Kami Bukan Pro Pembangkang - Pemimpim UKM
Hit = [
');
//-->
]
sumber: Utusan Malaysia
MUKADIMAH
SEJAK minggu lalu, universiti-universiti awam di Malaysia menjadi tumpuan kerana pilihan raya pelajar yang diadakan secara serentak di semua universiti dikatakan menjadi medan perebutan pengaruh antara kumpulan pelajar yang menyokong kerajaan dan penuntut propembangkang.
Bahang pilihan raya kampus dilihat seolah-olah menyamai pilihan raya umum apabila orang ghairah bertanya pihak mana yang menang di universiti-universiti tertentu: Adakah kumpulan pelajar prokerajaan atau kelompok propembangkang?
Persoalannya, sejauh manakah benar situasi politik seumpama itu wujud di kampus-kampus universiti di Malaysia?
Wartawan Mingguan Malaysia, ZALINA YAHAYA, ROHANA MAN dan SITI MARIAM MD. ZAIN mendapatkan pandangan dua pemimpin pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Majlis Perwakilan Pelajar UUM dilaporkan dikawal oleh kumpulan prokerajaan yang direstui oleh pengurusan universiti, manakala kelompok pelajar propembangkang menyapu bersih pilihan raya pelajar di UKM.
Analisis yang dibuat oleh beberapa pihak mendakwa kumpulan proaspirasi kerajaan menang di tujuh buah universiti iaitu di UUM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUITHHO).
Puak penyokong pembangkang pula menguasai enam buah universiti perdana iaitu di UKM, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).
Pelajar tahun tiga Fakulti Undang-Undang UKM, Abdullah Abdul Karim, 22, adalah calon yang mendapat undi terbanyak bagi pilihan raya kawasan umum UKM.
Shamshuhardi Basir, 22, pula merupakan pelajar tahun tiga Sekolah Pengurusan Awam UUM yang kini merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM.
Mereka menceritakan apa sebenarnya yang berlaku dalam politik kampus.
*** ABDULLAH ABDUL KARIM
"Kami juga menghormati kepimpinan Perdana Menteri"
Benarkah wujud kelompok-kelompok prokerajaan dan propembangkang di UKM ?
ABDULLAH: Saya berasa agak terkejut dengan laporanmedia menyatakan wujud dua kelompok pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Jika pihak kementerian sendiri yang memberikan label ini, saya ingin pulangkan paku buah keras kepada mereka yang sebelum ini melarang pelajar berkelompok atau lebih tepat calon tidak boleh bertanding dalam pilihan raya universiti mewakili kumpulan tertentu.
Tetapi baru-baru ini, Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) dikejutkan dengan kenyataan yang melabelkan kami sebagai kelompok pelajar yang propembangkang.
PMUKM tidak pernah melabelkan sesebuah kumpulan pelajar itu prokerajaan atau propembangkang. Yang memberi label itu ialah orang luar yang tidak tahu apa-apa mengenai perjalanan PMUKM.
Bagaimanapun, PMUKM beranggapan sesiapa sahaja berhak melabel kumpulan pelajar itu di pihak pembangkang atau kerajaan.
Yang saya pasti ialah gerakan kami bukan dikuasai oleh pelajar daripada kelompok yang cenderung kepada pembangkang.
Pada pendapat saudara, kenapa label propembangkang diberikan kepada PMUKM ?
ABDULLAH: Mungkin label itu diberi kepada PMUKM kerana orang luar melihat kami terlalu lantang manakala isu yang diperjuangkan pula mirip perjuangan sebuah parti politik pembangkang.
Mungkin juga PMUKM mendapat label itu kerana kebanyakan kami mengenakan pakaian seperti ahli parti pembangkang.
Saya ingin tegaskan bahawa kemiripan itu tidak boleh membuktikan bahawa PMUKM adalah kelompok pelajar propembangkang. Ini satu tuduhan berat yang tidak adil kepada kami.
Apakah isu yang diperjuangkan PMUKM yang dikatakan mirip perjuangan parti pembangkang ?
ABDULLAH: PMUKM lantang memperjuangkan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada sesi lalu dan perjuangan itu akan diteruskan pada sesi ini.
Isu itu juga disuarakan oleh sebuah parti pembangkang dan kebetulan kedua-dua pihak membantah beberapa perkara berhubung pelaksanaan pinjaman PTPTN terutama yang menyentuh soal riba.
Persamaan pandangan itu cuma satu kebetulan kerana PMUKM tanpa dipengaruhi sesiapa beranggapan soal riba dalam PTPTN perlu diselesaikan.
Lantaran kelantangan dan kemiripan perjuangan itu dengan parti pembangkang, maka PMUKM terus dilabel sebagai pertubuhan pelajar yang propembangkang.
Tetapi apabila PMUKM menyokong isu meritokrasi dan bersuara lantang seiring dengan kerajaan, tidak ada satu pun label negatif diberikan kepada PMUKM.
Sepatutnya dalam hal itu, kami boleh dilabelkan sebagai kelompok pelajar yang prokerajaan.
Apa yang pasti, jika PMUKM memperjuangkan isu yang turut diperjuangkan parti pembangkang maka PMUKM akan dituduh propembangkang tetapi mengapa kami tidak dilabel sebagai prokerajaan apabila isu yang kami perjuangkan seiring dengan aspirasi kerajaan?
Terdapat dakwaan bahawa pilihan raya pelajar di UKM baru-baru ini menyaksikan calon daripada kelompok pelajar propembangkang menang melawan calon daripada kelompok pelajar prokerajaan. Saudara berada dalam kelompok mana dan apakah faktor yang membantu saudara menang dalam pilihan raya itu ?
ABDULLAH: Saya akui bahawa saya kononnya dikatakan daripada kelompok pelajar yang propembangkang.
Namun seperti yang saya tegaskan tadi, tidak wujud kelompok-kelompok pelajar yang dinyatakan itu kerana mengikut peraturan pilihan raya, setiap calon bertanding atas tiket individu, bukannya mewakili kumpulan atau kelompok tertentu.
Jadi saya bertanding atas tiket individu kerana jika saya bertanding atas tiket kumpulan pelajar tertentu maka sudah tentu pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM membatalkan pencalonan saya.
Mengenai faktor yang membawa kepada kemenangan besar saya ialah isu yang saya perjuangkan berjaya menambat hati pelajar-pelajar UKM.
Sebanyak tujuh calon bertanding di Kawasan Umum UKM yang menyaksikan saya mendapat undi terbanyak iaitu 2,258 undi.
Kemenangan ini mungkin juga kerana saya yang merupakan bekas Setiausaha Agung PMUKM sesi lalu telah membuktikan bahawa kepimpinan lalu berjaya menyelesaikan banyak masalah pelajar.
Misalnya, PMUKM sesi lalu berjaya mempengaruhi pihak pentadbiran universiti supaya menarik balik peraturan baru yang mewajibkan setiap pelajar yang berkereta ke kampus membayar yuran permit berjumlah RM100 bagi satu semester.
Begitu juga dengan kejayaan kita menyelesaikan masalah pengangkutan dan desakan kita supaya dipercepatkan proses menyerahkan baki pinjaman PTPTN kepada pelajar.
Kejayaan itu memberi impak yang cukup besar kepada pelajar-pelajar UKM dan akhirnya membantu kemenangan saya.
Pernahkah ahli politik daripada UMNO, Pas atau Keadilan masuk ke kampus untuk cuba mempengaruhi pelajar supaya mengikut perjuangan mereka ?
ABDULLAH: Kedua-dua pihak iaitu UMNO dan Pas pernah masuk ke kampus dan setakat yang saya ketahui, exco Pemuda UMNO pernah muncul pada kempen pilihan raya kampus tahun lalu.
Pemimpin-pemimpin Pas pula tidak pernah menemui PMUKM tetapi mereka ada beberapa kali menelefon pejabat PMUKM.
Apakah kemahuan kedua-dua parti politik itu ?
ABDULLAH: Mereka ingin tahu perkembangan terkini pelajar di kampus UKM dan kami melayan semua permintaan mereka sama rata.
Baru-baru ini, Pemuda UMNO meraikan calon-calon pilihan raya universiti yang dilabelkan sebagai prokerajaan pada majlis berbuka puasa di PusatDagangan Dunia Putra (PWTC). Kenapa wakil PMUKM tidak kelihatan pada majlis itu ?
ABDULLAH: PMUKM tidak dijemput hadir pada majlis berkenaan. Ini adalah sesuatu yang amat mengecewakan dan boleh juga menjadi bukti bahawa orang yang membuat label itu bukannya pelajar tetapi pihak lain.
PMUKM berasa sedih dan terkilan dengan layanan berat sebelah itu kerana pada hakikatnya kami juga menyokong aspirasi kerajaan.
Malah PMUKM kagum dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad yang membawa kemakmuran dan pembangunan kepada negara khususnya dalam soal penerapan nilai-nilai Islam.
Apakah hala tuju PMUKM selepas ini ?
ABDULLAH: PMUKM sesi ini akan meneruskan perjuangan sesi lalu.
Kesinambungan ini perlu kerana masalah pelajar di kampus biasanya masalah berulang. Misalnya, PMUKM sesi lalu berjaya menyelesaikan masalah pengangkutan di kampus tetapi ia boleh muncul lagi pada sesi ini.
Selain itu, PMUKM juga akan menjalankan lebih banyak program ke arah melahirkan pelajar bumiputera cemerlang.
Saya sendiri perlu membuktikan bahawa sebagai pemimpin saya perlu meningkatkan prestasi akademik dari satu semester ke satu semester.
Alhamdulillah, saya dapat melakukannya kerana keputusan saya pada semester lalu lebih baik daripada semester sebelumnya, malah sejak saya menjadi pemimpin pelajar, keputusan peperiksaan saya semakin baik.
PMUKM juga mahu supaya status universiti sebagai menara gading kekal. Kita mahu fungsi universiti sebagai pusat perkembangan ilmu dan idea berkembang dengan baik.
Para pelajar universiti pula perlu dimatangkan dan mereka harus mampu membincangkan pelbagai isu semasa yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi seperti globalisasi. Ini boleh dicapai menerusi penganjuran program berbentuk ilmiah seperti wacana ilmu.
Apakah harapan saudara terhadap penyelesaian isu label-melabel gerakan pelajar sebagai kelompok propembangkang ?
ABDULLAH: Saya merayu kepada media supaya berhenti melabel sesebuah pertubuhan pelajar sebagai propembangkang.
Bukanlah PMUKM menuduh media tidak telus dalam laporannya tetapi kenyataan yang sebenar ialah label yang diberi tidak tepat dan tidak benar sama sekali.
Saya bimbang label itu akan mewujudkan jurang di antara satu kelompok pelajar dengan kelompok pelajar lain. Jurang itu jika dibiarkan melebar hanya akan menjejaskan silaturahim sesama pelajar di universiti tempat saya belajar.
*** SHAMSHUHARDI BASIR
"Jangan labelkan kami kumpulan proaspirasi kerajaan"
Pada pandangan saudara, mengapa saudara menang dalam pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPPUUM) baru-baru ini ?
SHAMSHUHARDI: Pada pilihan raya UUM pada 26 November lalu, 18 calon bertanding untuk sembilan kerusi yang dipertandingkan. Dengan motto Bersatu Menuntut Perubahan, alhamdulillah saya menang dengan undi yang tinggi.
Saya mendapat undi kedua terbanyak iaitu 9,978 undi. Kemenangan saya mungkin disebabkan sebelum ini kita nampak tanda-tanda semua mahasiswa dan mahasiswi UUM condong ke arah mahukan perubahan.
Ini kerana tampuk kepimpinan pelajar di UUM pada masa lepas tidak mampu melakukan perubahan dari segi kebajikan dan aktiviti-aktiviti yang boleh kita gahkan di peringkat UUM ataupun nasional.
Apa yang saudara dapat rumuskan tentang keputusan pilihan raya UUM kali ini ?
SHAMSHUHARDI: Saya nampak cuaca perubahan MPP kali ini. Calon-calon yang menang banyak dipengaruhi oleh agenda yang dibawa iaitu berkaitan dengan aspirasi perubahan. Kami merupakan golongan berhaluan sederhana.
Sebelum ini kita lihat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain, kebanyakan pelajarnya lebih bersikap agresif. Bagaimanapun di UUM pada tahun ini, sembilan calon yang menang dalam pilihan raya kali ini lebih berhaluan sederhana.
Apakah isu yang dibawa oleh saudara dan rakan-rakan saudara yang menang dalam pilihan raya kampus kali ini ?
SHAMSHUHARDI: Isu-isu yang kita bawa lebih terarah kepada kebajikan pelajar seperti isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan juga isu motosikal.
Di UUM, hanya pelajar semester tujuh dan lapan sahaja dibenarkan membawa masuk motosikal ke kampus. Masalah timbul apabila bas yang disediakan tidak cukup atau bas tidak menepati jadual. Kadang-kadang kelas bermula pukul 8 pagi tetapi pukul 8 pun bas tidak ada lagi.
Kedua, kita berjanji akan mewujudkan sekretariat yang lebih tersusun dan terarah kepada kebajikan pelajar, juga berjanji untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menyahut cabaran Naib Canselor yang mahukan UUM menjadi universiti bertaraf dunia pada tahun 2005 nanti.
Kita mahu membantu universiti melahirkan mahasiswa yang diakui dari segi intelek dan berupaya menangani program-program besar di peringkat kebangsaan.
Sejauh mana saudara setuju dengan pelabelan kumpulan-kumpulan yang bertanding dalam pilihan raya kampus sebagai proaspirasi kerajaan atau propembangkang ?
SHAMSHUHARDI: Jika dilabelkan sebagai proaspirasi kerajaan, ia seolah-olah kita ini berpihak kepada UMNO. Kalau yang di sebelah sana mungkin menyokong Pas, Keadilan dan sebagainya.
Sebagai pelajar, kita tidak sepatutnya mewakili satu-satu parti politik, sebaliknya kita perlu memperjuangkan ideologi sendiri. Memang kita menyokong dasar-dasar yang dibuat oleh universiti dan juga kerajaan. Bagaimanapun, kita perlu memperjuangkan ideologi organisasi dan ideologi mahasiswa itu sendiri tanpa dikongkong dan diarahkan oleh mana-mana pihak.
Biarlah pemimpin mahasiswa yang dilantik oleh mahasiswa memperjuangkan hal-hal mahasiswa sendiri. Saya rasa jika kami di UUM ini dikategorikan sebagai golongan sederhana, ia adalah lebih tepat daripada label proaspirasi kerajaan atau propembangkang.
Sebelum ini pelajar UUM dilihat dipengaruhi oleh ideologi pembangkang, apa komen saudara ?
SHAMSHUHARDI: Memang pada sesi lalu kumpulan yang agresif ini menang. Pada tahun lepas kita lihat isu-isu yang dimainkan banyak menyentuh dasar-dasar universiti dan kerajaan.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM sendiri digantung pengajian, dilucutkan jawatan manakala timbalannya meletak jawatan. Memang kita nampak ada kecenderungan ke arah pembangkang. Berdasarkan maklumat yang kita terima pengkaderan mereka dibuat di Kubang Rotan, Kedah, di pantai timur dan sebagainya.
Mengapa pada tahun ini pelajar-pelajar UUM menolak kepimpinan golongan agresif ini ?
SHAMSHUHARDI: Mereka tidak menjanjikan apa-apa. Cuma mereka kata kalau menang, mereka akan meneruskan aktiviti Majlis Perwakilan Pelajar. Itu sahaja.
Yang dibawa dalam pilihan raya pelajar pada tahun ini ialah isu lapuk seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan konsep negara Islam. Pada saya itu isu politik, sedangkan kita belajar di UUM ini selama tiga tahun. Dalam tempoh itu kita tidak akan mampu untuk membentuk kerajaan.
Ada satu kes seorang calon pilihan raya masuk ke dewan kuliah. Sambil menangis dia kata kalau tidak mahu menyokong dia tidak apa tapi anggaplah kalau undi dia seolah-olah para pelajar UUM undi Tuhan.
Akhirnya kata-kata dia telah memakan diri sendiri dan dia antara yang mendapat undi tercorot dalam pilihan raya pelajar.
Kita yang membawa tema aspirasi perubahan ini menekankan bahawa kita akan memperjuangkan isu-isu berkaitan kebajikan pelajar. Keputusannya menunjukkan mood pengundi lebih ke arah itu.
Secara umum, apakah seseorang pelajar itu perlu terlibat dalam politik semasa, maksudnya memihak kepada mana-mana parti politik ?
SHAMSHUHARDI: Sebagai seorang mahasiswa, tempoh pengajian selama tiga atau empat tahun perlu diandaikan sebagai masa untuk belajar, memahami dan memerhati apa yang berlaku di luar kampus.
Maknanya kita dalam proses mengkaji. Biarlah kita katakan selama tempoh itu, kita menilai baik buruk apa yang berlaku di sekeliling kita. Maksud saya ialah semasa di universiti kita harus menilai dan selepas tamat belajar, terpulanglah kepada kita sendiri untuk membuat keputusan yang mana lebih baik.
Sekiranya kita mengambil pendekatan memihak kepada parti politik tertentu semasa belajar, kelak kita akan ikut kemahuan parti politik itu sahaja.
Benarkah Majlis Perwakilan Pelajar UUM kini proaspirasi kerajaan ?
SHAMSHUHARDI: Pada dasar, seboleh-bolehnya biarlah perkataan itu ditukarkan kepada berhaluan sederhana kerana penyokong-penyokong kita pun bukannya semua yang prokerajaan ataupun propembangkang.
Di universiti-universiti lain mereka dilabelkan begitu, tetapi di UUM biarlah kita dilabelkan sebagai kumpulan berhaluan sederhana yang menyokong dasar-dasar kerajaan dan universiti.
Mengapa saudara perlu bimbang dalam soal pelabelan ini ?
SHAMSHUHARDI: Apabila dilabelkan begitu, seolah-olah kita ini diarahkan atau dipaksakan oleh pihak-pihak tertentu. Sedangkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti, kita tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana politik kepartian.
Pihak pentadbiran UUM meletakkan beberapa syarat baru untuk pilihan raya kali ini, antaranya ialah pelajar yang tidak keluar mengundi akan dipotong 10 markah daripada merit untuk tinggal di asrama. Apa reaksi saudara ?
SHAMSHUHARDI: Langkah itu satu langkah yang bijak kerana sebelum ini hanya kira-kira 31 peratus mahasiswa keluar mengundi. Bila pihak pentadbiran buat peraturan begitu, pelajar semester satu hingga empat takut akan dihantar ke satu kolej yang kami gelar `terbuang tapi terbilang'.
Langkah pemotongan 10 markah ini amat berkesan. Tapi bagi pelajar tahun akhir, mereka tidak berapa kisah. Bagaimanapun, alhamdulillah lebih 90 peratus mahasiswa telah keluar mengundi di UUM. Peratusan yang mengundi ini adalah pengukur kepada kemampuan seseorang itu untuk menjadi pemimpin.
Baru-baru ini timbul isu Profesor Datuk Dr. Ahmad Fawzi Mohd. Basri selaku Naib Canselor UUM dikatakan penyebab kepada banyak masalah sosial yang berlaku di universiti kerana kononnya beliau `sibuk dengan urusan politik UMNO'.
Kemudian timbul isu pengawal keselamatan merogol pelajar tetapi pihak pentadbiran menjanjikan kepada pelajar terbabit bahawa dia akan dapat ijazah kelas pertama kalau tidak membuat laporan polis. Pada saya, isu-isu ini adalah satu pembohongan yang cukup nyata.
UUM tidak sama dengan universiti lain di Malaysia. Di universiti lain kalau keluar sahaja dari pintu pagar universiti, kita boleh nampak pusat snuker, pusat bowling dan sebagainya. Tapi tidak di UUM. Saya rasa kami terkawal.
Selepas pukul 11 malam, kami tidak boleh keluar lagi. Kalau tohmahan itu kata UUM adalah pusat gejala sosial, ia satu pembohongan besar.
Kami berdiri di belakang Datuk Naib Canselor dan menyokong sepenuhnya tindakan beliau untuk menyaman pihak-pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.