oleh Maharaja Zhou melalui Form Penulis Tamu
PENGENALAN
Anak usrah PMI seringkali menjadi perbualan hangat di dalam kebanyakan
artikel dalam laman ini. Perkataan fanatik dan taksub seolah-olah
menjadi sinonim dengan anak usrah. Tetapi, secara peribadi, saya berpendapat
bahawa ia adalah merupakan satu bentuk kejayaan dalam kaderisasi
sesuatu organisasi. Oleh itu, jika UMNO ingin mempunyai janissary ataupun
regular armynya sendiri maka, mereka patut meniru ataupun
sekurang-kurangnya mengambil iktibar akan lawan mereka.
SEJARAH AWAL
Sistem kaderisasi menggunakan usrah ini sebenarnya mengikut manhaj
khawarij Ikhwanul Muslimin yang dipelopori oleh Hassan al-Banna, dan
diperkemaskan oleh sayyid Qutb dan pengikut-pengikutnya. Boleh dikatakan
sistem ini agak asing bagi masyarakat kita sehinggalah pada awal tahun
1970-an, apabila Pak Imaduddin dari indonesia mula menjalankan usrahnya
kepada pelajar-pelajar teknikal di sekitar Kuala Lumpur.
Apabila pelajar-pelajar ini sebilangannya mula dihantar oleh Kerajaan
ke UK, mereka ini semakin memantapkan manhaj yang telah mereka pelajari
ini, apabila mereka lebih banyak bergaul dengan pengikut abul a'la
Maududi dan juga pengikut ikhwan dari negara-negara Tinur Tengah. Akibat
beberapa perselisihan ini antara pelajar malaysia yang mengikut Tabligh
dan manhaj Abul a'la maududi, maka IRC(yg kemudiannya menjadi JIM)
ditubuhkan.
Apabila Anwar Ibrahim memasuki UMNO, maka PAS telah kehilangan sayap
pemudanya, dan ini telah memaksanya untuk memasuki kampus secara
langsung. IRC yang masih bersama dengan PAS ketika itu, mula memasukkan sistem
kaderisasinya ala ikhwan ke dalam PAS yang juga semasa itu asing dengan
sistem kaderisasi sedemikian. Apabila IRC mula mencuri anak usrah PAS
di kampus, maka PAS telah menyingkir unsur-unsur IRC di kampus dan
meneruskan sistem kaderisasinya sendiri dengan mengekalkan manhaj khawarij
Ikhwan.
Sistem Usrah
Sistem usrah yang dijalankan oleh PMI di kampus, dikepalai oleh seorang
naqib. Naqib bertindak seperti seorang guru yang terdiri daripada anak
usrah senior yang mungkin daripada tahun dua, tahun 3 ataupun tahun
akhir.
Bagi satu perkumpulan usrah, biasanya terdapat 5 sehingga 10 orang anak
usrah. Mereka adalah pelajar tahun fakulti ataupun tahun satu matriks.
Biasanya, mereka adalah golongan yang selalu turun ke surau ataupun
masjid. Di zaman sewaktu JIM ataupun ABIM masih berleluasa di Universiti,
perebutan anak usrah seringkali berlaku.
Silibus Usrah
Usrah yang dijalankan PMI mempunyai beberapa silibus. Pertama sekali,
anak usrah diajar tentang tauhid. Namun begitu tauhid yang diajar adalah
ringkas dan tidak diberi penekanan utama, walaupun dalam peringkat
dakwah Rasulullah SAW, tauhid adalah perkara yang dititikberatkan sekali.
Sirah turut diajar di dalam usrah, namun begitu ia diambil daripada
tulisan tokoh-tokoh Ikhwan. Antara teks popular yang digunakan adalah
Sirah Nabawiyyah bahagian 1 tulisan Dr. Mustafa Sibaei dari Syria.
Buku teks yang menjadi satu kewajipan bagi anak usrah adalah Maza Ya’ni
Intima-i Li al-Islam ataupun Apa Ertinya Saya menganut Islam oleh Fathi
Yakan. walaupun, dalam silibus terdapat banyak lagi topik yang perlu
dicakup, tetapi penekanan banyak diberi kepada pembinaan ahli ataupun
kaderisasi, dan buku tersebut memenuhi perkara tersebut.
Hasil Kaderisasi
Secara umum saya boleh bahagikan kepada beberapa golongan.
Secara jujur,jarang daripada golongan anak usrah PMI yang turun ke
masjid keluar dari usrah atas dasar ilmu (perkara ini kita akan bincangkan
di bahagian lain).
Golongan pertama daripada golongan ini adalah merka yang langsung
mengisytiharkan perang terhadap bekas naqib-naqib mereka.Mereka lebih berat
kepada hiburan dan hedonisme, dan turut kepada penganjuran
majlis-majlis maksiat (tidak kira daripada neraca khawarij ataupun salaf).Mereka
biasanya hanya mengikuti usrah sekadar 2 atau 3 kali,dan tidak berminat
bukan di atas ilmu.
Keadaan ini diburukkan lagi secara politik apabila bekas-bekas anak
usrah ini turut bersama dengan golongan lawan PMI,mendedahkan mereka
terhadap "taktik" dan "strategi" mereka yang pernah dahulu seusrah.
Kebiasaannya, tiada anak usrah yang membangkang "taktik" ini, dan kritikan ini
dilakukan oleh mereka yang berada daripada usrah.Amat malang sekali
kerana mereka yang mengkritik ini turut melakukan sabotaj dan perkara
un-islamaic kepada sahabat anak usrah mereka ini. Maka, perkara ini menjadi
dendam berpanjangan antara mereka akibat sabotaj yang dilakukan sesama
mereka akibat pilihanraya kampus,pilihanraya kolej dan juga
label-melabel. Kebiasaan tuduhan bekas anak usrah kepada anak usrah ialah "sengaja
tunjuk alim" etc dan pihak sebaliknya pula seperti "mat couple" etc.
Golongan kedua pula, adalah golongan yang tidak mengambil hal dengan
politik kampus ataupun nasional. Sebahagia daripada mereka lebih gemar
menghabiskan masa mereka kepada pelajaran seperti mana yang diseru oleh
Kerajaan, dan tidak terlibat dengan politik mana-mana pihak. Sebahagian
yang lain pula, lebih kepada hal sendiri, dan tidak pula cemerlang
dalam akademik kerana lebih menumpukan masa "menguruskan diri".
Golongan Yang Masih Bersama PMI
Golongan ini terbahagi kepada beberapa kategori:
1. Anak Usrah
Mereka ini masih mengikuti PMI secara aktif dan mereka inilah yang
digelar anak usrah taksub, fanatik dll. Mereka mudah dikenali terutamanya
daripada pakaian mereka, jikalau lelakinya, berketayap, berbaju melayu
dan seluar slack. Manakala, yang perempuannya pula, bertudung labuh dan
jubah. Mereka yang mengikuti kaderisasi PMI akan berpakaian sebegini
walaupun bukan daripada fakulti Pengajian Islam, dan mereka lebih fanatik dan
taksub kadangkalanya daripada rakan-rakan mereka di Pengajian Islam.
Dari segi jawatan,kebanyakan jawatan di kampus adalah dipegang oleh
mereka ini. Terutama sekali jawatan di anak negeri dan kolej. Oleh itu,
kita dapat melihat bahawa kebanyakan jawatan besar di universiti yang
dikuasai oleh PMI, dipegang oleh anak usrah totok ini.
Dari segi ketaatan, mereka ini taat tanpa perlu dinafikan lagi. Dan
kita dapat melihat, bahawa jentera pilihanraya mereka adalah amat
terorganisasi. Mereka secara peribadi mungkin tidak berdisiplin (tidak
menghormati waktu dan sebagainya), tetapi dalam kerja PMI, mereka amat disiplin
dan taat, hasil dari pengaruh perkaderan mereka.
2. Pro-PMI
Mereka ini biasanya terdiri daripada anak-anak usrah yang kurang taat
dan tidak mengikuti program usrah seperti yang dianjurkan oleh silibus
PMI. Mereka ini masih sayang kepada PMI atas sentimen anak usrah.
Mereka mungkin terdiri daripada mahasiswa yang menghisap rokok,
berseluar jeans, dan yang mahasiswinya pula tidak berjubah atau bertudung
labuh. Mereka tidak memegang jawatan besar dalam PMI tetapi ada memegang
jawatan dalam PMU atau jawatan-jawatan di kolej, fakulti, projek dan anak
negeri.
