IDEALIS MAHASISWA
 

Halaman Utama | InfoSiswa | Arkib | Perbincangan | Halaman Undian | Halaman Tetamu

    Update on Wednesday, May 29, 2002 9:30 AM

AUKU DARI KACA MATA KACA MATA AKTIVIS SISWA TIONGHUA


Sumber : Forum Politik Malaysia Menuju Alaf Baru

1. Pengenalan AUKU

"...Pada 9hb. Oktober, 1999,seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tahun akhir ?Saudara Yong Kai Ping, pelajar tahun akhir 5SUP (Pengurusan Harta Tanah) telah didapati bersalah melanggar Seksyen 15 bagi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 1996) dan Tatatertib UTM. Beliau telah didenda sebanyak RM 200 oleh HEP UTM..."

"...beliau telah dituduh keranan merupakan salah seorang wakil Majlis Pelajar Malaysia yang menghantar memorandum - "Ke Arah Memulihkan Semula Sistem Keadilan Negara", kepada Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin..."

"...telah mengumpul 1,019 tandatangan dari pelbagai IPT dalam masa 1 hari sahaja...juga mendesak kerajaan memansuhkan AUKU..."

....Tapi, apa itu AUKU?

AUKU - suatu kata nama yang tidak pernah lenyap dalam institut pengajian tinggi (IPT) Malaysia telah berusia 25 tahun. Bagi kawan-kawan yang belum mengenali AUKU, KOPITIAM (dengan hati yang begitu sedih) ingin mengajak anda meninjau akta yang telah menghantui ahli-ahli akademik dan pelajar-plajar IPT melebihi 2 dekad ini...

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1970, Akta 30 dalam Undang-undag Malaysia, atau lebih dikenali dengan singkatannya 'AUKU', telah ditakrifkan sebagai 'suatu akta untuk membuat peruntukan-peruntukan bagi menubuh, menyelenggara dan mentadbirkan Universiti-universiti dan Kolej-kolej Universiti dan lain-lain perkara yang berkenaan dengannya'. Ia telah dicadangkan oleh Menteri Pendidikan pada ketika itu, iaitu Tun Hussein Onn, di Dewan Rakyat Parlimen pada 18/3/197, dikuatkuasakan mulai 30/4/1971. Kemunculan AUKU adalah untuk mengawal pergerakan pelajar yang begitu aktif dan usaha menubuhkan insitut pengajian tinggi tertentu (terutmanya menghalang penubuhan Independent University).

Mungkin anda berpendapat bahawa: "Bukankah perlunya terdapat suatu akta yang memberi kawalan yang sesuai ke atas IPT untuk menghindar perbuatan yang dapat mengancam perkembangan sihat IPT?" Ya, tidak dapat dinafikan bahawa kawalan yang sesuai itu diperlukan, tetapi AUKU telah melampaui tahap "SESUAI", sehingga menyekat perkembangan IPT, mencabuli hak asasi manusia ahli-ahli akademik dan pelajar-pelajar IPT dan sebagainya. Misalnya, pelajar IPT tidak boleh menyatakan sama ada sokongan, simpati ahupun bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan pekerja dan sebagainya, sedangkan banyak pelajar IPT sudah berdaftar menjadi pengundi, dan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara dibenarkan untuk menubuhkan kelab-kelab yang berunsurkan politik, seperti Kelab UMNO...

Pindaan-pindaan ke atas AUKU yang dilaksanakan pada tahun 1971, 1975, 1983 dan 1996 telah mengubah prinsip dan semangat asal IPT yang menutamakan self-governing di kampus dan kebebasan penyelidikan ilmu. IPT Malaysia sekarang hampir hanya berfungsi sebagai alat yang menghasilkan tenaga kerja (atau 'Mesin Mnusia') yang setakat memenuhi permintaan tenaga kerja di pasaran...Bukankan begitu?

2. Mengapa AUKU diperkenalkan pada tahun 1971

Salah satu tujuan AUKU diwujudkan adalah untuk mengawal pergerakan pelajar Malaysia yang sangat aktif pada zaman 1960-an dan 1970-an. Pindaan terhadap AUKU pada tahun1975 telah melenyapkan pergerakan ini, kemudiannya membentuk pelajar-pelajar IPT yang semakin kurang peka terhadap masyarakat...

Apabila kita mengkaji AUKU, kita perlu kaitkan perbincangan kita dengan pergerakan pelajar Malaysia melebihi 20 tahun dahulu. Mari kita imbas kembali sejarah yang tertera pada masa lampau...

Pergerakan pelajar Malaysia mula berkembang sejak awal zaman 1930-an lagi. Pada masa itu bakal-bakal guru dari Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (diasaskan oleh Ibrahim Yaakob) untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan anti-British. Pergerakan pelajar yang bercirikan unsur yang sama telah berterusan ke zaman 1950-an, di mana pelajar Universiti Malaya (UM) ketika itu (UM pada ketika itu bertempat di Singapura) juga terlibat dalam perjuangan anti-koloni British.

Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan pada 31/8/1957, apabila Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman melaungkan perkataan "Merdeka!" di Stadium Merdeka. Dengan itu, hala tuju pergerakan pelajar telah menampakkan perubahan yang ketara. Setelah UM dipindahkan ke Kuala Lumpur pada tahun 1959, pelajar-pelajar lebih mengutamakan isu-isu kebajikan pelajar.

Pada sekitar tahun 1967, pergerakan pelajar-pelajar IPT Malaysia mula diterapkan dengan unsur-unsur sosial dan politik. Mereka mula prihatin terhadap isu- isu kemasyarakatan, bahasa dan antarabangsa. Apakah peristiwa-peristiwa yang dapat mencerminkan perubahan ini?

1. Perjuangan Petani Teluk Gong

"...jika kita tidak memiliki sebarang tanah persendirian, kita berhak mengusahakan tanah kerajaan yang terbiar..." - Perjuangan petani-petani di Teluk Gong

Pada tahun 1967, sekumpulan petani yang diketuai oleh Hamid Tuah telah membersihkan suatu kawasan hutan di Teluk Gong, Selangor untuk tujuan petempatan dan pertanian. Mereka terpaksa berbuat demikian kerana mereka tidak memiliki sebarang tanah persendirian.

Kehidupan mereka terganggu apabila pada 14/10/1967, kerajaan telah bertindak memusnahkan petempatan dan hasil pertanian petani-petani tersebut. Hamid Tuah dan pengikut-pengikutnya telah diberkas.

Tindakan kerajaan itu telah mencetuskan ketidakpuashatian di kalangan pelajar-pelajar UM. Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) telah menyertai demonstrasi untuk menunjukkan sokongan terhadap petani-petani di Teluk Gong.

2. 1968: Isu-isu Nasional dan Antarabangsa

PBMUM telah mengadakan simposium (perbincangan akademik)ke atas Dasar Pendidikan Negara. Mereka memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu di Malaysia.

Sementara itu, UMSU, Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) dan Kelab Sosialis mengadakan demonstrasi di luar kedutaan Soviet Union di Kuala Lumpur, untuk menyuarakan bantahan terhadap tindakan Soviet Union menyerang Czechoslavakia. Demonstrasi merupakan yang pertama diadakan oleh pelajar-pelajar IPT di luar kampus, tetapi juga yang pertama kalinya menghadapi kekerasan polis.

3. 1969: Pilihan Raya Umum

Sempena pilihan raya umum pada tahun 1969, pelajar-pelajar mengadakan manifesto sendiri. Mereka memberi pandang terhadap dasar pendidikan, hal-ehwal tanah, masalah ekonomi dan sebagainya. Mereka juga meminta kerajaan membebaskan tahanan politik dan mendesak tapak ketenteraan asing meninggalkan tanahair.

4. Penubuhan USM dan UKM

Pada tahun 1970, Universiti Sains Malaysia (USM) telah ditubuhkan di Pulau Pinang; manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan di Bangi, Selangor. Pelajar-pelajar kedua-dua universiti tersebut juga melibatkan diri dalam aktiviti sosial secara aktif.

Tragedi rusuhan perkauman pada 13hb. May, 1969 telah membawa perubahan yang besar kepada Malaysia. Selepas kejadian ini, pemerintahan Malaysia telah diambilalih oleh Majlis Tindakan Negara.

Memandangkan pergerakan pelajar begitu aktif (terdapat kempen yang mendesak Perdana Menteri pada ketika itu - Tunku Abdul Rahman, meletak jawatan. Antara persatuan yang memainkan peranan yang aktif ialah UMSU yang diketuai oleh Syed Hamid Ali, dan PBMUM yang diketuai oleh Anwar Ibrahim), Majlis Tindakan Negara telah menubuhkan Campus Investigative Committee untuk menilai aktiviti pelajar di institut pengajian tinggi. Lanjutan dari keputusan yang diperolehi, jawatankuasa tersebut mencadangkan supaya kawalan perlu dikenakan ke atas aktiviti pelajar. Dengan itu, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diluluskan pada 30hb. April 1971. AUKU memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk mengawal institut pengajian tinggi tempatan, dan melarang pelajar-pelajar institut pengajian tinggi tempatan daripada menyertai, bersimpati atau menyokong sebarang kesatuan pekerja atau parti politik.



Halaman Utama

 


Copyright ©2001 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved