Idealis Mahasiswa


Mahasiswa Terlibat Dalam Politik - Mengapa Hanya UIA Ambil Tindakan ?

oleh Aidil Jumaat

Kuala Lumpur : 20 Januari 2002 : Pemecatan Sdr. Dasuki Abdul Wahab dari jawatan Presiden MPPUIAM (SRC UIAM) kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbau politik hangat sekali diperkatakan akhir-akhir ini.

Ada yang menyokong pemecatannya - tidak kurang juga yang melihat tindakan tersebut bermotifkan politik.

Hakikatnya, Sdra Dasuki telah melanggar Akta Kolej dan Universiti dan dengan itu, beliau boleh diambil tindakan sehingga sebenarnya diberhentikan pengajian dan dibuang dari universiti. Tindakan memecat beliau dari jawatan Presiden MPP sebenarnya adalah terlalu baik - menandakan pihak Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar iaitu Dr. Sidek Baba bersimpati dengan beliau.

Namun begitu yang menjadi persoalan adalah mengapa hanya Dasuki seorang yang diambil tindakan sedangkan bukanlah menjadi rahsia terdapat ramai lagi pemimpin persatuan pelajar universiti tempatan yang mengeluarkan kenyataan yang bukan lagi berbau politik - sebaliknya jelas politik - tidak diambil tindakan ?

Antara lainnya ialah Sdr. Mohd Fuad Mohd Ikhwan, Presiden MPPUM; Mohd Faizal Abdul Rahman, Presiden PMIUM; Mohd Fadzly Mohd Yusuf, bekas Presiden MPP UIA, Abdullah Abdul Karim, Presiden PMU UKM; Mohd Nasri Muarat, bekas presiden MPP UPM; Mohd Musshrif Abdullah, bekas Presiden MPP UTM; dan Kamarulzaman Abdullah, bekas Presiden PMI USM. Kenyataan mereka disiarkan oleh akhbar dan majalah tempatan. Selain dari itu, kami juga mempunyai bukti kukuh penglibatan mereka dalam kegiatan politik arus perdana.

Ke mana perginya keadilan ? Atau para pentadbir universiti kita lebih suka membiarkan mahasiswa menjadi anjing dan kuda tunggangan parti politik lantas mengenepikan perlanggaran Akta Kolej dan Universiti yang terang-terang berlaku di depan mata mereka ?

Para pentadbir universiti seharusnya mengambil sikap profesional dan majoriti suara pelajar yang mahu bebas dari pengaruh politik. Selama ini pun, golongan pemimpin pelajar yang jelas berpihak ini sebenarnya mewakili golongan minioriti tetapi usaha kecoh mereka berjaya menampakkan seolah-oleh merekalah yang menguasai seluruh universiti berkenaan.

Sebagai pengajaran dan ingatan untuk seluruh mahasiswa, para pentadbir universiti diseru mengambil tindakan tegas iaitu memberhentikan pelajar berkenaan dari pengajian dan membuangnya dari universiti. Berlembut hanya akan memanja dan merosakkan mereka tambahan pula ini bukan kali pertama mereka melanggar AUKU dengan tindakan yang serupa.



Halaman Utama


Hit
[ ]

Copyright ©2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved