Majalah Minda, September 2001, hlm.69
KEPUTUSAN kerajaan memperuntukkan tempat-tempat kosong berasaskan kuota pelajar Bumiputera (jika benar-benar ada kekosongan) di IPTA kepada pelajar-pelajar bukan Bumiputera bagi sesi 2001/2002 perlulah dijadikan iktibar dan peringatan kepada pelajar-pelajar Bumiputera pada masa hadapan. Walau pun keputusan ini bukan suatu keputusan dasar, namun semua pihak, termasuklah pelajar dan ibubapa tidak seharusnya leka.
Sebagai cabaran pula maka sistem kuota seharusnya dijadikan nilai tara minimum kepada komitmen dan kegigihan untuk mencapai kecemerlangan. Tegasnya, matlamat mendapatkan kejayaan minimum bagi memenuhi keperluan sistem kuota semata-mata, sewajarnya bukan merupakan matlamat yang diberikan keutamaan berbanding dengan matlamat menandingi kecemerlangan pelajar-pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang.
Dalam pada itu, sistem kuota kemasukan ke IPTA masih perlu dipertahankan berasaskan peluang-peluang yang masih terhad bagi pelajar-pelajar Bumiputera untuk mengembleng potensi cemerlang yang ada pada mereka. Sehubungan itu dasar kerajaan mengekalkan sistem kuota tersebut, sementara berusaha menambahkan jumlah tempat pengajian keseluruhan masih relevan dan wajar disokong. Berdasarkan perancangan pem-bangunan pendidikan, usaha mengimplimentasikan dasar itu akan diteruskan. Misalnya dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), usaha akan dipergiatkan lagi untuk meningkatkan kapasiti pengambilan dengan menubuhkan empat buah universiti baru. iaitu di Melaka Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis, yang keseluruhannya akan menambah 20.000 tempat di peringkat ijazah pada tahun 2005. Dalam pada itu, pembinaan politeknik-politeknik baru di Balik Pulau. Mersing, dan Miri akan me-nyediakan tambahan kapasiti sebanyak 10,800 pelajar, manakala pembinaan sepuluh politeknik kota dan kolej komuniti akan menampung sekurang-kurangnya 6,000 pelajar di peringkat diploma dan sijil.
Pada masa yang sama dasar membenarkan sektor swasta menubuhkan institusi-institusi pendidikan tinggi akan diteruskan.
Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) juga perlu terus diberi kebenaran bersama-sama dengan institusi awam untuk melaksanakan program francais bagi menyediakan tambahan 45,000 tempat, iaitu 25 peratus daripadanya bagi peringkat ijazah dan 75 peratus lagi di peringkat diploma. Insentif juga perlu diberi kepada institusi ternama luar negara untuk menubuhkan kampus cawangan masing-masing di negara ini, terutamanya bagi yang menawarkan kursus-kursus dalam bidang sains dan teknologi.
Untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang gagal memasuki IPTA melanjutkan pelajaran masing-masing, maka program pendidikan jarak jauh wajar diperluaskan sehingga mampu menampung sekurang-kurangnya 54,000 pelajar men-jelang tahun 2005, dengan menambahkan kemudahan-kemudahan yang disediakan di IPTA serta menawarkan pilihan kursus yang lebih banyak.
Berdasarkan perancangan yang telah dan bakal dilaksanakan, peluang berbangkitnya isu kuota kemasukan yang diheboh-hebohkan itu boleh dikurangkan. Sekarang ini pun, kalau angka yang dijadikan asas untuk berhujah, maka perbincangan mengenai kuota itu sepatutnya tidak berlaku lagi. Mengikut perangkaan tahun 2000, jumlah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sudah mencecah 600 buah dan jumlah pelajarnya 200,000 orang. Daripada jumlah itu hanya 15 peratus sahaja pelajar Bumiputera. Manakala jumlah pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah 150,000 orang tetapi hasil sistem kuota, 45 peratus daripadanya adalah bukan Bumiputera. Berdasarkan perangkaan ini. maka jumlah pelajar Bumiputera di IPTA dan IPTS adalah seramai 112.500 orang, manakala jumlah pelajar bukan Bumiputera adalah 237,500 orang (yakni 125,000 lebih ramai!).
Perangkaan ini juga secara tidak langsung membuktikan bahawa dasar kerajaan dalam menghadapi implikasi pelaksanaan sistem kuota adalah pragmatik dan selaras dengan cita-cita mewujudkan perseimbangan sosial di antara kaum. demi membina perpaduan yang berpanjangan dan produktif. Walau bagaimana pun. agensi-agensi dan pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan secara langsung dengan masa hadapan kaum Bumiputera wajar pula mengambil inisiatif untuk memastikan bahawa sistem kuota ini tidak selamanya menjadi faktor penentu kepada masa hadapan pelajar-pelajar Bumiputera. Usaha mempertingkatkan kualiti dan kuantiti pendidikan peringkat asas dan pertengahan kepada pelajar-pelajar Bumiputera perlu dipergiatkan lagi supaya kualiti mereka yang berjaya memasuki IPTA tempatan setanding dengan pelajar bukan Bumiputera. Hanya dengan cara ini sahaja prasangka-prasangka yang berkaitan dengan pelaksanaan sistem kuota itu dapat dihapuskan.