IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | Arkib| Perbincangan| Halaman Undian| Halaman Tetamu

    disiarkan pada Sabtu, Januari 12, 2002

BAHAYA GENERASI LUPA PADA KEBANGKITAN TAMADUN ISLAM


SAIFUL KHAIRI KAMARUDIN, Suara Mahasiswa Online


Sejarah evolusi tamadun Islam memberikan contoh yang baik kepada peranan dan pendekatan orientasi beragama. Dahulu, Islam sepenuhnya telah mengubah bangsa Arab yang tiada keinginan untuk mempelajari sains dan kesenian kepada masyarakat yang disegani dan progresif oleh pandangan sejagat dan seantero dunia.

Sebelum Islam, Mekah yang hanya dikesan sebagai masyarakat biasa, telah menjadi kawasan pusat perdagangan yang dikenali ketika itu. Institusi politik dan sosial di Mekah telah berkembang dengan seluasnya, dan budaya kehidupan telah menjadi lebih kompleks. Selepas perkembangan Islam terus berlaku di Mekah, pertambahan kehidupan masyarakat Arab terus meningkat. Sejarah telah membuktikan di mana pendedahan Islam oleh penganutnya yang datang untuk mengubah kepercayaan dan nilai moral manusia telah berjaya dilaksanakan, selepas mereka berjuang bermati-matian untuk mencapai kemenangan bagi mengatasi penguasaan fahaman jahiliah oleh bangsa arab, dan kemudiannya ke atas Empayar Rom dan Parsi.

Sejarah juga telah membuktikan di mana kemenangan yang di pandu oleh orang Islam kepada kemajuan dalam bidang meterial dan sosial, akhirnya, terbinanya tamadun Islam yang menjangkaui pengembangannya, ketahanannya dan mengatasi seluruh pencapaian tamadun-tamadun sebelumnnya.

Kesedaran Islam terus meletakkan kembali kepercayaan dan nilai manusia yang diseleweng dengan satu penyesuaian kepercayaan yang baru. Islam mengorientasi semula kehidupan manusia. Ia mengubah gaya hidup, sikap, dan pandangan suku kaum Arab untuk membina ke arah masyarakat yang lebih baik. Apabila Islam datang untuk menakluk empayar Parsi, orang Islam pergi ke tanah bangsa asing hanya dengan satu matlamat yang sama iaitu mengembangkan ajaran Islam, bukan untuk mengambil pendekatan Imperialisme. Dengan sikap manusia ketika itu menyekat idea dan prinsip kebenaran dan keadilan, Islam mengubah tindakan individu dan institusi kemasyarakatan yang lebih adil.

Dengan sikap belenggu manusia daripada amalan tahyul dan perhambaan, Islam telah menggerakkan individu dan tenaga kerja secara berkumpulan oleh mereka ke arah aktiviti yang kreatif dan produktif, Islam telah menubuhkan kawasan yang boleh memberi bantuan dan kemasyarakatan secara kondusif untuk mereka bergerak dan bekerja dengan lebih baik.

Islam telah memberi kebangkitan kepada tamadun yang sama sekali menyakinkan dunia. Ianya jauh lebih baik daripada tamadun masyarakat Rom dan Parsi. Terdapat penemuan sains yang dikagumi dan banyak pusat pembelajaran telah dibuka. Tidak dinafikan, tamadun Islam telah memberi sumbangan kepada kemajuan ilmu dan pembelajaran dalam masyarakat manusia sehinggalah ke hari ini.

Orang Islam dibawah pimpinan orang-orang Arab, telah melahirkan karya-karya saintifik dan perbicaraan kefalsafahan serta sejumlah besar kesusasteraan yang meliputi semua aspek kehidupan manusia. Mereka juga telah membina tugu-tugu tamadun yang besar dan mengungguli sejumlah seni halus pada zaman kegemilangan sejarah mereka. Saintis-saintis agung Islam telah menemui pelbagai kaedah baru cabang ilmu sains yang menjadi pelopor dalam penemuan asas-asas sains moden.

Kemunculan tamadun Islam sebagai kuasa politik, keagungan ilmu serta dokongan kerohanian bagi semua bangsa, telah mempengaruhi perkembangannya melangkaui ke negara China sehingga membentuk identiti budaya dan sosial yang istimewa kepada bangsa-bangsa dunia seperti Parsi, Babar, Turki, Sudan, Sindhi, Pathan, Benggali, Hindustani-muslim, dan banyak lagi kumpulan bahasa dan etnik manusia yang lain termasuklah bangsa Melayu.

Pada sepanjang abad ke 19M sehingga abad ke 20M, tamadun Islam menghadapi zaman yang dahsyat dalam sejarahnya. Selepas negara-negara Eropah mengalami zaman Revolusi Industri,mereka telah menjajah kebanyakkan negara orang Islam sepanjang abad ke 19M. Penjajah-penjajah Eropah zaman moden ke atas tanah air orang-orang Islam telah mengancam kewujudan tamadun Islam itu juga. Mesir, Nigeria, India, Brunai juga Tanah Melayu dan lain-lain telah jatuh di bawah kuasa penjajah British; Moroko, Algeria, Tunisia - negara-negara Maghribi, 'Arab Barat', telah dijajah oleh Perancis; Indonesia menjadi jajahan Belanda; dan tanah air orang-orang Islam Asia Tengah telah dirampas oleh Rusia Bersistem Raja (Tsarist).

Kemerosotan politik negara-negara Islam dan suasananya yang mundur sepanjang abad ke 19M telah menyebabkan pengikisan perlahan-lahan akan kesedaran budaya, nilai moral dan kemakmuran ekonomi bangsa di negara-negara yang dijajah. Negara-negara itu kehilangan nama baiknya; kelangsungan hidupnya sebagai pengwujudan nasional bergantung kepada kemurahan hati para pemerintah luar. Orang-orang Islam mula menderita dari segi sosial, ekonomi, rohani dan moral di bawah rejim penjajah-penjajah.

Sehingga ke abad hari ini, kita menyaksikan penjajahan bentuk baru ke atas orang-orang Islam. Walaupun negara-negara Islam sudah tidak lagi terikat dengan penguasaan pemerintah daripada negara-negara eropah. Akan tetapi pemikiran dan budaya generasi Islam hari ini telah berjaya dikuasai dan dipengaruhi dengan mengikut tatacara budaya kehidupan mereka. Dari segi pemakaian, bahan-bahan bacaan, cara pergaulan, saluran media dan hiburan sehinggalah kepada aktiviti-aktiviti kemanusian banyak mengikut bentuk budaya barat.

Kita seharusnya bersyukur, negara kita yang sudah merdeka selama 44 tahun hidup dalam keadaan aman dan sejahtera sehinggalah melangkah ke abad baru 2002 dengan kemajuan teknologi dan maklumat yang tidak terhingga. Walaubagaimanapun, apa yang menyedihkan kita, krisis nilai moral generasi sekarang ini terutamanya dikalangan generasi muda Islam telah hancur bagaikan generasi yang hilang pedoman dengan meraikan pesta-pesta liar yang diadakan sempena menyambut kedatangan tahun baru 2002.

Aktiviti kemanusiaan (kononnya) melibatkan pergaulan bebas yang tidak terkawal dan hidangan minuman keras yang sudah menjadi kebiasaan jelas menunjukkan pengikisan akan kesedaran budaya, nilai moral dan kemakmuran ekonomi merupakan kesan penjajahan barat dari segi mental dan budaya serta keagungan membuta tuli tanpa disedari.

Tiada salahnya meraikan bagi menyambut kedatangan tahun baru. Akan tetapi generasi hari ini perlu sedar, tamadun Barat yang pernah menjajah negara-negara Islam bukanlah satu budaya tamadun yang perlu diagung-agung kan dan diikuti. Kita perlu meletakkan jati diri dalam mengenal dan menyedari kembali bahawa bangsa dan tamadun Islam adalah tamadun yang bangkit dan muncul di antara tamadun zaman purba yang merintis dan membentuk tamadun moden yang lain termasuklah tamadun barat. Oleh itu tamadun Islam pada zaman keagungannya seharusnyalah menjadi ikutan oleh kita daripada tamadun-tamadun dunia lain.

Kelalaian generasi hari ini berhadapan dengan cengkaman era globalisasi dimana menjadikan hidup mereka secara individualistik dan meterialistik sekaligus hilang jati diri dalam membentuk nilai moral dan peribadi diri yang unggul adalah disebabkan mereka lupa pada sejarah, kebangkitan dan keagungan tamadun Islam yang menjadi tamadun perintis sehingga terbentuknya kekayaan dan penerokaan alam sehingga ke hari ini dimana ianya telah dirampas oleh tamadun Barat, membayangkan tamadun Islam tidak hidup lagi.

Namun sebenarnya, tamadun Islam tidak musnah sebagai organisme budaya, ia hanya menderita mengalami satu jangka waktu kemundurun yang berpanjangan. Selepas masa pencapaian yang agung, tamadun Islam melalui jangka waktu terhenti, tetapi ia masih terus berjalan untuk hidup dan hidup lagi dari semasa ke masa. Kemajuannya telah terganggu selepas berjaya membuat tindakan-tindakan sukar tapi dilaksanakan dengan baik dalam lapangan sains dan tamadun. Unsur kreatif Islam yang menyebabkan satu tamadun baru hidup dan giat dalam Zaman Pertengahan tersembunyi dalam Islam itu sendiri.

Generasi Islam pada hari ini, seperti nenek moyang mereka, mestilah mendapatkan tenaga-tenaga kerohanian tak terbatas yang berasal dari Islam dan membekalkan dorongan yang kuat dan kreatif demi untuk kemajuan tamadun. Islam telah menjadi suatu kekuatan yang membawa tamadun dalam dunia. Sekali lagi ia muncul dengan satu bentuk yang baru dalam masyarakat-masyarakat Islam.

Oleh itu, bagi mengimpikan kegemilangan tamadun Islam itu kembali. Generasi muda pada hari ini adalah golongan yang signifikan dalam menentukan corak tamadun yang dibina pada masa akan datang. Generasi ini yang hendak kita lahirkan adalah generasi yang mampu melalui pembaharuan budaya dengan menyegarkan nilai unggulnya seperti menghargai iman, percaya diri, budaya ilmu yang tinggi dan berperikemanusiaan. Lantaran itu mereka tidak melupakan sejarah dan kebangkitan tamadun Islam dengan komitednya mereka membina akan kemunculannya semula dalam dunia moden, dan mencari strategi yang baru untuk kelangsungan hidup, kemajuan dan kejayaan.

* Penulis adalah penolong setiausaha agung, PKPIM


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved