Mukadimah
WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS adalah seorang anak yatim miskin
dari Kota Bharu, Kelantan. Dia baru berusia 22 tahun tetapi
telah melalui liku-liku kehidupan yang menyedihkan.
Kedua-dua ibu bapanya sudah pun meninggal dunia, dan kerana
latar belakang itu apabila dia melanjutkan
pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di
Skudai pada tahun 1998, dia menjadikan pertubuhan
pelajar Islam di UTM sebagai tempat berlindung.
Malangnya tanpa disedari, dia telah terjebak dalam
satu gerakan bawah tanah yang sistematik oleh para
penyokong parti pembangkang di universiti itu untuk
menanamkan kebencian pelajar Melayu-Islam terhadap
kerajaan.
Melalui kaedah brainwash dan ugutan dalam sesi usrah
dan tamrin, Wan Noor Hayati dipujuk untuk menentang
kerajaan, diapi-apikan perasaan marahnya terhadap UMNO dan
akhirnya dia terlibat membantu parti-parti
pembangkang berkempen dalam pilihan raya umum 1999.
Dalam interviu dengan wartawan BAHAROM MAHUSIN, gadis yang
hidup sebatang kara itu meluahkan kekesalannya. Dia gagal
dalam pelajarannya di UTM. ``Hidup saya telah dianiayai oleh
gerakan bawah tanah ini,'' katanya.
Mingguan: Apakah latar belakang saudari sebelumterpedaya
dengan gerakan sulit penyokong pembangkang di universiti?
WAN NOOR HAYATI: Saya menerima tawaran memasuki UTM
pada tahun 1998. Saya adalah anak yatim piatu. Saya telah
kematian ayah sejak tahun 1993.
Pada bulan Jun tahun 1998 ketika saya baru beberapa
minggu di universiti, ibu saya pula meninggal dunia.
Ini menjadikan saya hidup sebatang kara.
Ketika saya baru memasuki UTM, saya telah mendaftarkan diri
menyertai Persatuan Mahasiswa Islam. Saya kira wajarlah saya
masuk persatuan itu sebab namanya Islam dan saya pun orang
Islam.
Saya masuk persatuan itu dengan matlamat hendak
membina diri saya sebagai seorang Islam yang lebih
baik. Sebelum itu saya tidak tahu apa-apa mengenai apa yang
berada di sebalik tabir Persatuan Mahasiswa Islam ini.
Yang saya tahu moto persatuan itu ialah membantu
membimbing orang Islam. Oleh kerana latar belakang
saya sebagai pelajar baru yang yatim piatu, saya telah
diambil sebagai anak usrah persatuan berkenaan.
Kenapa saudari diambil sebagai anak usrah?
WAN NOOR HAYATI: Pada masa itu mereka menganggap saya
sebagai anak usrah yang bermasalah. Saya tidak mempunyai ibu
bapa dan tempat tinggal yang tidak menentu. Saya cuma tinggal
di dalam kampus. Kebajikan saya tidak terjaga dan saya kesempitan
wang kerana pada awal kemasukan saya ke UTM, saya tidak mendapat
pinjaman.
Cuma selepas dua bulan barulah saya memperoleh
pinjaman. Keadaan itu memberikan saya bermacam-macam tekanan.
Saya pun terasa terhutang budi dengan persatuan itu kerana
mereka telah memberikan saya seorang kakak angkat yang selalu
ambil tahu fasal
saya.
Kakak angkat itu berada dalam tahun berapa di UTM?
WAN NOOR HAYATI: Pada masa itu dia belajar di tahunempat
dalam jurusan kejuruteraan mekanikal. Dia jaga saya dengan
baik. Dia memakai tudung labuh, pakaiannya bersopan. Apa yang
disampaikannya kepada saya lengkap dengan hujah hadis dan
al-Quran, dan ini mendorong saya untuk bergiat aktif dalam
persatuan itu.
Tambahan pula pada masa itu saya telah tidak ada ibu
bapa. Saya tiada benda hendak dibuat. Dengan itu saya menghabiskan
masa saya dengan persatuan itu yang saya fikir dapat membantu
saya.
Selepas itu saya lihat mereka ambil anak-anak usrah
yang bermasalah. Semua anak usrah itu berbangsa
Melayu, beragama Islam, mereka yang ada masalah
akademik dan sosial, mereka yang dulu jahat sekarang
hendak jadi baik, mereka yang ada masalah peribadi dan keluarga.
Saya lihat orang yang ada masalah seperti saya mereka
ambil kerana mereka fikir mereka boleh makan kami
untuk berkhidmat dan memberi komitmen kepada persatuan itu
bagi satu gerakan sulit lain. Waktu itu saya tidak tahu lagi
dan belum didedahkan dengan gerakan sulit yang dipanggil Hizbi
Islami itu yang merupakan sebuah gerakan bawah tanah tidak
berdaftar yang berada di belakang persatuan berkenaan.
Gerakan itu menjalankan tamrin-tamrin untuk
mempengaruhi pelajar. Ada lima tamrin yang
dilaksanakan secara berperingkat. Saya sempat
menyertai tiga daripadanya.
Apakah yang berlaku dalam tamrin-tamrin tersebut?
WAN NOOR HAYATI: Sebagai anak usrah yang berada dalam
tahun satu UTM pada tahun 1998, saya diminta menyertai tamrin-tamrin
itu. Melalui tamrin itu, mereka hendak tunjukkan kepada kita
fikrah-fikrah yang terdapat di Malaysia. Fikrah itu adalah
mengenai pegangan parti-parti politik yang mesti kita ikuti.
Semasa di dalam ceramah atau perbincangan tamrin,adakah
disentuh soal politik?
WAN NOOR HAYATI: Ya, memang disentuh tetapi kita tidak
nampak kerana ia disentuh secara halus. Baru sekarang saya
sedar, rupa-rupanya mereka memang banyak selitkan benda itu.
Mereka mempengaruhi kita mengenai politik secara psikologi
dengan mengatakan wadah perjuangan Islam itu adalah perjuangan
kerana Allah dan ia mesti diletakkan di tempat teratas.
Dalam tamrin itu, penganjur-penganjurnya menggambarkan musuh
orang Islam adalah orang Islam sendiri dan musuh orang Melayu
adalah orang Melayu sendiri. Mereka bariskan jemaah dan fikrah
yang harus dipilih seperti ABIM, JIM, Pas, UMNO.
Maknanya mereka cuba menunjukkan kebaikan dankeburukan
setiap jemaah itu untuk pelajar-pelajar yang terlibat dalam
tamrin memilih?
WAN NOOR HAYATI: Ya. Mengenai UMNO, mereka cuba tunjukkan
UMNO sejahat yang mungkin. Mereka kata bahawa UMNO suka bina
bangunan yang besar tetapi lupa kepada rakyat yang miskin.
Inilah rupa UMNO yang mereka tunjukkan. Manakala Pas pula
mereka gambarkan sebagai wadah Islam yang
menggunakan al-Quran, berpegang kepada prinsip Islam dan hukum
hudud. Mereka kata hukum Islam itu patut diletakkan di tempat
yang atas; mereka tunjukkan
seolah-olah Pas itu sahaja yang baik.
Pertubuhan-pertubuhan Islam lain dianggap sebagai
berada pada peringkat pertengahan seperti JIM dan
ABIM.
Berapa besar kumpulan tamrin yang saudari sertai?
WAN NOOR HAYATI: Amat besar sebab dalam tamrin yang
saya hadiri pada tahun pertama, mereka mengambil beberapa
ratus orang pelajar dan lebih 80 peratus daripada pelajar
itu adalah penuntut tahun pertama.
Bagaimanakah aktiviti tamrin itu dijalankan di UTM?
WAN NOOR HAYATI: Setiap aktiviti gerakan sulit itu
telah diluluskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP)
UTM.
Semasa kertas kerja program itu dibentangkan, semuanya memang
elok, jadi HEP luluskan sahaja dan beri peruntukan untuk melaksanakan
program berkenaan. Tetapi apabila program itu dijalankan,
semuanya berubah dari segi tempat dan waktu.
Pada tahun 1998, tamrin pertama yang saya sertai yang
dinamakan Tamrin Jelas Fikrah diadakan di luar
universiti.
Kami disuruh pergi ke satu tempat yang dirahsiakan
pada waktu malam selepas sembahyang isyak dengan bas UTM.
Kami tidak tahu ke mana kami dibawa dan kami tidak dibenarkan
bertanya. Kami hanya naik bas dan dibawa tanpa kami tahu arah
tujuan.
Sampai sekarang saudari tidak tahu ke mana tempat saudari
dibawa dalam Tamrin Jelas Fikrah?
WAN NOOR HAYATI: Saya tidak tahu. Cuma yang saya pasti
ialah tempatnya macam ladang kelapa sawit,
kadang-kadang ia macam berdekatan dengan laut.
Gambaran yang saya dapat ialah tamrin pertama yang
saya sertai pada tahun 1998 dibuat di sebuah madrasah dalam
sebuah kawasan kebun kelapa sawit.
Berapa jam perjalanan ke tempat itu?
WAN NOOR HAYATI: Agaknya dua tiga jam. Kami berkumpul
semasa sembahyang maghrib dan bertolak selepas isyak. Apabila
kami sampai ke tempat itu menjelang tengah malam, kami terpaksa
berjalan kaki masuk ke dalam hutan.
Berapa jauh saudari dan rakan-rakan berjalan kaki dari
jalan besar?
WAN NOOR HAYATI: Agak-agaknya dalam dua kilometer.
Di kiri kanan, apa yang saudari nampak?
WAN NOOR HAYATI: Pokok-pokok kelapa sawit, dan
tempatnya saya tidak pasti. Tetapi saya rasa ia
terletak berdekatan dengan hutan kerana saya dengar
mereka hendak tamrin itu dibuat dengan cara ala
komando. Saya pernah dengar ia dibuat di Kota Tinggi
dan Mersing, tetapi saya tidak tahu di mana tempatnya.
Sepanjang perjalanan, adakah saudari dapat lihat sebarang
penunjuk jalan?
WAN NOOR HAYATI: Tidak ada. Perjalanan dibuat pada
waktu malam. Apabila sampai, kami terus turun dari bas. Mereka
letakkan kami di kawasan pedalaman bagi memastikan kami tidak
tahu di mana tempat tamrin itu berlangsung.
Modul-modul yang diberi semasa tamrin juga diambil
semula. Kami tidak dibenarkan menyimpan apa-apa
dokumen. Saya dapat tahu kemudian bahawa ia dibuat
begitu supaya rahsia boleh dijaga. Sebelum kami keluar
dari tempat itu, yang juga dibuat pada waktu malam,
kami dipaksa bersumpah memilih sebuah parti politik
dengan menyebut nama Allah.
Saudari memilih untuk berpegang kepada parti itu kerana
terpaksa atau dengan kerelaan sendiri?
WAN NOOR HAYATI: Saya terpaksa kerana semasa tamrin,
parti itu sahaja yang ditunjukkan kepada kami sebagai
baik. Saya dan para pelajar tahun pertama lain menjadi
keliru. Kami takut dan terpaksa membiarkan kami
dibrainwash.
Berapa hari saudari berada di sana?
WAN NOOR HAYATI: Saya berada di sana selama tiga hari
dua malam. Pada malam terakhir kami berpuasa dan menjalankan
aktiviti ala komando.
Waktu itu mereka kata mereka hendak bekalkan kami
dengan senjata kerana ada orang memberi syarahan
mengatakan umat Islam di Ambon, Indonesia dibunuh
kerana orang Islam tidak pandai mengendalikan senjata.
Selama di sana mereka mengawal kami secara psikologi. Waktu
itu kami banyak bertanya soalan tetapi mereka seolah-olah
tidak menjawabnya. Mereka meninggalkan kami dalam keadaan
keliru. Kami bersumpah di sana untuk menyokong perjuangan
Islam gerakan sulit itu dengan nama Allah.
Berapa ramai yang bersumpah?
WAN NOOR HAYATI: Ramai, kami bersumpah di hadapan
barisan pemimpin gerakan itu yang kami tidak
diberitahu siapa nama mereka. Cuma yang kami tahu
ialah mereka orang luar.
Mereka orang muda atau orang tua?
WAN NOOR HAYATI: Mereka berusia dalam lingkungan 30-an
dan 40-an tapi saya percaya mereka kebanyakannya adalah bekas
pelajar universiti atau pelajar tahun akhir.
Bagaimana perwatakan mereka?
WAN NOOR HAYATI: Semuanya baik. Wanitanya bertudung
labuh dengan pakaian berwarna gelap dan lelakinya pula berkopiah.
Kami tidak diberitahu siapa penceramah yang datang dan identiti
mereka. Selepas bersumpah, kami diletakkan kononnya di satu
tempat rahsia. Maknanya kalau kami bocorkan tempat rahsia
itu bermakna kami tidak taat dan kami akan ditimpakan bala
oleh Allah.
Jadi perasaan takut terhadap apa yang akan diturunkan
oleh Allah telah wujud dalam diri kami. Saya
difahamkan kemudian bahawa semasa dibentangkan kepada HEP
UTM, majlis itu dinamakan Seminar Pemantapan Akidah tetapi
apabila dilaksanakan, ia telah menjadi satu program lain.
Daripada beratus-ratus orang pelajar baru yang
mengikuti Tamrin Jelas Fikrah tadi, apa yang terjadi kepada
mereka apabila mereka kembali ke kampus?
WAN NOOR HAYATI: Ada yang menarik diri terus daripada
Persatuan Mahasiswa Islam. Mungkin pegangan mereka masih kuat
lagi dan masalah mereka tidak seteruk yang lain. Mereka mungkin
masih lagi mampu berfikir secara rasional.
Bagaimanapun, dalam kes saya dan beberapa pelajar lain yang
menjadi pengikut kuat, kami tidak ada tempat
bergantung. Jadi saya terus terlibat secara tidak
sedar dalam Persatuan Mahasiswa Islam.
Apakah yang berlaku selepas itu?
WAN NOOR HAYATI: Sesuatu yang aneh selepas tamrin
pertama ialah kami seolah-olah telah diberi suntikan
fikiran supaya memegang rahsia gerakan. Kami cuma
bertemu seminggu sekali. Tidak lama kemudian, saya
dipanggil sekali lagi untuk menyertai tamrin peringkat
kedua yang dinamakan Tamrin Walaq. Walaq bermakna
ketaatan kepada pemimpin.
Berapa lama jarak tempoh antara Tamrin Jelas Fikrah
dan Tamrin Walaq?
WAN NOOR HAYATI: Ia dibuat pada cuti semester.
Di manakah tempatnya kali ini?
WAN NOOR HAYATI: Tempatnya berlainan tetapi cara dan
bila kami bertolak dan cara identiti tempat itu
disembunyikan adalah sama. Kali ini tempatnya adalah
kawasan pantai. Saya tidak tahu di mana, mungkin di
Mersing.
Apabila saya menerima surat jemputan itu, saya cuba
mengelak kerana saya ada ujian. Saya juga berasa marah kerana
mereka asyik memilih saya sedangkan pada waktu itu saya sedang
cuba menyesuaikan diri dengan keadaan ketiadaan ibu bapa,
tetapi mereka datang ke bilik saya mengajak saya secara halus
dengan mengatakan kita berjuang kerana Allah dan Allah pasti
akan membalasnya.
Oleh kerana mengenangkan jasa kakak angkat saya, dan diberitahu
kononnya majlis itu dinamakan Kem
Penghayatan Islam, maka saya pun pergi.
Apabila sampai di sana baru saya tahu majlis itu
dipanggil Tamrin Walaq yang tujuannya untuk membina
kesetiaan kami. Selepas tamrin itu, mereka menanamkan pada
kami cara menjaga rahsia. Para peserta yang tidak dapat menjaga
rahsia akan direndam dalam air laut.
Saya sendiri telah direndam selama hampir tiga jam
dari pukul 3 pagi hingga pukul 5.30 pagi.
Mengapakah saudari direndam?
WAN NOOR HAYATI: Dalam satu aktiviti tamrin yang
dijalankan, kami kena sampaikan mesej tertentu kepada
amirah (ketua wanita) tapi kami tidak diberitahu siapa
amirah itu. Dalam aktiviti itu mereka wujudkan
beberapa pengacau bagi mengelirukan amirah yang
sebenar. Jadi kerana terkeliru, kami mendedahkan
rahsia mesej itu kepada amirah yang salah.
Kerana seorang ahli tidak dapat menjaga rahsia,
kumpulan saya seramai 30 orang semuanya telah direndam dalam
air laut.
Berapa ramai yang terlibat dengan tamrin kali kedua
ini?
WAN NOOR HAYATI: Pelajar perempuan ada kira-kira 30
orang. Jumlahnya lebih kecil selepas tamrin kali
pertama kerana mereka telah membuat tapisan ke atas
siapa yang mereka boleh percayai.
Apa terjadi kepada pelajar yang mengikuti Tamrin Walaq
apabila mereka balik ke kampus?
WAN NOOR HAYATI: Kami lebih taat kepada pemimpin tanpa
usul periksa. Contohnya saya sendiri telah diarahkan untuk
membuat kerja-kerja membantu parti pembangkang dalam pilihan
raya umum bulan November 1999 di Batu Pahat, Rengit, Kluang
dan Mersing.
Dua bulan sebelum pilihan raya umum itu, saya telah
pun menghadiri satu taklimat pilihan raya di sebuah
markas parti politik di Pulai, Johor.
Ketika itu saudari berada pada tahun berapa pengajian?
WAN NOOR HAYATI: Saya berada pada tahun kedua. Waktu
itu pelajaran saya amat merosot kerana terlalu menumpukan
kepada gerakan itu. Keputusan saya dalam peperiksaan bulan
Disember 1999 iaitu selepas pilihan raya umum itu amat-amat
teruk. Ketika itu saya betul-betul terbeban.
Apakah yang dibebankan?
WAN NOOR HAYATI: Saya terbeban kerana saya telah dilatih
menerima arahan tanpa merungut. Saya
seolah-olah telah menjadi seperti komputer yang
diprogramkan dan motonya adalah berjuang kerana Allah.Hanya
selepas itu baru saya tahu bahawa saya secara diam-diam telah
terlibat dalam satu gerakan sulit yang dinamakan Hizbi Islami.
Berapa kerap perjumpaan Hizbi Islami itu dibuat?
WAN NOOR HAYATI: Perjumpaan sulit Hizbi Islami dibuat
setiap minggu di aras bawah masjid UTM untuk
membincangkan isu-isu gerakan. Misalnya, bagaimana
hendak tarik pelajar-pelajar lain masuk Hizbi Islami,
bagaimana mengatasi masalah pelajar yang cuba menarik diri
daripada taat kepada Hizbi Islami. Saya telah jadi teramat
takut. Setiap minggu kami dibrainwash dalam perjumpaan itu.
Saya adalah bendahari Lujnah Ekonomi Hizbi Islami UTM.
Adakah pihak universiti tahu aktiviti itu?
WAN NOOR HAYATI: Saya rasa mereka tahu atau mereka
buat-buat tidak tahu. Gerakan ini sudah lama bertapak, saya
fikir sudah lebih daripada 10 tahun memandangkan Hizbi Islami
sudah mempunyai barisan pelapis.
Daripada penglibatan dalam Hizbi Islami inilah,
pemilihan seseorang dibuat untuk bertanding dalam
pilihan raya universiti dan menentukan siapa yang
bakal menjadi pemimpin persatuan-persatuan pelajar
Islam.
Mengenai kerja-kerja semasa pilihan raya umum 1999,bolehkah
saudari jelaskan apa yang saudari lakukan?
WAN NOOR HAYATI: Saya melakukan kerja-kerja menaip
teks-teks propaganda pembangkang, merentang kain sepanduk,
memeriksa daftar pemilih menggunakan komputer, berkunjung
dari rumah ke rumah dan melakukan kerja-kerja lain.
Berapa ramai pelajar UTM terlibat?
WAN NOOR HAYATI: Saya tidak pasti kerana kami
diarahkan pergi ke tempat-tempat yang berlainan.
Apakah perbezaan antara Persatuan Mahasiswa Islam dan
Hizbi Islami?
WAN NOOR HAYATI: Mereka adalah daripada kumpulan yang
sama tetapi ada di kalangan mereka yang bergerak dalam Persatuan
Mahasiswa Islam tidak tahu kewujudan Hizbi Islami.
Maklumat-maklumat yang saya terima ialah kebanyakan
pelajar universiti yang ditangkap dalam mana-mana
demonstrasi di seluruh Malaysia adalah anggota PMI dan Hizbi
Islami.
Bagaimana saudari tahu tentang Hizbi Islami?
WAN NOOR HAYATI: Selepas Tamrin Walaq berakhir, mereka
berusaha menyediakan barisan pelajar yang bakal bertanding
dalam pilihan raya kampus UTM. Dalam pilihan raya pelajar
itu, kami diarahkan supaya
menyokong calon-calon kumpulan Barisan Alternatif (BA) dalam
pilihan raya kampus dan bukannya calon-calon mahasiswa yang
menyokong kerajaan dan UMNO.
Semasa pilihan raya umum 1999, adakah saudari sedar
apa yang saudari lakukan?
WAN NOOR HAYATI: Saya tidak pasti tentang apa yang
saya buat tetapi saya tidak boleh tanya apa-apa kepada mereka.
Kami hanya pengikut. Kami telah menjadi manusia yang diprogramkan.
Ketika itu kalau diletakkan pedang di leher kami pun
kami tidak takut kerana kami diajar bahawa kalau kami
mati semasa membuat kerja-kerja itu, kematian kami itu
nanti adalah mati syahid.
Sesetengah kami juga diajar menipu ibu bapa dengan
tidak memberitahu mereka kami pergi membantu kempen pilihan
raya.
Semasa kempen pilihan raya itu, kami tidak dibenarkan
memakai tudung labuh seperti semasa di universiti.
Kami diminta memakai baju kurung berwarna-warni dan
bertudung biasa kerana menurut orang yang membawa kami ke
sana, jika kami berpakaian tudung labuh, kami sukar diterima
umum.
Kami dibolehkan berpakaian sedemikian hanya pada waktu pilihan
raya untuk tujuan penyamaran.
Semasa dalam kempen itu, adakah saudari berjumpadengan
mana-mana pemimpin pembangkang?
WAN NOOR HAYATI: Ya, saya ada berjumpa dengan calon
wakil rakyat pembangkang di sebuah kawasan Dewan
Undangan Negeri tetapi dia tidak tahu siapa kami. Kami
juga diminta menjaga rahsia dan taat dengan tidak
mendedahkan identiti kami.
Kuasa baiah yang kami buat semasa tamrin dulu begitu
kuat hingga kami sanggup menipu kononnya untuk jihad.
Apa yang berlaku selepas saudari balik ke universitiapabila
pilihan raya umum 1999 selesai?
WAN NOOR HAYATI: Kami melakukan aktiviti mingguan
seperti selalu dan memikirkan program-program untuk menarik
pelajar baru meneruskan perjuangan Hizbi Islami.
Hizbi Islami ini bukan organisasi formal dan ia tidak
diketahui ramai. Adakah ia sebuah pertubuhan yangbesar?
WAN NOOR HAYATI: Ia tidak besar dari segi aktivis
tetapi mempunyai pengaruh yang kuat ke atas program
agama di kampus dan ke atas pertubuhan-pertubuhan
pelajar Islam peringkat universiti dan kebangsaan.
Apakah yang Hizbi Islami lakukan bagi menarik
pelajar-pelajar menerima ideologinya?
WAN NOOR HAYATI: Ia dibuat melalui matlamat
perjuangannya menentang UMNO dan berjuang bagi
membantu parti pembangkang tertentu tetapi mereka
tidak menggunakan nama parti itu dalam kempen-kempen di universiti.
Bilakah saudari keluar daripada Hizbi Islami?
WAN NOOR HAYATI: Pada akhir bulan Mac tahun 2000,
kira-kira empat bulan selepas pilihan raya umum 1999 berakhir.
Ketika itu saya sudah hampir-hampir gagal dalam peperiksaan
saya di UTM. Saya telah dipulihkan oleh seorang juru kaunseling
di UTM. Selepas itu saya diajak semula memasuki Hizbi Islami
tetapi saya tidak mahu dan saya menerima banyak ugutan, pujukan
dan panggilan telefon. Mereka ugut saya dengan berkata saya
akan diturunkan bala oleh Allah kerana saya tidak taat lagi
kepada mereka.
Adakah saudari berani bertanggungjawab atas semua yang
saudari ceritakan kepada saya ini?
WAN NOOR HAYATI: Saya berani demi kebaikan anak bangsa
saya sendiri.
Apakah yang saudari paling bimbangkan dengan gerakan
sulit ini? Apa akan terjadi jika ia dibiarkan?
WAN NOOR HAYATI: Pelapis-pelapis gerakan ini apabila
mereka keluar nanti akan menjadi pemimpin yang boleh membuat
huru-hara seperti di Ambon. Mereka boleh membunuh sesama sendiri
seperti di Afghanistan. Mereka akan jadi radikal dan terlibat
dalam kumpulan ekstremis.
Kenapa kerajaan patut berbuat sesuatu untuk
membanteras gerakan sulit ini?
WAN NOOR HAYATI: Saya takut jika satu tindakan tegas
tidak dilakukan, masa depan golongan muda Melayu-Islam di
negara ini akan dihancurkan sedangkan merekalah yang akan
memimpin negara pada masa depan. Bayangkan apa yang bakal
terjadi jika mereka telah dibrainwashkan sejak mereka di universiti.
Apakah nasihat saudari kepada pelajar-pelajar
universiti?
WAN NOOR HAYATI: Mereka patut berhati-hati dalam membuat
pilihan semasa mula-mula masuk universiti. Saya menasihatkan
mereka supaya berfikir secara rasional. Jangan jadi mangsa
seperti saya sehingga pelajaran saya terbengkalai.
Gerakan mereka ini dibuat secara sulit, terancang
tetapi tidak secara terang-terangan. Benda yang tidak
dibuat secara terang-terangan biasanya mengandungi
kejahatan.