubungan dengan
ini, pengukuhan pendidikan di peringkat sekolah rendah perlu
dilakukan segera. Usaha mengelakkan dari berlakunya kelemahan
terkumpul (accumulative deficiency) di peringkat rendah perlu
dilakukan. Kerendahan pencapaian akademik pelajar bumi perlu
dilihat secara makro. Ia amat berkaitan dengan maruah, harga
diri dan survival bangsa.
Ketiga,
kini masyarakat bimbang dengan permasalahan sosial di kalangan
para remaja. Penemuan terakhir dari kajian GPMS mengenai gejala
sosial seperti yang diumumkan minggu lalu memeranjatkan umum.
Rata-ratanya, permasalahan sosial dilakukan oleh remaja yang
berada di bangku sekolah dan pusat-pusat pengajian. Pembangunan
akhlak adalah sesuatu yang asas dalam pembangunan bangsa.
Kekuatan sesuatu bangsa bergantung kepada tahap akhlak pemiliknya.
Dalam kaitan ini, kepimpinan pelajar mempunyai tanggungjawab
untuk memberikan kepimpinan bermoral kepada anggota pertubuhan
masing-masing. Kepimpinan Melalui Teladan masih relevan dan
terpakai. Kata bidalan `Guru Kencing Berdiri, Anak Murid Kencing
Berlari’ masih berkaitan dan bermakna. Sebagai role model,
para pemimpin pelajar sepatutnya memberikan kepimpinan melalui
tingkah laku dan sopan santun yang tinggi. Di samping itu,
kepimpinan pelajar juga seharusnya berusaha memperbaiki kepincangan
sosial yang berlaku di dalam masyarakat. Usaha membina jati
diri pelajar di samping usaha membangunkan keluarga sejahtera
adalah antara jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah gejala
sosial. Sensitiviti masyarakat terhadap gejala sosial seperti
bohsia, bohjan, rokok, dadah, Aids, HIV dan perlumbaan motor
haram perlu ditingkatkan dan usaha-usaha menjelaskan implikasi
dari gejala tersebut ke atas pembangunan agama, negara, bangsa
dan keluarga perlu dilakukan secara berkesan dan terancang.
Keempat,
persepsi negatif pelajar terhadap kerajaan seharusnya diperbaiki.
Penafian terhadap segala usaha positif yang dilakukan oleh
pemerintah adalah gambaran kepada wujudnya sikap tidak berterima
kasih di kalangan generasi muda. Sememangnya kerajaan belum
mampu mengisi segala harapan dan hasrat rakyat, namun demikian
menafikan apa yang telah disubangkan oleh kerajaan selama
ini adalah gambaran kepada sikap tidak menghargai apa yang
diperolehi. Sikap angkuh seumpama ini merugikan. Lebih dari
itu, pendidikan yang diperolehi seharusnya dapat meningkatkan
rasionaliti si pemiliknya. Empat perkara dalam kehidupan manusia
iaitu penguasaan ekonomi, ilmu, agama dan politik hanyay akan
diperolehi melalui pengetahuan dan bukannya melalui perasaan.
Malangnya, ramai generasi muda termasuk yang berilmu ingin
menguasai keempat-empat bidang tersebut melalui perasaan semata-mata.
Mereka adalah insan-insan yang akan kecewa kemudiannya. Sehubungan
dengan ini, kepimpinan pelajar mestilah berusaha memberikan
penjelasan dan penerangan kepada anggota pertubuhan masing-masing
tentang situasi sebenar keadaan ekonomi dan politik negara
agar usaha memesongkan persepsi pelajar terhadap kerajaan
akan dapat diperbaiki.
Kepimpinan
pelajar merupakan aset negara yang penting. Selain dari menentukan
tahap pencapaian pertubuhan masing-masing, kepimpinan pelajar
masa ini merupakann kepimpinan negara masa kini dan masa hadapan.
Kepimpinan pelajar mestilah berusaha menyatukan diri di dalam
usaha membangunkan negara dengan memberikan perhatian kepada
isu-isu semasa. Di samping melengkapkan diri masing-masing
dengan ilmu pengetahuan yang tinggi, kepimpinan pelajar mestilah
juga berusaha memasyarakatkan institusi pengajian dengan melibatkan
diri ahli- ke dalam aktiviti pembangunan masyarakat.
Halaman Utama