oleh Sdr. Zulkafli Daud
Perletakan jawatan Ust. Fadhil Noor sebagai Timbalan Presiden ABIM untuk menyertai PAS dan bertanding di dalam pilihanraya umum pada bulan Julai 1978, telah menarik perhatian pelbagai pihak khususnya pimpinan dan media massa yang menyokong kerajaan. Datuk Senu Abd. Rahman, selaku Setiausaha Agung UMNO yang terpaksa berhadapan dengan Ust. Fadhil Noor di kawasan Parlimen Kuala Kedah telah mempersoalkan pendirian ABIM sebagai sebuah pertubuhan dakwah. Beliau meminta ABIM menyatakan pendirian sama ada berpegang kepada prinsip pertubuhan dakwah atau menjadi alat dakyah politik PAS. Rencana Pengarang Utusan Melayu 5 Julai 1978 yang bertajuk 'Penjelasan ABIM tidak meyakinkan', juga turut membuat tuduhan bahawa kesucian ABIM sebagai sebuah badan dakwah telah tercemar akibat tindakan pemimpin ABIM itu.
ABIM telah terpaksa membuat penjelasan mengenai sikapnya membenarkan pemimpin kanannya Ust. Fadhil Noor serta dua orang tokoh ABIM yang lain iatu Sdr. Syed Ibrahim Syed. Abd. Rahman dan Ust. Nakhaie Ahmad menyertai PAS dan bertanding di dalam pilihanraya.
Sdra. Presiden ABIM telah menjelaskan kedudukan bahawa ABIM bukanlah sebuah pertubuhan politik dan tidak pernah melibatkan diri dengan politik berparti. Namun ahli-ahlinya mempunyai hak dan kuasa mutlak untuk menyokong mana-mana parti politik yang diyakini memperjuangkan cita-cita Islamiyyah.
PERLETAKAN JAWATAN PRESIDEN
Selepas tujuh bulan diberi mandat semula memimpin ABIM di dalam muktamar ke -10 pada bulan Ogos 1981, Sdra. Anwar Ibrahim mengambil keputusan untuk menamatkan sejarah perjuangannya di dalam ABIM; sebuah wadah perjuangan Islam yang telah digagas dan diwamai oleh beliau selama lebih sepuluh tahun. Beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden ABIM ketika ABIM sedang menyediakan diri untuk memasuki dekad kedua perjuangannya di Malaysia.
Perletakan jawatan Sdra. Anwar sebagai Presiden ABIM dan seterusnya mengaktifkan diri di dalam UMNO sememangnya tidak diduga oleh pelbagai pihak sama ada rakan-rakan beliau dari dalam ABIM ataupun dari pertubuhan-pertubuhan sukarela yang lain. Malahan pada petang 22 Mac 1982, Sdra. Anwar masih mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pindaan Akta Pertubuhan di Ibu Pejabat ABIM.
Selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, beliau kemudiannya dengan bertemankan seorang rakan telah pergi bertemu dengan Dr. Mahathir Mohammad di kediamannya. Pertemuan tersebut dan juga beberapa pertemuan yang lain antara beliau dengan Dr. Mahathir akhirnya telah meletakkan Sdra. Anwar di dalam suatu wadah perjuangan yang sejak sekian lama menjadi sasaran kritikan beliau.
Untuk beberapa ketika, ABIM dilanda keributan dan kegawatan selepas Sdra. Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Presiden ABIM. Pimpinan ABIM yang kekal telah diserang kiri dan kanan. ABIM telah terpaksa menghadapi tekanan ahli-ahli yang tidak menyetujui tindakan Sdra. Anwar dan sikap pimpinan ABIM yang mereka sifatkan sebagai kurang tegas di dalam menangani kes tersebut. Mereka mengharapkan tindakan lebih tegas terhadap Sdra. Anwar dan beberapa orang 'pengikut setianya' agar dipecat dari ABIM.
Mereka yang tidak berpuas hati ini telah menimbulkan sedikit sebanyak 'kekacauan' di dalam organisasi ABIM baik di peringkat pusat ataupun negeri dan juga daerah. 'Kekacauan' juga telah berlaku di dalam dua muktamar ABIM selepas peristiwa kemasukan Anwar ke dalam ABIM. Akhimya ahli-ahli ABIM yang tidak berpuas hati tersebut telah menyertai PAS dan juga satu kumpulan Islam lain dan seterusnya menyerang ABIM dari luar.PAS sebagai sebuah parti yang sejak dari dulu memusuhi UMNO telah mula curiga dengan langkah pemimpin utama ABIM itu dan mengambil sikap ofensif dan sinis terhadap ABIM. Pelbagai pertubuhan yang lain yang dahulunya bersama-sama ABIM di dalam Jawatankuasa Bertindak Menentang Akta Pertubuhan dan juga Sekreteriat Persidangan Petubuhan-Pertubuhan juga turut mengambil sikap yang dingin terhadap ABIM.
Keadaan ini telah terpaksa dihadapi oleh ABIM untuk beberapa lama sebelum dipulihkandua hingga tiga tahun kemudiannya.
Muktamar ABIM yang ke-11 yang mencabar organisasi ABIM telah berlangsung pada 9 September 1982 di Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya. Walaupun muktamar berjalan dengan tenang, namun usaha menimbulkan kegawatan telah dapat dikesan. Kebijaksanaan pengerusi muktamar dan kematangan perwakilan akhirnya berjaya menyempurnakan muktamar walaupun beberapa perwakilan merasa tidak puas hati.
Usaha mengelakkan keributan di dalam muktamar dapat dilihat apabila Majlis Syura Kebangsaan ABIM telah memutuskan supaya isu-isu mengenai bekas Presiden tidak ditimbulkan semasa muktamar. Namun begitu beberapa usaha untuk membahaskan isu bekas presiden itu tetap diutarakan oleh beberapa perwakilan yang tidak berpuas hati. Malahan kewibawaan Majlis Syura Kebangsaan juga turut dipertikaikan. Lanjutan dari itu beberapa risalah 'haram' disebarkan sebagai menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sikap pimpinan di dalam mengendalikan kes bekas Presiden.
UCAPAN DASAR PEMANGKU PRESIDEN
Muktamar Sanawi ABIM yang ke-11 telah mendengar ucapan dasar Pemangku Presiden ABIM Sdra. Siddiq Fadhil. Ucapan dasar ini yang pertama bagi beliau dan ucapan yang sangat penting bagi menjelaskan semula dasar perjuangan ABIM serta meredakan keadaan yang gawat.
Ucapan Dasar ini bertemakan "Garis-Garis Besar Haluan Perjuangan". Mesej utama Ucapan Dasar ini adalah untuk menjelaskan kembali dasar, sikap dan strategi perjuangan serta arah perjuangan ABIM. Dasar, sikap dan arah perjuangan ABIM telah tercabar dan dipertikaikan oleh pelbagai pihak malah oleh sebahagian ahli mereka sendiri, berikutan dengan perletakan jawatan Presiden yang ketiga itu.
Harapan terhadap mesej Ucapan Dasar ini sangat besar di dalam mempastikan penerusan perjuangan ABIM. Beliau menjelaskan di dalam mukadimah Ucapan Dasar: -
"Semoga kita akan mampu meneruskan perjalanan dengan sikap istiqamah berpandukan garis-garis besar haluan perjuangan yang mantap sesuai dengan sifat sebuah gerakan yang komited secara serius kepada cita-cita pendaulatan Islam sebagai ad-Din yang serba sempurna menggenapi segala aspek dan spektrum kehidupan, "... Kita adalah pendukung da'wah dan pelanjut risalah, gerakan kita terangkai dalam kesinambungan siri perjuangan para mursalin dan mujahidin di sepanjang usia dunia yang pada pokoknya membawa misi yang sama: membawa manusia mengabdikan diri seutuh dan setulusnya kepada Allah - mengabdi dalam erti yang setulen dan seluas-luasnya, tunduk dan akur sepenuhnya kepada ajaran Samawi, patuh dan setia sebulat-bulatnya kepada tatahidup rabbani."
Muktamar ABIM ke-12 telah berlangsung di Kolej Islam Kelang pada 30 Julai hingga 1 Ogos 1983. Muktamar yang mencemaskan buat kali yang kedua ini telah menempah satu lagi sejarah pahit di dalam perjuangan ABIM.
Muktamar kali ini telah mencatatkan sejarah iaitu buat kali pertamanya cubaan menukar pimpinan ABIM Pusat dilakukan oleh sebilangan ahli-ahli yang masih tidak berpuas hati dengan sikap dan pendirian Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat mengenai isu bekas Presiden ABIM yang menyertai UMNO. Buat kali pertama senarai barisan pimpinan utama yang dicadangkan oleh Majlis Syura dipertikaikan dan para perwakilan ke muktamar terpaksa mengundi untuk menentukan sama ada barisan pimpinan cadangan Syura diluluskan atau ditolak. Pengundian tersebut terpaksa dilakukan apabila ada cadangan dari sebilangan perwakilan yang tidak berpuas hati mengemukakan barisan pimpinan mereka sendiri.
Pengundian yang dijalankan akhirnya menerima cadangan Majlis Syura dengan undi 200 orang bersetuju dan 109 menentang dan 7 undi rosak. Peristiwa yang berlaku di dalam muktamar ini sesungguhnya telah meninggalkan titik hitam di dalam sejarah perjuangan ABIM dan setiap perwakilan yang berucap membahaskan ucapan dan pada ucapan penangguhan telah menyatakan rasa sedih terhadap suasana yang sedemikian yang sebelumnya tidak pernah berlaku. Wakil ABIM Pulau Pinang menyatakan rasa terharu dan mengajak ahli-ahli kembali berpegang teguh dengan tali Allah dan tidak berpecah belah. Wakil ABIM Johor pula telah menyeru supaya pimpinan Pusat memandang serius terhadap apa yang telah berlaku pada Muktamar kali ke-12 itu. Wakil ABIM Wilayah Persekutan dan Terengganu juga turut merakamkan perasaan terharu dengan peristiwa tersebut dan mengharapkan peristiwa tersebut menjadi iktibar dan menyarankan supaya institusi Syura ABIM diperkemaskan.
Presiden ABIM yang baru disahkan kemudiannya telah memberikan ucapan penangguhan yang ringkas tetapi sangat bererti kepada perjuangan ABIM. Antara lain Sdra. Siddiq menyebut bahawa pucuk pimpinan tidak pernah merasa sebagai orang yang paling layak. Beliau meminta supaya ahli-ahli ABIM menerima pimpinan yang ada kerana mengikut kaedah, "jika dilantik dua khalifah bunuhlah yang kedua. Oleh itu tidak timbul soal layak atau tidak."