IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan | Halaman Undian | Halaman Tetamu

    Update on Tuesday, June 4, 2002 9:00 AM

Aksi lucah - Orang dalam UiTM sendiri terlibat


Utusan Malaysia : 3 Jun 2002


Mukadimah
Baru-baru ini masyarakat negara ini terutama orang Melayu digemparkan dengan paparan aksi-aksi lucah beberapa pasangan remaja Melayu di dalam Internet yang didakwa adalah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagaimanapun dakwaan itu disangkal oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Abu Shah kerana menurut beliau tiada bukti-bukti kukuh yang boleh mengaitkan pelajarnya dengan gambar-gambar tersebut.

Insiden berkenaan memperlihatkan seolah-olah setiap masalah sosial remaja Melayu yang berlaku harus mempunyai kaitan dengan UiTM. Ikuti temu bual Dr. Ibrahim dengan wartawan Utusan Malaysia, MARZITA ABDULLAH bagi memperjelaskan perkara tersebut.

Soalan (S): Apakah reaksi pertama Prof. apabila mendapat tahu perkara ini.

Jawapan (J): Kesal. Saya amat kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyeret nama UiTM dalam perbuatan tidak bermoral itu.

Mereka dengan sengaja membuat tuduhan tanpa bukti yang sahih bahawa itu adalah pelajar UiTM dan menyebarkannya pada umum.

Kita telah pun menjalankan siasatan terperinci dan mencari bukti-bukti kukuh untuk mengiyakan perkara berkenaan tetapi sehingga sekarang tidak ada apa yang boleh diketengahkan untuk membuktikan itu adalah pelajar kita.

Kita sendiri telah membuat laporan polis malah Majlis Perwakilan Pelajar, Kesatuan Kakitangan Akademik (Mitasa) UiTM dan Jabatan Komunikasi Korporat kita akan membuat laporan polis kerana perkara ini telah mencemarkan imej kita sebagai institusi pengajian tinggi orang Melayu.

S: Adakah Prof. tahu pihak yang terlibat dalam perkara ini.

J: Ya. Saya tahu ini semua kerja orang dalam UiTM sendiri. Mereka ini yang mempunyai perasaan dendam terhadap saya. Malah saya telah menjangka akan menerima serangan-serangan daripada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan saya.

Bermula dengan tindakan saya memecat 48 pensyarah dan pelajar yang terlibat dengan kegiatan antikerajaan, saya telah menerima ugutan bunuh yang turut membabitkan keluarga saya.

Lebih 40 surat layang saya terima malah saya terpaksa meminta pihak polis menjalankan rondaan di rumah saya.

Perkara ini reda sebentar, tetapi selepas saya mengenakan tindakan pengurusan terhadap seorang pensyarah yang terlibat dengan kegiatan yang sama pada hujung tahun lalu, perkara ini timbul semula.

Saya terus menerima surat layang dan kali ini serangan dibuat pula di laman-laman web.

Saya tahu siapa yang mengirimkan surat layang kerana gaya penulisannya adalah orang yang sama, yang saya kenali. Orang ini memang telah bersumpah akan `menyerang' saya menggunakan apa cara sekali pun.

Memang ada komplot untuk menjatuhkan saya. Mereka melabelkan saya sebagai kaki bodek Mahathir, Firaun jelmaan dan macam-macam lagi kerana saya mendokong aspirasi kerajaan yang memerintah. Mereka ini adalah golongan pengkhianat.

Saya tahu orang ini dan kumpulannya yang `menyerang' saya apabila tindakan diambil terhadap pengikut-pengikutnya di UiTM.

Saya tahu gambar-gambar yang tersiar dalam Internet itu juga adalah perbuatan orang-orang ini.

S: Mengapa UiTM dan pelajar-pelajarnya sering menjadi sasaran serangan pihak-pihak tertentu terutama membabitkan masalah moral.

J: Bagi saya mereka memang sengaja memilih UiTM kerana ia sebuah institusi pengajian tinggi orang Melayu yang disokong oleh kerajaan yang memerintah.

Kerajaan memberi sokongan 100 peratus pada UiTM. Ini yang membuat pihak-pihak yang menentang kerajaan marah. Mereka sebenarnya mempunyai sebab-sebab politik untuk menyerang kita.

Tetapi mereka lupa, dalam usaha menjatuhkan seseorang ataupun UiTM, mereka juga telah menjatuhkan orang Melayu dan orang Islam. Mereka sanggup lakukan semua ini semua kerana mengikut nafsu marah mereka.

Ingin saya perjelaskan di sini bahawa tindakan yang saya lakukan terhadap kakitangan atau pelajar UiTM adalah selaras dengan peraturan UiTM.

Mana-mana kakitangan dan pelajar yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan jika terbukti benar dan ia tidak mengira sama ada mereka adalah penentang kerajaan ataupun penyokong kerajaan.

Saya telah memberitahu kakitangan kita jika mereka tidak mahu tindakan dikenakan terhadap mereka jangan buat perkara yang melanggar peraturan itu.

S: Daripada penjelasan Prof. adakah ini bermakna pelajar-pelajar UiTM tidak akan melakukan atau terlibat dengan masalah sosial.

J: Bukan begitu. Setakat ini saya tidak pernah menangkap mana-mana pelajar yang terlibat dengan kegiatan itu di luar kampus UiTM seperti yang dipaparkan dalam Internet.

Percaya atau tidak saya telah menjalankan siasatan sendiri di Taman Tasik Shah Alam yang didakwa oleh pengirim gambar itu.

Setiap petang saya mengintip pasangan-pasangan yang berada di taman itu dan ada yang saya `cekup'. Tetapi semuanya bukan pelajar UiTM. Ini saya lakukan secara berterusan.

Secara logiknya, kita semua tahu bukan pelajar UiTM sahaja yang mengunjungi taman itu. Banyak remaja lain di Shah Alam atau luar bandar raya ini yang mengunjungi taman berkenaan.

Jika benar kegiatan tidak bermoral itu dilakukan di taman berkenaan, kenapa saya lihat bangku yang digunakan oleh pasangan itu diperbuat daripada batu sedangkan bangku-bangku di taman ini semuanya diperbuat daripada kayu?

Banyak yang boleh diragui mengenai kesahihan lokasi gambar-gambar di Internet itu.

Malah pegawai-pegawai saya juga membuat rondaan di taman berkenaan tetapi tidak berjumpa pun pelajar-pelajar UiTM yang berkelakuan tidak senonoh.

Saya cabar orang yang mendakwa pasangan berkenaan adalah pelajar UiTM untuk tampil dan membuktikan bahawa pasangan remaja itu adalah pelajar UiTM.

S: Bagaimana usaha Prof. untuk menghentikan perbuatan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini daripada terus mencemarkan imej UiTM.

J: Sukar untuk dilakukan. Ia memerlukan kesedaran individu. Namun saya mahu mengingatkan mereka di sini ialah tindakan mereka sebenarnya bukan sahaja meranap imej UiTM tetapi orang-orang Melayu dan Islam di negara ini.

Kegiatan tidak bermoral mereka itu yang banyak didalangi oleh pihak-pihak bermotifkan kepentingan diri sendiri sebenarnya merugikan kita, orang Melayu dan Islam.

Saya mahu pelajar-pelajar UiTM menjadikan insiden ini sebagai suatu iktibar. Mereka kini perlu lebih berhati-hati dalam setiap tindak tanduk mereka.

Banyak pihak yang memerhati gerak-geri mereka dan sentiasa menunggu peluang untuk menjadikan kesilapan mereka sebagai senjata untuk menjatuhkan nama baik UiTM.

Saya yakin pelajar-pelajar UiTM cukup matang untuk menilai baik dan buruk tindakan mereka sama ada untuk diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Mereka adalah harapan bangsa untuk menjadi pemimpin negara yang dicontohi. Janganlah sekali-kali melibatkan diri dalam perkara yang boleh meletakkan bangsa kita dalam kehinaan.


JAIS tubuh pasukan bermotor cegah maksiat

Oleh:SYAHRIL A. KADIR

Utusan Malaysia, 3 Jun 2002


KUALA LUMPUR 2 Jun - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menubuhkan satu pasukan khas bermotor bagi membanteras gejala maksiat di sekitar Taman Tasik Shah Alam yang semakin berleluasa.

Pengarah JAIS, Datuk Mansor Ramli berkata, penubuhan pasukan tersebut bagaimanapun tidak ada kena mengena dengan dakwaan sesetengah pihak kononnya taman itu menjadi lokasi kepada rakaman adegan lucah yang membabitkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

``Kita dapati gambar lucah itu bukanlah dirakamkan di Taman Tasik Shah Alam dan pasangan itu juga bukanlah pelajar UiTM seperti yang didakwa.

``Cuma penubuhan pasukan bermotor ini memudahkan lagi pegawai kita menjalankan tugas memantau dan membanteras gejala maksiat di kawasan terbabit,'' katanya pada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Gambar-gambar lucah yang memuatkan adegan-adegan berahi dua pasangan kekasih tersebut dikatakan semakin tersebar luas sejak akhir-akhir ini dan ada pihak mendakwa ia adalah rakaman kamera di sekitar kawasan tersebut.

Bagaimanapun beberapa pihak seperti Dewan Bandaraya Shah Alam (DBSA) dan UiTM sendiri telah menafikan perkara tersebut.

Pihak polis juga belum menerima sebarang laporan mengenai pembabitan pelajar UiTM dalam gambar lucah yang kini dikatakan tersebar luas khususnya melalui e-mel dan laman-laman web.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Polis Hussin Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dapat mengulas kesahihan dan lokasi rakaman adegan lucah tersebut walaupun ada pihak yang mendakwa ia diambil di sekitar Taman Tasik Shah Alam.

``Apa yang pasti, kita belum menerima sebarang laporan mengenai pembabitan pelajar UiTM dalam gambar lucah seperti yang didakwa,'' katanya.


Gambar lucah: Dua badan buat laporan

Oleh Fazallah Pit

Berita Harian, 31 Mei 2002

SHAH ALAM, Jumaat : Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Persatuan Kakitangan Akademik (Mitasa) Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar lucah yang didakwa membabitkan pelajar institusi itu tidak lama lagi.

Yang Dipertua MPP, Muhammad Amyzaddin Raya, berkata majoriti pelajar kampus mendesak MPP mengambil tindakan bagi membersihkan imej UiTM yang tercemar akibat penyebaran gambar itu.

Beliau berkata, ia juga dibimbangi menjejaskan peluang graduan universiti itu untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

"Oleh itu, kami dan Mitasa akan membuat laporan polis secepat mungkin bagi membolehkan siasatan dilakukan.

"Semua tahu gambar itu sebenarnya bukan penuntut UiTM, malah lokasi gambar itu diambil juga bukan di Tasik Shah Alam sebagaimana didakwa," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Ibrahim Abu Shah, berkata pengedaran lebih 40 surat layang dan gambar lucah itu dipercayai didalangi kumpulan antikerajaan.

Beliau berkata, mereka dipercayai mahu mempertahankan seorang pensyarah yang cenderung dalam gerakan antikerajaan dan kini dalam perbicaraan peringkat dalaman UiTM.

Sejak itu, katanya, pelbagai bentuk serangan terhadap UiTM menjadi-jadi, termasuk pengedaran surat layang selain gambar lucah bagi memburukkan universiti itu.

Malah, beliau berkata, pengirim itu kerap menegaskan tidak akan berhenti daripada melakukan perbuatan itu hingga perbicaraan terhadap pensyarah itu dibatalkan.

"Sebenarnya, serangan ke atas saya reda selepas UiTM menyingkirkan 48 orang pensyarah dan kakitangan hujung tahun kerana terbabit dalam gerakan antikerajaan.

"Bagaimanapun, ia kembali memuncak apabila seorang lagi pensyarah dikenakan tindakan disiplin Februari lalu kerana didapati melakukan kegiatan yang bercanggah peraturan UiTM.

"Saya kesal gambar sedemikian sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi masyarakat umum, khususnya yang kurang berpendidikan hingga percaya ia dilakukan penuntut UiTM," katanya.

Dr Ibrahim juga berkata, pensyarah itu dikatakan memegang jawatan dalam sebuah pertubuhan luar dan melakukan kegiatan luar yang mempunyai unsur antikerajaan.

Mengenai ancaman bunuh, beliau berkata, ia terkandung dalam beberapa surat layang ketika isu penyingkiran 48 pensyarah dan kakitangan UiTM dipecat, bukannya kebelakangan ini.

"Walaupun mereka terus memberi ancaman dan memburuk-burukkan saya tetapi ia tidak akan mengubah pendirian saya dalam membentuk masyarakat disiplin di UiTM," katanya.


Halaman Utama

 


Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved