Raha Yaacob, Akhbar Mahasiswa Ogos 2002
MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru dibentuk berikutan pilihan raya kampus serentak pada 26 November tahun 2001 di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 29 November 2001 di Universiti Islam Antarabangsa boleh dikatakan tidak relevan dengan pelajar.
Ini kerana peratus pelajar yang turun mengundi di kebanyakan IPTA hanyalah di sekitar 40 hingga 60 peratus. Kebanyakan pelajar bukan sahaja tidak turun mengundi, bahkan mereka 'bosan' dengan pilihan raya yang berkempen berasaskan politik kepartian.
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad dan Timbalannya, YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi yang boleh berbicara mengenai pelbagai isu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, tidaklah pula berasal dari barisan kepimpinan MPP.
Walau pun ayat-ayat klise didendangkan bahawa mahasiswa khususnya MPP adalah pewaris yang mutlak kepimpinan negara, tetapi tidak ada bukti yang boleh mengesahkan perkara itu berlaku. Begitu juga dengan barisan Jemaah Menteri yang menjadi pemutus kepada hala tuju negara malah terbukti mampu menangani cabaran semasa termasuk serangan spekulator mata wang pada 1998. Mereka bukanlah berasal dari pemimpin MPP universiti masing-masing. Kebanyakkan pelajar terutamanya di kalangan siswa ketika ditemui Akhbar Mahasiswa menyatakan mereka lebih cenderung untuk meningkatkan prestasi akademik, atau menyertai aktiviti persatuan yang tiada kena mengena dengan ideologi Pas atau Umno.
Walau pun warga kampus tahu bahawa barisan kepimpinan siswa boleh dikenalpasti sebagai pro-Pas atau pro-Umno, mereka sendiri terutama di kalangan pemimpin yang pro-Pas tidak mahu mereka dihubungkan dengan parti pembangkang itu.
Pemimpin MPP kampus yang cenderung kepada pembangkang sealunya menggunakan perkataan "Sebagai mahasiswa, kami berhak mengkritik kerajaaan berdasarkan fakta dan hujah. Jangan pula kata kritikan pemimpin mahasiswa sebagai cenderung kepada pembangkang."
Sebaliknya, bagi pemimpin MPP yang pro-aspirasi kerajaan nampaknya mereka lebih memahami falsafah dan dasar kerajaan, lalu menyatakan sokongan dengan penuh ikhlas, tanpa menafikan mereka juga kritikal dari segi pemikiran dan idea.
Kementerian Pendidikan melalui kepimpinan Menteri Pendidikan. (bekas Naib Canselor USM), Tan Sri Musa Mohamad yang agaknya lebih memahami jiwa pelajar nampaknya memberikan penghargaan yang tinggi kepada semua MPP IPTA. Walau pun ada pelajar yang tidak begitu menghargai kepimpinan MPP. Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan pada 9 dan 10 Februari 2002 menghimpunkan jawatan kuasa 15 MPP IPTA yang seramai kira-kira 400 mahasiswa di Hotel Legend Kuala Lumpur bagi mendedahkan dasar-dasar kerajaan dan berdialog.
Pelajar yang terbabit secara langsung dengan hiruk-pikuk pilihanraya kampus hanyalah terdiri daripada segelintir pelajar sahaja. Peratus pelajar yang mengundi pada pilihan raya kampus semakin kecil. Contoh, di Universiti Malaya (UM) hanyalah sekitar 52%, Universiti Sains Malaysia (USM) 48%, Universiti Teknologi Malaysa (UTM) 44%. Begitu juga dengan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) 47%, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) 49%,Universiti Putra Malaysia (UPM) 62%. Manakala IPTA yang 'memaksa' pelajar turun mengundi mencatatkan peratusan lebih tinggi misalnya Universiti Utara Malaysia (UUM) 91%, Universiti Teknologi Mara (UiTM) 89% dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) 84%.
Mengikut laporan akhbar. daripada sejumlah (15 IPTA kecuali KUSTEM)di Terengganu. sebanyak 202 kerusi telah dimenangi oleh pelajar pro-aspirasi kerajaaan. manakala 161 kerusi dimenangi pelajar pro-pembangkang.
Dengan kata lain, lapan universiti: UUM, UiTM, UPSI, UNIMAS, UMS, KUIM, KUITTHO dan KUTKM telah dimenangi oleh pelajar yang menyokong dasar-dasar universiti dan kerajaan memerintah, manakala enam universiti lain dikaitkan dengan kemenangan pembangkang. Begitu pun, pemimpin MPP yang dikatakan pro-pembangkang menafikan mereka menyokong pembangkang. sebaliknya mereka secara terbuka menyatakan sokongan kepada kerajaan memerintah. Sokongan ini dinyatakankan oleh Presiden UPM, UKM dan UTM.
Berbanding dengan pilihanraya kampus tahun 2000, hanya UiTM sahaja yang dikatakan MPPnya pro-kerajaan sebaliknya semua universiti dimenangi oleh pelajar tajaan atau ahli Persatuan Mahasiswa Islam(PMI) yang pro-Pas. Di UPM pada 16 Januari 2002 yang lalu menyaksikan barisan MPPUPM menyatakan ikrar taat setia kepada kerajaan memerintah di hadapan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan Naib Canselor UPM.
Dalam majlis itu, lebih 7,000 pelajar UPM secara sukarela menyambut kedatangan Perdana Menteri dan mengambil kesempatan untuk bersalam-salaman dengan pemimpin yang disayangi itu.
Sesiapa yang menyaksikan keghairahan pelajar menyambut Perdana Menteri dan mendengar ucapannya tentu akan menolak anggapan bahawa kebanyakan pelajar adalah pro-pembangkang.
"Kebanyakan pelajar yang datang adalah mereka yang tidak pernah disuntik ideologi Pas atau Keadilan. tetapi mereka adalah kumpulan vang tidak terbabit dalam kepemimpinan kampus," kata seorang pegawai Hal Ehwal Pelajar UPM.
Begitu juga di UKM pada 22 Januari lalu, pelajar begitu bersemangat untuk mendengar ucapan Perdana Menteri.
"Siapa kata pelajar UKM membenci Dr. Mahathir, malah kami semua menyanjung tinggi kepemimpinan dan idea bernas beliau sebagai pemimpin negara Islam," kata seorang pelajar Fakulti Pengajian Islam UKM, Abdullah Salleh,22.
Malah. katanya, majoriti pelajar bersama-sama dengan kerajaan dan hanya segelintir pelajar yang menyokong pembangkang kerana telah disuntik ketika usrah, tamrin atau perkhemahan tajaan Pas atau ABIM sahaja.
Beliau beranggapan, "Oleh sebab banyak pelajar yang tidak mengundi terutama di kalangan siswi atau di kalangan pelajar yang menganggap MPP tidak relevan, maka pelajar yang menang adalah mereka yang berminat dengan MPP."
"Dalam kes UKM, UIA dan UM dikatakan pelajar yang memenanginya telah dilatih dari segi berpidato berpolitik serta menghirup ideologi membenci kerajaan memerintah." sambungnya. Pelajar yang menyatakan MPP tidak relevan boleh dikotakkan kepada kumpulan pelajar yang hanya menumpukan kepada akademik seperti kaum Cina dan India, pelajar 'couple' dan pelajar yang komitmennya kepada persatuan lain.