IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan | Halaman Undian | Halaman Tetamu

    Update on Saturday, June 1, 2002 9:00 AM

UTM tidak bertolak ansur terhadap kesalahan moral


Utusan Malaysia, 28 Mac 2002


UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) merakamkan jutaan terima kasih kepada Anti Maksiat di atas pandangannya baru-baru ini terhadap tingkah laku pelajar-pelajar UTM yang menyewa di persekitaran Taman Universiti.

Sememangnya perlakuan seperti yang digambarkan itu amatlah bertentangan dengan identiti pelajar sebuah institusi pengajian tinggi.

Untuk makluman pembaca sekalian sehingga bulan Mac 2002 ini jumlah pelajar di kampus Skudai ialah 29,345 orang. Bilangan bilangan pelajar yang menuntut di universiti ini semakin meningkat.

Daripada jumlah tersebut, lebih kurang 15,000 orang pelajar tinggal dan menyewa di sekitar kawasan universiti termasuk Taman Universiti. Jumlah tersebut merupakan 51.1% daripada keseluruhan pelajar UTM, Skudai manakala selebihnya diberikan kemudahan asrama di dalam universiti.

Untuk makluman Anti Maksiat, setiap pelajar terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang memperuntukan bahawa pelajar tidak boleh mencemarkan nama baik universiti.

Oleh yang demikian, pihak universiti tidak akan mengambil sikap lepas tangan di dalam menangani perkara-perkara sedemikian.

Terdapat beberapa kes moral seperti berdua-duaan di kalangan pelajar sama ada di dalam rumah, di dalam kereta dan di tempat-tempat yang boleh menimbulkan syak telah diambil tindakan yang tegas oleh pihak universiti.

Ada pelajar yang telah digantung daripada mengikuti pengajian untuk tempoh sekurang-kurangnya satu semester atau lebih bergantung kepada jenis kes yang terbabit.

Perlu ditegaskan bahawa pihak universiti tidak pernah bertolak ansur dengan perlakuan-perlakuan yang melibatkan moral pelajar seperti itu.

Sekiranya terdapat aduan dan laporan berkaitan apa jua kesalahan tata tertib termasuk kes moral, pihak universiti melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar akan mengambil tindakan segera dengan menyiasat dan mengenakan hukuman yang sewajarnya.

Ini juga bergantung kepada pengadu dan pelapor kerana mereka seharusnya memberikan maklumat yang tepat tentang sesuatu kesalahan yang berlaku (dengan syarat telah disahkan bahawa pelaku adalah pelajar UTM) dan bukan hanya memberikan kenyataan umum yang sudah pasti menyukarkan pihak universiti mengambil tindakan.

Universiti melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Kolej-Kolej Kediaman kerap mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkuasa di sekitar kawasan universiti seperti Polis, Jabatan Agama Johor dan juga RELA bagi mencari kaedah terbaik untuk membanteras perbuatan sedemikian.

Tindakan ini diambil kerana staf Kolej Luar (organisasi yang ditubuhkan untuk memantau serta menjaga kebajikan para pelajar yang tinggal di luar kampus) yang ada amatlah tidak berupaya menangani setiap aduan dan melakukan pemantauan setiap hari ke seluruh pelosok taman-taman yang berdekatan.

Selain itu, pengurusan universiti juga sedang mengambil langkah dengan membina asrama tambahan untuk membolehkan lebih ramai pelajar di asrama dalam kawasan kampus.

Dengan pengawasan berterusan daripada Pengetua dan Felo-Felo diharap pelajar lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Sekiranya lebih ramai pelajar berada di dalam kampus, ia memudahkan pihak universiti merancang program-program pembangunan sahsiah pelajar. - NORAZILLA ABDUL RAHMAN, Pegawai Perhubungan Awam & Antarabangsa, Pejabat Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia, 81310 UTM Skudai, Johor.


Halaman Utama

 


Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved