Dikemaskinikan Pada Khamis, 15 Ogos 2002 9:00 AM

Kenyataan Media PKPIM Isu Sistem Meritokrasi Dan Kuota


Sumber : Laman Web PKPIM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membuat pendirian berikut berhubung dengan isu sistem kemasukan pelajar ke IPT samada melalui kouta atau sistem merit.


1. PKPIM menolak cadangan untuk mewujudkan satu sistem kemasukan pelajar ke IPT dengan menghapuskan kemasukan melalui 3 sistem yang wujud sekarang iaitu Matrikulasi, Diploma dan STPM. Perubahan ini tidak akan membawa kepada jalan penyelesaian kerana 3 sistem / saluran tersebut adalah baik dan hanya perlu dimantapkan dari segi sistem pengagihan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke IPT. Pendapat tersebut tidak tepat untuk menyelesaikan kemelut yang ada kerana:

a. Saluran "entry point" kemasukan pelajar adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan, kawasan dan sekolah. Kepelbagaian saluran ini membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran, terutamanya bagi yang lemah dan sederhana meningkatkan prestasi mereka.

b. Kewujudan 3 saluran membantu kita mewujudkan lebih banyak pilihan dan alternatif bagi memilih pelajar-pelajar yang berkualiti. 3 sistem pendidikan pra-universiti tersebut membantu meningkatkan kualiti pelajar apabila menyambung pelajaran bagi program ijazah.


2. Sistem meritokrasi yang dilaksanakan sekarang memerlukan pengkajian yang teliti. Statistik peningkatan pelajar Bumiputera iaitu sebanyak 68.5% (Utusan) yang dinyatakan perlu dianalisis secara menyeluruh samada ia juga turut meliputi kursus-kursus kritikal serta berasaskan kepada kajian menyeluruh semua kemasukan samada Matrikulasi, Ijazah, Diploma dan di IPTA dan IPTS.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh media dan aduan-aduan yang diterima daripada pelajar-pelajar, jelas penguasaan yang tidak seimbang antara Bumiputera dan bukan bumiputera dalam kursus-kursus kritikal seperti perundangan, kejuruteraan dan lain-lain.

Justeru itu istilah "absolute" meritokrasi atau meritokrasi secara menyeluruh tidak boleh dilaksanakan kerana langkah ini tidak memberi ruang yang adil dan saksama bagi sekolah-sekolah luar bandar yang mempunyai kekurangan infrastruktur pembelajaran dan suasana persekitaran yang kurang memangkinkan kecemerlangan pelajar.

Sejak merdeka pada tahun 1957, tumpuan Malaysia dan pelbagai pihak terutamanya kerajaan dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan amatlah memberangsangkan bermula dengan peningkatan prasarana, polisi dan sistem pendidikan. Namun perubahan sememangnya memakan masa untuk melihat hasil yang terbaik. Mutu pendidikan kita bertambah setiap tahun.

Namun isu kemiskinan, kekurangan kemudahan serta guru, kelemahan kaedah pembelajaran & pengajaran dan faktor persekitaran yang berbeza antara bandar dan luar bandar, masih wujud walaupun telah banyak peningkatan.

Pelajar di sekolah luar bandar dan pendalaman mungkin menjadi pelajar yang cemerlang di sekolahnya dengan keputusan mempunyai 2B, tetapi tidak layak mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran kerana tidak memenuhi syarat minima kemasukan ke IPT.

Melaksanakan sistem meritokrasi baik dari segi meningkatkan daya saing para pelajar dan generasi muda hari ini bagi mengelak mentaliti subsidi, malas dan sebagainya. Namun menolak sistem kuota sepenuhnya akan memberi kesan jangka panjang kepada struktur sosial di masa hadapan. Kita merasakan sistem kouta hendaklah dipertahankan kerana ia merupakan kontrak sosial yang telahpun dipersetujui oleh pucuk pimpinan terdahulu dgn berasaskan kepada jumlah bilangan penduduk. Sepatutnya berdasarkan bancian penduduk tahun 2000 jumlah kuota berubah kepada 65-35. Polarisasi sosial amat penting di Malaysia kerana mempunyai struktur masyarakat majmuk. Formula keseimbangan kepentingan antara kaum di Malaysia berjaya mengekalkan kestabilan dan keamanan. Justeru itu ia wajar dipertahankan. Kekhuatiran timbul kerana di bilangan pelajar bukan bumiputera khususnya bangsa Cina menguasai sebahagian besar IPTS dan pendidikan luar negara berbanding dengan bumiputera yang kebanyakannya menumpukan kepada IPTA.

Persoalan yang timbul ialah apakah selama ini para pelajar yang memasuki IPTA melalui sistem kuoata tidak mendapat keputusan yang cemerlang. Adakah tiada merit dalam kuota ini?

PKPIM merasakan adalah tidak adil diadakan meritokrasi di IPTA sahaja sedangkan di IPTS tidak berbuat demikian. Justeru itu PKPIM mencadangkan agar di IPTS perlu dilaksanakan sistem meritokrasi dan kerajaan hendaklah memberi bantuan kepada para pelajar yang hendak memasuki IPTS khusunya pelajar bumiputera. Jumlah pelajar yang tidak mendapat tempat di IPTA masih tinggi disebabkan faktor persaingan, maka IPTS adalah pilihan alternatif. Bagi golongan bumiputera ramai yang ingin menyambung pelajaran di IPTS tetapi tidak berkemampuan.


3. PKPIM juga menggesa agar sistem pengendalian pengagihan pelajar oleh UPU perlu dipertingkatkan lagi bagi mengelakkan situasi di mana pelajar menerima "double offer", ditawarkan lebih dari satu tawaran melanjutkan pelajaran. Keadaan ini menutup peluang pelajar lain yang layak untuk menerima tawaran.

4. Proses pendidikan negara selepas pasca-kemerdekaan memperlihatkan kesan positif dengan setiap tahun berlaku pertambahan jumlah pelajar-pelajar yang layak untuk melanjutkan pelajaran ke program Matrikulasi, Diploma dan Ijazah di IPT. Jumlah pelajar yang layak adalah tinggi jika dibandingkan dengan tempat serta kursus yang ditawarkan. Situasi ini turut diakui oleh Prof. Dr. Hassan Said, Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia. Sebagai contoh, bagi aliran sastera yang memohon bagi bumiputera adalah seramai 25,978 orang sedangkan yang ditawarkan adalah seramai 8,226.

Justeru itu pengwujudan bidang-bidang atau kursus-kursus baru yang hanya menunggu pengesahan atau kelulusan Kementerian Pendidikan perlulah disegerakan kerana pusingan kemasukan pelajar adalah cepat iaitu dalam tempoh setahun kita akan memperolehi calon-calon yang layak daripada peperiksaan SPM dan STPM.

Selain daripada itu pemantauan juga perlu dibuat bagi semua IPTS di Malaysia oleh Kementerian Pendidikan terutama bagi membantu pelajar-pelajar yang tidak bernasib baik untuk di tempatkan di IPTA memilih IPTS yang sesuai dan memenuhi standard yang ditetapkan oleh kerajaan dan LAN.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

MOHD ZAIDI AZIZ
Presiden PKPIM
(019-345 8274 / 03-4143 9225)

Halaman Utama

 


Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved