Berita Harian,18 Ogos 2002
KLANG: Polis masih berusaha menyelesaikan kes pembunuhan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zuriati Osman, 20, dan mengekalkan warga Bangladesh yang ditemui bersama mangsa di tempat kejadian sebagai saspek utama.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Noor Hamat, berkata kes pembunuhan pelajar terbabit masih dalam siasatan dan polis sedang berusaha dalam semua aspek untuk memperoleh keterangan kukuh sebelum mendakwa sesiapa di mahkamah.
Beliau berkata, buat masa ini, warga Bangladesh, Shamim Reza yang ditemui dalam keadaan parah di dalam bilik berhampiran mayat mangsa menjadi saspek utama dan polis sedang berusaha mendapatkan keterangan daripadanya.
"Lelaki itu masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Kita pun belum boleh menemubualnya banyak-banyak kerana masih dalam rawatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Bola Jaring Polis Diraja Malaysia 2002 di Kompleks Sukan Pandamaran di sini, semalam.
Mohd Noor berkata, polis juga akan mendapatkan perintah menyambung tahanan reman ke atas lelaki Bangladesh itu, Isnin ini sekiranya siasatan ke atasnya masih belum selesai.
Dalam kejadian 9 Ogos lalu, mayat Zuraiti, pelajar semester dua Diploma Kimia Perindustrian, Fakulti Sains Gunaan ditemui dengan 18 kesan tikaman di dalam bilik di kediaman abang iparnya, seorang juruteknik Bahagian Pembangunan UiTM yang terletak di Kolej Meranti, Seksyen 2, Shah Alam.
Mayat mangsa ditemui oleh kakaknya dalam keadaan terbaring berlumuran darah di atas katil dengan kesan tikaman di dada dan tangan manakala lelaki terbabit terbaring di tepi katil dengan kedua pergelangan tangannya dikelar kira-kira jam 12.30 tengah hari.