IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan | Halaman Undian | Halaman Tetamu

    Update on Tuesday, May 28, 2002 9:30 AM

Meritokrasi dan Bangsa Melayu


Oleh: Prof Datuk Dr. Ibrahim Abu Shah(ibrahimshah@salam.uitm.edu.my)

Meritokrasi ialah sistem sosial yang memberi keutamaan kepada kebolehan dan kelebihan khusus seseorang individu tanpa mengambil berat secara berlebihan kepada faktor-faktor keturunan, bangsa, agama, status sosial dan sebagainya.

Dengan kata lain, meritokrasi memberatkan kebolehan, keupayaan, dan kelebihan seseorang individu berdasarkan kepada kualiti peribadi serta pencapaiannya secara khusus dan bersendirian. Dengan itu, apabila bercakap mengenai meritokrasi, konsep tersebut secara langsung melangkaui perkiraan-perkiraan yang biasanya dikaitkan dengan ungkapan-ungkapan lain seperti faktor persaudaraan atau kaum kerabat (nepotisme), faktor rakan karib atau proksi (kronisme), ataupun juga faktor ekonomi dan kepentingan bersama (business partner).

Satu isu yang sangat kerap diungkapkan terutamanya oleh golongan bukan Bumiputera yang berkaitan dengan meritokrasi ialah kuota. Malah persoalan meritokrasi ini dikupas dengan sentimen yang nadanya agak lega oleh sebuah majalah pendidikan tinggi tempatan, Education Quarterly (September/October 2001, halaman 20), apabila editorial majalah tersebut mengatakan, We must all be thankful that the quota system is now no longer a taboo topic.

Di negara-negara maju, pemakaian konsep meritokrasi sering dilaung-laungkan sebagai amalan yang memberi tanda kepada kedaulatan demokrasi. Dengan demikian, kebanyakan pusat pengajian tinggi di sana sering membesar-besarkan meritokrasi dalam pendidikan masing-masing sebagai cara untuk menggambarkan keutamaan mereka kepada kualiti.

Meritokrasi ialah ungkapan yang disesuaikan daripada istilah Inggeris, Merit dan cracy. Oxford Dictionary (1996) memberikan makna merit sebagai:

  1. the quality of deserving well;
  2. excellence, worth;
  3. a thing that entitles one to reward or gratitude. b esp. Law intrinsic rights and wrongs.
  4. Theol. Good deeds as entitling to a future reward.

cracy ditakrifkan sebagai,

denoting a particular form of government, rule, or influence [from or suggested by French -cratie via medireview Latin -kratia, from kratos strength, power].

Meritocracy pula ditakrifkan oleh sumber yang sama (Oxford Dictionary) sebagai:

  1. Government by persons selected competitively according to merit.
  2. A group of persons selected in this way 3 a society governed by meritokrasi.

    Saya perturun pula makna meritokrasi sebagaimana dipetik daripada Kamus Dewan (1998). Antara lain, mertitokrasi adalah:

    sistem sosial yang menyanjung tinggi kedudukan seseorang kerana kebolehannya (bukan kerana keturunan atau kekayaan)

    Sekian lama, ungkapan meritokrasi sebenarnya tidaklah menjadi perbualan utama dan berterusan di kalangan masyarakat, terutamanya di kalangan bangsa Melayu. Sebaliknya ia hanya dibualkan terutamanya oleh masyarakat bukan Melayu.

    Ini kerana pada fahaman biasa, meritokrasi lebih kerap dikaitkan dengan soal-soal politik dan pemerintahan negara. Dengan itu, soal-soal yang berbau politik seperti ketidakadilan dari segi pembahagian kekayaan ekonomi, sistem kuota berdasarkan keturunan dan sebagainya lebih sering diperkata orang.

    Ungkapan cracy asalnya daripada Greek, kratos bermaksud perintah. Secara lahiriah, meritocracy memanglah bermaksud pemerintahan berdasarkan merit.

    Namun itu tidak bermaksud meritokrasi hanya boleh atau sesuai digunakan hanya untuk disiplin pemerintahan negara semata-mata. Malah ia boleh juga digunakan untuk menerangkan cara bagaimana seni pentadbiran dan pengurusan digunakan untuk kesejahteraan manusia umumnya. Takrifan meritokrasi yang dipetik daripada Oxford Dictionary tadi menunjukkan dengan jelas bahawa penggunaan ungkapan meritokrasi dalam konteks ini sangat sesuai.

    Dalam hal ini disiplin pengurusan organisasi boleh digunakan sebagai contoh terbaik. Dalam organisasi, pelbagai ungkapan dan istilah digunakan untuk menerangkan cara pentadbiran dan pengurusan sebagaimana diaplikasikan di dalam bidang kenegaraan atau sains politik. Ini termasuklah antaranya, gaya pengurusan (management style seperti demokrasi, autokrasi, dan laissez faire).

    Dengan itu, penggunaan istilah meritokrasi dalam kaitannya dengan bidang pendidikan negara tidaklah janggal. Malah kelihatannya lebih sesuai kerana ia berhubungan secara langsung dengan cara bagaimana pendidikan ditadbir dan diurus. Lebih-lebih lagi ia juga berkaitan dengan agenda khusus yang menyentuh soal-soal ketuanan bangsa Melayu.

    Di Amerika Syarikat, istilah meritokrasi telah lama bersebati dengan sistem pendidikan di negara tersebut. Keterbukaan dalam pendidikan menjadi salah satu ciri utama yang menyebabkan sistem tersebut dihargai oleh banyak orang, terutamanya masyarakat keturunan lain selain daripada orang Amerika sendiri.

    Di negara-negara lain seperti Jepun, Perancis dan German, ramai juga pelajar Bumiputera yang menuntut di sana dan berjaya dengan cemerlang. Mereka terpaksa melalui banyak rintangan, terutamanya soal bahasa, namun mereka terus berjaya. Ini merupakan unsur meritokrasi yang berjaya dilalui oleh pelajar-pelajar Bumiputera.

    Kepentingan Konsep Pentadbiran & Pengurusan

    Saya telah menyebutkan bagaimana meritokrasi tidak seharusnya dihadkan makna dan pemakaiannya hanya kepada soal politik dan pemerintahan semata-mata. Saya juga telah menegaskan betapa ungkapan meritokrasi sebenarnya sangat sesuai diperluas penggunaanya kepada urusan pentadbiran dan pengurusan organisasi serta kerajaan.

    Jika pandangan saya ini diterima, bermakna kita bersedia melihat dengan hati terbuka mengenai bagaimana meritokrasi sebenarnya bersifat holistik, menyeluruh dan mengambil kira soal masa depan bangsa Melayu dengan lebih positif.

    Oleh itu, saya fikir sesuai jika saya menyentuh soal-soal pentadbiran dan pengurusan supaya pemikiran kita mengenai meritokrasi dapat memberikan kepada kita pandangan terowong (tunnel vision) supaya lebih jelas dan tepat kepada pemahaman kita.

    Meritokrasi sebenarnya berkait secara langsung dengan pentadbiran kerajaan. Malah kita boleh mengatakan bahawa meritokrasi adalah merupakan antara tugas dan tanggungjawab kerajaan dalam mentadbir negara.

    Ada banyak takrifan (definisi) mengenai pentadbiran. Antaranya:

  • Pentadbiran dianggap sebagai merangkumi aspek-aspek pengorganisasian pemerintahan, sumber manusia, pembiayaan, dan juga kepimpinan (Litchfield, E.H. 1956, Notes on General Theory of Administration, Administrative Science Quarterly, Vol 1, No 1, June 1956).
  • Pentadbiran dianggap sebagai perilaku manusia secara kooperatif dan rasional - cooperative human action (Dwight Waldo 1955 The Study of Public Administration, New York: Random House). Ini termasuk juga the art & science of management as applied to the affairs of the state.
  • Istilah pentadbir, asalnya daripada akar kata bahasa Arab iaitu dal-ba-ra yang bermaksud perencanaan, membuat pertimbangan, menganalisis, kerja-kerja menyusun, menyelenggara, dan melaksana. (Kecemerlangan Pentadbiran Dalam Islam 1991 Selenggaraan Shafie Mohd Salleh & Mohd Affendi Hassan, Kuala Lumpur: INTAN hlm 131).

    Sekadar merenung takrifan-takrifan di atas, agak jelas bagi kita untuk membuat rumusan awal bahawa meritokrasi termasuk dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan soal sumber tenaga manusia - khususnya bangsa Melayu - diangkat darjat mereka supaya memberatkan soal kualiti, berdaya saing dan dihormati oleh orang-orang lain.


    Bagaimana pula dengan pengurusan?

    Pengurusan pula dimaksudkan sebagai: The process of formulating & carrying out objectives through the use of human & material resources. (Pigors, P. & Myers, C.A. 1973 Personnel Administration, Tokyo: McGraw-Hill Kogakusha Ltd.)

    Pengurusan juga boleh dimaksudkan sebagai: Tell(ing) people in relatively specific terms what is to be accomplished & providing guidelines for accomplishing those objectives (Megginson, L.C. 1972 Personnel: A Behavioral Approach to Administration, Richard Irwin, Illinois: Homewood.)

    Adalah jelas bahawa tidak ada percanggahan sama sekali antara pentadbiran dengan pengurusan. Sekali lagi, meritokrasi menempatkan dirinya dengan cukup sesuai dan bersahaja dalam soal mentadbir bangsa Melayu supaya lebih sejahtera dan berdaulat.

    Perlu juga kita ingat bahawa kedaulatan juga berkait dengan pengiktirafan orang lain. Tanpa pengiktirafan, kedaulatan sama sekali tidak releven. Bukankah meritokrasi mengambil kira soal-soal penerimaan dan pengiktirafan satu pihak terhadap satu pihak yang lain?


    Meritokrasi Dalam Ruang Pendidikan

    Apa yang nyata, saya fikir terlalu ramai orang yang melihat konsep meritokrasi dari sudut pandangan politik semata-mata. Ini tidaklah tepat dan malah tidak wajar sama sekali. Jika meritokrasi hanya dilihat bermotif politik seratus peratus, dengan sendirinya niat dan usaha kita, terutamanya pihak kerajaan untuk membangun bangsa Melayu sudah menjadi sia-sia sejak awal-awal lagi.

    Kita harus memulai langkah dan tindakan kita dengan niat yang tulus bahawa apa yang diungkapkan mengenai meritokrasi ini ialah semata-mata demi kepentingan dan kesejahteraan pelajar dan negara secara menyeluruh.

    Lemparkan jauh-jauh prasangka bahawa semua yang dilakukan ini bermotifkan politik dan demi kepentingan kepartian. Selagi prasyarat ini tidak dipenuhi, selagi pemikiran kita masih terus bersarang dengan cemuhan bahawa semua yang diungkapkan mengenai meritokrasi ini hanya gimik semata-mata, kita tidak akan ke mana-mana. Dan bangsa Melayu terus dilihat sebagai bangsa yang hidup hanya di atas tunggul subsidi dan kuota serta status Bumiputera. Berapa lamakah kedudukan sebegini akan bertahan?

    Lihat sahaja senario yang mudah ini. Sehingga tahun 1957, bilangan pelajar Melayu yang berdaftar di Universiti Malaya adalah dalam anggaran 12 peratus sahaja. Melalui Dasar Ekonomi Baru - dan penggunaan sistem kuota diperkenal - bilangan tersebut sememangnya bertambah.

    Bagaimanapun, lihat pula jumlah graduan Melayu yang mengisi sektor swasta. Tidak lebih 40%. Dengan kata lain, sumber tenaga bangsa Melayu sebenarnya under-represented, yakni tidak cukup perwakilan lantaran kelebihan bangsa Melayu dari segi akademik khususnya tidak memungkinkan mereka mengisi profesion-profesion yang dianggap berstatus tinggi dan kritikal seperti akauntan, jurutera, arkitek, doktor perubatan dan jurubedah.

    Peratusan Bumiputera & bukan Bumiputera dalam kumpulan Profesional

    Sumber: Laporan Ekonomi; Laporan Perangkaan.
    PROFESION  1990  1995  1998 
      BB  BB  B  BB
    Arkitek  23.6  76.4  27.6  72.4  28.7  71.3 
    Akauntan  11.2  88.8  16.1 83.9   15.2  84.8 
    Jurutera  34.8  65.2  36.5  63.5  37.6  62.4 
    Doktor  27.8  72.2  33.4  66.6  35.8  64.2 
    Doktor Gigi  24.3  75.7  31.7  68.3  37.5  62.5 
    D/Veterinari  35.8  68.1  40.2  59.8  40.8  59.2 
    Juruukur  44.7  55.3  46.3  53.7  47.8  52.2 
    Peguam  22.4  77.6  28.8  71.2  31.8  68.2 
    Pelukis Pelan  33.1  66.9  35.8  64.2

    Keadaan ini sangat ironis kerana meskipun kita - Bumiputera - diberikan peluang seluas-luasnya dalam banyak hal, namun masih lagi gagal melahirkan sebanyak mungkin graduan yang benar-benar berkebolehan, berketrampilan untuk menyumbang kepada sektor utama dalam pembangunan ekonomi negara.

    Apa yang kita lihat pada hari? Malang, dan malah menggerunkan kerana pelajar kita lebih senang dan selesa untuk memilih keutamaan yang salah. Dan seperti yang kita lihat hari ini, mereka tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah apabila meletakkan diri mereka seolah-olah ahli politik, mendabik dada mengatakan mereka matang sedangkan pencapaian akademik mereka tidak lebih daripada sekadar secukup makan dan mengharap belas kasihan pensyarah untuk lulus!

    Kita perlu menerima hakikat meskipun sepahit hempedu. Jika tidak, kita akan terus lena dalam mimpi yang menggambarkan betapa status Bumiputera sentiasa menyelamatkan generasi kita. Benarkah begitu?

    Dalam sektor pendidikan pada hari ini, kita tentu maklum mengenai perkembangan pesat yang dilalui oleh pendidikan tinggi. Empat puluh tahun lampau, jumlah graduan di negara kita ini - tanpa mengira bangsa - hanyalah satu peratus sahaja daripada keseluruhan jumlah penduduk negara ini. Satu peratus sahaja!

    Hari ini, 25% penduduk Malaysia daripada umur cohort 17-23 tahun sedang menghabiskan pendidikan tinggi masing-masing. Itu satu jumlah yang besar. Daripada 8 buah universiti awam yang utama di negara ini 10 tahun lepas, hari ini kita menyaksikan pertumbuhan lebih 600 institusi pendidikan tinggi swasta.

    Tanpa meritokrasi, berapa lamakah agaknya bangsa kita boleh bertahan semata-mata atas tiket subsidi dan kuota? Berapa ramaikah bangsa Melayu yang boleh ditampung untuk mengisi jawatan-jawatan di sektor awam? Dan berapa ramai pulakah yang boleh dan berupaya berlumba untuk bersaing dengan orang lain di sektor swasta?

    Maka di sinilah rasionalnya untuk kita melihat meritokrasi secara positif. Bangsa Melayu bukannya terlalu bebal sehingga tidak mampu untuk bersaing secara sihat dalam mengejar peluang pendidikan tinggi. Ramai yang sudah berjaya secara merit. Saya percaya kita boleh memberi banyak contoh teladan untuk menggambarkan kejayaan bangsa Melayu menerusi merit dan bukannya atas tiket bangsa semata-mata.


    Apa Yang Boleh Menyokong dan Melancarkan Meritokrasi

    Saya sedar bahawa bukanlah mudah untuk kita keluar dari kepompong keselesaan (comfort zone ) setelah bertahun-tahun kita merasai kelebihan dan kemudahannya. Namun - dalam kesedaran itu - saya percaya kita juga perlu menerima kenyataan bahawa perubahan adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan. Kita boleh memilih untuk tidak berubah, namun saya berani memberi jaminan bahawa orang yang tidak sanggup berubah akan hanyut dalam arus perubahan itu sendiri sama ada secara sedar atau tidak.

    Apabila di India berlaku Revolusi Hijau - yakni bidang pertanian dimajukan secara besar-besaran - ramai petani yang sangat terkejut dan mulanya tidak percaya dengan apa yang mereka lalui. Ramai yang memilih untuk bertahan dengan cara pertanian kuno kerana mereka terlalu gugup dengan perubahan mendadak yang diperkenal di sana.

    Di kalangan masyarakat tani di negara-negara Asia tenggara khususnya, perkara yang sama juga berlaku. Penanaman dua kali semusim pada awalnya mendapat tentangan hebat. Satu daripada puncanya adalah kerana nilai masyarakat tani pada waktu itu yang percaya bahawa tanah mempunyai semangat. Mereka percaya bahawa tidak wajar tanah dipaksa untuk menerima benih tanaman lebih secara berterusan kerana dibimbangi tanah akan merajuk. Akibatnya, tanaman tidak akan menjadi lalu kebuluran akan melanda.

    Bukan sedikit pemberontakan tani berlaku di mana-mana. Masa rehat atau masa senggang kaum tani terjejas. Kegiatan-kegiatan masa rehat - kebanyakannya dalam bentuk hiburan - tentunya dihadkan akibat kesinambungan kerja-kerja penanaman dan sebagainya. Ini semua merupakan perubahan yang menjejaskan keselesaan dan kesenangan pada waktu itu.

    Namun perubahan yang dilaksanakan - sama ada secara revolusi mahupun secara beransur-ansur - dapat diterima dengan baik dalam keadaan hati terbuka. Antara lain, ini disumbangkan oleh kelebihan teknologi yang datang bersama-sama perubahan tersebut. Mesin membajak menggantikan tenaga kerbau dan tajak. Benih yang baik sentiasa dicipta menggantikan benih yang sedia ada. Hasilnya, perubahan mengubah semua bentuk kehidupan masyarakat.

    Dalam konteks meritokrasi, kita juga perlu membuka hati untuk melihat kebaikannya demi masa hadapan dan penerusan kedaulatan bangsa kita. Meritokrasi melibatkan unsur-unsur keyakinan diri, kerja keras, tekun, sabar, syukur, dan berdaya saing untuk meletakkan diri seseorang pada kedudukan yang dihajati.

    Kita tidak rugi memaksa diri kita, generasi kita untuk berkerja keras dan bersistematik dalam usaha untuk mempertingkat kedudukan kita dalam pencapaian akademik. Yang kita inginkan adalah melahirkan generasi pelajar yang berwibawa, bijak mengatur masa dan kerja, dan mempertingkat kualiti pendidikan supaya mampu bersaing bukan sahaja di peringkat nasional, malah di peringkat antarabangsa.


    E-Pembelajaran

    Pembelajaran secara elektronik atau e-learning merupakan satu kelebihan yang tiada tolok bandingannya pada era ini. E-pembelajaran ini merupakan satu kelebihan yang boleh dimanfaatkan secara bermakna oleh generasi pelajar kita dan kita sendiri. Kemajuan yang dilalui oleh pendidikan negara kita serta pengembangan teknologi komunikasi melalui ICT memberikan kita segala peluang yang diperlukan untuk maju dengan lancar dan berjaya.

    Pada hari ini, tidak seharusnya lagi ada alasan yang mengatakan bahawa sukar mendapat maklumat, sukar untuk mengurus maklumat, tidak ada peluang untuk belajar, tiada guru yang berkelayakan dan sebagainya kerana kelebihan teknologi yang ada memungkinkan pembelajaran untuk berlaku melalui pelbagai cara.

    Untuk mencapai sumber-sumber maklumat amatlah mudah. Penyelidikan dan kajian boleh dilaksanakan dengan lebih teratur dan mudah. Buku-buku rujukan kini disokong pula oleh bahan-bahan pembelajaran tambahan yang disediakan secara elektronik. Manakala kaedah mengajar-belajar semakin dipermudah melalui sistem online yang bukan sahaja membuka lebih banyak peluang untuk pendidik-pelajar berinteraksi, malah memberi kesempatan pula untuk berada di tempat-tempat berlainan pada satu-satu masa.


    Keazaman Politik

    Untuk memastikan supaya meritokrasi benar-benar diamalkan dengan berkesan, kita memerlukan keazaman politik khususnya di kalangan ahli-ahli politik Melayu. Maksudnya, kerajaan memikul tanggungjawab besar dan berat dalam menangani persoalan meritokrasi ini supaya mencapai maksud sebenar untuk memberikan kesejahteraan kepada bangsa Melayu.

    Keazaman politik ini penting kerana tanpa iltizam kerajaan sepenuhnya dalam hal ini, meritokrasi akan hanya menjadi percaturan bangsa yang tidak berketentuan. Lain dikejar lain pula yang dapat, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.

    Oleh kerana itu, usaha untuk mencapai niat memajukan bangsa Melayu ini perlu dilihat sebagai usaha yang menyeluruh, bukannya usaha dalam bentuk kepentingan politik. Ini usaha bangsa Melayu. Bangsa Melayu adalah bangsa yang agama mereka ialah Islam. Itu ditetapkan oleh Perlembagaan. Tidak ada kompromi mengenai penegasan tersebut.

    Bukankah kita sendiri yang menentukan jatuh bangun bangsa kita? Dengan hal yang demikian, meritokrasi perlu dilihat secara positif dan penuh kesedaran. Kita bercakap mengenai niat, usaha, tawakal, dan kesyukuran. Kita berniat untuk memajukan bangsa Melayu, orang Islam. Kita berusaha untuk berjaya, dan pendidikan ialah kunci utamanya. Kita bertawakal memohon pertolongan Allah SWT supaya niat dan usaha kita diberkati dan doa kita dimabulkan. Kita bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan atas segala bentuk sokongan dalam meneruskan usaha kita ke arah keredaan Allah.

    Lihatlah sejenak pahit getir perjuangan bangsa kita di UiTM. Sejak 44 tahun lampau, UiTM tekun meneruskan usaha keras membela nasib bangsa Melayu. Tidak sedikit cemuhan dan cebikan yang kita terima. UiTM pernah diletakkan dalam keadaan yang serba tidak menyenangkan apabila institusi itu dikatakan kelas kedua, tempat pelajar-pelajar yang gagal dan sebagainya.

    Namun UiTM diam. UiTM tafakur, menarik nafas dalam dan berfikir dalam keadaan hati terbuka dan waras. UiTM terus berusaha keras dan melaksanakan dengan tekun tanggungjawab kami mendidik anak bangsa supaya lahir sebagai graduan yang berkualiti.

    Dan hari ini, UiTM - yang merupakan satu-satunya institusi pendidikan tinggi bangsa Melayu - melahirkan banyak jurutera, akauntan, arkitek, peguam, ahli-ahli perniagaan dan banyak lagi, yang menyumbang kepada komposisi tenaga kerja manusia di negara ini.

    Sumbangan ini sesungguhnya amatlah besar. Dan dalam sistem pendidikan di UiTM, kami telah melaksanakan meritokrasi sejak lama dahulu. Kualiti sentiasa dipertahan tanpa mengecilkan pencapaian cemerlang bidang akademik. Lulusan UiTM mengisi banyak ruang di dalam sektor swasta. Setidak-tidaknya ini merupakan sumbangan UiTM dalam mengimbangi komposisi kaum dalam sektor swasta, kalaupun tidak mengatasi bangsa lain tersebut.


    Pemikiran Semula

    Meritokrasi dalam konteks penggunaanya di negara ini lebih kepada agenda khusus, yakni mempertingkat motivasi dan dorongan orang-orang Melayu supaya lebih bersedia menerima kenyataan bahawa peluang pendidikan tinggi perlu diperolehi dengan berusaha keras dan penuh kesedaran, dan bukannya hanya satu subsidi semata-mata.

    Penggunaan meritokrasi perlu dilihat dari segi agenda terlindung kerajaan demi kepentingan masa depan orang-orang Melayu. Pada hari ini, ruang pembicaraan politik yang semakin luas menyebabkan perlunya kerajaan membuka sedikit pintu yang boleh memperlihat keikhlasan kerajaan dalam memerintah. Di samping itu, sebagai nilai tambah (added value) orang-orang Melayu juga dapat dibantu untuk bersedia secara psikologi menerima cabaran sebenar hari ini yang menggambarkan betapa generasi subsidi semakin tidak bersesuaian lagi.

    Dalam sektor swasta, bilangan tenaga kerja Melayu adalah under represented , tidak seimbang dengan sektor awam. Antara alasan utama ini berlaku ialah dikatakan orang-orang Melayu tidak berkelayakan setara dengan bukan Melayu disebabkan kelebihan status Bumiputera. Dalam hal ini, meritokrasi menjadi semakin releven.

    Meritokrasi secara asasnya memang sudah diamalkan di negara ini. Ini termasuklah contohnya, pelajar-pelajar Melayu yang mengikuti kursus-kursus profesional seperti ACCA, CIMA, dan MACPA yang seratus peratus berdasarkan meritokrasi. Ramai juga yang berjaya meskipun laluannya bukanlah mudah. Ini bukti betapa meritokrasi boleh dilalui oleh pelajar-pelajar Melayu tanpa mengharapkan kelebihan status Bumiputera.

    Meritokrasi memberi sumbangan kepada kerajaan dalam untuk mewujudkan kestabilan politik. Ini berkaitan dengan startegi mengimbangi sentimen kaum bukan Bumiputera dalam soal politik dan peluang pendidikan tinggi. Bagaimanapun, usaha kerajaan perlu dibuat untuk memperkukuh kesediaan dan kedudukan Bumiputera terlebih dahulu sebagai sokongan kepada pelaksanaan meritokrasi.

    Di mata dunia Malaysia dianggap mengamalkan perbezaan standard antara kaum terutamanya yang melibatkan peluang pendidikan. Gagasan meritokrasi dapat membetulkan keadaan ini. Bukankah ini dapat membuang pandangan negatif tersebut? Bagaimanapun, perlaksanaannya perlulah dibuat secara cermat dan pintar. Kita tentunya mempunyai kepakaran yang lebih daripada mencukupi dalam usaha untuk mendalami persoalan ini dan seterusnya membuat persediaan yang diperlukan.

    Selain daripada itu, perlaksanaan meritokrasi sebenarnya boleh membentuk budaya Melayu yang mempunyai daya saing dan juang yang tinggi bagi menghadapi era baru. Globalisasi dan liberalisasi sebenarnya membawa kepada keperluan meritokrasi ini. Kita bercakap bukan soal persaingan antara sesama bangsa Melayu semata-mata, malah dengan bangsa lain juga.. Kalau di halaman sendiri kita bersifat lemah, bagaimana kita mahu bersaing di peringkat antarabangsa?

    Dr Ibrahim Abu Shah ialah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)


  • Halaman Utama

     


    Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved