IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan | Halaman Undian | Halaman Tetamu

    Update on Saturday, May 25, 2002 11:30 AM

TINDAKAN TATATERTIB KENYATAAN AKHBAR PELAJAR: SEJAUH MANAKAH KEBENARANNYA.


        (Isu kenyataan akhbar pimpinan pelajar menjadi kontraversi apabila Naib Canselor UTM memberi peringatan bahawa tindakan tatatertib akan dikenakan bagi pelajar-pelajar yang tidak mematuhi prasyarat ini. Dalam AUKU,bahagian 11,tatatertib am,seksyen 10,ceraian 1 menyatakan;"Tiada seorang pelajar dan tiada suatu pertubuhan,badan atau kumpulan pelajar boleh menerbitkan, membahagi-bahagi atau mengedarkan apa-apa dokumen di dalam atau di luar kampus, dengan syarat bahawa naib canselor atau seseorang yang diberi kuasa olehnya secara bertulis..". Persoalannya sejauh manakah kebenaran tindakan tatatertib ke atas pelajar yang membuat kenyataan itu - ulasan penasakti2002@yahoo.com)


Kenyataan akhbar - Pelajar UTM boleh dikenakan tindakan

Utusan Malaysia : 11 Disember 2001


        NAIB Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Zulkifli Ghazali memberi peringatan kepada pelajar universiti itu terutamanya ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) supaya tidak membuat sebarang kenyataan kepada mana-mana akhbar tanpa kelulusan daripada Unit Perhubungan Awam universiti.


        Menurutnya, ini penting bagi mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan kerana perkara tersebut adalah dilarang di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1997. Sehubungan itu katanya, jika akhbar menyiarkan berita-berita daripada mahasiswa yang tidak diluluskan oleh unit tersebut maka secara tidak langsung ia mengheret dan menganiaya pelajar terbabit.

``Ini bermakna pelajar tersebut telah melanggar peraturan AUKU.

``Kalau ini berlaku yang menjadi mangsa adalah pelajar berkenaan, kerana menerusi AUKU kita boleh kenakan tindakan tatatertib termasuk membuang mereka dari kampus,'' katanya kepada Utusan, di Skudai, Johor, baru-baru ini.


        Sementara itu Dr. Mohd. Zulkili juga berkata, pihaknya telah melantik seorang hafiz al-Quran, Juhazren Junaidi sebagai Presiden MPM-UTM yang baru. Menurutnya pelantikan Juhazren, 20, dari Fakulti Pendidikan secara langsung menyaksikan para pemimpin MPM universiti itu kali ini didokongi oleh pemimpin-pemimpin yang menyokong kerajaan.Manakala jawatan Timbalan Presiden di sandang oleh Maziah Mokhtar; Setiausaha Agung, Nabil Abdul Rahman dan Bendahari di sandang oleh Lee Wan Ying.


        Dr. Mohd. Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mesyuarat yang diadakan baru-baru ini bagi memilih keempat-empat pemimpin MPM berkenaan.Mengulas lanjut berhubung pemilihan empat siswa tersebut Dr. Mohd. Zulkifli berkata, pada dasarnya pihak universiti merasa lega dengan keputusan pilihan raya kali ini.

``Walaupun terdapat pelbagai analisis negatif khususnya yang dibuat oleh media, dengan menyatakan kelompok proaspirasi kerajaan gagal menguasai kerusi secara 100 peratus, tetapi apa yang penting pada kali ini mereka bertanding atas nama individu,'' ujarnya.


        Katanya berdasarkan pengamatan yang dibuat selepas pilihan raya yang diadakan pada 26 November lepas, mereka yang memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan memberi pengakuan bahawa mereka adalah penyokong kerajaan. Sementara itu Juhazren ketika diminta mengulas kemenangannya menjawat jawatan Presiden MPM-UTM berkata, pihaknya berazam untuk memperjuangkan isu-isu tertentu meliputi aktiviti-aktiviti kebajikan dan aspirasi kemahasiswaan.

``Pilihan raya kampus diadakan untuk memilih barisan pelajar bagi mewakili suara mahasiswa sesebuah universiti, untuk itu saya akan berusaha memenuhi hasrat tersebut,'' katanya.


        Tambah Juhazren, harapan MPM-UTM ialah untuk turut sama memikul memikul aspirasi kerajaan amnya dan UTM sendiri khasnya, yang mahu menjadikan UTM sebagai universiti bertaraf dunia.


UUM hanya benarkan kenyataan positif

Utusan Malaysia: 14 Disember 2001


        PELAJAR universiti terutamanya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tidak dikenakan tindakan jika kenyataan yang mereka keluarkan kepada akhbar tanpa kelulusan Unit Perhubungan Awam universiti tidak mencemarkan imej universiti berkenaan.


        Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohd Fawzi Basri bagaimanapun berkata, sekiranya kenyataan yang dibuat itu bertentangan dengan dasar universiti, pelajar boleh dikenakan tindakan tata tertib.

``Jika kenyataan mereka hanya mengenai aktiviti mahasiswa tidak mengapa, asal tidak menyentuh dasar,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi baru-baru ini.


        Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Mohd Zulkifli Ghazali, yang mengingatkan pelajar terutamanya MPP supaya tidak membuat sebarang kenyataan kepada akhbar tanpa kelulusan daripada Unit Perhubungan Awam universiti. Hal ini katanya, penting bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan kerana perkara tersebut dilarang di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1972.


        Mengulas lanjut, Dr. Fawzi berkata, larangan sedemikian memang sudah termaktub dalam AUKU. Sementara amalan UUM pula katanya, sebarang kenyataan harus dibuat dengan kelulusan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP).

``Tetapi kalau mereka tak ikut peraturan ini pun, jika kenyataan mereka tidak timbulkan kontroversi, tak mengapa,'' katanya.


        Ditanya adakah UUM akan melaksanakan peraturan yang lebih ketat mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh pelajar kepada akhbar, beiau berkata, UUM tidak akan berbuat begitu. UUM ujarnya, memang mengamalkan dasar yang fleksibel kepada pemimpin pelajarnya selagi mereka tidak menimbulkan masalah. Malah katanya juga, UUM setakat ini tidak mempunyai masalah dengan pemimpin pelajarnya.


        Dekan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Baseri Huddin Hussain berkata, amalan mendapatkan kelulusan Unit Perhubungan Awam universiti dilihat sebagai tindakan yang lebih baik untuk kebaikan universiti dan pelajar. Katanya, menurut amalan lazim, pelajar harus berbincang dengan bahagian HEP terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan kepada pihak luar.

``Tentulah `tidak manis' kalau mereka pergi kepada pihak luar tanpa berbincang dengan universiti,'' katanya.


Kenyataan akhbar - Larangan sekat suara MPP

Utusan Malaysia: 29 Disember 2001


        INSTITUSI pengajian tinggi awam (IPTA) perlu memberi kelonggaran kepada barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung isu semasa kepada pihak media. Kelonggaran itu adalah selaras dengan kedudukan MPP yang memerlukan saluran tertentu untuk menyampaikan idea dan pendapat masing-masing kepada masyarakat. Beberapa pemimpin pelajar yang dihubungi Dunia Kampus menegaskan sebagai wakil pelajar, mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian selagi tidak menyentuh isu yang terlalu sensitif.


        Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Amyzaddin Raya berkata, tindakan sesetengah IPTA yang melarang barisan kepimpinan MPP dan para pelajarnya mengeluarkan kenyataan kepada media jelas menyekat kebebasan bersuara MPP. Ini kerana katanya, MPP yang ditubuhkan bagi menjadi wakil pelajar di sesebuah IPTA perlu diberi peluang untuk mengemukakan pendapat berhubung isu semasa.

``Sebagai pemimpin, kami perlu diberikan hak yang sama rata dengan pentadbiran universiti untuk meluahkan pandangan dan komen kepada pihak media,''katanya ketika dihubungi.


        Beliau mengulas langkah beberapa IPTA yang baru-baru ini melarang barisan kepimpinan MPP untuk mengeluarkan kenyataan atau komen berhubung sesuatu isu kepada pihak media. Malah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali baru-baru ini, mengingatkan pelajarnya terutama barisan kepimpinan MPP supaya tidak membuat sebarang kenyataan akhbar bagi mengelakkan dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Pelajar yang melanggar arahan tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk membuang mereka dari kampus.


        Muhammad Amyzaddin seterusnya berkata, kelonggaran yang diberi akan mewujudkan sebuah universiti yang adil sekali gus mengelakkan pemimpin pelajar menggunakan saluran lain untuk menyampaikan pendapat yang tentunya lebih tidak disenangi oleh pihak universiti. Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Abdullah Abdul Karim pula meminta pihak universiti tidak merasa risau dengan kenyataan yang akan dikeluarkan oleh para pemimpin atau pelajar IPTA kepada media.

``Kewujudan Akta Mesin Cetak dan Akta Ketenteraman Awam sudah mampu mewujudkan batasan pemimpin pelajar dalam mengemukakan pendapat kepada pihak media,'' katanya.


        Selain itu menurutnya, IPTA perlu memahami bahawa setiap individu dibenarkan meluahkan pendapat masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.


        Presiden MPP, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Nasir Othman berkata, fungsi sebenar pemimpin pelajar akan tergugat sekiranya pihak IPTA melarang mereka daripada membuat kenyataan akhbar. Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa dalam keadaan tertentu, para pemimpin pelajar perlu merujuk terlebih dahulu kepada pihak universiti sebelum mengeluarkan kenyataan.

``Beberapa isu tertentu misalnya yang menyentuh dasar kerajaan atau universiti dan perpaduan kaum perlu diulas dengan berhati-hati supaya tidak menimbulkan masalah,'' katanya.


        Justeru beliau meminta semua pemimpin pelajar berpegang kepada etika semasa mengulas sesuatu isu kepada pihak media.


MPPUTM - Pertahan larangan keluar kenyataan akhbar

Utusan Malaysia: 4 Januari 2002


        MAJLIS Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (MPPUTM) mempertahankan peraturan baru universiti yang melarang pelajarnya mengeluarkan kenyataan akhbar tanpa merujuknya kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).


        Presidennya, Juhazreen Junaidi, 20, berkata, peraturan itu perlu memandangkan ada mahasiswa terlepas cakap sehingga menjejaskan nama baik universiti. Justeru, katanya, MPP menyokong penuh pelaksanaan peraturan itu kerana ia akan membantu universiti daripada terperangkap dalam isu yang boleh menjejaskan nama baiknya. Jelasnya, peraturan baru itu terpaksa diperkenalkan memandangkan sebelum ini terdapat segelintir pelajar menggunakan media untuk tujuan tertentu.

``Terdapat pelajar yang mendedahkan sesuatu perkara kepada media sedangkan hakikatnya, perkara itu tidak pernah berlaku di universiti,'' katanya kepada Dunia Kampus selepas majlis Penyampaian Watikah MPPUTM Sesi 2002 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sebanyak 42 exco MPPUTM menerima watikah yang disampaikan oleh Naib Canselor UTM, Datuk Prof. Dr.Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali.


        Baru-baru ini, Prof. Dr. Mohd. Zulkilfi mengingatkan para pelajarnya terutama barisan kepimpinan MPP supaya tidak membuat sebarang kenyataan akhbar bagi mengelakkan dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).


        Universiti Utara Malaysia (UUM) pula hanya membenarkan para pelajarnya mengeluarkan kenyataan positif kepada media.Ekoran itu, beberapa MPP institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain yang mengulas perkara itu dalam Dunia Kampus minggu lalu berkata, larangan itu boleh menyekat kebebasan pelajar untuk bersuara.


        Juhazreen berkata, tidak timbul soal suara pelajar disekat kerana mereka masih boleh bersuara dan memberi pendapat tentang apa sahaja isu nasional atau antarabangsa.``Tetapi semua pendapat itu mestilah melalui saluran yang betul sebelum dihebahkan kepada media dan masyarakat iaitu mengemukakannya terlebih dahulu kepada HEP,'' kata pelajar tahun tiga, program ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan itu.

Selain itu, katanya, barisan kepimpinan MPPUTM boleh mengemukakan pendapat mereka pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK). ``Sebagai wakil MPPUTM di MPPK, saya akan mengemukakan pendapat para exco berhubung isu nasional pada mesyuarat majlis itu kelak,'' katanya.


        Justeru katanya, MPPUTM berasa hairan bagaimana pihak luar boleh menganggap peraturan baru itu menyekat kebebasan bersuara pelajar. Mengulas apakah kebaikan di sebalik peraturan baru itu, Juhazreen berkata, semua maklumat yang sampai kepada media dan masyarakat adalah maklumat yang tepat. Katanya, tapisan yang telah dibuat oleh pihak HEP tentunya bertujuan baik iaitu memastikan maklumat daripada pelajar kepada pihak luar tidak melanggar peraturan AUKU.

``Ini kerana kebanyakan pelajar masih tidak mengetahui apakah yang mereka boleh dan tidak boleh lakukan mengikut peruntukan yang ada di dalam AUKU,'' katanya lagi.


        Selain itu, katanya, peraturan melarang pelajar mengeluarkan kenyataan kepada media boleh menyelamatkan imej universiti daripada terjejas.Jelasnya, peraturan itu juga akan mengelak pelajar daripada membuat kenyataan palsu yang menjejaskan nama baik universiti.

``Dikhuatiri juga, pihak-pihak luar menggunakan pelajar untuk menyampaikan mesej mereka kepada media.

``Jadi peraturan baru itu sekali gus akan menyelamatkan pelajar daripada diperalatkan oleh pihak luar,'' katanya.


Halaman Utama

 

Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved