Oleh Teh Kean Keat dan Magendran Rajagopal, Berita Harian, 22 Jun 2002
PERHIMPUNAN Agung Umno dan isu pendidikan masih mendapat perhatian akhbar berbahasa Cina sepanjang minggu ini.
Rabu lalu, Sin Chew Jit Poh melaporkan Kementerian Pendidikan akan menambah mata pelajaran baru, iaitu English For Science and Technology bagi aliran sains tingkatan empat dan lima mulai tahun depan, termasuk di sekolah menengah jenis kebangsaan.
Menurut sumber, mata pelajaran itu wajib diambil oleh pelajar aliran sains dan sekolah harus memperuntukkan tiga kelas setiap minggu.
Penulis kolum analisis China Press, Rabu lalu, berpendapat pemimpin semua kaum harus mengikis budaya berpolitik tidak sihat dan melaksanakan dasar baik untuk membolehkan masyarakat Melayu membuang budaya bertongkat.
Menurutnya, jika budaya itu berterusan, apa saja nasihat yang diberikan, termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, akan sia-sia.
Semalam, penganalisis semasa Nanyang Siang Pau berpendapat negara ini sedang berkembang ke arah zaman tanpa perkauman disebabkan Umno tidak menjadikan bukan Melayu sebagai halangan terhadap kemajuan masyarakat Melayu.
Justeru, penulis berharap Perhimpunan Agung Umno tahun ini dapat membawa perubahan terhadap negara untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2020.
Sementara itu, kolum analisis Nanyang Siang Pau, Jumaat lalu, menyifatkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, sebagai pemenang besar dalam isu pendidikan yang dibangkitkan beberapa minggu lalu.
Menurut penulis itu, `lakonan politik’ Hishammuddin selepas Perhimpunan Agung Pemuda Umno yang tamat Rabu lalu bukan saja menghapuskan perselisihan faham di antara beliau dan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, malah menyerlahkan sokongan pergerakan itu terhadap dasar Kementerian Pendidikan.
Beliau turut memuji tindakan Umno menghantar Musa sebagai wakil Majlis Tertinggi untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda Umno sebagai tindakan bijak.
Difahamkan, ketika masa rehat pada pagi itu, Hishammuddin dan Musa dilihat mengadakan perbincangan selama 20 minit di satu sudut dan nampaknya perbincangan berkenaan berhasil membantu `menenangkan’ isu berkenaan.
Penulis itu berpendapat, tindakan berkenaan turut memberi lebih banyak pilihan kepada Hishammuddin pada pemilihan parti akan datang, sama ada ingin bertanding jawatan Naib Presiden Umno atau terus kekal sebagai Ketua Pemuda Umno.
Justeru, penulis berpendapat Hishammuddin semakin matang dalam politik kerana bijak menggunakan isu semasa untuk menyerlahkan bakatnya dan jika beliau boleh mengekalkan prestasinya, tidak mustahil beliau boleh memasuki pucuk pimpinan tertinggi Umno dan kerajaan kelak.
Semalam, editorial Sin Chew Jit Poh berharap rakyat terus berusaha untuk maju, bukannya terus mengamalkan sikap menyalahkan orang lain.
Masyarakat Melayu harus sedar bahawa walaupun mereka mempunyai kedudukan dalam politik, ia tidak dapat menjamin masa depan mereka kerana sebarang perubahan boleh berlaku dan orang Melayu tidak boleh menikmatinya tanpa berusaha.
Sebagai pembela nasib orang Melayu, pemimpin Umno harus menjadi teladan kepada golongan itu untuk memimpin mereka ke jalan sebenar.
Akhbar itu bagaimanapun menasihatkan pemimpin Umno supaya tidak bertindak terburu-buru sehingga mengabaikan tahap penerimaan masyarakat terhadap pelaksanaan sesuatu dasar baru itu.
Menurutnya, satu daripada cara untuk mengubah sesuatu kaum itu ialah melalui pendidikan yang baik dan ia mesti selaras dengan matlamat pembangunan negara, bukannya melaksanakan dasar demi kepentingan sesuatu kaum saja.
Sementara itu, Tamil Nesan (Nesan) dan Malaysia Nanban (Nanban) minggu ini berpendirian bahawa isu pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) tidak wajar dipolitikkan kerana tujuan sebenar isu itu dibincangkan bagi mencapai kecemerlangan akademik tidak akan tercapai.
Nesan melaporkan bahawa isu yang bermula dengan penggunaan meritokrasi atau kuota dalam pengambilan pelajar bukan Melayu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kini bertukar wajah kepada persoalan hak istimewa Bumiputera.
Akhbar itu memetik kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, sebagai berkata tindakan membenarkan kuota 10 peratus pelajar bukan Bumiputera ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Pusat Matrikulasi adalah keputusan Kabinet.
Menurutnya, perkara itu adalah isu berasingan dan tidak wajar dikelirukan dengan isu kemasukan pelajar bukan Melayu ke IPTA yang merosot apabila kaedah pengambilan ditukar daripada sistem kuota kepada meritokrasi.
Nanban, dalam editorialnya, menyatakan masih ramai yang belum faham kemelut yang dihadapi tetapi ghairah membuat pelbagai andaian membuta tuli, sekali gus menggagalkan usaha menyelesaikan masalah berkenaan.
Memetik kenyataan Samy Vellu, akhbar itu melaporkan bahawa tuntutan Pemuda Umno supaya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) memperuntukkan kuota 10 peratus untuk pelajar Bumiputera adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan melucukan.
Samy Vellu menjelaskan bahawa semua IPTA, termasuk Kolej Tafe dan Institut Sains, Perubatan dan Teknologi Asia (AIMST) tajaan MIC terbuka kepada semua kaum tanpa terikat kepada sebarang kuota dan sesiapa yang mampu bebas memohon menyertainya.
Dalam perkembangan lain, Nesan turut menyiarkan berita mengenai pelancaran Majlis Malindian (Malaysian Indian) cawangan Putrajaya, iaitu persatuan penduduk berketurunan India di kawasan itu, merangkumi kira-kira 400 orang daripada 62 keluarga.
Samy Vellu menggesa lebih ramai penduduk menubuhkan persatuan seumpama itu untuk menyatukan masyarakat India setempat supaya dapat bersama dengan masyarakat kaum lain menangani pelbagai isu berkepentingan bersama.