Idealis Mahasiswa
 
 

KMM: Dua Bekas Pensyarah UTM Skudai Gagal Dikesan


Hit = [ ]

Oleh Abdul Razak Raaff
Berita Harian, 25 Jun 2002

JOHOR BAHRU, Isnin: Dua pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, dekat sini, yang meletakkan jawatan dan menghilangkan diri secara tiba-tiba selepas penangkapan rakan sekerja mereka kerana disyaki terbabit dengan kegiatan Kumpulan Militan Malaysia (KMM), tidak dapat dikesan sehingga kini.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, berkata kedua-dua pensyarah itu berkhidmat di Fakulti Kejuruteraan Sains Geoinformasi.

“Universiti percaya mereka meletakkan jawatan secara tiba-tiba disebabkan perkembangan semasa (penahanan tiga pensyarah) ketika itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan Akademik Bumiputera 2002 di kampus universiti itu di sini, petang ini.

Sebelum ini, tiga pensyarah UTM dari fakulti sama ditahan pihak berkuasa mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terbabit dalam gerakan KMM sejak awal tahun ini dan kini ditempatkan di Kem Tahanan Kamunting, Perak.

Mereka ialah Roshelmy Md Sharif, 30, Idris Salim, 33, dan Dr Abdullah Daud, 47. Mereka dipercayai anggota sayap kedua KMM yang mahu menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Dr Mohd Zulkifli berkata, universiti serius memantau masalah itu, termasuk mengetatkan disiplin kakitangan bagi memastikan waktu kuliah tidak digunakan bagi mempengaruhi pelajar untuk terbabit dalam pergerakan antikerajaan.

Ditanya kedudukan tiga pensyarah universiti itu yang ditahan mengikut ISA di Kamunting, Dr Mohd Zulkifli berkata, keputusan muktamad mengenai masa depan mereka akan ditentukan jawatankuasa tata tertib lembaga pengarah universiti itu.

Sementara itu, beliau berkata, UTM mengambil tindakan disiplin terhadap enam pensyarah kerana terbabit secara aktif dalam parti pembangkang, tidak hadir bertugas dalam tempoh lama dan bersikap tidak profesional dalam tugas yang sepatutnya dilakukan.

Katanya, tindakan itu dikenakan terhadap empat pensyarah lelaki dan dua pensyarah wanita, baru-baru ini.

Katanya, dua daripada mereka dibuang kerja, dua diturunkan gaji manakala dua lagi diberikan amaran keras.

"Bagaimanapun, bilangan pensyarah yang dikenakan tindakan disiplin kecil berbanding 1,600 pensyarah yang berkhidmat dengan UTM," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Zulkifli berkata, pihaknya juga melantik Pengarah Bahasa Inggeris bagi melaksanakan dasar penggunaan bahasa Inggeris secara menyeluruh di semua fakulti universiti itu.

Katanya, pihaknya sudah melaksanakan dasar 45 peratus daripada pembelajaran dan pengajaran di setiap fakulti menggunakan bahasa Inggeris bagi peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

"Ia sejajar hasrat universiti memainkan fungsi bukan saja peringkat kebangsaan, tetapi rantau Asia Tenggara," katanya.





Copyright © 2002 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved