Oleh: NIZAM ABDUL HAMID dan NORIZAN ABDUL MUHID
Utusan Malaysia, 26 Julai 2002
MELAKA 25 Julai - Kira-kira 150 orang pelajar Kolej Yayasan Melaka (KYM) di kampus sementara di Taman Merdeka, Batu Berendam dekat sini merusuh selepas berlaku pergaduhan antara dua kumpulan pelajar awal pagi ini.
Kejadian dipercayai bermula di bilik asrama yang dihuni oleh kira-kira 30 pelajar dari negeri Kelantan sebelum merebak ke blok berhampiran apabila sebuah lagi bilik asrama diserang sekumpulan pelajar dan dindingnya turut dipecahkan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, dua pelajar tercedera dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.
Sehubungan itu, polis menahan enam pelajar berumur lingkungan 20-an bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Inilah kejadian pertama rusuhan pelajar KYM sejak kolej tersebut beroperasi Mac tahun 1997 dan kolej sementara di situ mula digunakan pada Mac lalu.
Berikutan kejadian itu juga pihak kolej akan mengasingkan kesemua 196 pelajar daripada Kelantan yang menghuni asrama tersebut ke asrama YKM di Peringgit atas nasihat pihak polis.
KYM yang kampus utamanya terletak di Bukit Sebukor, kira-kira 10 kilometer daripada kampus sementara itu mempunyai 9,000 pelajar yang mengikuti pelbagai program peringkat sijil dan diploma.
Kira-kira 2,500 daripada pelajar kolej tersebut tinggal dan mengikuti kuliah di kampus sementara itu yang merupakan lot kedai di Taman Merdeka.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supritendan Polis Onn Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi yang mengakibatkan dua pelajar cedera dan dua bilik asrama rosak kerana dindingnya dipecahkan oleh kumpulan pelajar terbabit.
"Kumpulan pelajar yang terlibat dalam kejadian ini dipercayai menggunakan kayu, besi katil dan batu untuk menyerang bilik asrama itu," katanya kepada para pemberita ketika ditemui di kampus tersebut di sini hari ini.
Turut rosak dalam kejadian itu ialah sebuah van milik KYM dan tingkap pejabat pentadbiran kampus sementara itu.
Onn memberitahu, kejadian dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek antara pelajar terbabit sebelum berlarutan menjadi lebih serius.
Pihak polis katanya, tiba ke kampus itu sejak tengah malam tadi selepas dimaklumkan tentang kemungkinan berlaku pergaduhan apabila pelajar kolej tersebut dikatakan berkumpul dalam dua kumpulan besar di kampus itu.
Bagaimanapun katanya, sekumpulan anggota polis, Rela dan pengawal keselamatan KYM berjaya mengawal keadaan dan beredar dari kawasan kampus kira-kira pukul empat pagi apabila keadaan kembali reda.
"Bagaimanapun, tidak lama kemudian, kumpulan terbabit dikatakan mula bertindak agresif dan berlaku kejadian menyerang pelajar dan asrama," ujarnya.
Kejadian itu berlaku kira-kira 15 minit sebelum dapat ditenangkan apabila pengawal keselamatan dan polis peronda yang melalui kawasan berhampiran bertindak mengawal keadaan.
Difahamkan pelajar yang menyerang itu dikatakan mahu berjumpa dengan beberapa pelajar yang tinggal dalam asrama tersebut, tetapi permintaan mereka tidak dilayan dan pintu asrama juga telah dikunci.
Ekoran itu, mereka telah membaling kayu, besi dan batu ke asrama yang terletak di tingkat dua dan menyebabkan hampir kesemua tingkap kaca asrama tersebut pecah.
Katanya, kesemua mereka yang ditahan, disoal siasat di Balai Polis Batu Berendam dan kemungkinan lebih ramai akan ditahan bagi membantu siasatan.