MASALAH KADERISASI PMI
1. Ilmu
Masalah ilmu adalah masalah anak usrah yang besar. Waalaupun anak usrah
PMI, mempunyai ilmu yang lebih berbanding tabligh, tetapi, mereka amat
bergantung kepada bahan bacaan semasa usrah, dan kebiasaannya itupun
tidak terhabis.Saya berani menagatakan hanya 2-3 orang sahaja anak usrah
PMI yang berjaya menghabiskan buku teks Maza Ya'ni, apatah lagi membuka
buku-buku yang lain.
Kebanyakan pengisian yang diberikan adalah untuk melahirkan ahli yang
taat dan memahami isu politik semasa (baca:kebencian kepada UMNO).Dengan
itu, kita dapat melihat walaupun mereka belajar di pengajian Islam,
tetapi mereka tidak begitu arif dalam ugama, sekadar mampu bertazkirah dan
ramai daripada mereka tidak mampu mendapat kelas pertama ataupun
kepujian dengan cemerlang sedangkan jumlah mahasiswa Cina di Fakulti
Kejuruteraan yang memperolehi kelas pertama adalah lebih ramai.
Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, boleh dikatakan tiada anak
usrah PMI yang turun surau dan mengikuti usrah tercicir. Tujuan mereka
adalah untuk mengfakihkan diri di dalam ugama.Malang sekali mereka ini
adalah golongan yang jujur untuk Islam, tetapi oleh kerana mengikut
pendapat yang salah, maka golongan ini terus diperalatkan oleh "kefahaman"
dan rasa taat mereka tadi kepada PMI.
2. Taksub
Oleh kerana ilmu merupakan masalah, maka taksub dan taklid menjadi
perkara yang lumrah. Walaupun dari segi amalan mereka adalah baik (mungkin
tidak sebaik anak usrah JIM atau Tabligh), tetapi kurangnya ilmu
menyebabkan mereka terlibat dalam bid'ah dan juga kurangnya kefahaman terhadap
quran dan Sunnah.
Apabila,lebih banyak perkara politik yang banyak dibincangkan daripada
Islam yang sebenar, maka pihak sedemikian akan lebih taksub kepada
ustaz-ustaz tetentu, dan mula memandang remeh kepada ulamak tertentu hanya
kerna ulamak tersebut bukan ulamak yang bersama dengan parti tertentu.
Contoh ulamak-ulamak tersebut seperti Uthman el-Muhammadi, Datuk Ismail
Ibrahim dan para mufti seperti Dato'Seri Harussani Zakaria. Malahan
ustaz-ustaz PMI yang baru graduate dipandang lebih tinggi daripada
nama-nama yang baru saya sebutkan tadi.
3. Sahsiah
Oleh kerana akhlak kurang diberi perhatian, maka sahsiah anak usrah
boleh dipertikaikan daripada sahsiah Islam yang sebenar.
Saya rasa tidak perlulah saya tambah di sini kerana banyak artikel yang
memuatkan perkara seumpama itu.
Kesimpulan
Untuk membincangkan perkara ini sebenarnya memakan masa yang panjang,
dan mungkin hanya sebuah buku sahaja yang sesuai untuk mendokumentasikan
perihal ini. Namun begitu, saya rasakan bahawa untuk membentuk satu
organisasi yang mapan, kaderisasi dengan manhaj yang betul adalah perlu
agar kekuatan suatu organisasi adalah bottom up.
Kita tidak seharusnya membenci sesuatu sehingga kita berasa malu untuk
mempelajari sesuatu daripada mereka. Lihatlah dunia barat yang belajar
daripada kekalahan mereka di Perang Salib, maka mereka muncul sebagai
kuasa dunia dalam beberapa abad kemudian.
Namun begitu, seruan saya adalah sama seperti sebelumnya, mantapkan
akidah dan pelajarilah agama. Bukalah quran dan hadith dan ketahuilah mana
satu bid'ah dan mana satu sunnah. Apakah yang sebenarnya dipanggil
ahlul Sunnah wal Jamaah dan apakah itu Syiah, khawarij dan
pemikiran-pemikiran sesat yang lain ?
Insha Allah,dengan itu, kejayaan akan semakin hampir.