Kenyataan dari presiden KARISMA
Assalamualaikum wrt wbt,
Kepada ahli KARISMA dan Rakan KARISMA seperjuangan yang dirahmati
Allah.
Semoga tetap istiqomah dan thabat dalam usaha Da'wah dan
Tarbiyyah di lokaliti masing-masing. Da'wah dan tarbiyyah
merupakan tujuan utama (core business) kita. Ana yakin bahawa
pertama kali kita beriltizam dengan da'wah dan fikrah yang
yakini ini, selamanya kita
ingin hidup dengannya.
Mehnah dan tribulasi adalah asam garam hidup seorang yang
ingin menggelarkan dirinya sebagai pejuang. Tambahan pula
pejuang yang ingin dibina ini adalah seorang dai'e ilallah.
Baru-baru ini kita dikejutkan
dengan satu kenyataan dalam akhbar Utusan Malaysia
Sabtu 7/7/01 oleh saudara Ezaruddin Abdul Rahman,
Timbalan Presiden Pertubuhan Pemuda Negara, bertajuk "10
pertubuhan pelajar haram di IPT" yang mana Kelab Rakan
Siswa Islah Malaysia (KARISMA) turut disenaraikan. Ia merupakan
satu tekanan yang bukan sahaja dikenakan pada KARISMA atau
gerakan-gerakan pelajar yang lain tetapi juga kepada MAHASISWA
dan kredibiliti IPT itu sendiri secara keseluruhannya.
Kenyataan ini bahawa KARISMA merupakan PERTUBUHAN HARAM adalah
satu kenyataan yang TIDAK BENAR. Dari segi undang-undang KARISMA
merupakan sebuah KELAB (bukan pertubuhan) yang sah ditubuhkan/dilahirkan
di bawah sekretariat JIM-IPT. JIM-IPT merupakan sebuah daripada
Jawatan Kuasa Pusat Jemaah Islah Malaysia (JIM). JIM merupakan
sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah diluluskan pendaftarannya
pada 27 Julai 1990 oleh Pendaftar Persatuan (Registrar of
Societies). Oleh itu KARISMA bukanlah pertubuhan yang ad hoc
atau sebuah persatuan yang ditubuhkan kerana implikasi daripada
satu-satu perkara.
Dari segi kehadiran kita di IPT sememangnya kita tidak
berdaftar dengan HEP tetapi kita melakukan aktiviti
yang dibenarkan iaitu tidak termaktub sebagai larangan
dalam AUKU seperti forum, dialog. Mahasiswa tidak
dilarang dalam mana-mana peruntukan AUKU untuk
berbincang secara terbuka dan mendapat maklumat hatta ke tahap
membincangkan dasar-dasar kerajaan secara kritis. Lagi dalam
peruntukan AUKU, mahasiswa tidak dibenarkan untuk membuat
perhimpunan, perkumpulan dan sebagainya.
Namun perkara ini tidak menjadi kesalahan sekiranya ia dilakukan
di dalam permis sendiri bukan menggunakan permis awam atau
universiti. Namun apa yang berlaku sebelum ini di mana program-program
yang dianjurkan oleh KARISMA baik di IPT mahupun tempat-tempat
swasta atau awam kita telah mendapat kebenaran daripada pihak
terbabit dan bukan melakukannya secara haram atau menyusup
masuk. Oleh itu tiada sebab untuk mendakwa KARISMA sebagai
pertubahan HARAM atau aktiviti-aktivitinya melanggar
AUKU. Oleh yang demikian, diharap ahli KARISMA seluruh negara
jelas akan kedudukan KARISMA ditengah-tengah arus perdana
kebangkitan pelajar di Malaysia pada masa kini.
KARISMA mempunyai misi untuk melahirkan mahasiswa dua'at
soleh wa musleh yang cemerlang dari aspek sahsiah, kepimpinan
dan akademik melalui satu program pembangunan insan yang komprehensif.
Antara aktiviti-aktiviti pembinaan insan yang dikendalikan
ialah diskusi ilmiah, seminar, konvensyen, sukan, perkhemahan,
perkelahan dan program qiamulail. KARISMA yang berusia lebih
kurang 2 tahun ini telah sedaya upaya menyusun dan menawarkan
pelbagai aktiviti/perkhidmatan untuk memastikan ahlinya
mendapat satu pakej tarbiyyah yang membawa kepada satu kefahaman
Islam yang benar. Program-program peringkat nasional seperti
Konvensyen Tarbiyyah, Perkhemahan Semangat Waja (PERKASA),
Konvensyen Mahasiswa Nasional, Konvensyen Mahasiswi Nasional
dan Latihan Kepimpinan adalah untuk melahirkan peribadi mahasiswa
yang celik Islam serta pada masa yang sama mampu untuk membentuk
persekitarannya ke arah kebaikkan.
Pada masa yang yang sama KARISMA sentiasa mengingatkan ahlinya
untuk meletakkan akademik sebagai keutamaan kerana itu adalah
tujuan asal para mahasiswa melanjutkan pelajaran ke IPT. Namun
pada masa kita meyakini bahawa ia bukan alasan yang konkrit
untuk hanya menjadi ulat buku tanpa sebarang aktiviti sosial
yang boleh mampu untuk membentuk sifat kepimpianan ke arah
melahirkan mahasiswa yang lebih dinamik, kritis dan berdaya
saing. Bukankah kita nanti (para mahasiswa) bakal peneraju
negara dimasa hadapan?
Ahli KARISMA dan rakan-rakan KARISMA yang dirahmati Allah,
Kehadiran KARISMA dan sahabat-sahabat dalam gerakan mahasiswa
yang lain dalam arus perdana telah disalah tafsirkan atau
disalahertikan. Penglibatan kita selalu dikaitkan sebagai
bidak dalam percaturan dunia politik kini, atau dalam perkataan
lain, seolah-olahnya sebagai mahasiswa hanya sebagi bahan
yang diperalatkan untuk kepentingan tertentu. Perlu dijelaskan
di sini bahawa;
MAHASISWA SECARA KESELURUHAN ADALAH WARGA NEGARA MALAYSIA
YANG CINTAKAN NEGARANYA... DENGAN PENUH RASA
TANGGUNG JAWAB INILAH KITA BERADA DI TEMPAT KITA SEKARANG.
MAHASISWA MAMPU MENILAI DAN PUNYA IDEALISME
PERJUANGAN YANG TERSENDIRI.... IA BUKAN HASIL HASUTAN ATAU
PENGARUH DARI MANA-MANA PIHAK.
Ahli-ahli KARISMA yang dirahmati Allah...
Penglibatan kita (khususnya) adalah hasil perbincangan
yang panjang.... apa yang diputuskan adalah kerana di
situ terdapat keperluan untuk KARISMA untuk
mencorakkan perjuangan dengan warna-warna Islam...
kalau bukan kita siapa lagi....Penglibatan KARISMA
dalam isu-isu semasa ini adalah berdasarkan
prinsip-prinsip yang dipegang, iaitu:
KARISMA akan memperjuangkan isu-isu ketidakadilan dalam
hak-hak asasi manusia;
KARISMA akan memperjuangkan isu-isu berkaitan
mahasiswa;
KARISMA akan memperjuangkan isu-isu berkaitan
sensitiviti Islam.
Selagi mana kesemua isu-isu ini tidak melanggari
batas-batas syarak.
Dengan perkataan lain, bahawa KARISMA adalah sebuah gerakan
pelajar yang berpaksikan kepada prinsip (principle-centred)
Ahli-ahli KARISMA dan rakan rakan-rakan KARISMA
sekelian, Dalam kes yang berlaku pada hari ini, yakinlah ia
merupakan satu cabaran dan dugaan dalam perjuangan menegakkan
yang hak. Dan ianya akan terjadi sehingga ISLAM mencapai kemenangan.
Dalam situasi yang berlaku terhadap KARISMA ketika ini, mungkin
kita boleh merenung tulisan Aziz Bari, "kekentalan semangat
gerakan Nasionalisme sewaktu menuntut kemerdekaan dahulu harus
dijadikan sumber inspirasi dan pengajaran. Sekiranya datuk
nenek kita takut menghadapi risiko mungkin sampai hari ini
kita masih belum bebas lagi. Sekarang kira mesti membebaskan
diri dari belenggu yang ditaja oleh anak bangsa kita sendiri.
Sekatan tidak harus dijadikan dalih untuk tidak berbuat apa-apa".
Akhir kata ana meminta antum semua dalam keadaan yang tenang....
banyakkan bersabar. Banyakkan berdo'a semoga Allah melindungi
kita semua, semoga Allah menjauhkan kita dari fitnah agar
cita-cita dan
aspirasi Islam yang kita bawa ini Allah redha dan
digolongkan kita sebagai orang-orang yang menang
disisi-NYA.
Wallahua'lam.
Yang benar,
Aidiahmad Dewa
Presiden KARISMA NASIONAL sesi 2000-2002
Khamis 12 Julai 2001