Presiden Pas Datuk Fadzil Noor meninggal dunia
Utusan Malaysia, Berita Terkini, 23 Jun 2002
KUALA LUMPUR 23 Jun - Presiden Pas Datuk Fadzil Noor meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras di sini hari ini.
Fadzil, 65, yang menjalani pembedahan pintasan koronari di hospital itu pada 10 Jun lepas, meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Siti Khatijah Ibrahim dan lapan orang anak.
Menurut setiausaha politiknya, Dr Hatta Ramli, jenazah allahyarham akan dibawa pulang ke Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia petang ini dan akan dikebumikan selepas waktu Asar.
Di ALOR SETAR, anak lelaki allahyarham, Aiman, 32, berkata, bapanya telah berpesan kepada anggota keluargannya bahawa sekiranya beliau meninggal dunia jenazahnya dikebumikan di Muassasah Darul Ulum.
Darul Ulum merupakan sebuah kompleks yang menempatkan kolej pengajian Islam yang ditadbir oleh parti itu, kira-kira 20 km dari Alor Setar.
Aiman, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis yang ditemui di rumah keluarganya di Jalan Langgar berkata, beliau mengetahui bapanya berada dalam keadaan kritikal semalam dan bercadang mengunjunginya di HUKM hari ini.
"Semasa dalam perjalanan pagi ini dengan kereta di Gurun, 40 km dari Alor Setar, saya mendapat panggilan mengatakan beliau telah meninggal dunia," katanya.
Sebelum menjalani pembedahan pintasan koronari di HUKM, Allahyarham telah dimasukkan ke unit kardiologi, Hospital Kuala Terengganu pada 10 Mei, setelah mengadu sakit dada, tetapi dikeluarkan daripada hospital itu pada 15 Mei.
Fadzil juga dilaporkan menghidap kencing manis dan "hypoglycaemia" (kadar gula rendah) sejak 17 tahun lepas.
Menurut Dr Hatta, antara mereka yang berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta anggota keluarga.
Allahyarham ialah anggota parlimen Pas kawasan Pendang, Kedah dan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Anak Bukit, Kedah.
Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpong, Alor Setar, merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar, memasuki Maktab Mahmud pada tahun 1951 dan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir selama empat tahun pada tahun 1963.
Allahyarham pernah menjadi pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam pada tahun 1972.
Beliau juga aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), pernah menjadi setiausaha penerangan pertubuhan itu pada tahun 1973-1974 sebelum dipilih presiden ABIM pada 1974 hingga 1978.
Karier politik Fadzil bermula pada tahun 1978 dan ketokohannya membawa kepada beliau dipilih sebagai ketua Pas Kawasan Kuala Kedah serta anggota perhubungan Pas Negeri Kedah.
Allahyarham menjadi Presiden Pas sejak 1989 dan dilantik ketua pembangkang selepas pilihan raya umum 1999. - Bernama
Dr. M umum letak jawatan - Tarik balik selepas satu jam yang mencemaskan -- Negara tergamam
Utusan Malaysia, 23 Jun 2002
Dr. MAHATHIR Mohamad sebak ketika dikerumuni oleh para pemimpin UMNO sejurus selepas mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti dan Barisan Nasional di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
|
Oleh WARTAWAN UTUSAN
KUALA LUMPUR 22 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mencemaskan seluruh negara petang ini dengan pengumuman mengejut meletakkan jawatan Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan semua jawatan dalam parti.
Bagaimanapun pengumuman itu ditarik balik dalam masa satu jam yang penuh mendebarkan setelah dipujuk oleh seluruh anggota Majlis Tertinggi parti dan pekikan `tarik balik' berulang kali yang penuh emosi dan kesedihan para perwakilan yang menggemuruhkan Dewan Merdeka, PWTC.
Timbalan Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengumumkan keputusan Dr. Mahathir menarik balik peletakan jawatannya dan ia secara spontan disambut dengan tepukan dan teriakan paling bergemuruh daripada beribu orang yang sebelum itu menunggu dengan penuh harapan.
Insiden yang sungguh mendebarkan - pertama kali berlaku dalam sejarah UMNO - disambut dengan tangisan serta jeritan yang sukar digambarkan dan ia tersiar secara langsung melalui televisyen yang ketika itu sedang meliputi ucapan Dr. Mahathir menggulung perbahasannya pada Perhimpunan Agung UMNO ke-56.
Ia tersebar juga ke seluruh dunia apabila agensi-agensi berita asing sempat menghantar flash (berita awal) mengenai peletakan jawatan Dr. Mahathir itu.
Dr. Mahathir, yang menyandang jawatan Perdana Menteri 16 Julai 1981 dan Presiden UMNO 28 Jun 1981, membuat pengumuman itu secara mengejut tepat pada pukul 5.59 petang, iaitu di saat-saat akhir sebelum mengakhiri ucapan penangguhannya.
Sambil tersekat-sekat dalam nada tersebak, beliau berkata: (sebahagian petikan): ``...saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan... mengumumkan.. satu... peletakan jawatan saya (tersebak sambil meminum air) peletakan jawatan saya sebagai Presiden UMNO dan semua jawatan-jawatan... yang dipegang oleh saya.....dalam parti, peletakan saya sebagai pengerusi BN dan semua jawatan dalam BN...''
Semasa itu, seluruh perwakilan dalam Dewan Merdeka terpaku dan tersentak, dan serentak itu suasana kecoh berlaku dalam dewan itu - para perwakilan tidak bergerak dari Dewan Merdeka.
Datuk Seri Rafidah Aziz - orang pertama yang menerpa ke arah Dr. Mahathir di rostrum sambil berkata... why? (mengapa)... why...you shouldn't do this? (tak boleh buat macam ni).
Dalam keadaan kelam kabut itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyambar mikrofon secara spontan dari tempat duduknya dan berkata: ``kita tidak boleh terima ini...kita minta Datuk Seri tarik balik.''
Abdullah mengumumkan bahawa anggota Majlis Tertinggi sebulat suara menolak hasrat Dr. Mahathir untuk meletakkan jawatan.
Dalam peristiwa yang disaksikan secara langsung oleh seluruh rakyat Malaysia (sebelum siarannya diputuskan), Dr. Mahathir menjawab: ``No..no..i have decided...i have decided (tidak, tidak saya telah buat keputusan)...dah lama dah.
Serentak itu, Datuk Hishammuddin Hussein turut meluru ke rostrum sambil menangis memegang bahu Dr. Mahathir dan kesemua ahli MT menyerbu dan mengelilingi Perdana Menteri.
Dr. Mahathir yang dikerumuni oleh para anggota MT, kelihatan sebak, menangis dan menggeleng-gelengkan kepalanya seolah-olah sebagai tanda beliau tidak mahu berganjak dengan keputusannya.
Suasana ketika itu sungguh tegang - para perwakilan menjerit-jerit minta beliau menarik balik keputusannya - tidak mempercayai apa yang berlaku.
Pengerusi Tetap UMNO yang mempengerusi mesyuarat itu, Tun Sulaiman Ninam Shah - turut tersentak. ``Apa dah jadi...apa dah jadi.... sabar sikit.''
Suasana di luar Dewan Merdeka - di mana beribu-ribu ahli UMNO dan orang ramai menyaksikan ucapan itu di sebuah skrin besar turut tersentak dan menjerit - masing-masing tergamam.
Dalam suasana tidak menentu itu juga (kira-kira pukul 6.10 petang) Sulaiman meminta para perwakilan yang menyerbu naik atas pentas supaya bertenang.
``Tolong bertenang, saya minta jurugambar-jurugambar keluar dari sana, jurugambar-jurugambar keluar, tolong bertenang...hooi (bunyi jeritan Sulaiman).
``Saya mintak ahli majlis tertinggi ambil tempat masing-masing...saya mintak ahli majlis tertinggi mengambil tempat masing-masing.''
Sulaiman kemudian mengumumkan penangguhan persidangan selama 10 minit.
Pada masa itu (kira-kira 6.16), beberapa orang ahli MT memapah Dr. Mahathir keluar dari dewan itu ke sebuah bilik rehat di belakang pentas.
Para perwakilan lelaki dan wanita dilihat menangis sebahagian lagi menyanyi lagu `UMNO' dan jeritan `Hidup Mahathir' berulang kali.
Mingguan Malaysia dahamkan semasa dalam bilik itu, Dr. Mahathir dipujuk oleh isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali - termasuk Abdullah, Rafidah, Tan Sri Khalil Yaakob dan semua Naib Presiden.
Di pintu utama luar Dewan Merdeka - sekumpulan pemuda - emosional - menjerit-jerit meminta Dr. Mahathir jangan berundur.
Mereka menyanyikan lagu-lagu UMNO, Barisan Kita dan jeritan Hidup Mahathir.
Dalam suasana tidak terkawal di situ - dikerumuni orang ramai dan para wartawan - tenaga polis tambahan dipanggil mengawal keadaan.
Bagaimanapun pada pukul pukul 6.57 petang, Abdullah mengumumkan bahawa Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bersetuju menarik balik keputusannya itu setelah dipujuk oleh MT.
Suasana menjadi reda sedikit. Pada masa itu, Dr. Mahathir telahpun meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Putra - pulang ke kediamannya di Putrajaya.
Serentak itu, pada kira-kira pukul 7.05 petang, doa dibaca oleh Pengerusi Biro Agama UMNO, Tan Sri Dr. Hamid Othman dan para perwakilan - orang ramai menadah tangan mengaminkannya, diikuti nyanyian lagu Negaraku disusuli dengan selawat nabi.
Orang ramai, para pemerhati khususnya pemuda-pemuda di luar dewan kemudian menjerit kesukaan dan menyanyikan lagu-lagu semangat.
Kira-kira pukul 8 malam ini, Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan Dr. Mahathir itu. Mesyuarat dipengerusikan oleh Abdullah.