Idealis Mahasiswa
 
 

Kampus: Kilang Pembiakan Anasir Negatif


Hit = [ ]

PenaSakti

Dulu, ketika Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi, mendedahkan wujud segolongan pensyarah yang menjadi dalang penghasut pelajar, berjihad mengangkat senjata, ramai yang tidak percaya.

Tidak kurang yang menuduh naib canselor itu sengaja mencari publisiti murahan.

Hakikatnya, hari ini, kebenaran telah terserlah, dengan penahanan dua pensyarah UTM di bawah ISA kerana terlibat dengan KMM.

Apakah dengan penahanan Roshelmy Md Sharif, 30 dan Idris Salim, 33, pensyarah lulusan luar negara itu bukan bukti yang nyata.

Pensyarah ini dahulunya seorang pelajar dan mereka terdedah dengan pelbagai anasir luar termasuklah pelbagai ideologi ekstrim aliran Ikhwan Muslimin.

Bukan menuduh, tetapi hakikatnya, penganut Ikhwan sanggup 'berjihad' di medan perang, sebagaimana matinya Syed Qutb di tali gantung.

Darah muda pelajar muda terikut dengan 'perjuangan' ini. Barangkali 'darah perjuangan' ini dibawa oleh pelajar luar dan kembali ke tanah air sebagai seorang teknokrat, korporat mahupun pensyarah.

Maka, adalah mustahil, sebagai pensyarah yang ekstrim seperti Roshelmy dan Idris tidak mewarisi ideologi perjuangan yang diyakini benar kepada pelajar-pelajarnya, sebagaimana yang telah diwarisinya daripada pensyarah-pensyarahnya dahulu.

Buktinya, lahirlah golongan seperti Wan Noor Hayati Wan Alias, gadis mangsa gerakan bawah tanah.

Wan Noor Hayati, dididik, diasuh dan dilatih oleh rangkaian kader-kader 'pejuang Islam' dengan disokong oleh para pensyarah tertentu.

Setelah menerima latihan tertentu dan mendapat 'ijazah', gadis malang itu, dieksploitasi membantu kempen pilihanraya negara. Bukankah membantu parti Islam itu sebagai suatu jihad 'di medan perang'. Itulah kata-kata yang selalu ditiupkan ke dalam roh Wan Norhayati.

Barangkali, ketika mula pendedahan gadis malang itu, ramai yang menuding jari kepadanya. Ada juga yang tidak percaya dengan berkata; gadis itu sengaja menagih simpati untuk menyambung pelajarannya semata.

Malah, pendapat yang lebih ekstrim mengatakan pendedahan Wan Norhayati adalah pembohongan yang lahir daripada ilusi kekecewaan.

Hakikatnya, apa yang diperkatakan oleh bekas mangsa gerakan bawah tanah itu, mula terbongkar apabila penahanan 8 mahasiswa IPTA di Indera Kayangan baru baru ini.

Kenapa mereka pergi ke tempat pilihanraya kecil itu ? Siapakah pelajar-pelajar itu sebenarnya ?

Fakta tidak dapat disembunyikan, yang ditahan adalah aktivis-aktivis yang mengelarkan diri mereka "Pelajar Islam". Kebanyakan mereka berjawatan penting dalam persatuan, termasuklah exco, bekas MPP dan bekas presiden harakatul Islamiyah IPTA.

Sejarah tidak pernah menipu manusia.

Pendedahan Naib Canselor UUM, 29 Ogos 2001

Mukadimah

RAMAI yang menghargai ketelusan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi Mohd. Basri mendedahkan pensyarah dan pelajarnya yang terlibat dengan gerakan bawah tanah.

Tidak kurang juga yang mengandaikan langkah beliau sebagai membuka pekung di dada kerana ia menggambarkan kepimpinan beliau yang akan memasuki 100 hari pada 7 September ini, gagal mengawal unsur-unsur antikerajaan di universiti.

Dalam pertemuannya dengan wartawan Utusan, ZALINA YAHAYA, Prof. Dr. Ahmad Fawzi menerangkan mengenai tindakan beliau itu dan juga menjawab beberapa tuduhan masyarakat akademik yang mengandaikan beliau mempunyai udang di sebalik batu dalam setiap tindakannya.

Utusan: Apakah perkembangan terbaru mengenai lima pensyarah UUM yang sedang disoal siasat sekarang ?

Prof. Ahmad Fawzi: Kami di pihak UUM kini masih lagi menjalankan siasatan terperinci. Mereka masih bertugas. Ini bukan perkara yang mudah. Ia perkara rumit yang memerlukan bukti-bukti yang sah dan kukuh sebelum mereka boleh diambil tindakan. Nak buktikan sesuatu bukan mudah.

Pelajar akan dibicarakan oleh Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP), manakala pensyarah akan dibicarakan oleh sebuah jawatankuasa disiplin.

Pelajar ini akan dibicarakan selepas majlis konvokesyen nanti, manakala siasatan bagi pensyarah pula mungkin mengambil masa tiga atau empat bulan.

Untuk tujuan penyiasatan ini, sebuah jawatankuasa penyiasat kini telah ditubuhkan yang diketuai oleh TNC HEP untuk pelajar dan TNC Akademik untuk menyiasat kakitangan akademik.

Kami juga belum membuat laporan polis. Bagaimanapun, pihak polis kini juga turut menjalankan siasatan. Jikalau jawatankuasa ini tidak berjaya, kita akan tunggu laporan penyiasatan polis untuk tindakan lanjut.

Adakah tindakan UUM berdasarkan laporan yang dibuat sendiri oleh warga universiti ?

Dalam hal-hal begini, tidak mungkin ada laporan. Kita perlu bertindak sendiri untuk menyiasat. Apa yang kami temui ini adalah kebetulan. Semuanya bermula dengan penahanan 13 pelajar UUM yang ditangkap kerana ajaran sesat, baru-baru ini.

Selepas disiasat, mereka memberitahu terdapat seorang pelajar yang menyertai sebuah seminar di Batu Uban, Pulau Pinang. Daripada pelajar itu, kami dapati dia memiliki buku aturcara, moto majlis ceramah dan buku Ikhwanul Muslimun yang mempunyai tajuk kecil gerakan bawah tanah.

Dari sinilah kami menyiasat dan mengumpul maklumat sehingga dapat mengesan lima pensyarah dan dua pelajar.

Dari sini, kita dapat kenal pasti sudah ada gerakan jihad. Kalau mengikut buku, memanglah mereka tidak mencadangkan untuk angkat senjata, tetapi ini merupakan satu persiapan.

Dalam risalah, ada dinyatakan bukan masanya lagi. Tetapi persoalannya, masanya akan tiba.

Saya kini dalam proses mencari cebisan `jigsaw puzzles' untuk disambung-sambungkan. Tetapi sebenarnya saya sudah pun sambung-sambungkan `jigsaw puzzles' ini. Cuma saya tidak tahu di mana berakhirnya.

Sejak bila Prof. mula mengumpul cebisan-cebisan 'jigsaw-puzzles' ini ?

Sejak saya menjadi TNC HEP lagi, saya dah nampak apa yang terjadi ada hubung kait antara satu sama lain. Tetapi perlu diingatkan, saya tidak libatkan perkara ini dengan politik parti.

Secara keseluruhannya, bagaimana keadaan di UUM kini ?

Dalam bahasa keselamatan, saya boleh katakan keadaannya terkawal.

Bagaimana dengan penglibatan Jemaah Islah Malaysia (JIM) dalam isu ini ?

Saya tidak pernah menuduh JIM terlibat dengan isu ini. Tetapi JIM sendiri yang mengaku. Apa yang saya tegaskan ialah supaya JIM tidak menarik penyertaan pelajar UUM dalam perjumpaan-perjumpaannya.

Ada orang menyifatkan tindakan Prof. mendedahkan penglibatan pelajar dan pensyarah dalam kegiatan gerakan bawah tanah adalah satu tindakan berani?

Ini bukan soal berani. Saya mempunyai latar belakang dalam bidang kenegaraan. Saya mengajar kenegaraan, pembentukan bangsa dan kesetiaan kepada negara. Justeru, saya sentiasa waspada dengan perkara sebegini. Malah saya juga pernah menjadi Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia.

Ramai yang tahu, `lubuk' utama pergerakan antikerajaan di kalangan pelajar dan kakitangan akademik ialah universiti-universiti di sekitar Kuala Lumpur. Apa komen Prof. mengenai sikap Naib Canselor universiti lain yang berdiam diri dan tidak bertindak mendedahkan perkara sebenar seperti mana yang Prof. lakukan?

Saya tidak salahkan mereka. Mungkin mereka tidak cukup maklumat, tetapi saya tahu dengan mendalam apa itu JIM, apa itu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Masa saya membuat ijazah kedoktoran (Ph.D) di luar negara, saya sudah bergelumang dengan politik pelajar.

Seperti yang saya katakan tadi, saya sudah ada cebisan-cebisan 'jigsaw puzzle'. Saya cuma perlu menyusunkannya sahaja.

Bagi saya, pendedahan-pendedahan yang saya lakukan ini adalah demi kesetiaan saya kepada negara. Sudah pasti saya tidak mahu membiarkan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan negara.

Kalau mereka (pelajar dan pensyarah) nak berjihad di Afghanistan dan Palestin, saya tak kisah. Teruskan, tetapi ini sudah ada tanda-tandanya mereka mahu melakukannya di negara ini. Pelajar kita sendiri terlibat dengan pengeboman di Indonesia.

Bagi saya, di universiti, pelajar perlu memegang tiga prinsip penting iaitu mendapatkan ilmu, menajamkan kemahiran dan membina kemahiran.

Berjihad bukan kemahiran yang mahu kita bentuk di kalangan pelajar kerana ia tidak dapat membentuk watak.

Bagaimanapun, saya tidak salahkan naib-naib canselor universiti yang lain. Mereka mungkin tidak mempunyai laporan. Saya pun dapat secara kebetulan.

Ini soal tanggungjawab. Saya setia kepada negara. Bila saya nampak elemen-elemen yang boleh menghancurkan negara, saya akan ambil inisiatif untuk memberitahu.

Saya dilatih dalam bidang ketenteraan selama lebih 26 tahun. Budaya menyiasat sentiasa ada dalam diri saya. Oleh itu, soal keselamatan adalah keutamaan saya. Saya tidak salahkan naib canselor lain yang berdiam diri dalam hal ini.

Ada juga yang mengatakan ini salah satu cara Prof. mencari publisiti ?

Saya bukan mencari publisiti. Lagipun, untuk apa ? Kalau untuk jawatan, saya kini sudah memegang jawatan sebagai Naib Canselor, satu jawatan tertinggi dalam bidang saya.

Ada orang melihat, apa yang Prof. lakukan selama ini adalah antara strategi untuk memasuki dunia politik ?

Ia terlalu jauh bagi saya. Untuk masuk politik sekarang, kita perlu ada duit. Zaman menggunakan air liur sebagai modal politik sudah berakhir.

Gaji Naib Canselor bukannya besar. Cita-cita saya selepas pencen ialah sambung mengajar. Saya mahu menjadi profesor kontrak di Kedah. Itupun kalau dibenarkan. Saya tidak mempunyai masa depan kalau saya mahu masuk politik secara biasa.

Saya tidak tahu masa depan saya. Tetapi saya tidak melihat masa depan saya dalam politik. Apa yang saya lakukan kini lebih kepada faktor keselamatan.

Saya diasuh dalam ketenteraan selama 26 tahun. Mungkin itu yang membezakan tindakan saya dengan naib-naib canselor yang lain.

Bagaimana penerimaan warga UUM sejak Prof. menjadi Naib Canselor pada 30 Mei lalu ?

Pelantikan saya sebagai Naib Canselor UUM tidak sepatutnya menjadi kontroversi, tetapi ia telah dikontroversikan oleh pihak-pihak tertentu yang mahukan Naib Canselor yang terdahulu - Datuk Md. Noor disambung perkhidmatannya.

Tetapi setelah disiasat, daripada 1,730 kakitangan, hanya enam orang sahaja yang menentang pelantikan saya. Saya atasinya dengan membuat penjelasan kepada kakitangan. Syukur Alhamdulillah, kini semuanya berjalan dengan baik. Tiada penentangan daripada kakitangan.

Kepada kakitangan, saya selalu tekankan tanggungjawab mereka adalah kepada universiti dan negara. Saya menggalakkan mereka melakukan penyelidikan dan menerbitkan hasil-hasil penyelidikan kepada masyarakat.

Saya juga sudah menyusun semula organisasi pengurusan akademik. Sekolah-sekolah akan ditukarkan menjadi fakulti kerana pelajar kini semakin ramai. Perlu ada jabatan-jabatan di bawahnya untuk menguruskan program akademik.

Kurikulum UUM juga sudah disemak semula. Saya mahu menjadikan UUM sebagai sebuah universiti pengurusan yang unggul dan bertaraf dunia.

Semua pelajar akan diberikan kemahiran teknologi maklumat (IT) dan bahasa Inggeris. Malah, kami akan menyediakan kursus intensif bahasa Inggeris kepada semua pelajar baru tidak lama lagi. Ini adalah salah satu proses pengukuhan imej pelajar UUM.

Sejak memegang jawatan pada 30 Mei yang lalu, adakah Prof. sudah berada dalam keadaan selesa di UUM kini ?

Dalam bahasa ketenteraan, saya boleh katakan saya kini berada dalam kedudukan over command.

Prof. nampaknya banyak terpengaruh dengan unsur-unsur ketenteraan kerana terlatih dalam bidang itu selama 26 tahun. Adakah pendekatan ketenteraan akan menjadi asas pimpinan Prof. di UUM dalam masa dua tahun lima bulan lagi ?

Bagi saya, bangsa Melayu terutamanya, mesti ada unsur-unsur paksaan sehingga mereka berjaya. Lihat sahaja pengenalan pemakaian tali leher oleh pelajar UUM dahulu. Ramai yang menentang. Tetapi sekarang, mereka dapat menerimanya.

Begitu juga dengan kokurikulum berkredit. UUM yang mempeloporinya dan juga mendapat tentangan hebat pada mulanya. Tetapi akhirnya ia diterima juga dan diikuti oleh universiti-universiti lain. Bagi saya, unsur-unsur paksaan dan ketegasan ini perlu ada, asalkan matlamat kita baik.

Kita kena berani menentang arus kalau kita yakin arus itu akan menjadi arus perdana, teruskan.

Prinsip saya, saya tidak takut untuk membuat sesuatu perubahan dan saya sanggup menerima risiko. Saya pentingkan hasil.

Conscience kita mesti jelas. Saya menjadi Naib Canselor hanya untuk tiga tahun. Tidak guna selepas tiga tahun baru kita memberi cadangan.

Saya juga tidak kisah kalau selepas saya cakap sesuatu, saya akan diturunkan pangkat. Kalau nak turunkan pangkat saya, turunlah.

Bagi saya, tidak salah saya membuat pembetulan demi perubahan. Saya juga mahu menegaskan segala keputusan yang saya buat bukanlah secara diktator. Ia adalah hasil perbincangan. Saya juga sedia dikritik. Tak perlu melalui surat layang.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved